BAB 8
“MASYA-ALLAH.... ‘Tongkang Pecah’
kat Batu Pahat tu pun tidak adalah serabut macam ini. Bersepah, berselerak dan
segala bagai ‘ber’ lagilah gamaknya ni,” gumam Que perlahan apabila tiba saja
di muka pintu bilik El yang sedikit terbuka.
Memanglah... Tongkang Pecah yang di
Batu Pahat, itu merupakan nama tempat. Yang depan mata dia sekarang ini, macam
tongkang kena pukul ribut. Matanya melingas, meneropong pandang keadaan di
dalam. Walaupun dia hanya berdiri di ambang pintu, masih jelas keadaan yang
bersepah itu di penglihatannya. Memang macam tongkang pecahlah gamaknya.
Jess yang baru tiba juga terus
terhenti di belakangnya. Nasib baik brek makan lagi. Kalau tidak, dengan Que
sekali tersungkam depan pintu bilik El itu. Yang Que pula, apa hal tiba-tiba
tegak berdiri saja? Pelik melihat Que hanya berdiri tanpa ada tanda ingin masuk
ke dalam. Tadi, bukan main lagi bersemangat waja hendak ke situ. Apa hal?
“Kenapa, Que?” tanya Jess perlahan.
Berbisik-bisik sebenarnya.
Badannya dirapatkan sedikit dengan
Que. Takut orang yang ‘berangin’ di dalam itu sedar akan kehadiran mereka, jadi
kenalah berbisik-bisik begitu. Sebelum dia sedar, jangan bagi dia sedar dulu,
kan? Tidak pasal-pasal karang jadi cerita lain pula.
“Macam kapal karam, Jess! Berselerak
gila bilik dia,” adu Que juga berbisik-bisik. Kepala ditelengkan sedikit ke
kanan supaya Jess jelas mendengar suaranya.
“Kan aku dah kata... Dia mengamuk.
Kau yang tak percaya.”
“Sekarang aku percaya,” balas Que
ringkas. “Kita masuk, nak?” tanyanya pula. Meminta pendapat Jess.
Tadi memang dia bersemangat betul.
Tapi, bila sudah mengintai bilik itu, mak aiii! Berbelah bahagi pula rasa di
jiwa. Hmm... Tapi, dia mahukan penjelasan. Sebuah kebenaran. Itu saja. Kira
niat yang baik apa. Kena teruskan.
Jess geleng kepala.
“Tak payahlah... Angin dia tak elok
hari ni, Que. Esok ajelah kau tanya.”
Sebenarnya Jess cuak. Bimbang
kemarahan El masih belum reda. Tidak pasal-pasal, mereka pula yang jadi mangsa
keadaan. Cari nahas namanya itu.
“Alah kau ni... Kata orang tua-tua,
kalau menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Kalau buat sesuatu,
jangan sekerat jalan. Nanti, susah dapat jodoh.”
Selamba gila Si Que berbidalan. Yang
awal itu, betullah. Yang pasal pekasam itu. Tapi yang bab buat kerja sekerat
jalan susah dapat jodoh, macam susah hendak dikaitkan. Entah apa-apa Que ini.
“Dah, jom.”
“Takutlah...”
“Buat cerita tak sahih, berani. Tak
takut pula dosa ke, apa. Dengan orang takut, dengan Allah, tak.” Que menggumam
lagi.
Muka, ala serius gila. Terus
ditariknya tangan Jess untuk masuk dengannya. Alang-alang sudah sampai depan
pintu, masuk sajalah terus. Karang, susah pula dapat jodoh kalau buat kerja
sekerat jalan.
Pintu ditolak amat perlahan. Sangat
berhati-hati. Mohon Que, agar janganlah El sedar dulu akan kehadiran mereka.
Biarlah mereka sempat bersiap sedia terlebih dahulu. Kalau apa-apa jadi, adalah
peluang hendak mempertahankan diri. Dengan terjengkit-jengkit juga dia masuk.
Si Jess sudah jadi macam pak turut.
