BAB 23
Perkahwinan
didasarkan rasa cinta dan kasih sayang.
Tanpa cinta dan kasih sayang
hambarlah sebuah perkahwinan itu. Cintanya pada Amir Hudzaifa tidak pernah
berbelah bahagi, sejak kali pertama bertemu.
Sejak ijab dan kabul diangkat cinta dan kasih sayang itu tersemat kemas
di hati. Hari ini cinta dan kasih sayang
itu telah diuji masih kembangkah cinta itu sekembang bunga di taman ketika
menerima sirami air dan matahari, dia sendiri tidak pasti. Ummi Khadeeja meraup mukanya sambil mengeluh. Keluhan lara seorang isteri yang telah
dimadukan. Sukar benar untuk menerima
kenyataan kini dia diduakan. Seminggu
suaminya tiada di sisi, bergelumang dengan isteri muda tanpa gangguan. Ah! Lelaki mudah sunggu kau mengucapkan
cinta, semudah itu juga kau memungkirinya, desis hati kecilnya.
Anak-anak pula
berjauh hati, rumah sepi bagaikan tanpa
penghuni. Sepi dan kosong. Tiada lagi
suara gurau senda anak-anak mengusik dan gelak ketawa. Kenapa sukar benar anak-anak untuk menerima
kehadiran ahli keluarga yang tidak pernah mereka pinta dan duga? Bukan mereka yang tersiksa tapi dirinya. Bukan mereka yang sengsara tetapi dirinya. Mereka tidak perlu buat apa-apa. Sekadar menerima ibu muda yang cantik jelita. Ayah mereka sudah bahagia kenapa mereka ingin
menambah derita di hatinya? Ummi
Khadeeja mengeluh lagi. Orang kata
seseorang yang suka mengeluh adalah orang yang tidak tahu bersyukur. Perlukah dia bersyukur lantaran
dimadukan? Ummi Khadeeja tersenyum sinis
pada dirinya sendiri. Jangan disalahkan
takdir kerana apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Cuma hikmah itu tidak datang segera dan tidak
nampak ketika dan waktu itu. Bersabar
adalah perkara yang paling baik dan manis dalam mengharungi segala dugaan yang
datang.
Esok gilirannya
telah tiba, setelah seminggu ditinggalkan sepi sendiri. Inilah kehidupan berpoligami kadang-kadang
merasa sendiri kerana suami mempunyai tanggungjawab di tempat lain pula. Giliran selang sehari, enam belas tahun kamar tidurnya tidak pernah ditinggalkan oleh
suami tercinta kini semuanya sudah berubah.
Dia terpaksa berkongsi segala-galanya.
Masa dan waktu suaminya. Kasih
dan sayang suaminya serta perhatian suaminya.
Segala-galanya akan dibahagi sama rata, tiada kurang dan tiada
lebih. Semoga suaminya boleh berlaku
adil, jangan pula sudah berbini dua ingin menambah ketiga dan keempat, jika itu
terjadi mampukah dia menghadapinya lagi.
Ummi Khadeeja mengeluh lagi.
“Aiman hendak ke
mana tu?” Ummi Khadeeja memandang ke arah
anak-anaknya yang baru keluar dari bilik mereka. Bagaikan berpakat ketiga-tiganya keluar
serentak. Wajah cemberut dan tiada
senyuman manis di bibir mereka.
“Nak ke asrama
lelaki,” jawab Aiman Haikal sebagai anak sulong dan ketua kepada adik-adiknya.
“Marilah berbual
dengan mama. Mama sunyilah.” Ummi Khadeeja mengamit Aiman Haikal agar
mendekatinya. Ketiga-tiga mereka saling
berpandangan.
“Aiman dan janji
dengan abang Zali nak mentelaah kitab Hadis hari ini. Nanti terlewat pula,” jawab Aiman Haikal bagaikan ingin menjauhkan
diri. Jangan kalian marah anak-anakku,
mamamu ini tidak berdaya menolak permintaan ayahmu untuk berkahwin lagi, jangan
dihukum mamamu ini lantaran kegelojohan ayahmu untuk berbini lagi, detik hati
kecil Ummi Khadeeja.
“Janganlah macam
tu! Sesekali pulang, duduklah bersama mama. Banyak perkara yang perlu kita
bualkan.” Ummi Khadeeja masih memujuk.
Aiman Haikal mengeluh. Dia masih lagi
menunduk memandang lantai. Begitu juga
anak tengah dan bongsunya.
