Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
SUDAH HILANGKAH KASIH ~ BAB 25


Pagi-pagi lagi Ummi Khadeeja sudah menyiapkan sarapan untuk suaminya. Bee hon goreng, sambal udang bersama kopi pekat. Suaminya selalu bersarapan awal. Itulah rutin hariannya sewaktu hanya dia isteri Amir Hudzaifa. Tidak seperti sekarang ada sistem giliran. Ummi Khadeeja mengeluh. Bila difikir dan dikenang terasa juga sakit di hati. Dia beristighfar. Dia sudah mengizinkan dan merelakan tidak perlulah disebut atau mengungkit. Tetapi kalau tidak diizinkan apakah suaminya tetap akan berkahwin juga? Jawapan yang tiada padanya.

Anak-anak masih di surau. Harap-harap mereka boleh berbual dengan ayah mereka dari hati ke hati hari ini. Esok sudah kembali giliran madunya pula dan esok juga anak-anaknya akan pulang ke asrama. Kalau boleh dia mahu hubungan anak-anaknya dan suaminya kembali seperti dulu. Penuh dengan gurau senda dan gelak ketawa. Dia tidak mahu perkahwinan kedua suaminya akan membuatkan mereka semakin jauh. Apa ertinya jika perkara itu terjadi. Kebahagian tidak akan datang sendiri. Kebahagian perlu disemai dan dibajai setiap hari. Bukan hanya bercakap tetapi hendaklah juga dilahirkan dengan perbuatan. Ummi Khadeeja tersenyum puas setelah semuanya sudah siap terhidang.

Marah tidak akan mendatangkan kebaikan kepada sesiapa. Tidak pada dirinya. Tidak pada anak-anaknya. Sakit hati membuatkan diri menderita, pada dirinya juga pada anak-anaknya. Selalu juga Ummi Khadeeja mendengar cerita tentang isteri tua yang mengamuk-ngamuk apabila suami pulang ke rumah lantaran cemburu dan sakit hati mengenangkan terpaksa berkongsi kasih dengan perempuan lain. Kalau ikut sakit hati memanglah, setiap orang pasti akan bertindak begitu. Dia tidak mahu jadi bodoh. Amukan. Marah. Sakit hati akan membuatkan hubungan semakin rengang. Sebagai isteri dia harus bijak. Bijak mengatur strategi agar kasih suami semakin bertambah bukan berkurang. Setiap kali suami pulang sajikan dengan senyuman. Belaian, kemanjaan yang akan diingati setiap masa dan ketika hatta bersama orang kedua. Itulah strategi yang bijak dan teratur. Kalau suami masih tidak hargai, apakan daya kita. Sah-sahlah suami itu pekak, buta dan tuli sebab tidak nampak kebaikan isteri.

Suara riuh rendah di hadapan rumah membuatkan dia melangkah keluar. Beberapa pelajar perempuan mendekatinya. Wajah mereka pucat lesi dan tergagap-gagap hendak bercakap. Dahi Ummi Khadeeja berkerut seribu.

“Ada apa?” Ummi Khadeeja kehairanan. Dadanya berdegup kencang, berbagai perkara bermain fikirannya. Hatinya berdebar-debar. Kedua-dua pelajar saling berlawan tolak, siapa harus bercakap dahulu.

“Farhana, awak cakap dulu!” Perintah Ummi Khadeeja tegas.

“Walid panggil! Aiman Haikal tolak, Ibu Syifa’ Umaira ke dalam sungai!” Beritahu Farhana. Terkejut Ummi Khadeeja mendengarnya. Dia seperti tidak percaya mendengar berita tersebut. Aiman Haikal ke mana? Bukankah dia di surau bersama adik-adiknya? Syifa’ Umaira pula kenapa berada di sungai? Cari apa? Kepalanya ligat berfikir. Ummi Khadeeja menutup pintu rumah dan mengikut ke dua pelajar perempuan menuju ke arah sungai yang terletak di tepi rumah Syifa’ Umaira. Keadaan di situ riuh-rendah dengan suara Syifa’ Umaira memaki hamun Aiman Haikal yang berdiri kaku di hadapan ayahnya tanpa berkata apa-apa. Wajah Amir Hudzaifa cemberut memandang Aiman Haikal.

