BAB 19
AISY Iqram merenung wajah Que lama.
Bagai ada rasa tidak puas hati membayangi dirinya. Dari dia sampai tadi, tidak
putus-putus dia merenung Que. Juga, bertubi-tubi segala bagai mak nenek sampai
cucu cicit soalan dia tujukan pada Que. Masih juga jawapan yang dia terima
tidak menepati apa yang dia mahukan. Que seakan berselindung dari kenyataan.
Bersandar pada alasan yang tidak kukuh. Sering mengelak untuk menjawab
persoalan yang agak berbahaya pada perkiraannya. Sering mengalih tajuk
perbualan, jika dia tidak senang untuk memberikan jawapan.
“Ni kenapa sampai jadi macam ni,
Que? Cuba cerita kat Along. Berderau darah Along ni bila mak call tadi, beritahu
yang Que masuk hospital. Dah dua kali Que kena macam ni, tau. Que sakit apa
sebenarnya, ni?”
Que hela nafas dalam. Dia
membetulkan duduknya agar lebih selesa. Rumah sewanya jadi riuh bila Along,
mak, Rin dan Mai ada. Seronok! Tapi, yang tidak seronoknya, bila kena soal
siasat macam pesalah kelas paling bawah. Kena desak habis-habisan. Along ini
pun, soal satu-satu tidak boleh, ke? Boleh pula dia soal secara pukal! Semput
hendak jawab.
“Mana ada sakit, Long. Orang,
okeylah. Yang hari tu, orang demam. Yang kali ni, orang salah minum. Kan orang
tak minum kopi. Terminum. Sebab tu, orang jadi macam ni.” Suaranya datar.
Que sangat berhati-hati ketika
menjawab kerana bimbang jika dia tersalah cakap. Leher sendiri yang terbelit
nanti. Kira macam bunuh diri. Tidak sanggup! Kalau Along tahu perkara sebenar,
mahu dia soal siasat hingga ke akar umbi.
“Terminum? Macam mana boleh jadi
‘ter’minum, tu? Kan dah tahu Que tak minum kopi.” Ada nada curiga membayangi
suaranya.
Yalah, macam mana boleh tidak sengaja?
Bukan Que tidak tahu macam mana yang namanya air kopi. Selalunya, jauh sebatu
pun dia tahu aroma kopi itu bagai mana. Ini, yang sudah depan mata, boleh pula
dia main ‘tibai’ saja. Apa kes? Sudah kurang satu deria ke adiknya ini?
“Orang ingat air sarsilah, Long,”
jawabnya selamba. Tapi, nampak sangat macam jawapan ‘mahu selamat’. Jawapan
untuk cover line.
Aisy Iqram mencerun memandangnya.
Bagai tidak percaya akan alasan yang Que berikan. Seperti ada yang tidak kena
saja. Jawapan kurang bijak. Jawapan belasahan. Main jawab tanpa berfikir
dahulu. Apa sudah jadi dengan adiknya ini?
“I smell something fishy here.
Que, cakap betul-betul. Terminum ke, atau ada benda lain jadi tapi Que cuba
sembunyikan dari Along dan mak. Along kenal adik Along ni. Que sangat
berhati-hati. Memanglah kopi dengan sarsi tu sama warna. Hitam. Tapi, takkan
Que dah tak kenal dan tak dapat bezakan bau air kopi dengan air sarsi? Hidung
Que dah tak berfungsi, ke?”
Cis tat betul Along! Dalam baik,
sempat juga dia kenakan Que. Ada ke patut, hidung Que yang mancung itu hilang
fungsi. Melampau! Jadi OKU Que nanti. Jatuh sahamlah, Long! Tidak mahu!
“Ada, ke?! Along ni saja je nak
kenakan orang, kan? Orang dah haus sangat masa tu. Belasah ajelah apa yang ada
depan mata. Mana nak sangka kena air kopi pula,” balasnya sedikit marah.
Hormon tidak stabillah agaknya, kan?
Hendak marah tidak tentu pasal. Hmm... Sebenarnya marah kerana kena soal
macam-macam. Niat di hati memang mahu sembunyikan perkara sebenar. Dari awal
lagi sudah dipesan pada Mai dan Rin supaya jangan cakap apa-apa pasal dia masuk
hospital kali ini. Biar dia sendiri yang bercerita. Dengan mak pun dia tidak
cerita perkara sebenar.