Terjengkit sama. Aisey! Apa kes? Melilau mata Jess memerhati keadaan bilik yang
memang tidak serupa bilik pejabatlah senang kata. Macam baru lepas kena serang
dengan perompak. Tidak terurus langsung. Tergeleng-geleng kepalanya seperti
tidak percaya dengan apa yang terbentang di depan mata. Hinggakan Jess terkaku
bila terpandang kabinet kaca di sudut bilik yang sudah pecah. Mak aii! Belatih
karate ke, apa? Amat meyeramkan.
Sedang Que, terus mara, mencari
kelibat El. Mana pulalah dia, ini? Kata ada dalam biliknya tapi, bayang pun
tidak nampak. Sudah jadi spesis halimunan, ke? Boleh Que tidak nampak akan
dirinya. Dia terus mara, namun langkahnya amat berhati-hati. Tidak mewujudkan
bunyi. Jess, entah sudah terpasak ke bumi agaknya. Tidak bergerak-gerak dari
tempat dia berhenti tadi.
Pantas Que menepuk dahi bila
terlihat El sedang berbaring di sofa. Matanya terpejam. Tidur, ke? Orang
lain di luar sana tengah kecoh pasal dia mengamuk, yang dia sedap-sedap melayan
mimpi di siang hari pula. Bagus betullah dia ini. Boleh pula tidur dalam
keadaan bilik yang berselerak tahap... Tidak ada tahaplah hai! Tidak reti
hendak bayangkan macam mana.
Eii... bersepah!
Que memajukan langkahnya beberapa
tapak lagi. Agak-agak hampir dengan lelaki itu. Tapi, masih di tahap yang
selamat buatnya. Tidak terlalu hampir. Senang hendak lari nanti kalau ‘angin’
El membadai lagi. Keselamatan diri sendiri kena jaga. Aspek penting itu.
Amboi! Bukan main sedap betul dia
tidur. Tidak berkuit langsung! Cantik saja lengan kiri letak atas dahi. Muka
pun, tidak adalah kusut sangat. Okey saja. Nampak tenang walaupun tidak
setenang air di kali. Tidak adalah seperti rupa orang lepas mengamuk pun
gayanya. Boleh berbaring santai lagi.
Tapi, tiba-tiba berkerut dahinya
bila terpandangkan lengan kiri El yang merah, bersisa darah. Luka. Belum kering
pun darah tersebut. Dia tidak sedar ke pada luka di tangannya itu? Tidak terasa
sakit atau perit, ke? Isy! Hilang deria rasa ke apa dia ini?
“Bos...” Dalam berani-berani takut,
Que memanggil El perlahan. Mana tahu kalau salah gaya, dia pula yang jadi
mangsa. Takut wei!
Que menggaru pelipis. Tidur mati,
ke? Atau, sudah tidak bernafas lagi? Langsung tidak bergerak pun dia ini.
Janganlah... Jangan mati dulu. Banyak yang hendak dia tanyakan pada lelaki ini.
Hmm... Boleh begitu?
“Bos...” panggilnya lagi.
“Ada apa, Que? Cakap ajelah. Saya
dengar,” jawabnya tiba-tiba.
Tidak tidur rupanya. Saja tutup
mata. Sudah penat mengamuk, kira hendak berehatlah kot. Haru! Matanya masih
terpejam. Terror juga dia. Dalam mata terpejam, masih tahu siapa yang
berada hampir dengannya. Padahal Que bersuara amat perlahan sekali.
“Lengan bos berdarah tu.
Kenapa dibiarkan?”
Barulah perlahan-lahan El membuka
matanya. Memandang ke arah Que sekilas cuma. Kemudian dia bangun dari
baringannya. Duduk pula. Que yang masih tegak berdiri hampir, hanya memerhati.
El membalikkan tangannya dan melihat ke arah luka yang Que maksudkan. Agak
lama. Diusap sekitar luka yang agak panjang pada perkiraan Que. Adalah dalam
tiga inci, macam itu.
“Sakit pun, tak macam sakit kat hati
ni.” Itu yang terkeluar dari mulut El. Tapi, dia lebih kepada menggumam pada
diri sendiri.
'Pula! Mana aku tahu hati dia sakit
ke, tidak? Aduh! Hendak kata sengal, nanti kena marah balik.'
