Home Novel Cinta Sempurnakan Aku
Sempurnakan Aku
Eina Afrina
1/9/2017 13:20:34
28,757
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 4

RANCANGAN televisyen yang terpancar di skrin amat membosankan. Macam sudah tak ada rancangan lain yang boleh ditonton dek Hakimi. Lagi-lagi sukan dan lumba kereta. Siaran ulangan pulak tu. Patutlah otak Hakimi tak pernah nak berkembang. Dia tak pernah nak menjiwai kehidupan lain. Jika minatnya pada satu perkara, maka satu perkara saja yang mampu dia lakukan.

“Sukalah budak-budak tu umminya dah balik. Kalau tidak,sedih aje muka Afif dengan Faiz tu,” ujar Mak Bibah.

Hazreen tersenyum cuma. Dia melangut pula di depan pintu memandang ke laman rumah.

“Ana kmana yang tak rindukan emaknya? Mak cik yang dah tua ni pun kadang-kadang rindu nak jumpa dengan mak. Tapi nak buat macam mana, mak pun dah tak ada. Kan bagus kalau mak cik masih ada mak. Bolehlah bermanja-manja,” sambung Mak Bibah. Sayu sahaja bunyinya.

“Betul tu mak cik. Reen harap lepas ni mereka takkan ditinggalkan lagi.” Satu keluhan dilepaskan Hazreen.

Diapun sudah hampir lima tahun hidup tanpa belaian kasih ibu. Hanya Irsyad danAzirah tempat menumpang kasih. Tiba-tiba timbul pula masalah baru. Dengan tidak disangka-sangka kakak iparnya yang kelihatan cukup solehah itu buat perangai pula.

Hisy,geram betul Hazreen memikirkannya!

Bagaimana masa depan anak-anak buahnya jika Irsyad dan Azirah berpisah? Ya, memang Irsyad boleh saja berkahwin dengan wanita lain. Tetapi tentu tidak sama kasih sayang yang diberi oleh seorang ibu tiri terhadap anak tiri. Hazreen tidak sanggup melihat anak-anak saudaranya didera oleh ibu tiri mereka seperti dalam kisah bawang merah bawang putih. Ia terlalu kejam dan menyayat hati.

Tiada jaminan untuk mereka hidup tenang selepas ini selagi Azirah tidak menamatkan hubungan gelapnya dengan Faizal. Tapi Hazreen akan pastikan perkara begitu takkan berulang lagi. Jika kakak iparnya yang tidak tahu dek untung itu masih mengulangi perbuatan itu, Hazreen tidak akan bagi muka lagi. Dia akan segera memaklumkan kepada Irsyad. Apa nak jadi, jadilah! Biar wanita itu tahu langit tinggi atau rendah. Biar Irsyad sendiri yang mengajar isterinya. Bak kata pepatah, jika tiada rotan, pelempang pun berguna juga.

“Maktu dah tua memang tak peliklah kalau dah tak ada mak. Cuba mak bayangkan kalau arwah nenek masih hidup agak-agak dah berapa umurnya?” Hakimi menyampuk tiba-tiba sekali gus mematikan lamunan Hazreen.

“Entahlah. Mak pun tak pernah kira, Kim.” Mak Bibah membalas.

“Kim rasa dah dekat seratus tahun kot. Mak lupa ke yang mak tu anak bungsu. Anak yang ke14 dalam adik beradik mak. Jadi mak tak payahlah berangan yang mak masih ada mak. Memang tak masuk akal,” sambung Hakimi lagi dengan lancar.

“Hisy, kau ni! Mak andaikan aje. Bukan betul-betul pun.”Mak Bibah menarik hujung telinga Hakimi dengan jarinya membuatkan Hakimi terjerit kesakitan.

Hazreen ketawa. Mulut Hakimi memang tak ada insuran. Kan dah kena tarik telinga. Padan muka! Bisik hati Hazreen.  

“Reen,jemput minum air ni. Nanti sejuk tak sedap dah,” pelawa Mak Bibah. Enggan mempedulikan Hakimi yang masih menyeringai kesakitan.

Air teh o itu sudah terhidang di atas meja sejak tadi. Masih panas berasap tetapi tidak diusik langsung oleh Hazreen.

“Buat susah-susah aje mak cik ni. Reen datang sini saja nak lepak-lepak aje. Bukan nak minum pun,” ujar Hazreen.