Gila! Hendak kena bambu dengan mak
jika mak tahu. Sudahlah niat memang tidak elok, mahu kenakan orang. Lepas itu,
kena pada diri sendiri pula. Lagilah mak marah nanti. Niat memang jahat. Lepas
itu, Allah balikkan pada diri sendiri. Baru padan dengan muka dia, kan? Allah
bayar tunai namanya itu!
Buatlah selalu. Lama-lama, diri sendiri yang merana. Merana kerana bersulam
dendam dan hasad dengki. Nauzubillah...
“Ni, kenapa nak marah-marah pula
anak dara, ni? Tak baik cakap dengan Along macam tu, Que. Cakap elok-elok tak
boleh, ke? Biasa sangat nak membentak-bentak. Mak tak pernah ajar Que macam tu.
Tak elok,” tegur mak yang baru tiba dari dapur menatang sedulang air.
Diikuti oleh Rin dan Mai yang
membawa kuih-muih. Mereka menyusun air dan kuih di meja kopi. Bau kuih tepung
pelita yang baru di angkat dari kukusan dan kuih kole-kole kacang, segera
menusuk hidung. Ada juga kuih talam berlauk. Sedapnya! Hah! Siapa kata hidung
Que hilang fungsi? Elok saja... Terus lapar perut Que dibuatnya.
“Entah, anak dara mak ni! Garang
sangat! Along tanya elok-elok, dia nak sentap pula.”
“Along ni, mak! Tanya orang yang
bukan-bukan.”
“Apa pula? Betullah Along tanya tu.
Bukan-bukan apanya pula?”
“Along tu ambil berat pasal Que.
Bukannya salah pun kalau dia tanya. Kan dia abang. Tanggungjawab dia nak tahu
semua tu,” bela mak pada Along.
Makinlah Que tarik muka. Cantik
sangatlah begitu! Muncung hampir panjang sedepa. Sudah boleh buat gantung
penyangkut baju.
“Mak selalu lebihkan Along! Que ni,
bukan anak mak, ke?” bentak Que sambil memuncung.
Aisy Iqram menahan tawa. Lucu
melihat wajah adiknya yang cemberut. Macam budak tadika! Tapi, comel.
“Apa cakap macam tu? Cubit mulut tu
karang! Semua anak mak. Rin dengan Mai pun anak mak. Tak ada beza, semua mak
sayang. Tapi, Que ni manja sangat!”
“Mengada-ngada lebih,” tokok Along
pula.
“Siapa mengada-ngada?”
Pantas Que cubit lengan Aisy Iqram
yang sememangnya duduk di sebelahnya. Bertubi-tubi. Apa lagi, terjeritlah
abangnya, mengaduh kesakitan. Berlakulah acara serang-menyerang dan
tepis-menepis. Jadi gamat suasana. Belum campur lagi dengan Rin dan Mai yang
jadi tukang sorak dan tukang gelak. Makin riuh. Mak hanya geleng kepala sambil
tersenyum. Bahagia melihat kemesraan Que dan Along. Juga keakraban Rin, Mai dan
Que. Sejuk hatinya.
Walaupun Que tidak rapat dengan
papanya, hubungan Que dengan abang-abangnya sangat rapat. Juga dengan mama.
Terlalu rapat. Mereka memang jarang bertemu. Terlalu jarang kerana
masing-masing mempunyai hala tuju dan kehidupan sendiri. Tapi, keadaan itu
bukan satu halangan buat mereka. Hanya dengan Aisy Idham yang mesra dipanggil
Uda saja Que sangat jarang berjumpa beberapa tahun kebelakangan ini. Aisy Idham
sedang melanjutkan pelajarannya sambil bekerja di luar negara. Balik pun hanya
sesekali jika ada perkara yang penting sahaja. Yalah, dia ada tanggungjawab
pada tugasannya selain dari belajar.
