Home Novel Cinta Sempurnakan Aku
Sempurnakan Aku
Eina Afrina
1/9/2017 13:20:34
28,755
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1


 

 

HAZREEN berdecit sambil memandang telefon bimbit yang sudah terputus talian. Entah ke mana pula kakak iparnya itu pergi kali ini? Sudah beberapa kali perkara sebegini terjadi. Azirah semakin galak meninggalkan anak-anak di rumah begitu sahaja. Irsyad sendiri tidak tahu ke mana isterinya pergi. Wanita itu sering pergi tanpa keizinan suami terlebih dahulu.

            Setiap kali Irsyad mempersoalkannya, Azirah akan naik angin dan mereka mula bertengkar. Serabut betul kepala Hazreen memikirkan perubahan sikap kakak iparnya yang seorang itu sejak akhir-akhir ini.  

            “Kenapa abang kau telefon, Reen?” tanya Izara.

            Dia mendengar dengan jelas perbualan Hazreen di telefon sebentar tadi. Dan kerana panggilan telefon itu,mood teman serumahnya ini nampaknya berubah 360 darjah.

            Hazreen mengeluh sambil bersandar di kerusi. Air milo yang diminun sudah terasa semakin tawar apabila terlalu lama dibiarkan bercampur ais.

            “Kakak ipar aku hilang lagi,” beritahu Hazreen.

            “Hilang?” Izara terkejut.

            Hazreen mengangguk perlahan.

            “Semalam Kak Azi keluar rumah sendirian. Katanya nak ke rumah mak ngah di KL. Kononnya nak jengok mak ngah yang tengah sakit terlantar tu. Tapi sejak semalam Abang Irsyad telefon, Kak Azi tak sampai-sampai lagi ke rumah mak ngah. Handphone Kak Azi pun tak dapat dihubungi. So sekarang ni, kita orang tak tahu di mana Kak Azi berada? Tu yang abang aku risau tu,” cerita Hazreentanpa berselindung.

            “Abang kau tak report polis?”

            “Serba salah nak report polis sebab kami tak pasti Kak Azi ke mana sebenarnya. Ini bukan kali pertama dia buat macam ni. Sebelum ni pun dia dah pernah tak balik rumah sampai dua hari.Hilang macam tu aje. Aku yang terpaksa jaga anak-anak buah aku. Lepas dua hari tu elok aje dia balik ke rumah macam tak ada apa-apa berlaku,” sambung Hazreenlagi.

            Berkerut dahi Izara mendengarnya.

            “Dia ke mana?” soalnya.

            “Entah. Dia tak pernah cakap. Kami pun tak berani nak paksa-paksa sangat, nanti dia marah,” jawab Hazreen.

            Izara hanya memandang wajah Hazreen dengan pandangan sukar ditafsirkan. Mungkin agak pelik dengan cara hidup Hazreen dan keluarga.Memang kedengaran aneh jika seorang ibu sanggup mengabaikan anak-anak hanya untuk meraih kepuasan diri sendiri. Hanya untuk mengecap sebuah kebebasan.  

            Ya, Azirah memang aneh sejak akhir-akhir ini. Dia bagaikan wanita lain dalam hidup mereka. Azirah tidak mesra dengan anak-anak seperti dahulu. Ketika di rumah, Azirah lebih banyak menghabiskan masa di laman sosial sehingga segala keperluan Irsyad dan anak-anak disediakan ala kadar sahaja. Afif sering dibiarkan menangis tanpa dipujuk. Faiz dan Raihana sering dimarahi gara-gara kenakalannya. Zahidan pula sentiasa dibiarkan bebas membuat haluan sendiri. Segalanya bagaikan tidak terurus. Terbiar dan tiada perhatian.

            Hazreen berasa pelik,sejak bila kakak iparnya itu begitu taksub dengan laman sosial? Facebook,Instagram, WhatsApp dan segala macam aplikasi yang tersedia di internet. Apakah ini yang dikatakan kejutan budaya? Azirah yang selama ini terperuk di rumah bagaikan terpukau dengan kecanggihan teknologi.

            Dalam erti kata lain,kemaruk!    

            “Jomlah, balik.” Hazreen terus bangun dan berjalan ke kuanter untuk membayar minuman yang mereka pesan.

            Izara ikut beredar dan menunggu di dalam kereta. Beberapa minit kemudian Hazreen masuk ke dalam kereta Perodua Myvi milik Izara yang menunggu di hadapan restoran. Hari ini mereka tidak seceria biasa. Tiada ruang untuk berseronok selagi kakak iparnya itu tidak kembali ke rumah seperti biasa.

            Ketika kereta Myvi berwarna ungu gelap itu bergerak perlahan-lahan meninggalkan kawasan restoran, mata Hazreen tiba-tiba terpanah pada satu susuk tubuh yang baru sahaja melabuhkan punggung di kerusi restoran yang sama. Hazreen tersentak. Azirah? Wanita berusia lewat 30-an itu kelihatan bersama seorang lelaki yang tidak Hazreen kenali. Dan lelaki itu nampak lebih kurang sebaya usianya dengan Azirah. Atau mungkin lebih muda.