Seolah-olah mereka tidak mahu
bertembung mata dengannya.
“Mama, kenapa mama
izinkan ayah kahwin lagi?” tanya Airil Hakimi anak keduanya. Ummi Khadeeja mengamit Airil Hakimi agar
mendekatinya. Anak itu menurut dan duduk
di sebelah Ummi Khadeeja.
“Dalam Islam,
seorang isteri harus taat akan segala suruhan dan tunjuk ajar suami selagi
suami tidak menyuruh isterinya melakukan kemungkaran. Sebagai seorang isteri, mama hanya mengikut
kemahuan ayah dan menuruti segala kehendaknya.
Salahkah mama mengizinkan ayah berkahwin lagi? Salahkah mama memenuhi permintaan seorang
suami?” tanya Ummi Khadeeja sedangkan
dia tahu Airil Hakimi tidak akan mampu menjawabnya kerana mereka masih muda dan
mentah untuk memahami perjalanan hidup sebuah rumah tangga.
“Tapi kenapa ayah
kahwin lagi? Apa kurangnya mama dan apa
lebihnya perempuan itu?” sampuk Aidil Hakim.
Bila yang kecil berbicara bagaikan tidak diduga ayat yang meluncur dari
mulutnya. Ummi Khadeeja tersenyum sinis. Kenapa ayah mereka berkahwin lagi? Apa
kurangnya dirinya dan apa lebihnya perempuan itu? Dia mengulangi kata-kata anak
bongsunya. di dalam hati. Ya! Kenapa
suaminya berkahwin lagi? Kerana inginkan seseorang menjaga maahad, cukup
kuatkan alasan itu? Apa kurang dirinya?
Dia sudah berumur dan sudah tidak mampu memberikan zuriat lagi. Rahimnya menjadi lemah setelah melahirkan
Aidil Hakim. Apa lebihnya perempuan
itu? Perempuan itu masih muda dan boleh
memberi ramai anak untuk suaminya.
“Aidil, setiap
lelaki yang ingin berpoligami tidak semestinya memberikan sebab dan kenapa
mereka berkahwin lagi. Alasan dicipta
hanya untuk menguatkan keinginan mereka.
Aidil juga lelaki suatu hari nanti anak mama ni akan faham juga,” lelaki memberi sebab kenapa mereka berkahwin
lagi adalah hanya untuk menyedapkan hati seorang isteri yang akan
dimadukan. Alasan dibuat, sebab dicari
agar keinginan dipenuhi tanpa perlu rasa bersalah pada diri sendiri lantaran
menduakan isteri yang telah bertahun-tahun dikahwini.
“Ayah kejam!” kata Airil Hakimi. Ummi Khadeeja memeluk bahuAiril Hakimi kejap.
“Ayah kejam?
Kenapa Airil kata macam tu? Ayah bukan tinggalkan mama, ayah masih ada bersama
mama, cuma perlu mengikut giliran kerana ayah sudah ada isteri lain, lagi pun
lelakikan boleh berkahwin lebih dari satu.”
“Mama tak
kecewa? Mama tak sakit hati ke?” Aidil Hakim pula bertanya. Ummi Khadeeja tersenyum. Kecewa?
Tentulah kecewa, sakit hati? sudah semestinya. Apakah rasa sakit hati dan kecewa itu mampukah menghalang
keinginan suaminya berkahwin lagi?
Biarlah dia sendiri yang menyimpan kedua-dua perasaan itu kukuh di sanubari.
“Taklah
sayang. Bagi mama apa yang penting ayah
berlaku adil pada kami berdua dan tidak mensia-siakan anak-anak mama ini. Mama harap ayah tidak akan berubah. Ayah
tetap seperti dulu menyayangi kita sama seperti dulu.” Dia berbohong. Berbohong untuk kebaikan. Berbohong untuk menyembunyikan perasaan sakit
hati dan kecewanya itu. Mata Ummi
Khadeeja menjunam di wajah Aiman Haikal yang masih lagi berdiri macam patung di
hadapannya. Hanya jarak beberapa tapak sahaja.
“Aiman, tidak
penat berdiri ke?” usik Ummi Khadeeja.
Aiman Haikal mencebik.
“Berdosa buat muka
macam tu pada mama, tau.” Ummi Khadeeja
menarik perhatian Aiman Haikal.
Aiman Haikal
menerpa memeluk Ummi Khadeeja dan menangis.
