Home Novel Cinta Sempurnakan Aku
Sempurnakan Aku
Eina Afrina
1/9/2017 13:20:34
28,762
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 3

AWAL pagi Hazreen sudah masuk ke dapur. Menyiapkan sarapan untuk semua. Irsyad akan ke sekolah bersama-sama Zahidan dan Raihana. Faiz akan ke tadika. Manakala Afif akan berada di rumah bersama Hazreen. Kini rutin harian yang selalu dilakukan Azirah sudah diambil alih oleh Hazreen. Dua hari lepas Afif terpaksa dihantar ke rumah Hakimi dan dijaga oleh Mak Bibah buat sementara. Hari ini anak kecil itu sedikit ceria dengan kehadiran Hazreen. Tak perlulah dia dihantar ke rumah sebelah.

           “Azi tak balik lagi, Reen?” tegur Mak Bibah yang sedang menyidai pakaian di laman rumah sebelah.

           Hazreen yang baru sahaja pulang dari menghantar Faiz ke tadika, hanya tersenyum memandang Mak Bibah. Sudah tentu bakal mentuanya itu banyak mengetahui kemelut rumah tangga Irsyad. Setiap kali Azirah meninggalkan anak-anak di rumah, Mak Bibahlah yang membantu Irsyad menjaga anak-anak sementara Irsyad pergi ke tempat kerja. Mujurlah Irsyad seorang guru sekolah. Dia hanya bekerja separuh hari. Jam 2.00 petang Irsyad sudah berada di rumah.

           “Terima kasih banyak sebab mak cik tolong jaga Afif dengan Faiz masa Abang Irsyad pergi kerja semalam,” ucap Hazreen sambil menghampiri wanita berusia 50-an itu.

           “Sama-sama.Budak-budak ni pun mak cik dah anggap macam cucu-cucu mak cik sendiri. Mak cik tolong setakat yang mampu aje,” balas Mak Bibah.

           Hazreen tersenyum pada Mak Bibah. Dia tahu Mak Bibah bukanlah sihat sangat. Orang tua itu ada masalah jantung. Selalu semput dan kepenatan. Tak mungkin Mak Bibah mampu menjaga Afif dan Faiz dengan sempurna. Serba sedikit timbul juga rasa bersalah di hati Hazreen kerana kemelut yang melanda ini bukan saja menyusahkan dia, tetapi juga menyusahkan Mak Bibah.

           “Dah masuk tiga hari Azi pergi ke Kuala Lumpur. Teruk sangat ke sakit mak ngah dia tu, Reen?” soal Mak Bibah ingin tahu.

           Dia sudah selesai dengan tugasnya menyidai pakaian di ampaian. Kini fokusnya beralih pada Hazreen yang sedang mendukung Afif.

           “Entahlah mak cik. Teruk agaknya,” jawab Hazreen.

           Terpaksalah dia menjadi seorang pembohong gara-gara olah kakak iparnya itu. Jaga mak ngah sakit konon! Dasar perempuan tak ada maruah! Seranah Hazreen di dalam hati.

           “Mak ngah dia tu takada anak ke?” Mak Bibah bertanya musykil.

           “Ada.Lima orang,” ujar Hazreen sambil menurunkan Afif ke bawah. Membiar kankanak-kanak itu bebas bermain di laman yang luas itu.

           “Habis tu, kenapa Azi pulak yang kena duduk sana jaga mak ngah dia?” soal Mak Bibah lagi.

           Hazreen terdiam. Dia hanya mampu memandang Mak Bibah dengan pandangan kosong. Memang tidak logik jika Azirah yang menjaga mak ngah sedangkan mak ngah mempunyai ramai anak. Kesemua anak-anak mak ngah tidak pernah mengabaikan mak ngah. Disitu sahaja sudah timbul kecurigaan.

           Jika benar Azirah ingin menjaga mak ngah sekalipun, mengapa harus dia meninggalkan Afif bersama Irsyad? Apakah menjaga mak ngah itu lebih penting daripada menjaga anak-anak sendiri? Bak kata pepatah, kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan.

           “Makcik ni bukan apa Reen, kesian pada anak-anak buah kamu ni. Tak terurus dengan sempurna. Irsyad tu lelaki, manalah sama macam ummi dia yang jaga. Mak cik ni pun dah tua, bukan larat sangat nak jaga budak kecik. Setakat tolong tengok-tengokkan tu bolehlah,” lanjut Mak Bibah sejujurnya.

           “Reen faham mak cik, sebab itulah Reen balik ni. Reen tak nak susahkan mak cik jaga anak buah Reen. Dahlah Afif ni lasak. Tak tahu duduk diam.”

           “Tak menyusahkan pun, Reen. Cuma mak cik kesian denganAfif ni. Mintak-mintak ummi dia baliklah cepat. Mesti dia rindu dengan ummidia,” kata Mak Bibah sambil mengusap rambut Afif dengan lembut.

           Hazreen hanya mengangguk. Jauh di sudut hati, Hazreen juga berharap agar segalanya kembali kepada asal. Semoga Azirah sedar kesilapannya dan kembali kepada keluarga seperti dahulu. Kembali kepada anak-anak yang masih mengharapkan kasih sayang seorang ummi.