“Kak Ija tengok ni! Anak Kak Ija sengaja tolak Mai ke sungai! Nasib baik ada Pak Hamid dan Haji Salleh kalau tidak sudah mati agaknya Mai kat dalam tu!” Adu Syifa’ Umaira. Dia menangis. Ummi Khadeeja memandang wajah Aiman Haikal tidak berkelip. Amir Hudzaifa mencekak pinggang.

“Aiman tak buat! Dia yang jatuh sendiri!” nafi Aiman Haikal, membela diri.

“Diam! Sudah buat salah masih tak nak mengaku!” Jerkah Amir Hudzaifa.

“Mama! Aiman cakap benar, Aiman tak buat!” Aiman Haikal memandang wajah Ummi Khadeeja. Dia berharap mamanya akan mempercayainya. Zaiton yang baru datang, mendekati Ummi Khadeeja.

“Jom kita balik dulu Aiman!” ajak Ummi Khadeeja. Dia tidak menghiraukan mereka yang memandangnya. Dia tidak pedulikan tuduhan Syifa’ Umaira yang merenungnya dengan penuh kebencian. Dia tidak kisah dengan wajah mencuka suaminya yang melihatnya dengan penuh kemarahan. Dia menarik tangan Aiman Haikal dan membawanya pulang. Kedua-dua anaknya turut mengikut langkahnya. Hilang rasa kegembiraan di hati untuk menyambut suaminya. Sebal dan sebak memenuhi ruang hatinya kini. Tangannya erat memegang lengan Aiman Haikal. Zaiton mengikut langkah sahabatnya itu setelah disuruh Haji Salleh yang basah kuyup kerana membantu Syifa’ Umaira yang terkapai-kapai di dalam sungai.

Amir Hudzaifa pula membawa Syifa’ Umaira pulang ke rumah. Hatinya benar-benar sakit dengan apa yang terjadi. Dia tidak menyangka Aiman Haikal akan bertindak seperti itu. Kalau marah sekali pun janganlah menjadikan nyawa orang lain dalam bahaya. Syifa’ Umaira tidak henti mengomel lagi. Amir Hudzaifa hanya mengeluh.

“Memang kurang ajar anak abang tu! Sanggup dia menolak Mai ke dalam sungai. Kalau mati macam mana? Sukalah dia sebab mamanya tak ada madu lagi, itulah tujuannya!! Abang kena ajar anak abang tu hormatkan Mai!” Jerit Syifa’ Umaira. Dia melangkah ke bilik untuk mandi dan menyalin pakaiannya yang basah kuyup.

“Kan abang sudah marah dia. Lempang dia… tak cukup ke?” Amir Hudzaifa mendengus kasar. Syifa’ Umaira mengetap bibir. Tidak cukup! anak itu harus diberi hukuman yang setimpal dengan perbuatannya yang tidak berperikemanusiaan itu. Anak yang tidak tahu menghormati orang lain.

“Macam mana isteri tua abang ajar anak-anak dia agaknya? Abang tengoklah sendiri apa dia dah buat pada Mai?” Masih tidak berpuas hati, Syifa’ Umaira terus berleter. Amir Hudzaifa mengeluh. Sakit telinga dia mendengar sungutan isterinya itu

Dia melangkah keluar dari rumah Syifa’ Umaira dan menuju ke rumah Ummi Khadeeja. Sepatutnya hari itu adalah giliran isteri pertamanya. Tiba-tiba berlaku kemalangan yang tidak disangka-sangka. Cuma dia tidak bertanya kenapa Syifa’ Umaira ke sungai di awal pagi itu. Fikiranya berserabut dengan apa yang terjadi membuatkan dia lupa segalanya. Tidak sampai dua minit dia sudah berada di muka pintu.

“Aiman tak buat mama, percayalah. Dia jatuh sendiri tergelincir… Aiman duduk kat pokok rambutan tu je sambil memancing… Aiman tak buat!” Air mata Aiman Haikal meluncur laju. Ummi Khadeeja turut menangis. Dia yakin anaknya tidak akan buat begitu walau macam mana benci pun dengan orang lain. Dia tidak pernah mengajar anak-anaknya bermusuh dengan sesiapa. Kelmarin anaknya sudah dapat menerima perkahwinan kedua ayah mereka dan tidak menjadi masalah untuk mereka berbaik dengan Syifa’ Umaira. Belum sempat untuk bermesra sudah berlaku kemalangan yang tidak disangka sama sekali. Di luar dugaannya dan di luar perancangannya.

