Home Novel Cinta Sempurnakan Aku
Sempurnakan Aku
Eina Afrina
1/9/2017 13:20:34
28,760
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 2

“APA yang berlaku tadi? Siapa perempuan tu?” Soalan bertubi-tubi keluar dari bibir Izara.

Hazreen diam tanpa sebarang penjelasan. Pandangan matanya dihalakan keluar tingkap kereta. Tidak tahu bagaimana ingin menjelaskan pada Izara. Perkara ini terlalu mengaibkan. Terlalu memalukan. Kakak iparnya yang sudah berumur lewat 30-an ada skandal dengan lelaki lain. Azirah curang dengan Irsyad. Bagaimana ini boleh berlaku? Ia benar-benar di luar jangkaan.

Azirah yang selama ini Hazreen lihat sebagai seorang isteri yang baik. Seorang ibu yang penyayang serta seorang kakak yang mengambil berat, malah seorang hamba yang taat pada perintah ALLAH, mampu melakukan semua ini? Nampaknya Azirah hanya alim-alim tahi kucing. Di luar sahaja nampak alim dan solehah, sedangkan hakikatnya tidak begitu.

Oh,hipokritnya dia!

Hazreen menggeleng-geleng kepala seakan tidak percaya dengan apa yang baru sahaja dia fikirkan. Penjelasan bagaimana lagi yang boleh menafikan kebenaran itu agar ia menjadi sebaliknya? Hazreen tetap berharap Azirah ada penjelasan yang logik dan boleh diterima akal atas perbuatannya itu.

“Kalau tak silap aku, itu kakak ipar kau kan?” Izara cuba meneka.

Masakan dia tidak kenal wajah wanita itu. Gambar wanita itu bersama ahli keluarga yang lain terpampang di dalam frem di atas meja tulis Hazreen. Wanita itu sememangnya kakak ipar Hazreen. Tetapi lelaki itu bukanlah abang Hazreen. Wajahnya berbeza dengan wajah Irsyad yang ada di bilik tidur Hazreen itu.

“Aku kena balik kampung.” Tiba-tiba Hazreen bersuara.

Izarayang sedang memandu memandang wajah Hazreen dengan riak terkejut.

“Bila?”

“Sekarang.”

Tambah berkerut wajah Izara. Baru minggu lepas Hazreen sudah pulang ke kampung. Minggu ni nak balik ke kampung lagi?

“Tapi esok kau kerja kan? Kenapa nak tergesa-gesa sangat?”

“Terpaksalah aku ambik EL.”

“Kau ni asyik cuti aje sekarang. Bos bising tau tak?”

“Masalah keluarga aku lebih penting dari semua tu. Aku tak boleh kerja selagi masalah ni tak selesai,” ujar Hazreen.

“Berat sangat ke masalah kau? Tak boleh tunggu sampai hujung minggu ni?”

“Tak,” jawab Hazreen sepatah.

Dan jawapan itu bagaikan muktamad. Tiada pilihan lagi untuk Izara. Jika Hazreen keberatan ingin menceritakan masalah yang sedang melanda, Izara tidak akan memaksa. Biarlah dia menunggu saat ketika Hazreen benar-benar bersedia untuk meluahkan segalanya. Masalah ini nampaknya sangat meruncing cuma dia tidak pasti setakat mana kritikalnya.

“Okey,ikut suka kaulah. Sekarang kita nak pergi ke mana ni?”

“Balik rumah dulu. Aku nak kemas pakaian sikit. Lepas tu kau tolong hantar aku kestesen bas, boleh?” pinta Hazreen.

“Okey.”Izara mengangguk setuju. Nampaknya malam ini dia akan bersendirian lagi di rumah. Itu sesuatu yang sangat tidak digemarinya.

 

 

SEPANJANG perjalanan didalam bas Hazreen tidak senang duduk. Dia hanya mampu melelapkan mata selama beberapa minit sahaja. Dia tidak sabar ingin sampai ke Ipoh. Dia ingin bertemu Irsyad dan anak-anak buahnya. Bagaimana keadaan mereka sejak ketiadaan Azirah selama dua hari ini? Terutama sekali Afif yang baru berusia tiga tahun. Anak saudaranya yang masih kecil itu ditinggalkan ibu begitu sahaja tanpa rasa bersalah.

