BAB 5
Usai makan malam,
Ummi Khadeeja menghidangkan pula Kek Coklat Moist hasil air tangannya. Waktu makan malam tadi emak, ayah dan mentuanya makan nasi
bertambah-tambah. Sengaja dia masak
makanan kegemaran mereka. Ayahnya, Haji
Naim begitu suka makan Kari Kepala Ikan Merah Emaknya pula suka Sambal Tumis Udang. Ayah mentuanya amat suka makan Peria Sumbat isi
ikan yang dimasak kukus Ibu mentuanya
pula suka Sotong Masak Kunyit. Semua
lauk kegemaran kedua-dua orang tuanya disediakan. Sudah lama mereka tidak menikmati
masakannya. Sudah terlanjur mereka di
sini apalah salah sesekali masak lauk istimewa dan yang menjadi kegemaran orang
tua dan mentuanya.
Ummi
Khadeejah memotong Kek Coklat Moist dan meletakkannya ke dalam pinggan. Dihidangkan bersama teh hijau, air minuman kesukaan suaminya. Dia menghidangkannya di ruang tamu di mana
mereka semua berkumpul. Mentua dan orang
tuanya sedang rancak berbual bersama suaminya.
Sudah berbulan-bulan tidak bertemu tentu banyak perkara yang ingin mereka sembangkan. Ummi Khadeejah sengaja menjemput kedua orang tua
dan
mentuanya datang ke rumah. Dia ingin
menyelesaikan masalah yang dia dan suaminya sedang hadapi. Biarlah masalah ini selesai segera. Dia tidak mahu lagi menangguh keputusan yang
telah dibuat. Sudah berbulan-bulan perkara itu difikirkannya. Tidak sanggup dia melihat wajah kusut suaminya. Semakin cepat perkara itu selesai, semakin
tenang hatinya nanti, Insya-ALLAH.
Ummi Khadeeja duduk di sebelah emaknya, Hajjah
Rahimah. Amir Hudzaifa mencuri pandang
ke arahnya. Dia buat tidak nampak. Ummi Khadeeja melemparkan senyuman kepada
emaknya apabila sahaja bahunya disentuh.
Dadanya berdebar-debar, dia tidak dapat bayangkan reaksi keluarganya
nanti dengan keputusan yang telah diambilnya.
Semoga mereka faham dan reda dengan keputusannya. Ummi Khadeeja mengangkat kening memberi
isyarat agar suaminya memulakan bicara.
Amir Hudzaifa mengangguk lemah.
Selemah hatinya sekarang melihat keadaan Ummi Khadeeja yang tidak
bermaya bagaikan orang sakit. Mungkin
tidak sakit fizikal tetapi sedang merana dalam hati. Amir Hudzaifa mengeluh.
“Maafkan
kami kerana menyusahkan emak dan ayah sampai terpaksa
datang ke mari.” Amir Hudzaifa
mula berbicara.
“Tak
apalah. Tak jadi masalah pun. Boleh juga kami berjalan-jalan. Lagi pun dah lama tak datang Kelantan. Kali terakhir kalau tak salah mak, rasa-rasanya tahun lepas,”
kata Hajjah Rahimah sambil
tersenyum. Ummi Khadeeja yang duduk di sebelahnya dipeluk mesra.
“Iyalah, kami pun
dah lama tak berjumpa. Kali terakhir waktu kenduri Rafeah kan?” Sampuk Hajjah
Faridah. Ummi Khadeeja tersenyum. Memang lama dia tidak bertemu mentua dan
orang tuanya. Kesibukan menguruskan maahad
dan mengikut suaminya keluar daerah membataskan waktu untuk di menziarahi
mereka. Rafeah adalah adik bongsu suaminya, merangkap adik
iparnya. Ummi Khadeeja memandang kedua
orang tuanya yang kelihatan gembira dapat bertemu dengan besan dan
menantunya. Amir Hudzaifa menantu
kebanggaan kedua orang tuanya. Dada Ummi
Khadeeja sebak tiba-tiba. Dia menarik
nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan.
Semoga dia mempunyai kekuatan untuk menyatakan keputusannya.
