Home Novelet Seram/Misteri Projek Seram
Projek Seram
21/7/2016 12:59:48
1,667
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Menunggu

Asap kemenyan sedang berkepul-kepul memenuhi ruang tamu rumah papan yang sunyi. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 11 malam. Sekali-sekala kedengaran bunyi burung hantu bersahutan dari hutan kecil di belakang rumah. Geseran daun-daunan di luar tingkap menjadi irama malam itu. Kelihatan seorang lelaki muda berkemeja merah lembut sedang mengadap tepat wajah tok bomoh yang sedang melakukan ritual mistiknya.

Sekeping gambar seorang gadis yang ayu berambut pendek paras bahu dan sejemput rambut berwarna hitam abu milik gadis berkenaan sedang diperasapkan di atas bara kemenyan yang sedang memerah lebat kepulan asapnya.

Bau kemenyan membelai-belai dan menyucuk-nyucuk rongga hidungnya lalu mengundang rasa gatal. Hampir dia hendak terbersin. Namun cuba ditahannya sedaya mampu agar tidak terburai bersin itu. Lekas-lekas jari-jemarinya menekup hidungnya yang tak berapa nak mancung itu.

Huh, tajam betul bau asap kemenyan ni. Rungutnya dalam hati. Tubir matanya sudah berair-air menahan rasa tak selesa. Nak tersedak pun ada jugak. Sesak nafas jadinya. Hah tak kisahlah yang penting ‘benda’ ni menjadi.

“Lepas ni kau hanya perlu puja dengan membacakan mentera yang sudah aku ajari tadi. Mantera tu kau dah salin elok-elok dah? Jangan tertinggal walau satu huruf pun?” soal tok bomoh itu sambil mengangkat pandangan anak matanya lalu tertumbuk tepat memandang mata Zali. Senyuman yang kelihatan bagai senyuman yang nyeri muncul pada wajah Tok Kenuit.

Pemuda itu mengangguk perlahan. Anak matanya bagai terpaku pada wajah Tok Kenuit. Macam ada satu kuasa yang memasung kepala dan fikirannya agar menatap wajah berkedut seribu tok bomoh itu tepat. Seraya jantungnya berdetak laju. Dia sudah nekad dan tak akan berpatah balik dari perbuatan terkutuknya.

Maafkan aku. Kau yang telah memaksa aku agar membuat perkara kurafat ni. Kau yang telah membuatkan aku terjebak dengan perkara dosa ini. Kalau kau tak hina aku pada hari itu pastinya aku masih boleh berbelas kasihan lagi dengan kau! Desis hati Zali menyimpan rasa dendam yang mendalam terhadap gadis dalam gambar yang sedang berada dalam tangan Tok Kenuit tika itu.

“Dalam sehari sahaja sudah boleh nampak mustajabnya mantera aku. Gadis berkenaan pasti akan teringat-ingat dan ‘tergilakan’ kau,” ucap tok bomoh itu dengan senyuman tersungging sambil terhangguk-hangguk. Tangan kirinya mengusap-usap janggut sejemput yang memutih miliknya. Tiba-tiba perasaan bangga dan ujub menakluki hati. Yakin benar yang ilmu hitamnya akan mengena dan menjadi. Terlupa dia akan kuasa ALLAH yang maha Esa yang menciptakan.

“Gambar ni kau letakkan bawah bantal masa tidur pada waktu malam dan bawa dalam dompet pada waktu siangnya. Macam kau hendakkan dia sentiasa berada disamping kau. Kau buatlah perkara yang serupa pada gambar gadis ni,” arah Tok Kenuit. Giliran Zali pula mengangguk-ngangguk. Teruja betul manusia yang bersifat bangsat ini.

“Kau faham tak apa yang aku suruh kau buat ni?” soal Tok Kenuit bila melihatkan riaksi Zali yang macam teragak-agak dengan apa yang disuruhnya. Zali terdiam seketika.

“Faham tok...faham..” Zali menjawab segera lalu tersengih bila dia sedar apa yang sudah dia pancarkan melalui riaksi wajahnya. Lalu roman wajahnya di tukar serta-merta agar nampak dia yakin dengan arahan tok bomoh sebelum ini.

“Bagus! Kalau sudah faham... Mudah sahaja kerja yang seterusnya yang aku nak suruh kau buat ini. Bukan sahaja kau kena membaca manteranya setiap kali hendak tidur atau hendak bekerja pada siangnya. Kau kena memberi upah kepada sipenjaga mantera yang kau gunakan tu,” ujar Tok Kenuit sambil membongkok untuk mengambil sebiji botol kecil yang serupa macam botol minyak wangi kasturi yang ada dijual di kedai-kedai. Botol tu terletak berhampiran dengan Zali.