Ya, ALLAH, desis hati kecil Ummi Khadeeja. Kenapa kau masih berduka anakku? Bukan kau
diduakan tapi mamamu. Ummi Khadeeja
memeluk erat tubuh sasa Aiman Haikal yang sebentar lagi akan membesar menjadi
anak remaja yang kacak dan bergaya persis ayahnya, Amir Hudzaifa.
“Maafkan Aiman
kerana menyusahkan mama.” kata Aiman Haikal dalam sendunya. Ummi Khadeeja menarik dagu Aiman Haikal agar
memandangnya.
“Anak mama tidak
pernah menyusahkan mama,” mata Ummi
Khadeeja mula berkaca. Sebak dadanya
melihat air mata anak sulongnya itu.
Aiman Haikal susah untuk menangis jika tidak kerana perkara yang
benar-benar membuatkan dia bersedih
“Maafkan kami mama,”
kata Airil Hakimi dan Aidil Hakim serentak.
Ummi Khadeeja melemparkan senyuman.
Air mata yang baru sahaja ingin mengalir cepat-cepat diseka dengan
hujung jari.
“Mama cuma minta
satu sahaja dari anak-anak mama.
Terimalah kehadiran ibu syifa’ Umaira dalam hidup kalian. Berbaiklah dengan ayah. Tentu ayah kecewa dengan sikap kalian. Ayah sudah banyak beban di bahunya jangan
ditambah bebanan itu dengan sikap dingin
kalian pada ayah. Mama tidak mahu
keadaan rumah tangga kita yang suram dan tidak harmoni seperti ini. Mama ingin kita seperti dulu, riang dan
ceria. Bolehkan kalian buat begitu untuk
mama dan ayah?” Ummi Khadeeja memandang
mereka bertiga seorang demi seorang.
“Insya-ALLAH,
ma. Cuma berilah kami sedikit masa untuk
menyesuaikan diri.” Aiman Haikal
menatap wajah polos mamanya. Senyuman
mamanya tidak seceria dulu, seolah-olah ada perasaan luka yang tersembunyi di sanubari. Mama, detik hati kecil Aiman Haikal. Mereka saling berpandangan dan saling
tersenyum. Aiman Haikal berjanji akan
membahagiakan mama dengan belajar bersungguh-sungguh dan sehingga berjaya
menjadi seperti ayah, itulah cita-cita mamakan? desis hati kecil Aiman Haikal
lagi.
“Assalamualaikum,”
suara orang memberi salam membuatkan mereka serentak memandang ke arah pintu. Salam dijawab serentak. Terpacul di muka pintu kelibat Zaiton. Dia melangkah masuk sambil tersenyum.
“Semalam kata nak
ke bandar beli barang keperluan. Lama
tau pak cik aji dan mak Ton tunggu di
bawah,” leter Zaiton. Ummi Khadeeja
mengerutkan dahi. Anak-anaknya tidak
beritahu pun mereka ada janji dengan Zaiton suami isteri sedangkan waktu mereka
nak keluar tadi mereka kata hendak ke asrama lelaki. Ummi Khadeeja menggelengkan kepala. Mudah sangat mereka terlupa.
“Ya, ALLAH… Aiman lupalah
Mak Ton!” Aiman Haikal menepuk dahinya
sendiri lantaran kelupaannya terhadap janjinya dengan Pak Haji Salleh untuk ke
bandar Kota Bahru.
“Mak Ton dah agak,
mesti kalian lupa… pergi turun cepat.
Pak cik aji dah tunggu di bawah
tu,” perintah Zaiton pada anak-anak
sahabatnya itu. Mereka tersengih. Aiman Haikal menuju ke bilik air untuk
membasuh mukanya yang terdapat sisa air mata.
Zaiton memandang wajah Ummi Khadeeja setelah anak-anak itu berlalu
keluar.
“Macam mana? Dah
selesai?” soal Zaiton. Ummi Khadeeja
tersenyum.
“Alhamdulillah,” jawab Ummi Khadeeja sepatah. Zaiton tersenyum dan menepuk bahu sahabatnya
itu.
“Setiap yang
berlaku pasti ada jalan keluar yang terbaik, Ija,”
“Yalah Ton. Kau dah hampir seminggu di sini. Bila nak balik Kedah?” Ummi Khadeeja menatap wajah Zaiton.
