Ustaz Amir Hudzaifa hadir sendiri
untuk meminang Syifa' Umaira. Dua orang
sahabatnya turut menemani. Dato’ Ibrahim
dan Haji Salleh peneman yang setia. Haji
Mansor tidak terkata apa-apa. Mungkin
sudah jodoh anaknya dengan seorang ulama terkenal. Biar berat di hati namun ALLAH lebih mengetahui.
“Maaf ustaz,
apakah anak saya akan dijadikan isteri kedua?”
Haji Mansor memandang wajah Amir Hudzaifa yang duduk mengadapnya. Memang kacak.
Berilmu dan beriman. Dia tidak
sangka lelaki ini akan menjadi pilihan hati anak bongsunya. Kalau ikutkan hati dia lebih rela menolak dari menerima. Syifa’ Umaira awal-awal pagi lagi sudah
menelefon dan berharap pinangan itu tidak ditolak. Sebagai seorang ayah tidak mungkin dia
membiarkan anak daranya berkahwin dengan suami orang. Lebih-lebih lagi anaknya masih muda dan masih
lagi belajar. Ya, ALLAH, mungkin ini
ketentuanMu untuk anak gadisku, detik
hati kecil Haji Mansor.
“Kenapa? Tuan Haji keberatan?” Soal Amir Hudzaifa. Wajahnya keruh. Haji Salleh memandang wajah Haji Mansor. Mereka serba salah.
“Tak… tak!
Sekadar bertanya?” Haji Mansor
mengeluh. Dato’ Ibrahim tersenyum.
“Anak tuan haji
memang akan menjadi isteri kedua Ustaz Amir.
Kalau tidak setuju, kami tidak memaksa.
Lagi pun kedatangan kami ini kerana anak tuan haji sudah setuju. Itu sebab kami berani datang!” sampuk Dato’ Ibrahim. Haji Mansor mendengus kasar.
“Tak apalah. Kalau kata putus sudah diambil. Saya sebagai orang tua boleh kata apa. Anak saya dah setuju, saya setuju ajalah!” Haji Mansor melemparkan senyuman. Dalam hati hanya ALLAH sahaja yang tahu. Malas untuk dia bertegang urat berbincang
lama-lama. Lagi cepat selesai, lagi dia
suka.
Di dapur
pula. Ummi Khadeeja dan Zaiton duduk
mengadap Hajah Halimah dan Azilah kakak sulong Syifa' Umaira. Mereka hanya saling berpandangan.
Tiada sebarang kata yang keluar dari mulut mereka. Ummi Khadeeja mencuit Zaiton, teman
baiknya yang sudi menemaninya untuk berjumpa
keluarga Syifa' Umaira. Zaiton memandang Ummi Khadeeja sekilas dan memandang
semula dua beranak yang duduk di
hadapannya. Zaiton mengeluh. Di mana harus lagi dia mulakan? Fikir Zaiton sendiri.
Ummi Khadeeja meletakkan dua bekas yang
dibawa bersama di tengah-tengah antara dia dan keluarga Syifa' Umaira. Lapan
mata memandang serentak ke arah dulang yang berisi sebentuk cincin dan
sepersalinan pakaian sebagai hadiah dari pihak Ummi Khadeeja sekeluarga. Pakaian itu adalah jubah dari Dubai yang
dibeli oleh suaminya waktu ke bandar itu
bulan lepas.
“Makcik apa khabar? Saya Ummi Khadeeja, panggil saja Ija. Saya isteri Ustaz Amir Hudzaifa. Ini kawan saya Zaiton atau Hajah Zaiton.” Ummi Khadeeja memulakan bicara dan
memperkenalkan dirinya dan Zaiton. Wajah
Hajah Halimah masam mencuka.
Azilah masih selamba. Zaiton mengeluh sendiri. Ummi Khadeeja rasa serba tidak kena. Rasa kekok dan jangal sekali. Iyalah mereka tak pernah bersua muka dan
saling tidak kenal antara satu sama lain tentulah lain rasaanya. Lebih-lebih
lagi pertemuan ini membawa hajat. Hajat
besar, hajat suaminya. Ummi Khadeeja
pula mengeluh. Kenapalah lidahnya
bagaikan kaku untuk berkata.