Cuma, itulah. Dari dulu sampai
sekarang hubungan Que dengan papanya sering dilanda masalah. Sukar untuk
berbaik. Apa yang Que buat, semua mendapat tentangan dari papanya. Que pula,
apa yang dihalang, itulah juga yang dia mahu dan selalu buat. Agak keras kepala
juga sikapnya. Itu semakin meluaskan jurang hubungan mereka. Tapi, tidak
bermakna hubungan kekeluargaan itu hambar.
Pertalian ayah dan anak itu tetap
terjalin secara lahiriah. Mana ada seorang ayah yang tidak sayangkan anaknya.
Apatah lagi Que merupakan satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Permata
hatinya. Que merupakan kesayangan keluarga sebenarnya. Lantaran sikapnya yang
sedikit nakal, memercikkan api kemarahan sang ayah. Kemarahan yang berasas
namun agak keterlaluan untuk seorang anak perempuan yang sememangnya manja dan
bersikap sedikit keanak-anakan. Itu yang membuat dia rasa tersisih.
Sebagai seorang ayah, pastinya dia
mahukan yang terbaik buat anak-anak, terutamanya anak perempuan. Tapi, Que lain
sedikit. Que memang seorang perempuan tulin. Tiada yang dapat menafikan hakikat
itu. Cuma, minatnya cenderung ke arah minat anak lelaki. Dia suka semua yang
berkaitan dengan motor dan sukan bermotor. Sedikit kebebasan yang diberikan
untuk Que bergaul dengan budak motor tampak mempengaruhi seluruh hidupnya
hingga kini.
Sampai kerja pun dia pilih menjadi
sebagai penghantar surat. Itu yang membuatkan papanya menentang keras. Dia
bimbang akan keselamatan Que sebenarnya. Terlalu bimbang. Sudahlah anak
perempuan hanya seorang. Kalau sesuatu terjadi kepada Que, hanya Allah saja
yang tahu bagaimana perasaannya. Ya! Allah... Minta dijauhkan dari perkara yang
tidak elok.
“Long, minumlah. Makan kuih-kuih ni.
Mak tahu Along nak datang, jadi mak buat. Ni kuih-kuih yang Along suka, kan?”
Aisy Iqram tersenyum. Sukalah itu
sebab mak tidak pernah lupa apa kuih kegemaran dia. Que mencebik. Menyampah!
Meluat! Dia yang sakit, Along pula yang mendapat layanan berlebihan dari mak. Tidak aci!!!
“Mak ni!!! Que pun suka kuih tu!
Bukan Along sorang je. Rin dengan Mai pun suka. Mak ni, memanglah. Sikit-sikit,
Along. Kalau Along ada, kita semua mak dah tak pandang,” Que bersuara lagi
menyuarakan rasa tidak puas hatinya.
Dia mana pandai simpan. Kalau tidak
puas hati, memang dia lepaskan secara terang-terangan. Baru puas hatinya.
“Eleh, mak cakap macam tu pun nak
merajuk. Macam budak-budak!” usik Aisy Iqram pula.
Makinlah Que tarik muka. Dipalingkan
wajahnya ke arah lain.
“Alah, janganlah macam ni. Tak comel adik Along kalau muncung
panjang sedepa, tau,” pujuk Aisy Iqram pula bila melihat Que semakin merajuk.
Saja mahu suruh abangnya pujuk. Dia memang manja.
“Dahlah tu, Long. Makin kamu layan,
makin menjadi-jadi rajuk adik kamu tu. Biar dia nak merajuk ke, nak apa ke,
kita makan dulu. Pandailah dia nanti kalau rasa lapar. Jangan dilayan sangat.
Karang kita yang lapar.”
“Mak ni!!!”
Que buat muka sambil memeluk tubuh.
Comel sangat! Yang lain sudah mengekek-ngekek ketawakan dia.
“Long...” panggil Que berlagu-lagu.
Sudah macam lagu keroncong yang ada patah lenggoknya. Mendayu-dayu.
Aisy Iqram sudah pandang semacam.
Mesti adalah yang Que mahu jika begitu tingkahnya. Kalau sudah nada suara
bertukar jadi ala-ala gedik manja macam itu, mesti ada sesuatuyang dia hajati.
“Apa?” tanya Along endah tak endah.