Setibanya di stesen bas, hari sudah hampir senja. Waktu-waktu begini lebih baik dia minta tolong pada Hakimi untuk menjemputnya. Irsyad tentu sedang sibuk menguruskan anak-anak di rumah. Tanpa berfikir panjang Hazreen terus mengeluarkan telefon bimbit dari beg galasnya dan menghubungi Hakimi.

“Kimi, tolong ambik aku di stesen bas,” pinta Hazreen setelah mereka berbalas salam di dalam talian.

“Stesen bas mana?” tanya Hakimi agak terkejut.

“Stesen bas mana lagi? Ada satu aje stesen bas kat pekan ni,” jawab Hazreen.

“Naik teksi ajelah.” Suara Hakimi malas-malas.

“Teksi mahal. Cekik darah tau tak?”

“Kedekut betul!” rungut Hakimi.

“Apa kau cakap?” Hazreen menekan sedikit suaranya.

“Tak ada apa-apalah. Kenapa tak cakap awal-awal tadi? Sekarang aku sibuklah,” jawab Hakimi. Suaranya kedengaran sambil lewa saja.

Suara orang ramai kedengaran jelas di talian telefon Hakimi. Entah di mana Hakimi berada ketika ini? Entah-entah sedang melepak di kedai Pak Mail. Ataupun sedang bertenggek di tembuk tepi jalan sambil mengurat anak-anak dara yang lalu-lalangdi situ. Hah, tak guna betul lelaki bernama Hakimi tu!

Macam mana lelaki macam tu boleh jadi orang kepercayaan Abang Irsyad? Macam mana Abang Irsyad boleh terfikir nak kahwinkan aku dengan lelaki macam tu? Nak minta tolong ambil di stesen bas pun liat. Macam mana kalau dah kahwin nanti? Memang besar kemungkinan dia akan hidup merana bersuamikan Hakimi. Hazreen membebel di dalam hati.

“Tolonglah ambik aku sekejap. Kau ni tak boleh tolong langsung. Bukan jauh pun kampung tu dengan pekan ni. 15 minit dah sampai,” ujar Hazreen dengan nada geram.  

“Hisy…leceh betullah! Kau ni kalau tak menyusahkan aku, tak boleh ke?” rungut Hakimi lagi.

Hazreen sudah mula mahu naik angin mendengar rungutan Hakimi. Lelaki itu langsung tiada ciri-ciri lelaki yang prihatin. Jauh sekali sebagai lelaki yang bertanggungjawab dan penuh kasih sayang.

“Takapalah kalau kau tak nak ambik aku. Aku naik teksi ajelah. Tapi kalau apa-apa terjadi pada aku sepanjang perjalanan dalam teksi tu, kaulah yang patut dipertanggungjawabkan,” ujar Hazreen seakan mengugut.

Tiba-tiba Hakimi ketawa terbahak-bahak di dalam talian. Hazreen semakin sakit hati. Apa yang kelakar sangat sampai Hakimi ketawa begitu sekali?

“Takkanlah driver teksi tu nak apa-apakan kau. Driver teksi tu pun ada taste jugak. Setakat perempuan macam kau, tak terliurnya dia orang,” jawab Hakimi dengan selamba.

Hazreen terdiam. Mukanya sudah merah menahan marah. Sakit betul hatinya. Memang dia menyesal sangat kerana minta tolong pada Hakimi. Dia lupa Hakimi itu sentiasa sahaja mencari jalan untuk mengutuk dia. Lelaki itu memang tak sedar diri. Sejak dulu lagi.

“Alah…merajuklah tu. Baru aku gurau sikit dah sentap. Tunggu situ. Kejap lagi aku sampai.” Tiba-tiba suara Hakimi bergema lagi setelah tidak mendengar apa-apa komen keluar dari mulut Hazreen.

Tanpa kata, Hazreen terus mematikan talian. Dia tidak mahu terlalu banyak bercakap dengan Hakimi. Akhirnya nanti dia juga yang bakal sakit hati. Tak guna betul!

 

 

HAKIMI pandang Hazreen dengan senyuman. Lelaki itu memberi isyarat menyuruh Hazreen masuk ke dalam kereta Nissan Sunny model lama yang sering terbatuk-batuk dan tersemput di tengah jalan. Itu pun setelah hampir setengah jam gadis itu berdiri tegak di situ seperti tiang telefon menanti kedatangan seorang putera raja bersama kereta buruknya. Mujurlah orang yang ditunggu muncul juga akhirnya. Kalau Hakimi tak datang, Hazreen akan putuskan pertunangan mereka berkuat kuasa serta merta.

