Home Novel Cinta Sempurnakan Aku
Sempurnakan Aku
Eina Afrina
1/9/2017 13:20:34
28,763
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 6


HAZREEN lihat Ashril sedang duduk di kerusi malas sambil menghadap ke halaman rumah. Sejak sejam lalu lelaki itu duduk di situ tanpa ada tanda-tanda mahu beredar. Petang-petang begini kalau dapat duduk di beranda sambil minum teh memang syok. Ditambah pula dengan udara segar dan angin sepoi-sepoi bahasa.

Ingin rasanya Hazreen duduk di beranda yang terbuka itu, namun ada pula si lelaki gila kuasa itu di situ. Mana mungkin dia boleh duduk dengan harmoni dengan lelaki itu. Hari ini sahaja mereka langsung tidak bertegur sapa. Masing-masing buat hal sendiri. Namun entah mengapa petang ini Ashril kelihatan kacak daripada biasa. Mungkin kerana Ashril memakai baju melayu berwarna ungu. Warna kegemaran Hazreen. Ah, mengarut saja!

Hazreen menghela nafas panjang. Dia rasa tidak selesa sejak ada Ashril. Tidak bebas seperti berada di rumah sendiri. Bilakah agaknya lelaki itu nak balik ke KualaLumpur? Menyemak saja berlama-lama di rumah ini, bisik hati Hazreen.

“Kau buat apa kat situ? Mengintai aku?” tegur Ashril tiba-tiba buat Hazreen terkejut beruk.

Alamak! Dia nampak aku ke? Hazreen yang berdiri di sebalik pintu terus keluar dan buat-buat muka selamba. Sumpah. Dia tak ada langsung niat ingin mengintai Ashril. Kebetulan saja dia berdiri di situ kerana ingin mengambil angin.

“Ingat aku dah tak ada kerja lain nak mengintai kau?” balas Hazreen tanpa memandang Ashril.

“Habis tu, buat apa kau berdiri di situ sejak tadi? Ingat aku tak perasan ke?”

Ya ALLAH! Perasan betul kononnya aku mengintai dia! Hazreen mengetap gigi.

“Ini rumah aku, suka hati akulah nak berdiri kat mana. Tak ada kena mengena dengan kau pun. Jadi kau janganlah nak perasan sangat,” perli Hazreen.

Ashrii tersenyum sendiri. Dia dapat melihat keegoan yang tinggi dalam raut wajah Hazreen. Sejak dulu mereka tidak pernah sefahaman. Dia sendiri tidak tahu mengapa gadis itu begitu membenci dia. Dan rasa benci itu nampaknya semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

Ketika Hazreen ingin masuk semula ke dalam rumah, dia bertembung dengan Irsyad yang sudah lengkap berbaju melayu. Jika Irsyad berbaju melayu begitu memang Hazreen tidak hairan, kerana lelaki itu memang kerap ke masjid untuk solat berjamaah.Masjid pun hanya satu kilometer daripada rumah. Memang melampau jika tak pernah menjejakkan kaki ke masjid.

“Reen,abang nak tanya sikit,” ujar Irsyad membuatkan Hazreen tidak jadi hendak masuk ke dalam rumah.

“Ada apa, bang?” Hazreen berdiri menanti soalan daripada Irsyad.

Di belakang Irsyad kelihatan Azirah muncul sambil bermain-main dengan Afif.   

“Reen dah tak kerja ke sekarang?” soal Irsyad.

Hazreen terkedu seketika. Kemudian dia angkat bahu tanda tidak tahu. Hatinya berbelah bahagi sama ada ingin balik ke Kuala Lumpur atau terus saja menetap di kampung?Rasanya dia sudah tidak berani bertentang mata dengan majikannya iaitu Datin Gee. Manakala di rumah ini pula, dia tidak selesa dengan Azirah. Hubungan mereka tidak sebaik dahulu. Azirah bukan lagi seorang kakak ipar yang Hazreen boleh anggap seperti keluarga sendiri. Wanita itu telah menghancurkan seluruh kepercayaannya. 

“Kenapa tak tahu pulak?” soal Irsyad lagi.

“Abang nak Reen balik KL ke?”

“Taklah,abang tanya aje. Kot-kot Reen masih kerja di KL? Kalau Reen nak duduk di sini pun abang tak ada masalah,” ujar Irsyad dengan lembut.

“Esok Reen balik. Nanti abang tolong belikan tiket bas, boleh tak?” Terus saja ayat itu meluncur dari bibir Hazreen tanpa berfikir panjang. Jika Datin Gee enggan menerima dia bekerja di WDS, dia akan berikhtiar mencari kerja di tempat lain.Asalkan dia tidak menyusahkan Irsyad lagi.

“Esok?” tanya Irsyad ingin kepastian.

Hazreen mengangguk. Mana mungkin dia ingin berlama-lama di rumah ini. Buat semak kepala otaknya sahaja melihat kerenah Azirah dan Ashril. Dua beradik yang tak tahu dek untung. Seorang memegang gelaran pelakon terbaik dan seorang lagi gila kuasa dan perasan bagus.

“Kalau Reen nak balik esok, lebih baik Reen balik dengan Ashril aje. Ashril pun balik KL esok,” beritahu Irsyad.

Ashril yang sejak tadi hanya berdiam diri terus memandang ke arah mereka. Wajahnya sedikit terkejut. Hazreen pula lagilah terkejut. Rasa nak pitam mendengar arahan Irsyad itu.

“Tak naklah, Reen. Reen rela balik naik bas aje,” bantah Hazreen serta merta.