“Asyik berbual
terlupa tujuan asal. Apa halnya yang
beriya-iya mengajak kami ke sini? Macam ada perkara besar je?” Hajjah Faridah memandang anak menantunya. Wajah Ummi Khadeeja muram dan pucat. Mengandung pula ke? Ke situ pula fikiran Hajjah Faridah. Kalau ada bersyukurlah sangat-sangat. Rezeki dari ALLAH SWT jangan ditolak. Amir Hudzaifa pula muram macam orang ada
masalah, berkerut dahi Hajjah Faridah memandang Amir Hudzaifa, anak sulongnya
dari empat beradik.
“Tak ada apalah
mak. Dah lama tak jumpa emak dan ayah
itu sebab kami panggil datang ziarah kami ni.” Amir Hudzaifah tersenyum. Ummi Khadeeja turut tersenyum. Dia tahu senyumannya itu dibuat-buat bagi menyedapkan hatinya sendiri dan orang di
sekelilingnya. Dia tidak mahu orang
tuanya tahu dia dalam kesedihan.
“Mak, ayah… sebenarnya ada perkara yang ingin Ija dan
abang Amir beritahu. Ija harap emak,
ayah, dapat menerima dengan hati yang terbuka. Berlapang dada. Apa sahaja yang Ija cakap datangnya dari hati
Ija sendiri. Bukan paksaan dari sesiapa,”
kata Ummi Khadeeja memulakan
kata-kata. Dia cuba menahan
perasaannya. Dia tidak mahu menangis
lagi. Sudah cukuplah air mata ini mengalir mengenangkan apa yang terjadi antara
dia dan Amir Hudzaifa. Suami yang amat dicintai dan amat disayanginya itu.
“Lain macam je
bunyi cakap kau, Ija? Ada masalah ke kau
dengan Amir?” Haji Ishak mula tidak
sedap hati. Kata-kata menantunya
bagaikan ada perkara besar yang ingin mereka sampaikan kepadanya dan kepada
besannya. Budak-budak ini ada masalah
ke? Fikir Haji Ishak.
“Kau
orang berdua ni kenapa? Risau emak dan
ayah dibuatnya. Macam nak cakap sesuatu
yang besar?” Hajjah Rahmah pula
menyampuk. Keadaan mula riuh-rendah
dengan suara emak dan ayahnya saling bercakap sesama mereka. Amir Hudzaifa memandang wajah Ummi Khadeeja,
isterinya menundukkan muka tidak mahu bertentang mata dengannya. Amir Hudzaifa mengeluh. Abang rindukan senyumanmu sayang, bisik hati
kecil Amir Hudzaifa . Namun senyuman
yang diterima daripada Ummi Khadeeja
adalah senyuman tanpa nyawa. Muram dan suram.
“Eee! Main teka-teki pula dengan kami? Cakap je lah apa yang kau orang nak cakapkan.” Haji Naim memandang wajah anak dan menantunya
silih berganti. Seorang macam mati bini,
yang seorang lagi macam mati laki. Kasar bunyinya. Tetapi itulah hakikat. Lemah bagaikan tidak bermaya. Haji Naim mengeluh.
“Saya nak menikah
lagi, mak… ayah!” Kata Amir Hudzaifa
berterus-terang. Ummi Khadeeja tetap
menunduk. Dia tidak mahu memandang wajah suaminya ketika melafazkan ayat
tersebut. ‘saya ingin menikah lagi’ bagaikan menarik duri dalam daging
begitulah sakitnya hatinya ketika itu. Tetapi
apakan daya. Dia tidak mampu berbuat
apa-apa.
“Apa? Nikah
lagi? Untuk apa ? Dengan siapa?
Ya ALLAH, Amir! Kenapa semua ini terjadi?” Soalan yang
bertubi-tubi keluar dari mulut Haji Ishak.
Tersandar dia di sofa mendengar kata-kata anaknya itu. Hajjah Rahmah mula resah. Haji Naim terdiam tidak terkata apa-apa. Hajjah Faridah menggelengkan kepala. Mereka tidak percaya. Mereka terkejut mendengarnya. Apakah rumah tangga anak-menantunya tidak
bahagia? Apakah Ummi Khadeeja ada berbuat
salah sehingga terpaksa dimadukan?
“Mak dan ayah janganlah
marah pada abang Amir. Ija yang setuju abang
bernikah lagi.” Ummi Khadeeja memandang wajah mentua dan orang tuanya. Dia mengharapkan mereka memahami
situasinya. Dia berharap mereka akan
menjadi orang yang mampu menyejukkan hatinya yang sedang sakit ini. Gelisah.