            Apa Kak Azi buat di sini?Siapa lelaki tu? Itu persoalan bermain di fikiran Hazreen ketika ini. Dia seperti tidak percaya melihat apa yang sedang terhidang di hadapan mata. Azirah dan lelaki itu kelihatan begitu akrab dan sesekali tangan mereka berpautan mesra. Apakah ini realiti atau satu mimpi sahaja? Hazreen masih terpaku melihat adegan itu.

            “Zara, berhenti!” pinta Hazreen seakan menjerit.

            Izara yang tidak tahu apa-apa hanya terpinga-pinga memandang Hazreen. Dia tetap menekan brek dan keretanya berhenti di tepi jalan secara mendadak.

            “Kenapa, Reen?” tanya Izara.

            “Kau tunggu sini sekejap,” balas Hazreen sambil membuka pintu kereta untuk keluar.

            “Kau nak ke mana?” soal Izara dengan riak bingung.

            “Kau tunggu aje kat sini. Aku ada urusan nak diselesaikan.” Selepas berkata begitu Hazreen terus menutup pintu kereta dan meluru berjalan menuju ke restoran itu semula.

            Izara hanya mampu melihat sahaja perlakuan Hazreen. Dia sendiri tidak tahu apa yang Hazreen ingin cari di restoran itu semula. Di ahanya memerhati dari jauh.

            “Kak Azi!” Suara Hazreen terus saja menerjah ruang restoran yang agak lengang itu.

            Kedua-dua merpati sejoli itu memandang ke arah Hazreen serentak.Sebaik sahaja melihat anak gadis itu berdiri betul-betul di sebelah mereka,hanya wajah terpanar yang mampu mereka pamerkan. Tangan yang saling berpautan itu cepat-cepat dileraikan. Mereka kelihatan seperti hilang arah.

            “Reen buat apa di sini?” Soalan pertama yang meniti dibibir Azirah, biar pun lontaran suara itu tergagap-gagap.

            “Reen yang patut tanya akak, akak buat apa di sini? Siapa lelaki ni?” Hazreen membalas dengan wajah tegang. Sesekali renungan matanya yang tajam itu singgah ke wajah si lelaki bertubuh tinggi yang berada di sebelah kakak iparnya itu.

            Azirah jadi serba salah. Namun dia cuba menyembunyikan gelisah hatinya. Dia cuba bertenang menghadapi situasi yang tidak disangka-sangka ini.

            “Akak kenalkan, ini Abang Faizal, kawan akak,” beritahu Azirah dengan lembut dan dia cuba memaniskan muka.

            Hazreen tersenyum sinis memandang Azirah.

            “Kawan? Mata Reen ni tak buta lagi, kak. Reen nampak akak pegang tangan lelaki ni. Akak ingat Reen ni bodoh? Tak tahu nak bezakan antara kawan dengan kekasih?” Suara Hazreen sudah meninggi.

            Dia sudah tidak peduli dengan mata semua pelanggan yang sedang memerhati mereka di situ. Apa nak jadi,jadilah! Sesungguhnya semua ini benar-benar di luar jangkaan. Benar-benar sukar untuk Hazreen percaya.

            “Reen jangan salah faham. Semua ni tak seperti yang Reen fikirkan. Reen balik dulu. Nanti akak akan jelaskan semuanya,” pujuk Azirah sambil cuba menenangkan Hazreen yang kelihatan sudah berang.

            Faizal hanya berdiam diri. Lelaki itu kelihatan lebih selesa tidak mencampuri urusan dua beradik itu. Tiada raut gelisah dapat dilihat di wajah Faizal. Lelaki itu bersahaja memandang Hazreen seolah-olah tidak melakukan apa-apa kesalahan.

            “Akak sanggup tipu Abang Irsyad. Akak tipu anak-anak akak.Akak tipu kami semua semata-mata nak jumpa lelaki ni. Akak kata nak pergi rumah mak ngah tapi akak tak pergi ke sana. Semua orang risaukan akak. Semua orang susah hati bila akak tak balik sejak semalam. Rupanya ini yang akak buat? Reen tak dapat bayangkan apa riaksi Abang Irsyad kalau dia tahu apa yang akak sedang buat sekarang? Reen tak sangka akak sanggup buat macam ni pada Abang Irsyad. Pada anak-anak akak.”

            Azirah menghampiri Hazreen. Bahu adik iparnya itu dipeluk lembut.

            “Reen, dengar cakap akak baik-baik. Kalau Reen sayangkan Abang Irsyad, Reen mesti rahsiakan semua ni daripada mengetahuan Abang Irsyad.Abang Irsyad tak boleh tahu tentang Faizal. Nanti Abang Irsyad salah faham dan akan marah akak. Reen mesti tak nak tengok akak dan abang bergaduh kan?”