Suasana yang sudah semakin gelap membuatkan Hazreen tidak berfikir panjang. Biarpun kata-kata berbisa yang keluar dari mulut Hakimi tadi membuat hatinya beku untuk memandang wajah lelaki itu, namun dia tiada pilihan lain. Dia harus tabahkan hati melayan kerenah Hakimi yang pelbagai.

“Kenapakau diam aje, Reen? Kau marah aku ke?” soal Hakimi sebaik saja kereta yang dipandunya berhenti di hadapan rumah Irsyad.

“Malas nak cakap apa-apa,” jawab Hazreen acuh tak acuh.

Hakimi ketawa kecil.

“Pandai jugak kau malas bercakap ya? Pelik, jarang-jarang berlaku. Boleh aku tahu kau balik ni ada apa ya? Kau rindu kat aku ke?” usiknya dengan wajah bersahaja.

Hazreen memandang wajah Hakimi dengan sinis. Tak ada maknanya dia nak rindu-rindu dengan Hakimi. Banyak perkara lain yang lebih penting untuk difikirkan daripada merindui lelaki bermulut tahap logi kumbahan ini.

“Kau jangan perasan, boleh tak?” gumam Hazreen.

Hakimi ketawa lagi melihat reaksi Hazreen yang sudah diduga.

“Baru minggu lepas kau balik kampung kan? Minggu ni kau balik lagi. Pelik jugak aku.Biasa kau tak balik sekerap ni?” soal Hakimi lagi.

“Aku memang suka balik kampung. Rindu dengan anak saudara aku. Salah ke?”

“KakAzi dah balik ke? Setahu aku, dah dua hari dia tak balik. Kata Abang Irsyad, Kak Azi jaga mak ngah dia di KL. Yang aku pelik, semua anak-anak dia tak bawak. Afif tu hari-hari menangis rindukan ummi dia,” beritahu Hakimi membuatkan Hazreen tidak jadi hendak keluar dari kereta.

Tiba-tiba hati Hazreen terasa sayu. Sampainya hati Azirah buat begitu kepada Afif. Anak kecil yang tidak berdosa itu menjadi mangsa kealfaan seorang ibu mengejar cinta dunia. Bila nafsu sudah beraja di hati, rasa kasih sayang sudah tidak bernilai lagi.

“Terima kasih sebab jemput aku di stesen bas.” Hazreen keluar dari kereta perlahan-lahan.

“Terima kasih aje?” Hakimi masih ingin mengusik.

“Kau nak apa lagi? Nak aku nyanyikan lagu?” sinis Hazreen bertanya.

Hakimi tersengih cuma. Hazreen terus mengambil beg di tempat duduk belakang. Kemudian dia terus berjalan ke pintu rumah tanpa mempedulikan Hakimi yang masih setia di dalam kereta di halaman rumah.

Irsyad membuka pintu rumah setelah mendengar suara Hazreen memberi salam. Sebelum pergi, Hakimi sempat mengangkat tangan pada Irsyad. Dan Irsyad membalas serentak dengan senyuman. Deruman kereta Hakimi berhenti di sebelah rumah. Dekat saja. Jiran katakan.

“Kenapa Reen balik tiba-tiba ni? Reen tak kerja ke esok?” soal Irsyad sebaik saja Hazreen melangkah ke muka pintu dan bersalam dengannya.

“Reen cuti. Kak Azi tak balik lagi, bang?”

“Belum.”

Irsyad diam seketika. Wajahnya rawan.

“Reen ada apa-apa berita pasal Kak Azi?” Perlahan Irsyad bertanya.

Hazreen menggeleng. Dia terpandang wajah-wajah ceria anak saudaranya menyambut kedatangannya. Satu persatu tubuh kecil itu dipeluk dan dicium. Sekurang-kurangnya kehadiran Hazreen di rumah ini dapat melenyapkan sedikit kerinduan anak-anak itu terhadap ummi mereka yang entah berada di mana ketika ini.

Bagaimana Hazreen ingin menjelaskan perkara itu kepada Irsyad? Hati Irsyad pasti hancur berkecai apabila mengetahui perkara sebenar. Hazreen takut memikirkan segala kemungkinan yang bakal berlaku. Perlukah dia merahsiakan perbuatan Azirah? Tapi sampai bila? Sampai bila kecurangan kakak iparnya itu harus ditutupi? Semakin lama dibiarkan pasti ia akan menjadi semakin rumit. Semakin jauh dan tak mungkin dapat dileraikan lagi.

 

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.