Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
HAKKU, PILIHANKU. ~ BAB 8

BAB 8

SYIFA' UMAIRA duduk mengadap laptopnya sambil menyanyi riang. Hati sedang gembira terpancarlah pada gerak cara serta di wajahnya. Bunyi tolakan pintu yang kuat membuatkan dia terkejut. Dia mengurut dada. Jama'yah dan Azidah mencekak pinggang memandang ke arahnya. Syifa' Umaira kehairanan melihat tingkahlaku kedua orang kawan serumahnya itu. Wajah mereka merah padam, macam orang marah. Marah dengan diakah? Dia buat salah apa dengan mereka? Syifa' Umaira berfikir sejenak.

“Tak apayah nak fikir-fikir! Orang macam kau, mana ada rasa bersalah?” Jama'yah mengetap bibir. Syifa' Umaira terkedu. Macam ahli nujum pula Jama'yah ni, tahu je aku nak buat apa, bisik hati kecil Syifa' Umaira.

“Pura-pura buat terkejut pula! Kesalahan sendiri tak nak mengaku!” Azidah mengecilkan matanya memandang Syifa' Umaira. Kalau boleh telan, sudah ditelan bulat-bulat Syifa' Umaira. Biar hilang dari muka bumi, kata Azidah dalam hati.

“Awak berdua ni kenapa? Masuk-masuk je nak marah saya? Saya buat salah apa pada awak berdua? Angin tidak, hujan pun tidak. Tiba-tiba puting beliung, tentulah saya hairan?” Syifa' Umaira memandang wajah mereka berdua. Tentulah dia kehairanan, marah tanpa tahu pokok sebabnya. Menerjah tanpa beri salam.

“Perempuan jenis apa awak ni? Hah! Sanggup awak tawarkan diri jadi isteri kedua Ustaz Amir Hudzaifa? Tergamak awak sakiti hati perempuan lain? Awak ni tak ada perasaan ke?” Mata Jama'yah membuntang memandang wajah Syifa' Umaira. Kalau ikut marah dan meluat, rasanya mahu dicekik-cekik Syifa' Umaira sampai mati lepas tu potong dua puluh dua. Humban di padang pasir biar hilang terus tidak ada sesiapa yang jumpa, bisikan jahat di hati Jama'yah. Dia mendengus kasar.

“Laa… sebab itu awak berdua marah sangat dengan saya? Saya ingatkan apa tadi!” Syifa' Umaira buat wajah selamba. Dalam hati kecut perut juga dengan kemarahan kedua orang kawannya. Kalau mereka naik minyak, takut juga dia. Nanti tidak pasal-pasal boleh masuk ICU. Syifa' Umaira memandang laptopnya dengan pandangan yang kosong. Dia menunggu reaksi seterusnya dari mereka berdua.

“Dia boleh buat muka selamba? Eee…! geramnya saya!! Saya nak awak batalkan niat awak nak berkahwin dengan Ustaz Amir Hudzaifa!” perintah Jama'yah tegas. Syifa' Umaira terlopong mendengarnya. Dia memandang semula wajah Jama'yah yang masih lagi marah padanya.

“Awak datang jumpa saya, marah-marah lepas tu senang-senang suruh saya batalkan niat saya nak kahwin dengan Ustaz Amir Hudzaifa yang kacak tu? Awak berdua memang dah gila agaknya?” Syifa' Umaira mencebik. Susah payah aku melobi diri sendiri. Alih-alih senang saja mereka nak suruh dia membatalkan niatnya mahu berkahwin dengan pujaan hati. Boleh jalanlah!’ Kata hati kecilnya.

“Saya tak sangka di sebalik wajah ayu awak tu, lembut dan bersopan ada perasaan buruk! Busuk macam tong sampah!” Azidah mengetap bibir. Dadanya turun naik menahan marah.

“Awak Azidah, jangan sedap-sedap mulut nak hina saya! Saya bukan kacau rumah tangga awak berdua. Isteri Ustaz Amir Hudzaifa dah setuju terima saya sebagai madunya. Awak berdua sibuk sangat tu kenapa? Atau… awak berdua yang nak berkahwin dengan Ustaz Amir Hudzaifa?” Syifa' Umaira tersenyum sinis. Dia menjeling.

“Eee… jadi isteri nombor dua? Nau’zubillah! Minta di jauhkan! Kami tak gila macam awak! Kerana kekacakan Ustaz Amir Hudzaifa awak tergila-gila pada dia. Sedangkan di pihak lain sedang menjerut rasa,” Jama'yah menggelengkan kepala. Dia kesal dengan sikap Syifa' Umaira. Tidak berfikir dahulu sebelum bertindak. Syifa' Umaira memandang Jama'yah dan Azidah sekilas. Wajah mereka sudah sedikit kendur. Mungkin sudah hilang perasaan marah yang tadi sedang membuak-buak.