“Yalah, bos. Sekurang-kurangnya, bersihkanlah luka tu. Karang terkena
jangkitan.”
“Sebenarnya, saya tak perasan pun ada luka tadi.”
Oh?
“Apa hal Jess, tu? Kena sumpah jadi
patung cendana, ke? Tegak je berdiri kat situ?” tanya El bila menyedari bukan
hanya Que yang berada di situ.
Badannya dicondongkan sedikit ke
kanan untuk melihat Jess dengan lebih jelas. Que turut menoleh ke belakang, di
mana Jess sedang berdiri, sambil memerhati sudut sebelah kiri bilik El yang
memang sudah tidak rupa bilik pejabat. Ketika itu, Jess sedang membelakangkan
mereka.
“Dia terkedu tengok bilik bos ni.
Macam tongkang pecah.”
El ketawa lepas. Boleh pun gelak.
Tidak adalah marah lagi kot.
“Macam apa? Tongkang pecah? Awak
pernah ke tengok tongkang pecah?”
Que sekadar geleng kepala sebagai
jawapan pada pertanyaan lelaki itu.
“Tongkang kalau pecah, semua
muatannya jatuh dalam laut. Jadi harta karun dalam laut tu. Tak berkait langsung awak cakap bilik
saya ni macam tongkang pecah.”
Cis tat betul! Banyak cakap pula dia
ini.
“Dah tu! Kalau tongkang tu pecah
atas darat, takkanlah jatuh dalam laut, kot? Mestilah berselerak kat darat
juga. Macam bilik bos ni...” jawabnya bersahaja. Logik, apa?
El angkat kening. Sedikit kagum
dengan cara Que membalas hujahnya.
“Tu, luka tu, tak nak bersihkan,
ke?” tanya Que sambil memuncung ke arah lengan El.
Saja ubah topik. Sebenarnya malas
hendak panjangkan cerita pasal ‘tongkang pecah’ itu. Karang, entah apa-apa yang
keluar nanti.
Sekali lagi El memandang lukanya.
“Awak nak tolong bersihkan, ke?”
'Erk! Aku pula? Sendiri buatlah.'
Tapi, dia tidak menjawab pertanyaan El langsung.
“Jess...” laungnya pada Jess.
Lipat maut Jess berpaling.
“Apa?”
“Tolong ambilkan first aid box.”
“Kenapa?”
Aduh! Banyak songel pula minah ini.
Ambil sajalah.
“Ada orang...luka hatinya, ni. Nak balutbagi jangan melarat.”
Selamba Que menjawab.
El hanya tersenyum meleret mendengar
komen Que itu.
“Hah!!??”
Pantas Jess berlari keluar dan tidak
sampai beberapa minit dia sudah berada semula di tempat mereka. Kotak first
aid sudah berada ditangannya. Dipandang El tidak berkelip mata.
“Bos cedera parah, ke?” tanyanya
tercungap-cungap.
“Tak adalah teruk mana. Macam kawan
awak cakap tadi, hati saya yang cedera. Agak parah.”
El menjeling pada Que. Que tepuk
dahi. Mata, dijulingkan ke atas. Sengal! Aduh! Takkan itu pun hendak ambil
hati.
“Nah.” Kotak first aid
diunjuk kepada Que.
“Eh! Apa pulak aku? Kaulah buat.”
Tolak Que pula.
“Aku mana reti," terang Jess
sungguh-sungguh.
“Aku pun. Dulu masa sekolah aku tak join
PBSM. Aku ahli Pengakap.” Dia berikan alasan agak logik.
Yalah. Karang salah letak ubat,
salah balut, salah pegang, siapa hendak disalahkan?
“Aku pun.”
“Bak sini, saya buat sendiri.”
Kata-kata El mematikan percakapan mereka. “Kalau awak berdua nak bertekek pasal
PBSM ke, apa ke, sampai lusa pun luka kat hati saya ni tak berhenti berdarah.”
Cis kek betul! Hendak menyindir pun,
agak-agaklah... Luka kat hati, konon. Macamlah ada orang percaya cakap dia.
“Que, tolonglah bos tu. Kesian dia.”