“Makcik apa
khabar?” tanya Ummi Khadeeja sekali
lagi. Setelah pertanyaan pertama tiada
tindakbalas dari mereka
berdua. Ya, ALLAH, kenapa mereka berdua ini, bisik hati kecil
Ummi Khadeeja.
“Awak tengok keadaan saya ni? Macam orang sakit ke?” Jawab Hajah Halimah serius. Tiada senyuman. Tiada kelembutan. Macam orang mahu bergaduh saja lagaknya. Ummi Khadeejah memandang Zaiton. Mereka saling berpandangan.
“Saya Ummi
Khadeeja, isteri Ustaz Amir Hudzaifa, dan ini sahabat saya, Hajah Zaiton,
isteri Haji Salleh. ” sekali lagi Ummi Khadeeja memperkenalan diri. Hajah Halimah buat endah tak endah
sahaja. Azilah pula hanya tersenyum,
hambar.
“Itu, cincin
tanda peminangan kami untuk Syifa' Umair.
Harap makcik sudi menerimanya.”
Ummi Khadeeja menolak bekas cincin itu rapat dengan Hajah Halimah. Tiada sebarang reaksi dari dua beranak
itu. Mereka memandang kosong
sahaja. Dahi Ummi Khadeeja berkerut. Jangan-jangan mereka menolak? Dia susah hati. Kalau itu terjadi tentu suaminya kecewa. Reaksi suaminya sewaktu melihat foto Syifa'
Umaira, membuatkan hati naluri seorang perempuan terbit rasa cemburu. Ah!
Pergi jauh-jauh rasa cemburu itu.
“Mak cik nak
tanya sikit boleh?” Serius sahaja Hajah
Halimah memandang Ummi Khadeeja. Macam
mahu ditelannya..
“Tanyalah mak cik?” Ummi Khadeeja menunggu pertanyaan dari Hajah Halimah.
Dia memandang wajah Hajah Halimah yang masam mencuka itu. Wajah masam itu kalau
tersenyum tentu manis. Cantik juga bakal
mentua suaminya. Padanlah Syifa’ Umaira
cantik mewarisi kecantikan ibunya.
“Betul ke awak ni
ikhlas izinkan suami awak kahwin lagi?”
Itulah pertanyaan yang keluar dari mulut Hajjah Halimah. Ummi Khadeeja tersenyum.
“Kalau saya tak
setuju? Saya tak ikhlas, saya tak datang
sini mak cik,” jawab Ummi Khadeeja. Hajah Halimah mencebik.
“Mak cik
perempuan. Awak juga perempuan.
Hairan sungguh mak cik sebab ada orang perempuan yang sanggup benarkan
suaminya berkahwin lagi. Kalau mak cik,
jangan mimpilah!”
“Kalau suami dah
menyuarakan keinginannya mak cik… takkanlah saya nak tahan?
Sebagai seorang isteri yang ingin melihat suaminya bahagia dan gembira
tentulah saya akan menunaikan kehendak suami saya. Semua ini
tak menjadi masalah pada saya.
Saya yakin suami saya boleh berlaku adil,” terang dan jelas. Hajah Halimah mencebik. Dia tetap tidak percaya. Mana mungkin seorang
perempuan, isteri sanggup suaminya berkahwin lagi. Malaikat ke?
Sukar untuk dia mempercayainya.
“Mak cik tak
percaya kau ikhlas meminang anak mak cik?
Siap datang pinang sendiri pula tu?” Hajah
Halimah menjeling tajam. Kenapalah berat
hatinya hendak mempercayai Ummi Khadeeja.
Wajah sahaja lembut dan nampak sopan.
Hati tiada siapa yang tahu.
Mungkin kerana dia juga perempuan.
Kalau dia tidak mahu hidup berkongsi masih adakah perempuan yang lain
sanggup berkongsi. Mungkin ada, cuma dia
sahaja tidak tahu.