“Mai, saya rayu pada awak, tolonglah batalkan niat awak untuk berkahwin dengan Ustaz Amir Hudzaifa. Kasihanlah pada isterinya, Kak Ummi Khadeeja, dia baik orangnya. Takkanlah awak sanggup menyakiti hatinya?” Jama'yah mula mengendur. Dia memandang wajahSyifa' Umaira dengan penuh harapan. Dia berharap kawannya itu akan mendengar kata-katanya.

“Ops! Kalau saya tolak sekali pun, Ustaz Amir Hudzaifa tetap akan kahwin lain juga. Sepatutnya awak berdua bersyukur, isteri Ustaz Amir Hudzaifa memilih saya. Bolehlah saya jadi kawan baik dia nanti. Saya janji, saya takkan sakitkan hatinya. Saya akan jadi ‘madu’ yang baik untuknya dan isteri yang solehah untuk Amir Hudzaifa.” Syifa' Umaira tersenyum gembira. Jama'yah dan Azidah saling berpandangan. Tidak terlahir kata-kata melihat sikap dan tingkahlaku Syifa’ Umaira.

“Tapi kenapa awak? biarlah orang lain, Mai.” Jama'yah duduk di kerusi. Sudah penat berdiri. Dia mengeluh. Azidah menuju ke katilnya dan menyandar di birai katil. Mereka tenang semula. Tergambar kekecewaan di wajah mereka.

“Saya sayangkan Ustaz Amir Hudzaifa,” lancar ayat itu keluar dari mulut Syifa' Umaira.

“Banyak lelaki bujang di Universiti ini kenapa Ustaz Amir Hudzaifa yang sudah beristeri itu juga awak nak buat suami?” Azidah mengeluh. Wajah Syifa’ Umaira yang tenang dan tiada rasa bersalah itu ditenung lama. Rupa ada. Usia masih muda kenapa hendak juga berkahwin dengan suami orang.

“Sudah saya katakan tadi… saya sayang… saya cinta. Takkan tak boleh faham perasaan saya?” Syifa' Umaira menjeling tajam. Kita dah cakap, tapi masih tak faham, pekak agaknya, bisik hati kecil Syifa' Umaira.

“Orang kalau cinta sebab dah kenal. Pernah berjumpa. Ini tidak, awak tengok Ustaz Amir Hudzaifa dari jauh je. Lepas tu awak tanya beberapa soalan, dia akan menjawab soalan awak itu. Takkanlah sebab itu awak dah jatuh cinta pada dia? Macam tak logik je?” Jama'yah mengerutkan dahi. Mudahnya jatuh cinta. Tidak mungkin dengan hanya memandang. Jama'yah berfikir sejenak. Mungkin juga. Tetapi ini bukan filem Hindustan. Bukan juga novel cinta. Baru berjumpa beberapa kali terus jatuh cinta. Jama'yah menggelengkan kepala lagi. Sukar untuk dia mempercayainya.

“Cinta pandang pertama. Dari mata turun ke hati.” Syifa' Umaira tersenyum. Terbayang wajah Ustaz Amir Hudzaifa di ruang matanya.

“Cinta? Pergi jalan dengan awak punya cinta! Mai, rumah tangga bukan perkara main-main. Besar tanggungjawab yang akan terpikul di bahu kita apabila sudah menjadi isteri. Susah senang suami awak harus harungi bersamanya. Buruk baik perangai suami hendaklah awak terima dengan seadanya. Berkahwin seorang pun berbagai masalah yang timbul, inikan pula hendak berkongsi kasih dengan orang lain. Awak sanggup ke berkongsi suami dengan perempuan lain? Awak yakin hati awak mampu menerimanya?” Panjang lebar nasihat Jama'yah. Syifa' Umaira mengeluh.

“Saya tahulah perasaan saya sendiri! Tahulah saya macam mana nak uruskan rumah tangga saya. Bukankah Kak Ummi Khadeeja ada? Tentulah dia boleh tunjuk ajar saya. Awak berdua tak perlulah bimbang!”

“Kakak saya sendiri di madukan Mai. Saya melihat sendiri penderitaan kakak apabila suaminya berkahwin lagi. Kehidupan dia dan anak-anak terabai, sebab suami asyik menggelek isteri muda. Kalau saya jadi awak, saya tak sanggup!” Azidah menundukkan muka. Dadanya sebak apabila memikirkan nasib kakak dan anak-anak buahnya yang menjadi mangsa suami yang tidak bertanggungjawab.