           “Assalamualaikum.”

           “Waalaikumsalam. Panjang umurnya. Baru aje disebut-sebut,orangnya dah sampai,” sahut Mak Bibah buat lamunan pendek Hazreen terhenti.

           Hazreen terus menolah ke belakang. Ketika itu kelihatan Azirah sedang berjalan menghampiri mereka. Afif terus berlari meluru ke arahAzirah dengan riang. Beberapa saat saja Afif sudah berada dalam pelukan Azirah.Betapa ceria wajah Afif ketika itu. Namun wajah Azirah biasa-biasa sahaja. Dia seolah-olah tidak merindui anak kecil itu.

           Melilau mata Hazreen melihat sekeliling. Mencari-carisiapa yang menghantar Azirah pulang. Sebuah kereta Toyota Vios parkir dihadapan rumah. Kalau tak silap itu kereta Ashril, adik Azirah yang menetap diKuala Lumpur. Oh, mereka datang berdua? Sandiwara apakah ini?

           “Reen pun ada,” tegur Azirah dengan ramah.

           Hazreen buat tidak tahu saja. Dia menjarakkan sedikit dirinya daripada Azirah.

           “Macam mana keadaan mak ngah kamu sekarang?” Mak Bibah bertanya.

           Azirah sedikit tergamam. Dia memandang ke arah Hazreen sebelum menjawab.

           “Alhamdulilah, dah nampak sihat sikit,” jawab Azirah.

           Hazreen rasa sungguh meluat. Azirah memang pandai berpura-pura. Reaksinya nampak bersahaja. Mudah saja semua orang tertipu dengan lakonan mantapnya.

           “Ingatkan dah tak tahu jalan nak balik ke rumah,” sindirHazreen ketika mereka berjalan beriringan menuju ke rumah.

           Azirah diam saja. Ashril yang baru keluar dari kereta hanya memandang ke arah Hazreen. Mungkin dia mendengar kata-kata Hazreen sebentar tadi.

           “Kenapa tak suruh jantan semalam tu hantar akak balik?”soal Hazreen dengan sinis.

           “Kau merepek apa ni, Reen?” Tiba-tiba Ashril mencelah. Wajahnya tegang memandang Hazreen yang pagi ini bermulut agak celupar terhadap kakaknya.

           “Oh, kau tak tahu lagi ke?” Hazreen memandang ke arahAshril. Lelaki yang sentiasa berwajah ketat dan kelat. Malah lebih kelat daripada buah kedondong muda.

           “Tahu apa?” balas Ashril serius.

           Azirah kelihatan sudah tidak selesa. Matilah dia jika Hazreen menceritakan apa yang berlaku semalam kepada Ashril. Sudah tentu Ashril juga akan menyalahkannya dalam hal ini. Sudah tentu Ashril juga akan berpatah arang dengan dia.

           “Kau tanya kakak kesayangan kau ni. Tiga hari yang lepas tu, dia pergi ke mana? Dia jumpa siapa?” kata Hazreen bersahaja. Selepas berkata begitu, Hazreen terus meluru masuk ke dalam rumah meninggalkan Azirah dan Ashril.

           Ashril hanya terpinga-pinga memandang kelibat Hazreen menghilang dan kemudian beralih memandang Azirah meminta kepastian.

           “Tak ada apa-apalah. Jom masuk,” ajak Azirah lalu mendahului Ashril masuk ke dalam rumah sambil mendukung Afif. Membiarkan persoalan itu tergantung begitu saja.   

 

 

“REEN cuti ke hari ni?”soal Azirah dengan lembut sambil duduk di hadapan Hazreen.

           Waktu itu Hazreen sedang duduk di meja makan sambil menjamah kerepek pisang. Ashril sudah masuk ke dalam bilik untuk berehat. Irsyad pula masih belum pulang dari sekolah. Memang ini masa yang sesuai untuk Azirah berbaik-baik semula dengan Hazreen. Dia yakin Irsyad masih belum tahu perkara sebenar. Dia harus memastikan adik iparnya ini terus mengunci mulutnya rapat-rapat. 

           Hazreen diam sahaja tanpa mengendahkan pertanyaan Azirah.Dia buat-buat sibuk dengan telefon bimbitnya. Dia memang tiada hati mahu berbual-bual dengan Azirah seperti selalu. Hatinya sakit setiap kali mengingati pengkhianatan kakak iparnya itu.

           “Akak tahu Reen masih marahkan akak pasal kes semalam.Akak sedar memang akak yang salah dalam hal ni. Akak tak sepatutnya jumpa Faizal.” Azirah memulakan kata. Agak perlahan kerana tidak mahu didengar adiknya, Ashril yang berada di dalam bilik.

           Hazreen angkat muka memandang Azirah. Lalu telefon bimbitnya ditutup dan diletakkan di sisi. Agak lama dia memandang wajah kakak iparnya itu sebelum membuka kata.