“Mama percayakan Aiman, tapi orang lain bagaimana? Pak cik aji? Para pelajar maahad? Apakah mereka akan mempercayai Aiman?” Soal Ummi Khadeeja. Kalau benar Aiman tidak menolak Syifa’ Umaira dan madunya itu memang jatuh sendiri tentulah Aiman berada di tempat yang betul tetapi di waktu yang salah atau pun Syifa’ Umaira berada di tempat yang salah dan di waktu yang salah juga.

“Masih tak mengaku?” Jerit Amir Hudzaifa. Tanpa memberi salam dia melangkah mendekati Aiman Haikal yang berada di dalam pelukan Ummi Khadeeja. Dia merentap tangan anak sulongnya dan membawanya masuk ke dalam bilik. Ummi Khadeeja terkejut dengan tindakan suaminya. Belum pernah suaminya berkasar dengan anak-anak. Kalau anak-anak buat salah sekali pun dia akan menasihati dengan penuh hikmah bukan melenting seperti tadi penuh dengan api kemarahan.

“Abang! Abang nak buat apa dengan Aiman?” Ummi Khadeeja mengetuk pintu bilik Aiman Haikal yang berkunci dari dalam. Hanya terdengar jeritan dan suara Amir Hudzaifa memarahi anaknya itu.

“Mama… abang kena pukul ke?” membulat mata Airil Hakimi memandang Ummi Khadeeja yang masih berdiri di muka pintu bilik. Aidil Hakim duduk di sofa sambil memeluk lutut. Dia pasti abangnya tidak menolak isteri muda ayahnya itu. Dia pasti sangat, sewaktu dia keluar dari surau dia nampak kelibat Syifa’ Umaira berjalan menyusuri sungai dengan kasut yang bertumit dan kebetulan baru lepas hujan semalam dan tebing sungai agak licin. Dia benar-benar pasti Syifa’ Umaira tergelincir sahaja. Abangnya cuma hendak menolong apabila terdengar jeritan Syifa’ Umaira, kebetulan abangnya ada di situ sedang memancing, itulah hobi abang sulongnya itu.

“Abang! Tolonglah jangan buat anak macam tu bang!” rayu Ummi Khadeeja. Zaiton turut bersedih dengan apa yang terjadi. Kalau boleh dia tidak mahu masuk campur tetapi sudah ada di situ baik duduk diam-diam. Dia memeluk bahu Aidil Hakim erat dan mengeluh kesal dengan apa yang terjadi. Otak Zaiton ligat berfikir, apa perempuan tu buat pagi-pagi buta di tepi sungai itu? Zaiton mengeluh.

Lima belas minit kemudian baru Amir Hudzaifa melangkah keluar dan memandang wajah Ummi Khadeeja. Tajam renungannya bagaikan hendak menelan Ummi Khadeeja.

“Macam mana Ija ajar anak? Kecil lagi dah pandai nak jadi pembunuh? Belum besar lagi dan pandai pula kurang ajar dengan orang yang lebih tua. Abang harap ini pertama dan terakhir kejadian seperti ini berlaku. Kalau berlaku lagi tahulah abang apa nak buat dengan dia. Abang tak suka dengan apa yang terjadi. Abang mendidik dan mengajar anak orang lain tapi anak sendiri tidak terdidik. Anak-anak cermin diri kita, tahu tak? Kalau sudah sampai nak jadi pembunuh, siapa yang salah?” leter Amir Hudzaifa. Ummi Khadeeja menunduk. Walaupun kata-kata suaminya itu satu pun tidak benar tapi dia tidak mahu menjawab kerana tiada gunanya. Mudah sungguh suaminya mengambil tindakan terhadap anak sendiri tanpa usul periksa. Apakah suaminya sudah tidak mengenali anak mereka sendiri. Ummi Khadeeja menerpa ke dalam bilik dia tidak menghiraukan leteran Amir Hudzaifa. Sayu hati seorang ibu melihat anak di tepi katil sambil memeluk lutut. Air mata merembas keluar. Ummi Khadeeja mendekati Aiman Haikal. Dia menahan sebak.

