Home Novel Cinta Sempurnakan Aku
Sempurnakan Aku
Eina Afrina
1/9/2017 13:20:34
28,761
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 7


SEPANJANG perjalanan Hazreen hanya mendiamkan diri. Tiada sepatah perkataan pun keluar dari bibir nipisnya. Dia hanya duduk dengan sopan sambil termenung kosong. Merenung cermin hadapan kereta Ashril yang berkilat. Entah berapa kali dilap dalam sehari agaknya?

Ashril juga begitu. Mereka berada dalam ruang peribadi masing-masing. Mereka bagaikan tidak sedar akan kewujudan satu jasad lain di sebelah mereka. Sehinggalah dalam beberapa minit yang menyeksakan itu, akhirnya Hazreen terlelap tanpa dia sedari.

Baru sahaja ingin menjengah ke alam mimpi-mimpi nan indah, tiba-tiba kereta yang dipandu Ashril berhenti secara mengejut membuatkan kepala Hazreen terhentak ke dashboard kereta. Buat seketika Hazreen rasa kepalanya berpinar-pinar. Sakit sudah tentu.

“Hoi! Kau ni dah kenapa, hah? Kau nak bunuh aku ke?” jerkah Hazreen sambil menekan dahinya dengan tapak tangan. Wajahnya berkerut-kerut menahan kesakitan.

Ashril meruap mukanya beberapa kali. Wajahnya pucat. Hazreen sendiri tidak pasti apa yang sebenarnya terjadi. Dia baru saja ingin melelapkan mata yang mengantuk. Atau sebenarnya Ashril sengaja buat begitu kerana dengki dan iri hati melihat dia sedang lena.

“Kau okey ke?” tanya Ashril.

“Okeylah sangat. Kau tak nampak kepala aku sakit ni?” jawab Hazreen dengan geram.

“Aku terlelap tadi.Nasib baik aku tak terbabas. Nyaris-nyaris lori kontena tu langgar kita tadi,”jelas Ashril dengan selamba.

Luas biji mata Hazreen memandang Ashril. Lori kontena? Ya Allah… boleh pulak dia terlelap sambil memandu kereta? Tak boleh harap langsung! Gumam Hazreen di dalam hati.

“Kau jangan nak salahkan aku. Aku bosan, tau tak? Ada orang kat sebelah pun macam tunggul kayu aje. Ada mulut tapi macam bisu.” Tiba-tiba Ashril bersuara lagi. Nadanya sedikit keras. Dia seakan dapat membaca isi hati Hazreen ketika itu.

“Habis tu kau nak salahkan akulah?” Hazreen mencegil matanya pada Ashril.

“Apa salahnya kalau kauborak-borak dengan aku. Tak adalah aku mengantuk. Itulah gunanya ada teman di sebelah. Kalau macam ni baik aku balik sorang-sorang aje,” rungut Ashril.

“Kau ingat ya… bukan aku yang nak ikut kau. Abang Irsyad yang paksa. Kalau kau tak suka, kenapa kau tak cakap dengan Abang Irsyad?”

“Ada aku cakap, aku tak suka?” Tepat pandangan mata Ashril pada wajah Hazreen. Tajam bagaikan mata pedang.

“Dari cara kau cakaptu, aku fahamlah.” Mendatar suara Hazreen sambil memandang ke tempat lain.

“Itulah masalah kau,suka menuduh orang. Suka cari pasal. Kalau kau asyik nampak yang negatif tentang orang lain, itu bukan orang lain yang ada masalah tapi kau yang ada masalah,” tungkas Ashril membuatkan Hazreen terdiam.

Keadaan sunyi seketika.Kalau diikutkan, Hazreen masih mahu bertengkar dengan Ashril tentang perkaraitu. Atau mungkin juga melarikan diri dari situ. Memperjudikan keselamatan diri dengan pulang sendiri ke rumah. Sayang sekali dia tidak tahu bas mana yang boleh membawa dia pulang ke rumah. Mungkin lain kali dia harus mengkaji semua perjalanan untuk pengangkutan awam. Teksi, bas, komuter mahupun LRT.

Ashril meneruskan pemanduan setelah keadaan kembali reda. Kali ini dia menambah nyaring volume radio di dalam kereta. Hazreen biarkan saja walaupun telinganya sangat bingit. Harapnya Ashril takkan terlelap lagi. Dia tidak mahu bergadai nyawa bersama lelaki itu. Lagu-lagu di radio terus menemani mereka hinggalah kereta yang dipandu Ashril berhenti di hadapan sebuah restoran.

“Jom,” ajak Ashril dengan selamba.

“Nak ke mana pulak ni?”Dahi Hazreen berkerut-kerut.

Tanpa mengendahkan soalan Hazreen, Ashril terus keluar dari kereta dan meninggalkan Hazreen begitu sahaja.Langkahnya laju dan terus menghilang di dalam restoran itu. Kurang asam betul! Hazreen mengetap bibir.

Hazreen rasa seperti sebatang kayu mati yang berada di tengah-tengah sebuah tasik yang luas. Sunyi,sepi dan sendiri. Hanya ditemani bunyian katak yang menanti hujan tak kunjung tiba. Itulah yang Ashril lakukan pada dia saat ini.

Hazreen masuk ke dalam restoran sambil mencari-cari di manakah gerangannya lelaki tiada perasaan itu? Mencari di setiap sudut restoran. Tidak ramai pelanggan. Ke mana pulak dia pergi ni?Tak nampak batang hidung pun? Hazreen sudah mengaru-garu kepala yang tidak gatal. Setahunya tadi Ashril memang masuk ke restoran ini. Takkanlah matanya tersilap pandang?