Sengaja mahu lihat reaksi adiknya yang memang manja tahap tidak ingat itu.
“Suap, Long.”
Que sudah singai sambil meleset
dekat abangnya. Kan sudah kata. Manja + mengada-ngada = Que. Tapi, dengan dia
dan Aisy Idham saja Que begitu. Dengan orang lain, tidak. Itu dia pasti.
“Suap sendirilah.”
Que tarik muka lagi. Duduknya jadi
tegak sambil memeluk tubuh. Tidak macam sotong tanpa bertulang terjelepok
menempel di sebelah abangnya lagi.
“Alah, Along ni tak sayang kat Que,
ke? Kan Que sakit ni,” rengeknya lagi.
“Ada tangan, kan? Tangan elok, tak
sakit, kan? Suap sendirilah.”
“Menyampahlah kat Along ni! Kan best
kalau Uda ada kat sini.”
“Alalalala... Merajuk lagi adik
Along ni. Janganlah sebut-sebut nama Uda. Tersedak karang dia kat sana. Kesian
dia.”
“Dah Uda aje yang sayang Que. Uda
tu, kalau Que minta buat apa, dia buat aje. Along tak. Banyak sangat alasannya.
Memang Along tak sayangkan Que!”
“Siapa kata? Along sayang adik Along
ni. Meh sini. Kesian adik Along. Tak sihat, ya? Meh Along suap. Kesian dia,
lapar karang.”
Que sudah tersengih semula. Kembang
hatinya bila dilayan begitu oleh abang sulungnya. Namun, baru saja Que mahu
berpaling wajah dan membuka mulut, setepek kuih tepung pelita terlebih dahulu
melekap di pipinya. Di kedua belah pipinya. Nyata dengan sengaja di arahkan ke
situ. Maka terdengarlah gelak ketawa, mentertawakan dirinya yang kelihatan
comot. Suara gelak Along yang paling ketara. Along sedang mentertawakan dirinya
bagai hendak rak! Geramnya!!! Alahai! Comelnya dia!
“Along!!!” jerit Que geram.
**********
“Que marah Along lagi, ke?”
Que pandang wajah Along yang duduk
bersebelahan dengannya di sofa ruang tamu rumah sewanya. Agak lama. Apa hal
pula Along tanya begini? Tanya yang bukan-bukan pula. Demam, ke?
“Mana ada. Orang tak marah Along
pun.”
“Tadi tu, merajuk sampai tak nak
makan, kenapa? Bukan sebab marah Along, ke?”
“Orang tak nak makan sebab Along tak
nak suap. Mana ada merajuk ke, marah ke, apa. Merepeklah Along ni. Macamlah
Along tak kenal Que. Kan Que memang macam tu. Suka manja-manja dengan
abang-abang dia.”
“Okey... Kalau macam tu, apa kata
Que ikut Along balik rumah mama. Sementara Que belum sihat sangat ni, Que duduk
sana. Senang Along nak tengok keadaan Que. Mama pun mesti suka kalau Que ada
kat sana. Dia nak datang sini tapi, dia pun tak sihat sangat. Que tahu tu,
kan?”
Que mengangguk. Dia tahu mama memang
tidak sihat kebelakangan ini. Tapi, seketika selepas itu wajah Que berubah
tiba-tiba. Keruh.
“Tak naklah Long.”
“Kenapa pula? Mama mesti bising
kalau tahu Que tak nak balik sana. Mak, esok dah nak balik kampung. Rin dengan
Mai, nak kerja. Siapa nak jaga Que?”
“Que dah okeylah, Long. Boleh jaga
diri sendiri.”
“Que, please... Ikut Along
balik, ya? Itu kan rumah Que juga. Rumah kita. Nanti mak pula risau kalau
tinggal Que sendiri kat rumah dalam keadaan macam ni. Balik rumah kita, ya?”
tanpa jemu Aisy Iqram memujuk. Dia tahu, bukan mudah untuk mengajak Que balik
ke rumah itu. Amat sukar. Tapi, dia tetap cuba. Tidak pernah kenal erti putus
asa.
“Mai dengan Rin, kan ada. Apa Along
nak risau sangat?”