“Aiman tak buat mama! Perempuan tu jatuh sendiri,” kata Aiman Haikal dengan suara yang tertahan-tahan menahan sedu. Ummi Khadeeja menganggukkan kepala. Dia tahu anaknya itu tidak akan bertindak di luar batasan seperti itu. Ini semua fitnah. Syifa’ Umaira menfitnah anaknya. Dia tidak akan duduk diam. Dia akan mempertahankan anaknya itu. Ummi Khadeeja memeluk Aiman Haikal erat. Tangan dan kaki anaknya berbalar dengan kesan pukulan rotan. Sampai hati suaminya. Tergamak suaminya memukul Aiman Haikal. Mereka menangis bersama. Zaiton yang bersama Aidil Hakim dan Airil Hakimi menahan kesedihan. Amir Hudzaifa sudah meninggalkan rumah. Tentu ke rumah isteri mudanya. Zaiton mendengus kasar. Dia bingkas bangun dan melangkah ke dalam bilik Aiman Haikal.

“Ija… sabarlah,” pujuk Zaiton. Dia memegang bahu Ummi Khadeeja yang terhenjut-henjut kerana menangis. Ummi Khadeeja meleraikan pelukan Aiman Haikal dan memandang ke arah Zaiton.

“Aiman tidak akan mencederakan orang Ton! Ija tak percaya! Ton, awak pun tak percayakan? Aiman takkan buat!” Tangis Ummi Khadeeja. Zaiton hiba. Dia kenal Aiman Haikal sejak lahir lagi. Aiman Haikal anak yang taat dan penyayang. Jika sehari dua ini dia berubah sikap adalah kerana terkejut dengan perkahwinan ayahnya. Kalau marah sekali pun anak itu tidak akan sampai hendak membunuh.

“Ton percaya Ija… Aiman takkan buat perkara tu, sudahlah… mari kita keluar, kalian tak sarapan lagi, kan,” ajak Zaiton. Aiman Haikal terlena kerana terlalu banyak menangis dan teruk di pukul ayahnya tadi. Hiba hati Ummi Khadeeja melihat keadaan anaknya itu. Dia mencapai minyak di atas meja dan menyapu di bahagian yang lebam dan berbekas di tubuh, lengan dan kaki Aiman Haikal. Sambil menyapu air matanya masih mengalir. Zaiton tidak mampu melihatnya lagi. Dia berlalu pergi.

“Aidil, Airil… mari makan.” Zaiton menarik tangan kedua-dua anak tersebut menuju ke meja makan. Zaiton memandang sarapan yang terhidang tetapi masih tidak disentuh. Tentu Ummi Khadeeja menyediakan sarapan pagi itu untuk suaminya. Lain yang diharap, lain pula jadinya. Zaiton mengeluh. Dia memandang kedua-dua beradik itu dan melemparkan senyuman. Mereka menggelengkan kepala tanda tidak mahu menjamah makanan tersebut. Zaiton menjegilkan mata.

“Duduk!” paksa Zaiton. Mereka akur tidak membantah. Air kopi di tuang ke dalam cawan. Bee hon dan sambal udang disenduk ke dalam pinggan. Dia meletakkan di hadapan kedua beradik tersebut.

“Baca doa dan makan,” perintah Zaiton. Terkebil-kebil kedua beradik itu.

“Airil, Aidil, kasihan mama. Penat mama masak pagi tadi. Jangan buat mama susah hati. Mama dah banyak masalah. Jangan ditambah lagi masalah yang ada, faham tak!” kata Zaiton tegas. Kedua beradik itu menunduk. Zaiton duduk di hadapan mereka. Suara orang memberi salam membuatkan mereka menoleh. Haji Salleh melangkah masuk.

“Aiman mana?” Tanya Haji Salleh. Terpancar kerisauan di wajah tua itu. Zaiton memuncungkan bibirnya menunjuk ke arah bilik.

“Pak cik aji… abang tak tolak perempuan tu, dia jatuh sendiri!” kata Aidil Hakim berani Dia harus memberitahu perkara sebenar. Dia tidak mahu abangnya disalahkan. Ini tidak betul. Abangnya tidak menolak isteri muda ayah mereka. Haji Salleh memandang wajah Aidil Hakim dan tersenyum.