“Kalau naik bas nanti Reen kena turun di stesen bas. Lepas tu kena naik teksi pulak nak sampai ke rumah. Leceh kan? Ashril boleh hantar Reen terus sampai ke rumah.Lagipun rumah sewa Reen dengan rumah sewa Ashril tak jauh mana pun,” sampuk Azirah yang ketika itu sudah duduk di kerusi kayu bersebelahan dengan Ashril.

Wah! Prihatin betul kakak ipar aku ni ya? Nak tunjuk baik depan Abang Irsyad. Cis,ini semua propa!

“Reen dah biasalah naik bas. Selama ni pun memang Reen naik bas kan? Tak ada masalah pun. Hari tu Kak Azi pergi KL naik bas jugak kan? Abang bagi pulak?” Dengan tidak semena-mena ayat itu keluar meluncur dari mulut Hazreen tanpa diduga-duga.

Irsyad terdiam. Dia nyata terpanar dengan soalan itu.

“Akak naik bas sebab Abang Irsyad tak boleh hantar. Abang Irsyad ada aktiviti di sekolah masa tu,” jelas Azirah untuk membela dirinya.

“Bukan ke masa tu akak pergi tak minta izan dengan Abang Irsyad pun? Akak hilang macam tu aje?” sindir Hazreen dengan berani.

Azirah terdiam. Dia hanya memandang ke arah Irsyad dan kemudian tertunduk memandang lantai. Sementara Ashril hanya terkebil-kebil mendengar perbualan mereka. Dia kurang memahami apa yang Hazreen cuba jelaskan. Benarkah Kak Azi pergi ke KualaLumpur tanpa meminta izin Abang Irsyad? Ashril tertanya-tanya sendiri.

“Reen,sudah tu. Jangan libatkan orang lain pulak. Abang nak esok Reen balik dengan Ashril. Tak payah nak mengada-ngada naik bas. Boleh kan, Ril?” Akhirnya Irsyad bersuara. Nadanya kedengaran tegas sekali.

“Boleh. Ril tak ada masalah.” Pantas Ashril menjawab. Dia tersenyum sinis ke arah Hazreen.

“Jom kita ke masjid. Asar dah dekat ni.” Irsyad mengajak Ashril mengikutinya.

Irsyad melangkah keluar dan menyarungkan selipar di kaki. Gayanya seolah mahu cepat-cepat pergi. Mungkin tidak mahu mendengar sebarang alasan atau bantahan daripada Hazreen. Dia juga tidak mahu Hazreen mengungkit-ungkit kejadian beberapa hari yang lepas. Dia sudah cukup bersyukur kerana Azirah sudah selamat pulang ke rumah tanpa ada perkara yang tidak diingini berlaku.

“Siaplah kau esok,” bisik Ashril sambil membuat gaya sembelih di leher. Kemudian dia mengekori Irsyad menuju ke kereta.

Hazreen hanya mampu mengetap gigi kegeraman. Dua beradik ini memang pandai bermuka-muka.Hazreen tidak menunggu lama di situ. Dia terus masuk ke dalam rumah. Tidak lama kemudian Azirah menyertai Hazreen di ruang tamu.

“Kenapa Reen nampak macam tak suka pada Ashril?” soal Azirah sambil duduk di sebelah adik iparnya.

Hazreen diam. Ya, memang dia tidak suka pada Ashril. Ashril itu gila kuasa. Berlagak dan perasan bagus. Yang paling penting, Ashril sentiasa membela apa saja yang Azirah lakukan.

“Yang buat salah tu akak, bukan Ashril. Ashril tak ada kena mengena dalam hal rumah tangga akak. Dia tak tahu apa-apa pun. Dan akak harap sangat supaya Reen tak beritahu apa-apa pada Ashril,” lanjut Azirah setelah melihat Hazreen diam.

“Tahu pulak akak takut?” Hazreen membalas dengan sinis.

Azirah terkedu. Memang dia sangat takut jika Ashril mengetahui segala perbuatannya. Ashril satu-satunya adik yang dia punya. Dia tidak mahu hilang kepercayaan Ashril. Selepas Irsyad, Ashril adalah tempatnya bergantung dan meminta pertolongan.

“Reen diam bukan bermakna Reen setuju dengan apa yang akak buat. Reen cuma tak sanggup tengok Abang Irsyad kecewa.” Suara Hazreen mendatar.

Azirah diam lagi. Buat masa ini dia hanya perlu mengikut rentak Hazreen. Biarlah jika Hazreen mahu menyalahkan dia dalam hal ini. Asalkan rahsia perhubungan dia dan Faizal selamat setakat ini. Azirah tidak mahu Irsyad tahu daripada mulut orang lain. Dia ingin berterus terang sendiri andainya sudah tiba masanya nanti.

“Sebelum akak buat sesuatu tolong fikirkan perasaan orang lain juga. Anak-anak masih kecil. Akak tak kesian ke?”

“Dah sebelas tahun akak korbankan diri akak untuk Abang Irsyad dan anak-anak.Takkanlah hanya dengan satu kesalahan, Reen terus nak hukum akak?”

Hazreen tarik nafas dalam. Dia bersandar di kerusi untuk lebih santai.

“Reen tahu kita ni cuma manusia biasa. Manusia yang tak lepas daripada dosa. Semua orang berhak untuk dapat peluang kedua. Sebab itulah Reen tak beritahu Abang Irsyad apa yang akak buat di luar sana. Cuma sekarang apa yang Reen harapkan,akak berubah. Lupakan Faizal dan mulakan hidup baru.”

Hazreen terus bangun dan melangkah meninggalkan Azirah di situ. Jika peluang kedua yang Azirah harapkan dia tidak keberatan untuk memberi. Apa yang penting adalah kebahagiaan semua orang. Kebahagiaan Irsyad dan anak-anak yang masih kecil.Semoga pengalaman memberi pengajaran untuk Azirah berubah.

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.