Home Novel Seram/Misteri TARANTULA
TARANTULA
7/2/2015 18:42:47
5,929
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 6

EKSPEDISI kali ini adalah untuk mencari tumbuh-tumbuhan hutan spesies baru yang jarang ditemui bagi mengkaji kegunaannya. Pengkhususan mereka adalah untuk mencari tumbuh-tumbuhan spesies baru yang boleh dijadikan penawar kepada penyakit kanser.

Kalau nasib mereka baik harap-harap dapat mencari penawar kepada penyakit AIDS. Tinggi betul harapan dan cita-cita Zafrizan, Morgan, Ikmal dan Afzan. Zafrizan berhasrat mengumpul pelbagai gambar mengenai tumbuh-tumbuhan hutan yang jarang ditemui. Kemudian dibukukan untuk tatapan generasi muda dan masyarakat moden amnya agar mengenalinya kelak. Morgan dan Afzan mahir di bidang ‘Herbalogi’ manakala Ikmal pula bidang ‘Farmasi’.

Sebenarnya mereka berempat ini sudah lama merancang ekspedisi mencabar seperti ini. Selama setahun, perancangan dan pengumpulan bahan-bahan keperluan dibuat. Pencarian lokasi sesuai juga dalam jangka masa itu.

Amani Sofea tidak dapat turut serta kerana ‘Herbalogi’ bukan bidangnya. Dia lebih kepada bahagian pereka fesyen dan akaun. Amani Sofea sudah pun memiliki butiknya sendiri dan laman blog untuk memperkenalkan fesyen rekaannya. Dia juga memiliki koleksi tudungnya sendiri atas nama Ummu Sofea.

Amani Sofea sudah terbiasa dengan aktiviti Zafrizan yang selalu keluar daerah untuk mengambil foto. Kadang-kadang Zafrizan akan pergi berminggu-minggu lamanya.

Sudah banyak tempat Zafrizan pergi, termasuklah Bali dan New Zealand di mana pemandangan dan keadaan alamnya yang indah dan eksotik. Impian Zafrizan ingin menjadi juruforo profesional dan menyertai kumpulan Nasional Geografik kelak.

Hanya sekali sahaja Amani Sofea pernah mengikuti Zafrizan ke Bukit Cahaya Alam untuk mengambil gambar di situ. Itu pun hanya sehari sahaja Amani Sofea menghabiskan masa bersama Zafrizan. Dia sengaja hendak merasakan bagaimana pengalaman dan melihat sendiri kegiatan seorang jurugambar bebas seperti tunangnya.

Sebenarnya aktiviti begini sungguh membosankan. Dia tidak dapat hendak berbual bebas dengan tunangnya kerana setiap kali Zafrizan hendak mencari gambar yang menarik, dia akan menjadi manusia yang pendiam dan menyendiri di dalam dunia ciptaan sendiri.

“Hei Zaf, lihat tu! Pokok paku-pakis yang lebar daunnya tu,” ujar Amani Sofea sambil menunjuk tepat ke arah pokok yang dimaksudkan itu.

“Cuba ambil gambar pokok paku-pakis tu. Dari angel ini nampak cantik tau sebab ada cahaya matahari menembusi celah-celah daunnya,” ujar Amani Sofea.

Dia pula yang tiba-tiba berasa teruja dengan pemandangan indah di situ. Bahu Zafrizan ditepuk lembut minta perhatian. Matanya tepat memandang ke arah pokok paku-pakis berdaun lebar itu. Namun bila dirasakan tangannya seolah-olah menepuk angin, pantas Amani Sofea berpaling.

Eh? Ke mana dia pergi ni? Tadi ada kat sini. Eee... mamat ni, cepat betul hilang. Tinggalkan aku sorang-sorang kat sini? Rungut Amani Sofea.

Pantas dia mengejar Zafrizan yang sudah pun berada beberapa meter di hadapan.

“Zaf! Tunggulah!” jerit Amani Sofea.

Zafrizan langsung tidak menghiraukan jeritan tunangnya itu. Dia leka dengan gambar yang nak diambilnya.

Hisy, dia ni dengar tak aku jerit. Buat tak tahu aje!

Rungutan Amani Sofea langsung tidak dihiraukan. Dia begitu asyik dengan tugasnya. Matanya melilau-lilau mencari angel yang cantik untuk diabadikan dalam kameranya.

Akhirnya, Amani Sofea duduk mencangkung di sebatang anak sungai yang mengalir deras. Malas nak bersuara lagi. Biarlah Zafrizan menghabiskan kerjanya.

Kalau dia teringatkan aku, pandailah dia cari aku nanti, omel Amani Sofea di dalam hati.

Walaupun Zafrizan leka mencari tumbuh-tumbuhan ajaib namun kehadiran Amani Sofea tetap disedari. Nampak macam tak kisah tapi sebenarnya dia ambil berat. Cuma dia tidak suka diganggu semasa melakukan kerja-kerjanya.

Zafrizan menoleh ke belakang. Nampak Amani Sofea sedang mencangkung meneguk air. Dia tersenyum.

Penat agaknya tunangku ni, desis hatinya.

Kasihan, tentu dia bosan. Zafrizan berpatah ke belakang menghampiri Amani Sofea yang sedang merenung sesuatu.

“Lihat tu Zaf, Subhanallah cantiknya!”

Kelihatan sekumpulan rama-rama berwarna putih, kuning dan hijau bercampur hitam sedang berhimpun di atas tanah.

“Ambillah gambar rama-rama tu, cantiklah.”

Amani Sofea kagum dengan apa yang terhidang di hadapannya di saat itu. Zafrizan tidak melepaskan peluang, terus saja mengikut kehendak Amani Sofea.

Mereka kemudian menunggang basikal keluar dari kawasan perhutanan itu. Basikal yang disewa dipulangkan semula di pejabat lalu mereka terus berjalan kaki ke parkir kereta.

“Zaf, corak rama-rama tu sangat cantiklah. Saya betul-betul berkenan. Bolehlah dijadikan corak untuk kain dan rekaan tudung baru saya nanti,” jelas Amani Sofea dengan wajah berseri-seri.

Zafrizan tidak menjawab. Hanya tersenyum sahaja.

“Tak sia-sia saya ikut awak hari ni,” sambung Amani Sofea lagi.

Kepalanya sengaja dilentokkan di bahu Zafrizan.

Kenangan-kenangan bersama Zafrizan sangat terkesan di hati Amani Sofea. Mana mungkin dia dapat melupakan pemuda istimewa itu? Cinta pertamanya dan bakal suaminya.

Huh! Amani Sofea mengeluh berat bagaikan cuba membebaskan beban yang sedang terbuku di dalam hatinya ketika itu.

Sekali lagi entah kali ke berapa air matanya mengalir lagi.

Zafrizan! Hatinya menjerit kuat namun suaranya tidak keluar. Dia benar-benar merindui Zafrizan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.