           “Reen tak sangka, kak. Sanggup akak buat semua tu.Sanggup akak tipu semua orang termasuk Abang Irsyad. Sanggup akak abaikan anak-anak hanya kerana nak jumpa lelaki tu. Perempuan jenis apa akak ni?” Suara Hazreen mendatar sahaja namun tetap kedengaran sinis.

           “Akak minta maaf, Reen.” Azirah tertunduk.

           “Bukan dengan Reen tapi dengan Abang Irsyad. Dengan anak-anak yang patut akak minta maaf.” Pantas Hazreen membidas.

           “Abang Irsyad takkan maafkan akak kalau dia tahu hal sebenar.”

           “Suami mana yang tak marah kalau isterinya curang? Abang Irsyad akan tahu jugak suatu hari nanti. Kalau pun bukan dari mulut Reen, dia akan tahu dari mulut orang lain.”

           Azirah menatap semula wajah Hazreen dengan riak menagih simpati. Dia tidak mahu Irsyad tahu dari mulut orang lain. Dia sendiri akan berterus-terang suatu hari nanti. Tapi bukan sekarang masanya. Dia perlu merancang dengan teliti agar segalanya berjalan lancar. Ingin meminta cerai bukan sesuatu yang mudah. Tambahan pula jika perceraian itu berpunca dari dirinya sendiri. Seluruh masyarakat akan menunding jari ke arahnya. Dia sangat sedar akan risiko itu.

           “Setakat ni tak ada siapa yang tahu hal ni. Cuma Reensorang saja. Akak belum bersedia untuk berterus-terang dengan Abang Irsyad.Tapi kalau masanya dah sesuai nanti, akak sendiri akan beritahu Abang Irsyadhal sebenar,” beritahu Azirah.

           Hazreen terdiam. Dia tidak tahu apa yang berlegar difikiran Azirah. Agak keliru dengan pendirian Azirah sekarang ini.

           “Dah berapa lama akak jalinkan hubungan dengan Faizal?”Hazreen bertanya.

           “Tiga bulan,” jawab Azirah.

           Hazreen tarik nafas dalam. Ya, memang sejak kebelakangan ini perangai Azirah sangat berubah. Ia diakui oleh anak sulung mereka sendiri iaitu Zahidan. Dan Abang Irsyad, walaupun sedar perubahan ketara isterinya itu,dia hanya berdiam diri dan memendam rasa.

           “Mana akak kenal dia?” soal Hazreen lagi. Suaranya agak keras. Hilang sudah rasa hormat terhadap kakak iparnya itu.

           “Faizal tu bekas kekasih akak masa di sekolah dulu. Kami jumpa semula di Facebook. Sejak tu kami selalu berhubung. Bila dah lama-lamaFaizal ajak jumpa. Akak pun setuju. Sejak itulah hubungan kami makin rapat.Akak tak sangka yang Faizal masih cintakan akak sampai sekarang,” terang Azirah dengan jujur.

           “Dan akak juga masih cintakan dia?”

           Azirah mengangguk perlahan-lahan walaupun wajahnya diselubungi rasa bersalah. Dia tidak mampu untuk berselindung lagi dari Hazreen.Hazreen sudah melihat segala-galanya. Maka jalan terbaik adalah berterus-terang. Hazreen bukan kanak-kanak yang senang ditipu dengan pelbagai alasan.

           Hazreen menggeleng-geleng kepala mendengar pengakuan Azirah. Begitu mudah ia berlaku. Tak perlu keluar rumah setiap hari. Tak perlu bersemuka dengan sesiapa. Sekelip mata sahaja manusia boleh jatuh cinta walau sekadar di alam maya. Segalanya hanya di hujung jari. Memang tak berapa logik tapi itulah yang berlaku. Kali ini ia benar-benar berlaku di depan mata Hazreensendiri.

           “Akak sedar tak akak ni dah bersuami? Akak dah ada empat orang anak yang sedang membesar. Akak ada tanggungjawab yang besar dalam keluarga. Sekarang bukan masanya akak nak sibuk fikirkan bekas kekasih. Semuatu kisah lama yang sepatutnya dah berkubur,” tempelak Hazreen.

           “Akak tak boleh halang perasaan ni, Reen. Dia datang sendiri. Bukan akak yang minta terjadi semua ni.” Lirih suara Azirah mengharap Hazreen mengerti.

           “Nonsense! Perasaantu datang sebab akak rajin melayan. Kalau dari awal lagi akak elakkan benda tu takkan berlaku, kak. Memang akak yang tergedik-gedik dengan jantan tu. Akak yang pergi kejar jantan tu di KL sana, kan? Bukan jantan tu yang datang sini cari akak.Sudahlah kak, Reen malas nak cakap banyak dengan akak. Akak fikirlah sendiriapa yang patut akak buat.”

           Hazreen terus bingkas bangun meninggalkan Azirah di situ.Semakin lama dia mendengar luahan Azirah tentang perasaan cintanya yang kononnya datang secara tak sengaja itu, Hazreen semakin rasa meluat. Rasa seperti mahu muntah. Banyak yang tidak logik daripada yang logik.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.