Rumah Mak Bibah ini sudah seperti rumah kedua Hazreen. Sejak kecil lagi di sinilah tempat Hazreen lari jika merajuk. Hingga dengan tidak semena-mena Mak Bibah dan Irsyad sepakat ingin menjodohkan dia dengan Hakimi dengan alasan yang tak berapa nak kukuh. Dia pun sama bahlol pada waktu itu, ikut saja kehendak mereka. Tak sangka kehidupan ini boleh diatur dengan begitu mudah sekali.Terasa seperti dia masih berada di zaman Hang Tuah.

Yang ajaibnya, Hakimi pun boleh setuju dengan permintaan tidak masuk akal Irsyad itu.Mungkin Hakimi pun tahu tiada anak dara lain yang sudi berkahwin dengan dia.Sudahlah rupa tak berapa nak kacak, poketnya pula asyik kekeringan. Mulut pula boleh tahan berpuaka. Jadi sudah cukup baik jika Hazreen sudi berada di sisi sebagai pendamping. Biarlah sakit di mata asalkan tak sakit di hati.

Setiapkali Hazreen jejakkan kaki ke rumah Mak Bibah, Hakimi selalu perasan Hazreen mencari dia. Hakikatnya Hazreen cuma inginkan ketenangan. Di rumah sendiri memang tiada langsung ketenangan. Sentiasa riuh rendah dengan kerenah anak-anak Irsyad. Tambahan lagi saat dia dilanda krisis dengan Azirah seperti hari ini. Sebenarnya dia malas ingin menghadap wajah hipokrit yang berada di dalam rumah itu. Dia masih tidak boleh memaafkan perbuatan Azirah itu.

Dan Irsyad, dengan mudah menerima kepulangan Azirah tanpa sedikitpun syak wasangka.Begitu yakin bahawa isterinya seorang wanita mithali. Kehidupan mereka nampaknya sudah kembali seperti sedia kala. Irsyad akan terus tertipu dengan sandiwara Azirah yang begitu baik melayani suaminya.

“Dah orang buatkan air tu, minum ajelah. Ini asyik termenung sana, termenung sini.Kau ni dah terlebih makan asap ke semalam?” celah Hakimi yang sedang menonton televisyen.

Hazreen buat-buat tidak mendengar. Biarlah Hakimi nak cakap apa sekalipun. Dia akan buat bodoh sahaja.

“Ni mimpi apa kau nak lepak kat sini tiba-tiba? Biasanya kau datang sini bila ada masalah aje kan?” tambah Hakimi lagi apabila melihat Hazreen tidak memberikan sebarang respons.

“Okeylah,aku balik. Ingat aku suka sangat tengok muka kau?” bidas Hazreen.

“Muka inilah yang akan kau tengok siang dan malam bila kita dah kahwin nanti.” Hakimi tersengih.

Hazreen buat gaya nak termuntah. Dia tak dapat membayangkan malam pengantin antara dia dan Hakimi. Rasanya bukanlah seperti malam pengantin yang ditunggu-tunggu oleh setiap bakal pengantin yang lain. Ia bagaikan sebuah cerita donggeng yang tak mungkin berlaku di alam nyata. Atau mungkin sebuah cerita seram yang tragis yang tidak diimpikan oleh sesiapa pun termasuk Hazreen.

Jika difikir-fikir memang pelik percintaan ini. Keinginan Irsyad dan Mak Bibah yang menciptakan cerita seram ini, sehingga Hazreen terpaksa melakukan sesuatu yang di luar kemahuan. Menerima Hakimi sebagai calon suami sedangkan hatinya sendiri masih berbelah bahagi. Satu penerimaan yang tidak mutlak dari dasar hati. Keterpaksaan ini yang membuatkan dia semakin merasa hambar dalam bercinta. Oh, pembetulan! Dia tak pernah bercinta dengan Hakimi, biarpun sekadar cinta monyet.

Namun semua ini berpunca dari kenaifannya sendiri kerana ragu-ragu untuk memilihjalan yang lain. Dia tidak tahu apa yang sedang menanti di hadapan. Dia bimbang jika tersalah pilih. Sedangkan di sini dia hanya perlu menyusuri jalan yang sudah tersedia, mestipun bahagianya masih belum pasti.

“Kau ni pun satu Kim, cakap elok-elok sikit dengan Reen tak boleh ke?” marah Mak Bibah pada anak bujangnya yang satu itu.

“Dah eloklah tu mak. Nak elok macam mana lagi?”

“Tak apalah, mak cik. Reen pun memang dah nak balik ni. Reen pergi dulu ya?”

Hazreen bersalaman dengan Mak Bibah lalu terus melangkah keluar tanpa mempedulikan Hakimi.Sebelum bangun tadi sempat juga Hazreen menendang kaki Hakimi yang berada di bawah meja. Berkerut juga muka Hakimi akibat tendangan itu.

