BAB 9
Amir Hudzaifa
memandang wajah Ummi Khadeeja yang sedang leka melihat gambar yang diserahkan kepada isterinya
itu beberapa bulan yang lalu. Wajah manis itu ditenung puas-puas. Walaupun sudah berbelas tahun melihatnya
namun tetap cantik di hatinya. Ikhlaskah
dia memuji isterinya sendiri? Kalau
masih cantik kenapa harus berkahwin lagi, bisikan yang bertanya pada dirinya
sendiri. Ah! Pertanyaan yang tidak perlu
dijawab.
“Macam mana? Ija dah
buat pilihan ke?” Lembut suara Amir
Hudzaifa bertanya. Ummi Khadeeja menjeling sekali dan memandang semula
gambar-gambar tersebut. Hanya ada tiga
orang calon sahaja. Seorang pelajar
tahun akhir tapi agak berisi sedikit.
Tidaklah secantik mana, biasa-biasa sahaja wajahnya. Orang Kedah.
Ambil Usuluddin di Mesir. Calon
yang kedua, pelajar tahun akhir juga,
tapi agak kurus sangat. Ambil Syariah,
wajah boleh tahan cantiknya, berasal dari Kelantan. Calon yang ketiga, pelajar tahun dua.
Wajahnya cantik macam peranakan. Berasal
dari Perak. Manis dan cantik orangnya.
Ada iras-iras wajah suaminya pula.
Macam ada jodoh antara mereka berdua.
Ummi Khadeeja mengeluh sendiri.
Dia menghulurkan gambar tersebut pada suaminya.
Amir Hudzaifa
membelek gambar yang diserahkan Ummi Khadeeja kepadanya. Cantiknya! Detik hati
kecilnya. Amir Hudzaifa tersenyum. Dia
memandang isterinya.
“Ini ke pilihan Ija?” tanya Amir
Hudzaifa. Ummi Khadeeja mengangguk
perlahan. Dia mencuri pandang ke arah
suaminya yang sedang melihat gambar
tersebut. Jelas terpancar
kegembiraan di wajah itu. Sukalah tu,
orangnya cantik dan manis. Ummi Khadeeja
menahan rasa. Tidak akan dizahirkan apakah perasaannya itu. Hanya seorang perempuan mengetahui apa yang
sedang dia rasakan. Ummi Khaddeeja
memandang ke arah lain. Tidak mahu butir
kaca yang mula ingin mengalir dilihat oleh suaminya. Cepat-cepat dia menyekanya
denga baju. Dia memandang suaminya
semula dengan senyuman di bibir. Hati
janganlah kau bersedih, detik hati kecilnya.
“Macam mana? Abang setuju?” tanya Ummi Khadeeja semula. Amir Hudzaifa tersenyum riang.
“Jika ini pilihan Ija, abang
ikut je,” semakin manis senyuman Amir
Hudzaifa. Ummi Khadeeja tersenyum
juga. Senyuman sinis buat suami
tersayang. Lelaki tetap lelaki. Amir Hudzaifa memandang gambar itu
semula. Lama dia menatapnya. Ummi Khadeeja menggelengkan kepala. Biarlah suaminya merenung gambar itu
sepuas-puasnya. Malas nak layan.
“Tapi, gadis ni
baru tahun dua di universiti bang. Masih belum habis belajar. Kalau ikut niat abang berkahwin lagi, abang
inginkan isteri yang mampu membantu menjaga
dan menguruskan maahad ini. Ija
rasa baik kita letakkan syarat supaya dia berhenti belajar. Kalau dia setuju dan terima syarat kita, barulah
Ija setuju sepenuhnya. Jika dia tidak
boleh mengikut syarat yang kita beri, nampaknya kenalah abang pilih calon
lain,” kata Ummi Khadeeja panjang
lebar. Amir Hudzaifa mengerutkan dahi.
“Tak kejam ke kita suruh dia
berhenti belajar? Nanti apa pula
kata orang tuanya?” Amir Hudzaifa mula
risau. Gadis itu sudah cukup cantik dan hatinya sudah pun tertawan
tapi ada syarat lain pula dari isterinya.
Ummi Khadeeja tersenyum sinis. Tidak kejamkah kau, hai! Suami berkahwin
lagi atas sebab yang begitu longgar.
“Kalau dia
nak belajar, sekurang-kurangnya dua
tahun lagi. Siapa pula nak tengok-tengokkan
maahad? Bukankah abang berkahwin sebab
nak bantu menguruskan maahad?
Atau abang ada niat lain?” Ummi
Khadeeja mula cuak. Amir Hudzaifa
tersipu malu.
“Maafkan abang.” Amir
Hudzaifa serba-salah. Dia tidak mahu
Ummi Khadeeja berfikir yang bukan-bukan pula.
Memang niatnya berkahwin untuk
mencari isteri yang boleh membantunya menguruskan maahad dan dalam masa yang
sama dia ingin menambah zuriat lagi.
Ummi Khadeeja tidak nampak akan
mengandung lagi. Bukan tidak pernah melahirkan malah mereka sudah mempunyai
tiga orang anak, semuanya lelaki.
“Nanti abang
beritahu Ustaz Baharom tentang syarat Ija.
Kalau gadis ini setuju, kita teruskan saja hajat kita tu. Kalau tidak abang akan suruh Ustaz Baharom
cari calon lain,” kata Amir Hudzaifa .
“Syifa' Umaira...
namanya bang. Cantik orangnya kan. Sesuai dengan abang,” kata Ummi Khadeeja
memuji. Amir Hudzaifah tersenyum.
“Ija pun cantik
juga,” puji Amir Hudzaifa. Ummi
Khadeeja tersenyum. Dahulu ya, sekarang tidak lagi. Ummi Khadeeja
menjeling. Kalau cantik kenapa cari
lain? Ummi Khadeja tersenyum sumbing.
“Syifa' Umairah
pilihan kita, syaratnya berhenti
belajar, muktamad ya, bang?”
“Yalah Ija, abang
juga setuju.” Amir Hudzaifa
mengangguk. Ummi Khadeeja tersenyum
puas. Apa guna ambil yang masih belajar
kalau mahu suruh menguruskan maahad. Nanti sibuk ke kuliah dan mentelaah
pelajaran dia juga kena menguruskan maahad.
Tiada ertilah dia membenarkan suaminya berkahwin lagi. Ummi Khadeeja
bingkas bangun. Cepat-cepat Amir Hudzaifa
menghalangnya.
“Eh! Ija nak ke
mana tu?” Amir Hudzaifa menarik tangan
isterinya.
“Banyak kerja kat
dapur bang. Ija masuk dulu ya.” Ummi Khadeeja menarik tangannya dari
genggaman suaminya dan berlalu
meninggalkan suaminya seorang diri di ruang tamu yang terasa semakin sepi
itu. Sesepi hatinya kini. Tidak lama lagi akan berkongsi kasih dengan
perempuan lain. Hati, janganlah kau
bersedih, bisik Ummi Khadeeja. Sebelum
sampai di dapur, Ummi Khadeeja memandang semula ke arah suaminya. Semakin lebar senyuman suaminya. Gambar gadis
yang menjadi pilihan mereka masih di tangan.
Semakin sebak dada Ummi Khadeeja.
Akhirnya air mata itu mengalir juga.
Biarlah air mata itu mengalir tiada siapa yang nampak, detik hati
kecilnya. Hati, ikhlaskanlah dirimu, hatinya terus berbisik
lagi