“Keikhlasan hati
saya hanya Allah sahaja yang mengetahuinya mak cik. Saya sendiri tidak boleh mengukur keikhlasan
hati saya. Saya dah memberi keizinan dan
saya sendiri yang datang meminang. Takkanlah mak cik tak percaya? Sudah tentulah hati saya ikhlas,” jawab Ummi
Khadeeja tenang. Dia tetap tenang
walaupun Hajah Halimah melihatnya seperti ada kebencian di hati
“Kenapa ya, suami awak nak
kahwin lagi? Awak ni tak pandai jaga suami atau awak dah tak boleh
layan dia lagi? Agaknya sebab itulah suami awak
cari pucuk muda buat ganti diri awak yang dan tua ni.” Hajah Halimah mendengus kasar. Dia menjeling tajam. Perempuan macam ini pun ada di dunia
ini. Sanggup pula bermadu. Eh! Siap
datang meminang sekali. Berulang-ulang
kali Hajah Halimah memikirkan perkara yang sama.
“Tak baik mak cik cakap macam tu pada saya. Saya ikhlas membenarkan suami saya berkahwin
lagi. Suami saya berkahwin lagi bukan
sebab nafsu mak cik. Bukan juga sebab saya tak mampu melayan dia lagi
atau pun dalam erti kata lain saya dah tua.
Umur saya belum pun sampai empat
puluh mak cik. Suami saya lebih tua dari saya.” Ummi Khadeeja masih mampu berlagak
biasa. Zaiton yang duduk di sebelahnya sudah
macam cacing kepanasan, sakit hati mendengar kata-kata Hajah Halimah yang agak
kasar itu. Ummi Khadeeja menahan Zaiton
dari bercakap apa-apa.
Hajah Halimah menjeling tajam.
Hajah Halimah mengeluh keras. Dia
menjuihkan bibir tidak percaya dengan kata-kata Ummi Khadeeja. Malaikatkah perempuan ini? Suami nak kahwin lagi
masih berlagak biasa, dengus Hajah Halimah lagi.
“Awak dah tengok anak mak cikkan?
Dia cantik. Lawa. Putih bersih kulitnya.
Hidung pula mancung bak seludang.
Pendek katalah sempurna sebagai seorang perempuan. Kalau nak dibandingkan dengan awak, macam
langit dengan bumi!” Ejek Hajah Halimah
ke atas keperibadian Ummi Khadeeja.
Azilah pula menjeling tajam memandang Ummi Khadeeja.
“Itu sebab suami dia nak kahwin lain mak! Dia dah tu. Sudahah tak
cantik. Itu sebab suami dia cari anak dara. Pandai suami dia ya, mak. Cari pula cantik macam Mai. Kenapa ya, tak cari janda ke? Anak dara tua
ke?” Sindir Azilah. Ummi Khadeeja menelan air liur. Sebak dadanya mendengar kata-kata nista kedua
beranak itu. Kalau tidak kerana suaminya,
sudah lama dia tinggalkan rumah itu.
Kedua beranak itu boleh buat muka selamba setelah menghina dirinya. Sedikit pun tidak ada rasa bersalah. Ummi Khadeeja cuba bertahan selagi mampu.
“Orang lelaki ni macam kelapa tua.
Semakin tua, semakin banyak lemaknya.
Tak sama macam kita orang perempuan.
Semakin tua, semakin tak larat nak menguruskan rumah tangga terutama nak
layan suami. Awak tak takut ke? Anak mak cik tu masih muda. Tak takut ke kalau suami awak beralih sayang anak mak cik lebih dari
awak? Mana tahu sampai satu masa nanti
dia ketepikan awak terus. Nanti jangan
salahkan anak mak cik pula?” Hajah
Halimah terus menyindir. Sakit benar
hatinya. Macam tidak ada perempuan lain
lagi hendak dijadikan isteri. Anaknya yang masih muda belia dan masih
belajar mahu dijadikan isteri. Hajah Halimah mengeluh kasar.