“Aku tak reti! Kau kesiankan dia,
kaulah tolong.”
“Sudah... Kan saya kata, saya buat
sendiri. Letak sini kotak tu. Tak payah nak gaduh-gaduh. Orang tak reti, takkan
nak paksa.”
Cis kek! Cakap gaya merajuk saja.
Jess meletakkan kotak tersebut di
atas meja sofa yang juga sedang berselerak. Isy! Memang macam kapal karamlah
bilik dia! Rimas tengok.
“Que...”
“Apa?!”
Mak aii! Garang juga Que ini,
rupa-rupanya.
Jess sudah memuncungkan mulutnya ke
arah El yang sedang terkial-kial membuka kotak first aid. Bila lelaki
itu cuba menggerakkan tangan kirinya yang luka, semakin banyak pula darah yang
keluar. Jess memandang dengan bulat mata sedang Que masih juga selamba. Ini,
lagi seorang. Tidak ada perasaan, ke? Paling tidak pun, kesian sikit
ke. Nasib baik El tenang saja. Tidak adalah dia menggelabah macam Jess. Nama
pun lelaki, kan? Kenalah tunjuk macho depan perempuan.
Agaknyalah. Kot kalau dia memang
jenis yang tenang selalu, tidak pastilah pula.
Geram dengan sikap Que yang seperti
tiada ‘hati’ itu, Jess senggol lengannya dengan siku. Pantas Que menoleh
bersama jelingan tajam. Jess besarkan mata dengan mulut terherot-herot bagi
isyarat supaya Que bantu El rawat lukanya. Bukan suruh rawat luka dihati lelaki
itu pun. Luka di tangan saja. Takkan itu pun jadi ‘pantang’. Apa hal Si Que ini,
entah?
Que garu pelipis sebentar.
Teragak-agak. Memang dia tidak reti hendak buat segala bagai itu, sebenarnya.
Tapi, bila lihat Jess tidak berkedip mata memandangnya, dia mengalah juga.
Perlahan-lahan dia melutut di depan
El. Mengambil kotak first aid dan dibuka penutupnya. El tunak
memerhatikan dirinya. Terpegun dengan tindakannya juga.
Que termenung seketika. Hendak ambil
apa dulu, ya? Kapas. Bersihkan darah di luka itu dulu. Bermakna, kena pegang tangan dialah, kan? Alamak! Ini masalah.
Kena pegang tangan dia. Karang dia kata sengaja ambil kesempatan pula. Aduh!
Tidak pasal-pasal dituduh suka mengambil kesempatan pula nanti. Gelaran yang
tidak mengujakan. Alah, nekad sajalah. Yang penting, niat untuk menolong itu sudah
Allah beri ganjaran pahala.
Sebelah lutut dinaikkan. Lantas, Que
tarik lengan El perlahan dan diletakkan di atas lututnya. Dia sedang duduk
seakan bertahyat dengan sebelah kaki dinaikkan. El pula sedang duduk di sofa.
Lebih elok begitu. Takkanlah hendak duduk menghadap antara satu sama lain.
Langsung tidak boleh buat kerja nanti.
Jess, jadi pemerhati bangsa-bangsa
bersatu yang tidak bergaji. Tanpa gaji pun tidak mengapa. Dia memang rela.
Suka! Tersenyum simpul dia memerhatikan Que dan El yang langsung tidak
berinteraksi. Senyap sahaja. Alahai! Kena badi bisu pula mereka berdua ini.
Que menghela nafas dalam. Kemudian,
ditekapkan kapas tadi perlahan-lahan. Bila rasa sudah penuh darah, dia tukar
kepada kapas yang baru. Dia lalukan itu hingga luka El benar-benar bersih.
Lepas itu? Apa? Cecair iodin kot.
Cuci luka. Yalah kot. Kalau salah, nasiblah. Paling teruk pun, luka makin
melarat, tidak adalah sampai bawa maut kot.
Cecair iodin diambil. Kapas juga.
Dituangkan cecair tersebut ke atas kapas hingga agak-agak basah. Kemudian...