Resah. Risau. Bimbang
silih berganti.
“Kau dah gila ya,
Ija? Kau ingat senang hidup berkongsi
suami dengan perempuan lain?” Marah
Hajjah Faridah. Dia seperti tidak
percaya menantunya mengizinkan anaknya berkahwin lagi. Apa kekurangan menantunya itu sehingga
tergamak anaknya ingin bernikah lagi.
Sukar untuk dia mempercayai apa yang sedang berlaku.
“Betul kata Kak
Faridah! Jangan buat kerja gila? Mak tak setuju Amir. Apa dosa anak emak, kau buat begini? Kalau dah tak suka, hantar je pulang pada
emak! Tak payah kau siksa hati dan
perasaan dia. Apa yang kurang lagi? Atau kau teringin nak dapatkan anak
perempuan pula? Ija… kau dah tak boleh mengandung ke?” Lengking suara Hajjah Rahmah.
Keadaan menjadi tegang. Ummi
Khadeeja serba salah. Dia memanggil mentua dan orang tuanya adalah
untuk menyelesaikan masalah. Bukan
menambah masalah. Amir Hudzaifa meraup
wajahnya dengan kedua belah tangannya.
Dia menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya.
“Mak, Amir tak
bermaksud nak lukakan hati dan perasaan Ija.
Amir buat semua ini demi masa depan maahad dan dakwah. Amir
nak ada orang yang menjaga maahad waktu Amir keluar daerah. Amir
tidak mahu berterusan membebankan Ija. Sekurang-kurangnya isteri muda Amir
nanti boleh membantu Ija menguruskan maahad ini. Hanya itu sebabnya mak, ayah. Amir harap sangat emak dan ayah faham dengan
keadaan Amir,” kata Amir Hudzaifa panjang lebar. Dia berharap sangat mentua dan orang tuanya
memahami keadaan dirinya.
“Kan dah ada
Ustaz Din yang membantu kau menguruskan maahad ini?” Haji Naim kurang senang
dengan keputusan menantunya itu.
Takkanlah kerana urusan dakwah sehingga hendak kahwin lagi. Kalau
kerana maahad, Ustaz Din sudah cukup membantu.
Bukankah boleh dicari orang lagi yang boleh membantu menguruskannya. Alasan yang tidak cukup kuat. Tidak boleh diterima oleh akal.
“Tak sama bapa! Kalau boleh Amir nak ahli keluarga Amir
sendiri menguruskannya. Bukan orang
lain,” jelas Amir Hudzaifa. Seboleh-bolehnya dia ingin meyakinkan orang
tua dan mentuanya agar mereka menerima cadangannya itu. Dia tidak mahu perkahwinannya nanti tidak
direstui oleh mereka.
“Mak tetap tak
setuju!” Lantang Hajjah Rahmah
bersuara. Dia tidak mahu anak bongsunya
itu dimadukan. Dia tidak sanggup melihat
anak kesayangannya itu berkongsi kasih dengan orang lain. Dia juga perempuan. Kalaulah suaminya bernikah lagi tentu hancur
hatinya. Mungkin itu juga yang dirasakan
oleh Ummi Khadeeja .
“Mak…! Ija
dah setuju. Ija rela abang bernikah lagi. Ija
redha mak. Ija ikhlas mengizinkan abang
bernikah lagi,” perlahan saja suara ummi Khadeeja. Mereka semua terdiam. Wajah redup Ummi
Khadeeja ditenung dengan penuh sayu. Patutlah
wajah itu muram dan suram. Tidak bermaya. Rupanya ada duka yang tersembunyi di hati. Terpancar di mata. Tersandar mereka semua mendengar pengakuan Ummi
Khadeeja.
“Ija… jangan buat
keputusan terburu-buru, nak,” kata Hajjah
Faridah sayu. Ummi Khadeeja melemparkan senyuman
kepada emak mentuanya. Saya tidak terburu-buru mak, kalau dah suami
meminta apalah daya, detik hati kecilnya.
Ummi Khadeeja memeluk emaknya yang ada di sisi. Mahu sahaja air matanya mengalir keluar. Janganlah mengalir air mata, bisik hati
kecilnya.