“Pak cik aji tahu. Kebenaran sebenar akan terbongkar. Aidil jangan bimbang ya,” pujuk Haji Salleh. Zaiton mengeluh. Memang benarlah tekaannya. Aiman Haikal tidak akan berani buat tindakan sebodoh itu.

“Ustaz Amir mana bang?” tanya Zaiton.

“Ada di rumah isteri mudanya,” jawab Haji Salleh dan terus duduk mengadap hidangan yang terhidang. Perutnya sudah berkeroncong. Sebenarnya dia baru sahaja hendak pergi beli sarapan pagi apabila terdengar kecoh-kecoh di sungai. Terbantut urusannya hendak ke kedai makan di depan maahad.

“Tuangkan saya kopi tu,” suruh Haji Salleh. Zaiton menuang secawan kopi untuk suaminya. Kemunculan Ummi Khadeeja membuatkan semua yang berada di meja makan menoleh.

“Mari sarapan, Ija! Awak pun belum sarapan, kan?” Zaiton menarik sahabatnya duduk di kerusi. Wajah Ummi Khadeeja sugul dan muram. Zaiton menuang kopi panas dan meletakkannya di hadapan Ummi Khadeeja yang masih lagi bersedih.

“Sabarlah, Ija,” pujuk Zaiton.

“Ija tak sedih jika Syifa’ Umaira menuduh Aiman nak bunuh dia, Ton. Tapi Ija sedih sebab ayahnya percaya dengan tuduhan itu. Tak pernah lagi Abang Amir pukul anak-anaknya Ton. Belum pernah! Ini pertama kali dia sanggup pukul Aiman. Ija sedih Ton… remuk hati Ija. Hancur hati Ija, Ton.” Ummi Khadeeja menangis lagi. Zaiton mengusap belakang Ummi Khadeeja. Ya, ALLAH! kau berilah sahabatku ini kesabaran menghadapi ujian ini… doa Zaiton dalam hati.

“Ija… sabarlah,” nasihat Haji Salleh pula.

“Macam mana Ija nak sabar bang aji. Anak Ija dituduh nak membunuh!” tinggi suara Ummi Khadeeja. Haji Salleh mengeluh. Berat tuduhan itu. Haji Salleh sendiri kesal dengan tuduhan yang dilemparkan oleh Syifa’ Umaira terhadap Aiman Haikal.

“Abang Amir pula percaya dengan cakap isteri muda dia tu. Apakah dia sudah tak kenal anaknya sendiri? Apakah dia sudah tak sayang kami lagi?”

“Ija…! Jangan cakap macam tu,” Zaiton mengeluh. Kedua-dua beradik itu hanya memerhatikan mama mereka menangis. Hati mereka turut hiba dan sedih dengan apa yang berlaku. Mereka sendiri tidak menduga ayah sanggup memukul abang mereka.

“Sudahlah Ija… kasihan kat anak-anak ni. Sudah lewat ni, mereka pun belum sarapan lagi, nanti sakit perut pula.” Zaiton cuba menyabarkan Ummi Khadeeja. Dia tahu sahabatnya itu sedih dan berduka tapi apa yang mampu mereka lakukan.

Ummi Khadeeja memandang ke arah kedua orang anaknya itu. Dia cuba tersenyum tapi hambar. Hatinya masih sakit. Masih sedih. Masih kecewa dan berduka dengan apa yang terjadi. Dia tidak dapat menerima keadaan ini. Dia tidak akan membiarkan nama baik anaknya dicemarkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab seperti Syifa’ Umaira. Dia akan berhadapan dengan madunya itu. Biar suaminya hendak memarahinya. Membencinya tetapi dia tidak akan membiarkan tuduhan palsu itu menghantui hidup anaknya dan hidup orang di sekeliling mereka. Dia tidak akan membiarkan perkara itu diperkatakan oleh para pelajar di maahad itu. Dia tidak mahu mereka fikir anaknya itu sengaja ingin membunuh. Dia tidak akan biarkan nama anaknya tercemar. Tidak sama sekali. Ummi Khadeeja mendengus kasar. Dia mengetap bibir menahan marah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.