“Itu lelaki yang tak bertanggungjawab. Ustaz Amir Hudzaifa takkan buat macam tu. Saya pasti dia boleh berlaku adil. Kalau tidak takkanlah dia nak kahwin lagi? Lagi pun dia kan seorang ustaz. Tahu bab-bab hukum ni. Saya yakin, saya boleh membahagiakan dia dan dia boleh membahagiakan saya. Kalau Kak Ummi Khadeeja tu baik tentulah dia akan mengajar saya banyak perkara. Kami sama-sama boleh menjaga keharmonian rumah tangga kami. Saya harap awak berdua faham dan menerima dengan hati terbuka ya,” Syifa' Umaira tersenyum lagi. Jama'yah dan Azidah saling berpandangan. Mereka mengeluh lagi. Mereka sungguh kecewa dengan kedegilan Syifa’ Umaira. Puas mereka menasihati nampaknya kawan mereka itu masih tetap dengan keputusan yang telah dibuat.

“Kita perempuan. Banyak atau sikit pasti ada perasaan cemburu dan irihati. Mampu ke awak menahan perasaan tersebut?” Tanya Azidah. Syifa' Umaira tergamam. Cemburu? Irihati? Dia ada perasaan itu ke? Syifa' Umaira mengerutkan dahi. Dia tidak pernah ada kekasih hati. Tidak pernah bercinta. Belum pernah dia cemburu dan irihati pada sesiapa. Bagaimana untuk memastikan dia ada perasaan tersebut sedangkan dia tidak pernah mengalaminya.

“Saya tak pernah cemburukan sesiapa,” jawab Syifa' Umaira penuh yakin. Jama'yah mati akal hendak menasihati Syifa' Umaira. Memang degil dan keras kepala.

“Awak tetap nak kahwin juga dengan Ustaz Amir Hudzaifa? Bagaimana dengan pelajaran awak?” Azidah merenung Syifa' Umaira yang berwajah selamba. Kalau ikutkan hati yang marah dan geram, teruk kawannya yang seorang ni diganyang. Nasib baiklah dia masih waras dan ada perasaan. Perasaan hormat pada orang lain.

“Saya tetap dengan keputusan saya. Tentang pelajaran saya? Oleh sebab saya akan berkahwin dengan seorang yang berilmu macam Ustaz Amir Hudzaifa, ada maahad sendiri. Saya boleh belajar je dengan beliau. Kalau setakat nak dapatkan sijil, saya daftar di mana-mana kolej, ambil periksa, mudahkan?” jelas Syifa’ Umaira penuh yakin.

“Awak memang dah gila Mai!” Hanya itu sahaja ayat yang keluar dari mulut Jama'yah. Lagi dia tunggu dan mengadap muka Syifa' Umaira bertambah sakit hati dan meluat dia tengok. Syifa' Umairah fikir mudah untuk hidup berkongsi. Sedangkan orang perempuan yang tidak berkongsi kasih dengan perempuan lain pun akan cemburu bila tengok suami mereka berbual atau melayan perempuan lain, inikan pula nak berkongsi kasih sayang.

“Keluarga saya pun tak menghalang. Awak siapa nak menghalang saya? Lagi pun bulan depan saya balik ke Malaysia. Saya juga berhenti belajar. Saya harap awak berdua doakanlah kebahagian saya dengan orang yang saya sayang.” Syifa' Umaira tersengih. Jama'yahdan Azidah mencebik. Meluat mereka tengok perangai mengedik Syifa' Umaira. Dua tahun duduk bersama baru perasan perangai gedik dan gatal Syifa' Umaira. Pandai rupanya perempuan ini sembunyikan perangai buruknya.

“Nanti kalau Ustaz Amir Hudzaifa nak kahwin sorang lagi, awak janganlah pula menghalang,” sindir Azidah. Syifa' Umaira menjegilkan mata. Dia tersenyum dalam hati, Jangan harap! Jama'yah dan Azidah meninggalkan Syifa' Umaira sendirian. Semakin lama mereka duduk di dalam bilik itu semakin panas hati mereka. Jama'yah berharap apa yang dilakukan oleh Syifa' Umairah benar-benar membawa kebahagian pada dirinya. Dia bukan sesiapa pada Syifa' Umaira, hanya kawan biasa. Kalau keluarga Syifa' Umaira sudah setuju. Isteri Ustaz Amir Hudzaifa menerima. Apa daya mereka untuk memujuk Syifa' Umaira agar jangan meneruskan niatnya itu. Semoga kebahagian milik mereka semua. Doa Jama'yah dalam hati.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.