            “Akak nak suruh Reen bersubahat dengan maksiat yang akak buat?” Pantas Hazreen membidas kata-kata kakak iparnya yang cuba berlembut.

            “Hazreen!” Suara Azirah sedikit keras. Wajahnya berubah serta merta mendengar kata-kata Hazreen yang boleh dianggap biadap.

            “Akak tahu kan apa hukumnya seorang isteri keluar berdua-duaan dengan lelaki lain yang bukan muhrimnya? Malam tadi akak tidur di mana? Rumah lelaki tak guna ni?” Dengan berani Hazreen menghemburkan kata-kata kesat itu. Sekelip mata sahaja rasa hormatnya terhadap Azirah melayang dengan insiden hari ini.

            “Reen, jangan nak biadap sangat. Akak kata balik! Reen tak malu ke terjerit-jerit kat sini? Reen nak semua orang kat sini tahu masalah kita sekarang ni? Nanti akak akan jelaskan semuanya.” Mata Azirah sudah mencerlung memandang Hazreen. Bibirnya diketap geram.   

            “Reen tak tau nak cakap apa sekarang ni. Reen kecewa sangat dengan apa yang Reen nampak hari ni. ALLAH kalau nak tunjuk kebenaran bila-bila masa saja dia akan tunjukkan, kak. Semoga akak sedar apa yang akak buat ni berdosa besar.”

            Hazreen terus sahaja berlalu meninggalkan Azirah di situ.Langkahnya laju menuju ke kereta Izara yang sedang menunggu. Seiring dengan hatinya yang hancur berkecai. Jiwanya yang luluh mengenangkan Irsyad dan anak-anak di rumah. Mengapa harus jadi begini? Mengapa Kak Azi tergamak? Apa salah Abang Irsyad? Tanpa sedar ada air mata yang meleleh ke pipi. Dan air mata itu segera ditepis dengan jari jemarinya.

            Azirah hanya mampu memerhati dengan gelisah. Rahsia sudah bocor. Segala penipuan yang dilakukannya sudah terbongkar. Hubungan gelapnya dengan Faizal sudah dapat dihidu oleh Hazreen, adik iparnya sendiri. Memang satu kesilapan besar kerana dia dan Faizal memilih restoran itu untuk menjamu selera. Mereka sepatutnya lebih berhati-hati dalam setiap pergerakan.  

            “Azi rasa, Hazreen akan beritahu abang dia pasal kita?”Faizal bertanya.

            “Entahlah, Hazreen tu rapat dengan Irsyad. Tapi kalau diafikirkan perasaan abang dia, mungkin dia takkan beritahu,” jawab Azirah.

            “Mungkin ada baiknya kalau Irsyad tahu. Saya rasa sekarang masa yang sesuai untuk Azi minta cerai. Sampai bila lagi kita nak tunggu?Sampai bila lagi kita perlu sembunyi-sembunyi kalau nak jumpa?”

            Azirah terdiam. Bukan dia tidak mahu mengakhiri semuaini. Tapi dia takut menghadapi kemarahan Irsyad dan ahli keluarga yang lain. Bimbang dengan riaksi anak-anak atas perpisahan yang mendadak. Apakah anak-anak dapat menerima dirinya lagi? Apakah dia sanggup kehilangan anak-anak demi menggapai cinta sejatinya terhadap Faizal?

            Faizal mencapai tangan Azirah dengan lembut. Kebisuan Azirah membuat Faizal gelisah. Dia bimbang jika Azirah berubah fikiran. Dia tidak mahu segala yang mereka rencanakan musnah begitu sahaja hanya kerana kemunculan Hazreen yang tidak diduga. Apa pun terjadi Azirah harus menjadi miliknya. Dan mereka juga sudah berjanji akan bersama-sama mengharungi apa sahaja gelombang yang datang.

            “Balik ni Azi terus minta cerai pada Irsyad,” saranFaizal.

            Kalau Irsyad tak nak ceraikan Azi, macam mana? Faizal mengeratkan lagi genggaman tangannya. Wajah Azirah ditatap dengan penuh semangat.

           “Irsyad tak boleh paksa Azi untuk terus jadi isteri dia. Azi pun tak pernah cintakan Irsyad. Cukuplah selama ni Azi berkorban. Sekarang masanya Azi kena fikirkan tentang diri Azi sendiri. Tentang kebahagiaan Azi. Tentang cinta kita. Saya akan sentiasa berada di sisi Azi. Saya janji lepas habis edah saja nanti, kita akan terus kahwin. Azi tak payah nak fikirkan Irsyad lagi. Semuanya akan selesai, yang penting Azi kena berani.” Faizal memberikan kata-kata semangat.

           Azirah hanya tertunduk memandang lantai. Hatinya masih berbelah bahagi. Keputusan ini terlalu berat buat dirinya, namun dia tiada pilihan lain. Dia dan Irsyad harus berpisah demi membina sebuah mahligai yang baru. Irsyad sudah tidak mampu membahagiakannya lagi, jadi untuk apa dia terus menunggu? Perpisahan adalah jalan terbaik.

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.