Lah....macam tu pulak? Berat ni. Ingatkan sekadar bacakan mantera saja semuanya dah okay...rupanya ada pula lagi belaannya yang aku kena bagi makan, omel Zali dengan hati yang mula berasa berat dan berbelah bahagi.

Kumpulan botol-botol kecil itu diletakkan berlonggok dalam sebuah raga rotan yang cantik berhias macam bakul berisi telur untuk pengantin. Berbalut dan bereben warna kuning dan merah. Botol kaca itu kelihatan jernih kosong sahaja. Tiada apa-apa isi di dalamnya. Anak mata Zali ralit meneliti isi kandungan dalam botol kecil itu.

Tak ada apa-apa kelihatan pun isi dalam botol tu, bisik hatinya. Ada bau hanyir darah mengiringi botol kecil itu tika ia dibawa melintasi berhampiran Zali. Sepontan jari-jemari Zali mengesat hidung cuba hendak menyingkirkan bau hanyir yang sedang menyeruak di udara. Sungguh kurang enak!

Tok Kenuit memperasapkan botol itu pula sambil mulutnya terkumat-kamit lagi membaca sesuatu. Kelopak matanya terpejam erat. Kelihatan kusyuk sungguh pembacaannya. Tak tahulah apa yang dibacanya. Mata Zali hanya tertumpu melihatkan gelagat orang tua itu dengan penuh minat.

“Kau tak perlu risau. Upahnya bukanlah mahal sangat pun dan benda ni tidak juga merumitkan,” ucap Tok Kenuit memecahkan suasana sunyi sambil merenung wajah Zali yang sudah mula berlapis dahinya.

“Habis tu apa saya kena berikan kepada khadam mantera tu tok?” hati Zali mula berdebar-debar. Terbayang dalam kepala Zali pulut kuning, darah ayam hitam dan telur ayam tiga biji.Aduh! Kalau dia minta benda yang bukan-bukan, mana pulak aku nak cekaukan benda-benda tu semua nanti? Runsing sekejap benak Zali.

“Setiap malam Jumaat kau berikan jari manis kau kepadanya.”ujar tok Kenuit dengan selamba. Sedangkan Zali sudah mula salah tafsiran dengan permintaan tok Kenuit.

“Hah? Jari manis saya tok? Takkanlah saya nak potong jari manis saya pula! Ei..tak naklah saya,” terkejut Zali dengan taruhan yang perlu dia ‘bayar’ untuk membalas dendamnya itu. Sampai macam tu sekali sadisnya!

“Hoi! Mana ada aku suruh kau potong jari manis kau. Akucumasuruh kau julurkan jari manis kau pada muncung botol ni hah untuk bagi khadam ni hisap!” Tok Kenuit hampir hilang sabar dengan kedunguan Zali. Naik terbelalak anak mata Tok Kenuit terbuntang memandang Zali. Ikutkan rasa, hendak saja dia baling dengan selipar anak muda di depannya ini.

“Ooo... cakaplah hulurkan jari manis saya. Ini tok kata berikan jari manis. Kan lain maknanya tu,” cantas Zali mempertahankan dirinya. Menggeleng tok bomoh tu dengan gelagat pelanggannya yang seorang ni. Lalu dia meneruskan ritualnya.

Sekali lagi asap kemenyan berkepul tebal naik ke udara diiringi bunyi kemenyan sedang dibaham api bara. Serta-merta muncul sesuatu berwarna merah dalam botol tersebut. Terbalalak mata Zali tak percaya. Tok Kenuit mengangguk puas hati.

Selepas ni baru kau tahu... hansem tak hansemnya aku. Bisik hati Zali penuh dendam kesumat. Kau akan tergila-gilakan aku nanti, tengoklah. Detak hati pemuda yang telah termakan dengan pujukkan setan laknatullah. Ulas bibir Zali menggarit senyuman pada wajah. Bayangan gadis pada gambar mula bermain-main dalam benaknya. Di mana gadis berkenaan memaut lututnya meminta agar Zali menerima dirinya sebagai kekasih.

Amboi! Berangan tak ingat. Suka sangat diri tu dipuja bagaikan dewa. Semua ini berlaku semata-mata kerana satu peristiwa sadis pada petang yang petaka itu.