Dia terdiam sekejap. Dipandang wajah Jess yang setia memerhati. Sudah macam
cikgu PBSM pula minah seorang ini. Siap anggukkan kepala, tanda apa yang Que
buat itu adalah betul. Kalau agak tidak betul, dia geleng saja.
Cis tat lemau kau, Jess! Main
angguk, geleng kepala saja kerjanya. Rasa hendak menggigil pun ada. Hampir
berpeluh Que ketika itu. Mana pernah seumur hidupnya ‘merawat’ luka lelaki.
Tidak pernah! Tawakal saja. Kalau tidak makin sihat, koma orang ini dia
kerjakan. Hmm...
Dengan berhati-hati dia melekapkan
kapas yang beriodin tadi ke atas luka El. Digosok perlahan bagi mencuci luka
tersebut. Takut benar dia jika tingkahnya yang kaku dan adakala terkasar akan
mengakibatkan kesakitan pada El. Kan sudah kata, dia tidak pernah buat semua
itu.
Dari mula buat kerja itu, dia
menunduk saja. Memang tidak berani untuk angkat muka pandang lelaki itu.
Pandang Jess, kerap kali. Kan Jess ‘cikgu’ PBSM dia. Karang kalau pandang El,
dari buat ala-ala lembah lembut, terus terkasar tanpa sedar. Haru! Lagipun, dia
memang tidak selesa kerana El seakan cuba mencuri pandang ke arah wajahnya. Dia
sedar itu. Kalau bukan dia perasan seorang dirilah, kan? Apa hallah mamat ini.
Orang hendak buat kerja pun tidak senang. Gangguan namanya itu! Nasib baik dia
pakai baseball cap. Terlindunglah sikit mukanya ketika dia sedang tekun
bekerja, merawat luka lelaki itu.
Selesai membersihkan luka tersebut,
Que meletakkan ubat pula sebelum ditampal dengan plaster. Tidak perlulah
hendak balut beria-ia sebab memang tidak teruk mana pun. Mungkin, lengannya
terluka kesan terkena serpihan kaca yang pecah tadi agaknya. Tidak dalam pun
lukanya. Tapi sebelum menampal plaster, Que letakkan sedikit kapas di
atas luka El supaya nanti senang untuknya membuka plastertersebut tanpa
menarik kulit yang terluka. Garitannya agak panjang. Kalau tidak diletakkan
kapas mahu menjerit ketika membuka plaster itu nanti. Hmm... Pandai
tidak dia? Bab itu, tidak payah belajar dengan cikgu PBSM. Guna logik akal pun
sudah cukup.
“Dah siap, bos. Maaf kalau tak sempurna mana. Saya
budak baru belajar.”
El dan Jess tahan gelak. Que ini
pun. Agak-agaklah. Tapi, memang dia tidak pandang langsung muka El. Gaya, macam
cakap dengan meja kopi itu saja. Tunduk sepanjang masa. Bila pulalah Que jadi
wanita solehah? Elok betul budak ini.
“Anyways thanks, Que. It's more
than perfect. I didn’t know that you can ‘ rawat luka’ as well.Tak
rasa sakit pun. Best!”
Waa... Dia puji ke, perli? Hendak
kembang ke, kuncup ini? No! No! No!
“And to you too, Jess.”
“Saya tak buat apa pun, bos. Tolong
tengok aje,” balas Jess.
“Hmm.. I like when you just‘tolong
tengok aje’. Thanks once again.”
Hah? Apa makna, itu? Lain macam saja
statement dia. Aduh! Tidak boleh hendak fikir secara rasional lagi.
Serabut macam bilik pejabat dia yang berselerak ini juga!
Que tidak beriak apa-apa. Diam. Jess
hanya membalas dengan senyuman. Terlebih senyum pun sebenarnya. Meleret-leret.
El pun sama. Cuma Que yang jadi kaku. Dia kot yang sudah terkena sumpah jadi
patung cendana gamaknya. Alahai! Tadi, niatnya masuk ke situ untuk mendapatkan
jawapan pada beberapa persoalan. Lain pula jadinya. Soalan entah ke mana, kena
jadi jururawat luka pula. Nasib baik El tidak banyak bunyi. Kalau tidak, sudah
pasti Que sumbat mulutnya dengan kapas.