“Adik cari siapa ni?” tanya seseorang.

Hazreen menoleh ke arah suara itu. Seorang lelaki tersenyum ke arahnya. Hazreen telan air liur. Rupa lelaki itu bolehlah dikatakan menakutkan. Bukan dalam golongan wajah yang menyenangkan untuk dipandang.

“Marilah duduk dengan abang. Abang pun memang makan seorang saja ni,” pelawa lelaki itu sambil menarik kerusi kosong di sebelahnya.

Hazreen hanya mampu tersengih dalam paksa. Dia sudah berkira-kira ingin keluar dari restoran itu.Tak mungkinlah dia akan terima pelawaan lelaki tidak dikenali itu.

“Marilah.” Lelaki itu seakan mendesak. Malah berani pula tangannya mencapai lengan Hazreen seolah memaksa Hazreen duduk di sebelahnya.

Bro, jangan kacau awek gua boleh tak?” Tiba-tiba saja Ashril sudah berada di sebelah Hazreen.

Hazreen tergamam memandang Ashril yang muncul entah dari mana. Hazreen telan air liur lagi. Sejak bila pulak aku jadi awek dia?

Lelaki itu memandang Ashril dengan sinis. Dia menyedut sedikit teh ais di dalam gelas.

“Kalau ni awek lu,kenapa lu biar dia sorang-sorang kat sini?” soalnya.

Ashril hanya memandang lelaki itu dengan wajah bengang. Hazreen sudah mula gelisah melihat gelagat dua lelaki itu. Suasana nampak tegang. Secara fizikalnya lelaki itu kelihatan lebih besar daripada Ashril. Silap hari bulan Ashril hilang sepuluh batang gigi akibat dibelasah mamat sado itu. Baru padan dengan muka Ashril.

Ashril menarik tangan Hazreen meninggalkan lelaki itu ke satu sudut yang lain. Hazreen berasa lega.Nampaknya Ashril sedar bala yang bakal dia tanggung kalau cuba mencari pasal dengan lelaki bermuka pecah rumah itu.

“Buat apa kau layan lelaki tu?” soal Ashril setelah mereka duduk di sebuah meja.

“Bila aku layan dia?”soal Hazreen semula. Bingung.

“Habis yang kau tersengih-sengih tu, kenapa?”

“Bila aku tersengih-sengih?”

“Kau ingat aku tak nampak ke tadi?” tekan Ashril.

Hazreen geleng-geleng kepala. Dia benar-benar tidak faham apa yang Ashril maksudkan. Dia malas sebenarnya mahu bertengkar lagi dengan Ashril. Cukuplah di dalam kereta tadi.Dia mahu cepat sampai ke rumah. Mahu segera Ashril meninggalkan dia. Berada dekat dengan Ashril membuatkan nafasnya sentiasa sesak seolah-olah udara di sekelilingnya ini sudah kekurangan oksigen.

Dan lelaki ini pula seakan sengaja melambat-lambatkan waktu. Dalam perjalanan tadi Ashril berhenti beberapa kali di stesen minyak. Mengisi petrol, pergi ke tandas dan mengeluarkan wang di mesin ATM. Semua itu Ashril lakukan di stesen minyak yang berlainan. Dan sekarang mereka berhenti di restoran ini pula tanpa Hazreen tahu sebabnya. Bila agaknya dia boleh sampai ke rumah? Inilah perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur yang paling panjang pernah Hazreen rasakan.

“Aku cari kau tadi. Kau pergi mana? Tiba-tiba aje hilang?” Hazreen menukar tajuk perbualan.

Ashril berdehem sedikit.

“Aku pergi toilet kat belakang tu,” jawabnya.

Tercetus keluhan dibibir Hazreen. Toilet lagi. Bukan tadi Ashril dah buang air di stesen minyak?

“Kalau ia pun nak pergi toilet, tak boleh ke cakap dulu?”

Ashril memandang wajah Hazreen tepat. Dan Hazreen terus memandang ke tempat lain. Dia kalah dengan renungan mata Ashril itu.

“Sejak bila nak pergi toilet kena cakap dengan kau?” Ashril masih dengan nada sinisnya.

Hazreen menggetap bibir kegeraman. Jika diikutkan hati, mahu diluku saja muka Ashril yang selamba badak itu. Malas dia ingin melayan kata-kata Ashril yang jelas mahu membangkitkan api kemarahannya. Dia sendiri tidak tahu mengapa hari ini dia begitu sabar melayani kerenah Ashril. Mungkin kerana kereta yang dia naiki itu adalah kereta Ashril.Maka Ashril bebas menunjukkan kuasanya.

“Dahlah, aku nak balik.” Hazreen bingkas bangun.

“Duduk!” tekan Ashril sedikit keras.

Hazreen tidak jadi hendak melangkah. Terkebil-kebil dia memandang Ashril.

“Kat sini aku yang bagi arahan. Bukan kau,” tegas Ashril.

Wah! Semakin ketara sifat gila kuasa Ashril nampaknya. Tak apa, sabar Hazreen. Sikit saja lagi dah nak sampai ke rumah, bisik hati Hazreen.

“Kita nak buat apa kat sini?” rungut Hazreen.

“Ada ke orang masuk restoran nak belajar menjahit?” perli Ashril.

Hazreen duduk semula di kerusi. Hazreen rasa seperti mahu terkena darah tinggi. Maka ada baiknya jika dia memutuskan untuk berdiam diri sahaja sebagai langkah selamat.

“Aku lapar ni. Kita makan dulu lepas tu aku hantar kau balik,” ujar Ashril sambil tangannya memanggil pelayan untuk memesan makanan.

 

Previous: BAB 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.