“Insya-ALLAH mak,
Ija ikhlas,” itulah yang mampu
dikatakannya. Semoga hatinya
ikhlas. Mampukah dia ikhlas hanya ALLAH
jua yang mengetahuinya.
“Amir, Apa dah kau buat, nak? Ayah dan emak tidak akan menghalang. Menyuruh pun tidak. Jika inilah kehendakmu. Ija, emak dan ayah tidak akan masuk campur
dalam urusan kalian. Tapi pesan ayah,
apa pun terjadi banyak-banyaklah bersabar.
Kalianlah yang telah memilih jalan ini.” Haji Ishak menggelengkan
kepala. Kecewa pun ada. Dia
lelaki, siapalah yang tidak mahu beristeri lebih dari satu. Kalau ditanya pada semua lelaki pasti mereka
mahu tapi mampukah untuk berlaku adil kepada isteri-isteri yang dikahwini nanti.
Wajah Amir Hudzaifa dan Ummi Khadeeja dipandang silih berganti. Ya, ALLAH… KAU tabahkanlah hati anak menantuku
dalam menempuh cabaran dan dugaan yang mendatang, doa Haji Ishak dalam hati.
“Ija!” Hajjah Rahmah memeluk erat Ummi
Khadeeja. Dia menangis. Sayu hatinya memikirkan nasib anak bongsunya nanti. Poligami memang dibolehkan dalam Islam.
Terdetik hati kecilnya mampukah Amir Hudzaifa berlaku adil? Mampukah
Amir Hudzaifa memberi kasih sayang yang sama rata. Berat hati Hajjah Rahmah untuk menerima
keadaan ini.
Ummi Khadeeja membalas
pelukan emaknya. Dia menahan air matanya
dari keluar. Kalau ikhlas buat apa
sedih? Kalau ikhlas kenapa harus berduka? Wahai, hati cerialah kau, kata ummi
Khadeeja dalam hati. Mampukah dia ceria
seperti dulu? Mampukah dia berlagak
biasa dengan suaminya. Mampukah dia
tersenyum semanis dulu? Semua itu
bermain di kotak fikirannya.
“Amir, ingat
pesan ayah ini. Jangan kau sia-siakan
Ija dan anak-anak kau. Biar empat sekali
pun isterimu. Jagalah hati dan perasaan
mereka. Sama rata, sama adil! Ingat tu! Rasulullah
SAW telah bersabda yang bermaksud: Mana-mana
lelaki yang mempunyai dua orang isteri tetapi tidak berlaku adil antara
kedua-duanya, dia akan datang (dibangkitkan) pada hari akhirat dalam keadaan separuh badannya senget sebelah (
Riwayat Al-Tirmizi), jangan sesekali kau lupa itu, Amir!” Haji Naim mengeluh. Amir Hudzaifa
menunduk.
“Maafkan emak,
Ija,” kata Hajjah Faridah. Dia merasa bersalah kerana anak lelakinya
sanggup menduakan menantunya yang baik dan penyayang itu.
“Mak…! Mak tak
ada salah pada Ija, kenapa nak minta maaf,”
sayu hati Ummi Khadeeja. Hajjah
Faridah menangis. Dia bagaikan terasa
dirinya pula yang dimadukan. Dia juga
perempuan tentulah dia dapat memahami perasaan seorang perempuan. Kalau dia, tak mungkin dia sanggup berkongsi
kasih dengan perempuan lain. Tidak
mungkin! Bukan menentang tapi terasa
diri tidak kuat untuk menghadapinya.
Semoga menantunya ini kuat dan tabah.
Amir
Hudzaifa memandang wajah orang tuanya dan mentuanya. Wajah yang penuh kesedihan. Dia harap mereka
faham dan mengerti kenapa dia berkahwin lagi.
Amir Hudzaifa bersyukur akhirnya Ummi Khadeeja bersetuju juga. Biarlah mengambil masa yang lama untuk
isterinya itu berfikir, apa yang penting persetujuan dari iserinya telah
diperolehi. Kedua emaknya masih lagi
menangis. Isterinya pula memujuk
mereka. Amir Hudzaifa tersenyum dalam
hati. Kedua ayahnya hanya memerhati dan tidak berkata apa-apa lagi. Semoga rumahtangga baru yang akan dibinanya
nanti akan membawa lebih banyak rahmat dalam hidupnya dan hidup keluarganya.