“Mak cik, kami datang baik-baik nak meminang anak mak cik! Bukan minta mak cik hina atau menilai kawan saya ni?” Zaiton bersuara. Tidak tahan hatinya mendengar butir bicara
kedua beranak itu yang menyakitkan hati.
“Ehk! Awak menyibuk buat apa?
Saya tak cakap dengan awak pun?
Ini soal masa depan anak mak cik! Ingat senang-senang ke nak bagi kat
orang? Dah tu jadi isteri nombor
dua! Awak berdua fikir tak perasaan
kami? Kami keluarga perempuan! Kami berhak tahu siapa bakal suami anak
kami. Dengan siapa dia bermadu? Elok-elok belajar disuruh berhenti. Kalau dia disia-siakan
nanti bagaimana? Siapa nak
tanggung? Bukan kami juga yang akan
terkena tempiasnya?” Kata Hajah Halimah
marah. Dadanya berombak. Azilah pula
bingkas bangun dan mencekak pinggang.
Dahi Ummi Khadeeja berkerut. Mereka
ni hendak bergaduh ke? Detik hati kecil Ummi Khadeeja. Zaiton turut bangun dan
mencekak pinggang. Ummi Khadeeja menarik
tangan sahabatnya itu. Janganlah mereka
bertindak di luar kawalan.
“Saya bukan menyibuk! Kami
datang baik-baik, bukan nak buat musuh!
Anak mak cik yang tergedik-gedik menawarkan diri, bukan paksaan pun dari
kami. Dia yang suruh kami datang. Dia yang
yang kata makcik dan pak cik
sudah setuju dengan peminangan ini.
Dia juga yang beritahu, mak cik dan pak cik takkan menolak pinangan
ini. Kalau kami tahu mak cik dan pak cik
tak setuju, jangan harap kami nak datang.
Ramai lagi yang menawarkan diri menjadi isteri kedua Ustaz Amir, bukan
anak mak cik seorang. Kawan saya ni dah
cukup baik membenarkan anak mak cik yang gatal tu berkahwin dengan suami dia
tau. Jadi tak payah nak tuduh-tuduh!”
lengking suara Zaiton tetapi masih
terkawal. Takut didengari orang di
luar. Untung ruang tamu dan dapur agak
jauh. Kalau tidak pasti kecoh
jadinya. Zaiton menarik nafas lega. Sudah terhambur kata-kata yang memang
disimpan dari tadi. Cuma menunggu masa
untuk menerkam orang sombong macam Hajah Halimah. Dia perempuan, sepatutnya dia faham perasaan
Ummi Khadeeja. Bukan marah tidak tentu
pasal.
Ummi Khadeeja terlopong
mendengar kata-kata Zaiton. Garang juga sahabatnya itu. Hajah Halimah terkebil-kebil mendengar butir
bicara Zaiton. Azilah terdiam. Takut pula dia. Silap haribulan boleh makan buku lima.
“Limah!” Haji Mansor menjengui kepala di sebalik langsir. Semua mata serentak memandang ke pintu. Keadaan yang tegang tadi kendur semula.
“Ada apa bang?” Sedikit kasar.
Haji Mansor mendengus. Dahinya
berkerut memandang Hajah Halimah. Kurang
senang dengan suara kasar isterinya tadi.
“Rombongan dah nak balik.
Urusan sudah selesai,” kata Haji Mansor.
Hajah Halimah mengeluh. Dia
memandang Ummi Khadeeja dan Zaiton silih berganti. Zaiton mengerutkan dahi, masih tak puas hati lagilah tu. Eee!
Geramnya aku, kata Zaiton dalam hati.
“Iyalah.” Hajah Halimah mengeluh lagi. Haji Mansor kembali ke ruang tamu. Air yang terhidang tidak disentuh langsung
oleh Ummi Khadeejah dan Zaiton. Cincin
dan pakaian yang dihadiahkan kepada Syifa' Umaira dibiarkan sahaja di ruang
dapur itu.
“Mak cik, kami minta diri dulu ya.
Terima kasihlah dan semoga hubungan yang telah dipersetujui ini terjalin
dengan baik.” Ummi Khadeeja menghulurkan
tangan untuk bersalaman dengan Hajah Halimah.