“Kan merajuk dah dia,” keluh Mak Bibah pada Hakimi.

Hakimi hanya tersengih. Rajuk Hazreen tu takkan ke mana. Esok lusa baiklah dia, bisik hati Hakimi.

 

 

HAZREEN buat tidak nampak sahaja ketika melalui Ashril yang sedang sibuk mengelap keretanya.Kereta itu sentiasa kelihatan berkilat. Tiada habuk mampu hinggap lama di tubuh kereta berwarna putih itu. Cepat-cepat dibersihkan semula oleh tuannya.

“Kau dari mana ni?” tegur Ashril.

“Dari balai bomba,” jawab Hazreen tanpa memandang lelaki itu.

Ashril terpinga seketika dengan jawapan Hazreen. Apa pulak halnya pergi ke balai bomba? Ada kebakaran ke?

“Aku nampak kau dari rumah sebelah tadi,” ujar Ashril pula.

“Habis tu kalau kau dah tahu, buat apa kau tanya lagi?” soal Hazreen sambil bercekak pinggang di hadapan pintu mempamerkan postur tubuhnya yang ala-ala model.

Ashril terkedu. Perempuan ni memang sengaja mencari pasal. Dari pagi tadi mulutnya pakai lepas saja. Dan dia masih ingat ketika Hazreen buat tidak endah sahaja ketika Azirah mempelawanya makan tengah hari. Sudahlah tidak menolong masak.Menyombong pulak tak pasal-pasal.

“Aku tak kisah kalau kau nak biadap dengan aku. Tapi kenapa kau biadap sangat dengan Kak Azi? Dia tu kakak ipar kau, tau?” Ashril menghampiri Hazreen yang berwajah selamba.

“Suka hati akulah nak biadap ke, apa ke, kau peduli apa?”

“Kak Azi tu kakak aku. Dah tentulah aku peduli.”

“Ada aku kisah? Kau dengan kakak kau, sama aje perangai. Menyakitkan hati. Pandai berlakon!” tekan Hazreen.

Ashril bercekak pinggang pula di hadapan Hazreen.  

“Aku tak tahulah apa masalah kau sekarang ni. Tapi makin lama perangai kau ni makin melampau. Kau memang jenis manusia yang tak tahu nak hormat orang ya? Sama macam tunang kau yang kat sebelah rumah tu jugak.” Ashril menyindir.

“Kenapa kau nak libatkan Kimi pulak?” Hazreen merenung wajah Ashril. Melawan pandangan mata Ashril yang tajam bagaikan mata pisau.

“Oh! Kimi namanya?” Ashril buat-buat ketawa.

“Bila kau nak kahwin dengan dia, hah? Rasanya dah lama jugak kau bertunang,” sambung Ashril bersahaja.

“Yang kau sibuk, kenapa? Suka hati akulah nak kahwin bila-bila pun. Bukan kahwin dengan kau pun.”

“Sebab bukan kahwin dengan akulah, aku nak kau kahwin cepat. Supaya kau boleh cepat-cepat keluar dari rumah ni. Supaya kau tak terus menyusahkan kakak aku.”

“Bila aku menyusahkan kakak kau? Eh, ini rumah mak bapak aku. Bukan rumah kakak kau.Kau kena sedar tu.”

“Mak bapak kau dah tak ada. Sekarang rumah ni milik Abang Irsyad. Abang Irsyad tu suami kakak aku. So, rumah ni kira rumah kakak aku jugak. Faham? Takkan bila kau dah kahwin nanti kau masih nak duduk sini jugak? Ke Si Kimi tu tak ada duit nak buatkan kau rumah? Asyik sibuk ke hulu ke hilir dengan kereta buruk dia tu pusing keliling kampung. Nak ada duit macam mana? Menumpang ajelah jawabnya.”

“Sekurang-kurangnya dia tak pernah menyusahkan mak bapaknya. Tak menyusahkan adik-beradiknya. Bukan macam kau tu, kononnya naik kereta Toyota Vios baru tapi masa beli kereta tu dulu kau pinjam duit abang aku nak bayar down payment,kan? Sampai sekarang pun belum habis bayar lagi, kan?”

Ashril mengetap bibir geram. Sudah tidak terkata apa. Hazreen ketawa kecil melihat muka Ashril yang sudah merah padam. Marah nampaknya. Macamlah aku takut! Siapa suruh kau cari pasal dengan aku? Bisik hati Hazreen.

“Tak payah nak berlagak sangatlah. Cermin diri kau tu dulu sebelum nak mengata orang lain,” sambung Hazreen sebelum dia berlalu masuk ke dalam rumah dengan hati yang puas.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.