“Ija tak suka ke Ton berlama di sini? Macam nak cepat-cepat kami balik je?” Rajuk Zaiton.
Ummi Khadeeja ketawa kecil. Dia
memeluk bahu Zaiton.
“Taklah. Ija lagi suka, kalau boleh nak kalian berdua tinggal terus di maahad ni. Saja tanya, bukan menghalau tau. Malah berterima kasih kerana masih setia di
sisi Ija dikala suka dan duka.” Ummi
Khadeeja mengenggam erat jari jemari Zaiton mereka saling tersenyum.
“Mungkin tunggu
sampai budak-budak balik asrama kot. Sekalian hantar mereka, bolehlah kami balik
terus,” jawab Zaiton. Ummi Khadeeja
mengangguk perlahan. Mereka suami isteri
telah banyak membantu dia sekeluarga.
Sahabat yang setia dan sejati sukar dicari. Sudah ada di hadapan mata hendaklah pandai
menghargai mereka.
“Ija tak nak ikut
ke? Boleh kita bawa budak-budak makan
angin. Jomlah, takkan Ustaz Amir tidak
izinkan. Dia sibuk tu melayan isteri
muda dia,” ajak Zaiton. Ummi Khadeeja
tersenyum.
“Kena minta kebenaran Abang Amir dulu! tak baikkan seorang isteri keluar tanpa izin
suami?,” kata Ummi Khadeeja.
Pandangannya dilepaskan keluar
pintu. Bagaimana dia hendak bertanya
sedangkan dia tidak boleh menelefon atau menganggu giliran madunya itu. Ummi Khadeeja mengeluh.
“Nak pergi ke
tidak?” Zaiton mendengus. Ummi Khadeeja serba-salah.
“Tapi, Abang Amir
tak tahu. Ija tak selesa keluar tanpa
kebenarannya.” Ummi Khadeeja
serba-salah. Zaiton menarik tangan Ummi
Khadeeja.
“Pergi siaplah,
Ustaz Amir dan beri kebenaran. Suami Ton
dah tanya pada ustaz sewaktu subuh pagi tadi.” Zaiton tersenyum manis. Ummi Khadeeja memeluk sahabatnya itu erat.
“Sayang
Eton.” Ummi Khadeeja berlalu masuk ke
dalam bilik dan bersiap sekadarnya.
Zaiton menunggu di anjung rumah.
Dia memandang ke arah rumah Syifa’ Umaira yang tingkapnya asyik tertutup
walaupun hari sudah siang. Tidak bangun
lagikah? Ustaz Amir Hudzaifa pula setahunya sudah ke kelas pengajiannya
sejak selepas subuh lagi. Zaiton
mengeluh.
“Apa dikeluhkan tu
Ton?” Ummi Khadeeja menampar bahu
Zaiton. Zaiton menoleh dan tersenyum.
“Tu…”sambil
memuncungkan bibirnya ke arah rumah Syifa’ Umaira. Ummi Khadeeja memandang ke arah rumah yang
sama.
“Kenapa?” tanya Ummi Khadeeja. Dahinya berkerut. Zaiton memandang jam di tangan.
“Dah pukul 10.00
pagi, tingkap pun belum buka. Tidur lagi
ke?” Zaiton berjalan keluar sambil
memakai sandalnya. Ummi Khadeeja
menggelengkan kepala. Dia mengunci pintu
rumah sebelum memakai kasutnya.
“Biarkanlah dia. Ija tak
nak campur, sebab bukan urusan
Ija,” jawab Ummi Khadeeja. Zaiton mengangguk perlahan. Benar, bukan
urusan sahabatnya itu. Mereka melangkah
menuju ke tempat letak kereta yang
berada berhampiran surau maahad.
Anak-anak sudah melambai-lambai menyuruh mereka cepat. Ummi Khadeeja melemparkan senyuman dan duduk
di belakang bersama anak-anaknya. Haji
Salleh memandu keretanya keluar dari
perkarangan maahad.
Ummi Khadeeja
memandang ke arah dewan tempat suaminya mengajar di waktu itu. Terpandang kelibat lelaki yang dirinduinya
itu. Ah! Dia rindukan belaian manja
suaminya. Rindukan gurau senda. Rindukan
usikan dan gelak ketawa. Ummi Khadeeja mengeluh sendiri. Anak-anak yang duduk di sebelahnya asyik
bergurau sesama mereka. Akhirnya senyuman terukir di bibirnya melihat keletah
anak-anaknya.