Huluran tangan tidak disambut.
Ummi Khadeeja menahan sebak.
Azilah juga bertindak sama seperti emaknya. Mereka membiarkan sahaja tetamu mereka
pulang.
Ummi Khadeeja mengesar air mata yang berada di tubir matanya. Dia tidak mampu berkata apa-apa lagi. Zaiton
mengusap lembut belakang Ummi Khadeeja bagi menenangkan hati sahabatnya itu. Ummi Khadeeja mengangguk perlahan. Mereka menapak menuju ke kenderaan yang sedang
menunggu. Amir Hudzaifa dan Haji Salleh sudah pun berada di dalam
kereta. Haji Salleh yang memandu. Ummi Khadeeja menceriakan wajahnya. Kata-kata hinaan dan nista Hajah Halimah
ditelan sendiri. Biarlah hanya dia dan
Zaiton sahaja mengetahui. Tidak perlu
perkara itu sampai ke pengetahuan suaminya.
Biarlah suaminya mendengar yang indah-indah sahaja. Apa yang penting pinangan telah diterima
walaupun pedih dia menelan sahaja
kata-kata Hajah Halimah tadi.
“Alhamdulillah, semuanya dah selesai Ija. Penerimaan keluarganya pun baik. Ayahnya baik betul. Hantaran pun tidak terlalu tinggi. Macam mana dengan ibu dan kakaknya? Mereka ramah dengan Ija?” Amir Hudzaifa menoleh ke tempat duduk belakang.
Hanya mereka berempat di dalam kereta itu. Dato’ Ibrahim membawa kenderaan sendiri. Kebetulah dia ada urusan di tempat lain.
“Alhamdulillah bang, semuanya baik dan mereka sambut dengan gembira
sekali,” kata Ummi Khadeeja. Menyembunyikan apa yang berlaku. Zaiton mencebik. Dia menguis lengan sahabatnya. Tetapi dibuat endah tak endah
oleh Ummi Khadeeja. Zaiton kecewa.
“Baguslah macam tu. Abang
harap hubungan Ija dan keluarga Syifa’ Umaira boleh jadi seperti keluarga. Oh ya!
Majlisnya lagi dua bulan. Akad
nikah di Masjid Negeri di Ipoh. Majlis
kendurinya pula dibuat di rumah mereka
sendiri,” cerita Amir Hudzaifa tentang perancangan majlis pernikahannya
nanti. Ummi Khadeeja hanya menjadi
pendengar. Dia menangis di dalam hati. Tidak mungkin dia akan memburukkan keluarga
Syifa' Umaira. Biarlah suaminya tahu
sendiri. Biarlah dia sahaja yang
menjerut rasa asalkan suami tercinta boleh senyum bahagia.
Hati, bersabarlah kau dengan dugaan ini kerana ada yang lebih kau cintai dari suami sendiri,
detik hati kecilnya. Ya, ALLAH, sesungguhnya KAU lebihku sayangi dari
segala-galanya. Ummi Khadeeja menarik
nafas panjang. Dia beristighfar di dalam
hati. Biarlah sakitku tanggung sendiri.
Ummi Khadeeja memejamkan mata.
Zaiton yang duduk di
sebelah mengeluh kasar. Inilah akibatnya
terlalu memikirkan kebahagian orang lain.
Kebahagian diri sendiri di ketepikan. Ya ALLAH, KAU berilah kekuatan dan kesabaran kepada
sahabatku ini dalam menghadapi ujian ini’
Doa Zaiton dalam hati. Zaiton memandang
ke arah Ummi Khadeeja yang sedang memejamkan matanya. Zaiton menggelengkan kepala. Sungguh kuat kau, Ummi Khadeeja. Kalau aku, tidak mungkin aku sanggup
hadapinya, detik hati kecil Zaiton. Kenderaan bergerak laju meninggalkan negeri
Perak Darul Ridzuan. Bahagia di hati Amir Hudzaifa, duka di hati
Ummi Khadeeja.