“Siang kan, mereka berdua tu nak
kerja. Takkan nak jaga Que sepanjang masa. Kesianlah jugak kat mereka, Que.”
“Along... Bukan Along tak tahu macam
mana hubungan Que dengan papa, kan? Papa bukan suka Que ada kat rumah tu. Jadi,
untuk apa Que ke sana? Along tak perlu risaukan Que, okey. Cakap kat mama, Que
okey dah. Nanti kalau senang-senang, Que datang jumpa mama.”
“Que, dah berapa kali Que janji nak
datang jumpa mama? Tapi, sampai sekarang ni sekali pun tak pernah Que tunaikan.
Que tak kesian ke kat mama? Mama tu rindukan Que sangat-sangat, tau. Dia harap
sangat Que balik ke rumah tu. Hal papa tu serah kat Along. Tahulah macam mana
Along nak buat nanti. Takkan papa nak marah tengok anak dia datang dalam
keadaan yang tak berapa sihat lagi ni. Papa tentu faham, Que. Dia
sayangkan Que.”
“Along jangan buat Que makin rasa
bersalah, boleh tak? Que tahu, Que dah janji dengan mama. Que akan jumpa mama
nanti. Cuma, sekarang ni Que belum bersedia.”
“Nanti bila, Que? Bila?”
“Bila tiba masanya, Long.”
“Masa yang macam mana? Masa, bila
mama dah tak ada, macam tu? Atau Que nak tunggu papa yang pergi dulu, baru Que
nak balik? Masa yang Que akan menyesal, bila Que sedar diri Que dah terlambat.
Masa yang macam itu, ke? Kalau papa berkeras, takkan Que pun nak jadi macam
papa. Kesianlah kat mama, Que. Mama terlalu rindukan Que.”
Air matanya bergenangan di tubir
mata dan seketika kemudian ia mengalir perlahan-lahan.Que menangis mendengar kata-kata abangnya itu. Ada benarnya
cakap Aisy Iqram. Sampai bila dia harus begini? Sering lari dari kenyataan.
Sering cuba mengelak dari bertemu papanya. Sampai bila? Natijahnya, mama yang
jadi mangsa. Menjadi perindu yang setia. Selalu mengharap agar Que kembali dan
menghapus segera rindu dendamnya. Kesian mama.
‘Mama, Que pun rindukan mama. Rindu
mahu peluk mama, cium pipi mama. Rindu sangat-sangat!’ rintih hatinya.
Semakin deras air matanya jatuh
mengalir menuruni pipi. Aisy Iqram juga kelihatan sayu. Ditarik tubuh Que
hampir dengannya. Dipeluk bahu Que dan diusap mesra. Sayangnya pada Que sangat
dalam. Que satu-satunya adik perempuan yang dia ada. Que adalah segalanya buat
dia dan keluarga. Sakit Que, sakitlah dia. Bahagia Que, bererti bahagia buat
mereka semua.
Kalaulah Aisy Iqhsan ada lagi di
dunia ini, pasti Que tidak keseorangan melayari bahtera kehidupan. Pasti Que
bukan seperti anak terbuang. Tinggal di tempat yang sama tapi duduk berasingan
dari keluarga. Aisy Iqhsan sangat rapat dengan Que. Aisy Iqhsan pelindung bagi
Que.
Di saat Que dimarahi papa, Aisy
Iqhsan dengan lantang datang membelanya. Di saat Que dijentik oleh papa akibat
kenakalannya, Aisy Iqhsan sanggup menjadi benteng agar yang terkena sakitnya
dia, tapi bukan Que. Aisy Iqhsan sanggup lakukan apa saja, asalkan Que tidak
diusik. Hatta seekor nyamuk pun tidak akan dibenarkan hinggap di tubuh Que.
Begitulah sayangnya Aisy Iqhsan pada
Que. Bukan bererti dia dan Aisy Idham tidak sayangkan Que sebagaimana Aisy
Iqhsan. Sayang mereka pada Que tetap sama macam Aisy Iqhsan sayangkan Que.
Cuma, cara mereka saja yang berbeza. Ciritera mereka berlainan walaupun berasal
dari satu kelompok keluarga. Itulah kehidupan namanya.