“Tak balik lagi ke?” sapa Zali lembut cuba berbahasa basi dengan gadis ayu berambut pendek paras bahu pujaannya. Degup jantung Zali menjadi laju tidak keruan setiap kali bila terpandang kelibat si gadis. Sudah lama hatinya memuja gadis ayu tersebut. Lama gadis itu mendiamkan diri. Nyata tegurannya tidak bersahut. Gadis itu hanya menjegilkan sepasang matanya tanda dia tidak sudi melayan Zali.

“Alah, tak kan tanya pun tak boleh?” Zali masih ingin mengajak gadis pujaannya itu berbual. Wajah Zali dihiasi senyuman manis menggoda. Tetapi gadis itu hanya senyap dan tidak memberikan sebarang tindak balas. Gadis itu membatukan dirinya sambil meneruskan tugasan di depan mata dan dia buat macam Zali tidak wujud di situ. Namun, Zali masih tidak mengalah.

“Kalau ye pun sibuk... jawablah soalan abang ni dulu...” pinta Zali masih berlembut membahasakan dirinya ‘abang’. Uweek! Tekak si gadis terasa geli-geleman bagai digeletek dari dalam. Beberapa pasang mata yang berada di situ melirik ke arah Zali dengan pandangan mengejek.

Beberapa orang staf perempuan yang ada berhampiran mula terasa kembang tekak bilaAda yang mencemik.Zali membahasakan dirinya ‘abang’. Perasaan malu mula merayap perlahan-lahan menyelubungi hati kecil Zali bila dipandang semacam oleh mereka dan bila soalan-soalan yang diajukan tidak mendapat respon dari gadis idaman.

“Alaa...janganlah sombong sangat. Abang bertanya baik-baik lembut-lembut ni,” sambung Zali lagi. Dia cuba berlagak selamba untuk menutup malu.

Lonjakkan emosi mula membadai perasaan si gadis sehingga di luar kawalan. Si gadis langsung bangkit pantas dengan hati yang meluap-luap panas. Matanya mula dijegilkan tajammembuang pandangke arah Zali.Anak mata dia menikam wajah Zali. Hidungnya kembang kempis menahan marah yang sedang menyeruak ke permukaan.

“Kau apahal hah?” marah si gadis sambil menghentakkan sebuah fail hitam jenama ABBA dengan kuat atas meja melepaskan perasaan. Bergegear meja itu jadinya. Terkejut beruk Zali. Sudah lama dia bersabar dengan tingkah Zali yang suka mengganggunya. Maka hari ini, tunjang kesabaran gadis itu sudah sampai ke puncak.

“Tak adalah....abang cuma nak...”

“Nak apa?!” melengking suara gadis dengan matanya membuntang bulat. Marah benar dia nampaknya. Anak matamenumbuk tepatke arah Zali.

“ Tak payah kacau orang boleh tak? Kalau muka tu hansem macam Shukri Yahya tak apalah jugak. Ini... dahlah macam cokodok basilepas tu,ada hati nak ngurat orang. Eeeeeee! Tak kuasalah! Kau ingat selama ini aku tak tahu yang kau tu memang nak jual minyak kat aku,” pekik si gadis dengan kuat sampai terkedu semua staf yang ada berhampiran.

“Dah pergilah! Aku tak nak tengok muka kau lagi. Bila orang dah tak layan tu blahlah. Takkan tak faham-faham lagi kut...Kau tak payah nak bermimpi okay!”

“Sudahlah tu.. Dah orang tak layan janganlah pipi tersorong-sorong pula,” sampuk pula seorang staf lelaki yang agak kacak penampilannya dari Zali bila melihatkan pemuda itu masih tidak mahu berganjak dari situ. Terbakar terus hati Zali bila urusannya dicampuri oleh orang yang tak berkenaan.

Sambil menudingkan jari telunjuknya mengarah ke arah staf lelaki tersebut dia memberikan amaran secara senyap agar pemuda itu berhati-hati. Kalau tidak memang dia nak kerjakan staf lelaki tu sampai lunyai kat situ juga.

Serta-merta terkedu Zali tanpa dapat berkata-kata. Hanya mampu menelan liur yang bergumpal. Dirasakan payah nak turun dari kerongkongnya. Terkejut dengan pertukaran kelakuan gadis manis di hadapannya. Mukanya merah padam menahan malu. Lekas-lekas Zali meninggalkan tempat itu.

“Sampai ke mati aku akan ingat penghinaan kau ini.” Zali berlalu pergi sambil membawa botol kecil yang kini sudah bertukar menjadi warna merahdarahdengan senyuman tersungging bersama seribu dendam kesumat membajai hati.

“Kau yang buat aku pilih jalan ini.”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.