Home Novel Cinta Persis Akar Dani
Persis Akar Dani
Juea Abdullah
6/3/2017 10:24:42
10,807
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Part 10

Hampir enam bulan dulu, dia dinikahi tanpa rasa. Kosong, hambar, penuh hampa. Temannya hanya airmata dan keluhan yang tak berkesudahan. Selepas itu, dia masih bebas tetapi diri terasa dirantai. Sungguh, dia berhempas pulas mahu melepaskan rantai itu. Hanya Tuhan yang tahu betapa dia tak mahu terikat. Dengan lelaki itu atau sesiapa pun!


Hari ini dia duduk menanggung debar. Hati di dalam basah dihempas asmara rindu dan kasih yang berombak kuat melanda apa saja rasa-rasa yang menghalang. Dia benar-benar mahu dimiliki, dirantai atau diapapun oleh lelaki itu - lelaki yang sama yang bernama Muhamad Nuqman bin Zulkarnain. Seluruh hidup ini akan dipersembahkan untuknya. Dia bagaikan hilang diri. Nafas, detak jantung dan denyut nadinya adalah untuk lelaki kiriman Tuhan itu.


Dibaluti sepasang kebarung putih mutiara dari songket tenunan tangan dengan corak bunga melati, Puteri Zulaikha kelihatan persis seorang puteri, duduk termenung mengadap cermin. Simpang-siur saudara-mara yang menyusun atur dan menyiapkan dirinya agar sempurna untuk majlis akad nikah yang akan dilangsungkan selepas solat Zuhur berjemaah nanti sedikit pun tidak dihiraukannya. Dia tak kisah dengan majlis yang bagaimana pun. Asalkan dia akhirnya menjadi seorang isteri kepada Muhamad Nuqman secara sah di mata semua orang walaupun dia sememangnya sudah sah dalam pandangan Allah dan Rasul-Nya.


Ya! Dia nak jadi isteri Nuqman. Dia nak jadi isteri macam ibu. Gambar ibu yang dipeluk hingga tertidur malam tadi kini dipegang diriba, ditatap sejak tadi.


Isteri. Perkataan itu kerap bergema dalam dirinya sejak semalam. Sejak dia berbual dengan suami yang lemas kerinduan menunggu panggilan darinya. Hampir sejam lamanya mereka berbual selepas dia berjaya meminta semua orang meninggalkannya sendirian di bilik dalam keadaan berinai sepuluh jari tangan dan sepuluh jari kaki! Dan dia terpaksa mendail nombor telefon bimbit sang suami hanya dengan dagunya dan mengaktifkan pembesar suara. Suara Nuqman yang agak besar dan dalam memenuhi ruang bilik itu menguasai jiwa dan mindanya.


“Kalaulah Ika ada di sisi abang sekarang, boleh Ika tolong damaikan jiwa abang ni…” Keluh suaminya dengan suara yang mendesah. Kelam kabut minda Puteri menelah. Kenapa pula, sayang?


“Ika… betul ke Ika sayangkan abang?”


“Ika sayang… sayang sangat-sangat!” Lidah ini terus mengaku saja, tak mahu berselindung lagi.


“Sayang macam mana?” Duganya pula.


“Sayang sangat! Ika rasa… Ika lebih sayangkan abang dari diri Ika sendiri.”


“Macam tu sekali, Ika?” Soalnya selepas terdiam seketika. Tak percayakah, Nuqman?


“Hmm… Ika… Ika tak pandai nak luahkan,” sebak jadinya hati. Jangan pernah persoalkan kasih sayang ini, duhai suami!


“Abang harap sangat… kasih sayang Ika dapat selamatkan abang dari neraka,” berat suara lelaki itu meluah perlahan tapi cukup untuk menyentak sekujur dirinya.


“Kenapa abang cakap macam tu?” ahh… kalut jadinya! Kerana dia tahu, Nuqman tak main-main kalau begini nada suaranya.


Tawa kecil Nuqman memenuhi ruang bilik yang sunyi sementelahan waktu sudah hampir dinihari. Tawa yang mengusung berat bebanan dalam dadanya jelas bernada sebak. Kali ini, tidak seperti hampir enam bulan yang lepas, Nuqman lebih banyak bermuhasabah. Kalau dulu, dia diakadnikahkan dalam keliru rasa, dipasangkan dengan seseorang yang entah sudi entahkan tidak sampai dia jadi kalut meyakinkan diri sendiri akan takdir Allah. Malam itu, dia sudah amat yakin dan redha namun rasa cemas untuk memikul bebanan tanggungjawab pula menerjah datang. Mampukah dia?


“Orang lelaki ni Ika, sebenarnya takut nak kahwin…”


“Iya ke? Tipulah! Ika tengok lelakilah paling selalu tak sabar-sabar nak kahwin. Tapi bila dah kahwin, tanggungjawab entah ke mana!” Sinis nada Puteri dalam bertingkah.


“Hmm… betul! Itulah yang dirisaukan. Tanggungjawab suami tu berat. Memang kebanyakan lelaki tak sabar nak kahwin. Abang tak nafikan. Siapa tak nak hidup bahagia diulit isteri? Lelaki yang tak tahu, tak faham perintah Tuhan memang tak sabar nak kahwin. Tapi bagi yang tahu dan yang faham… Allah! Mesti dia fikir banyak kali bila nak berumahtangga.” Berkerut muka Puteri mendengarnya. Semakin serius bunyinya nada suara Nuqman.


“Mmm… maksudnya? Abang… abang ubah fikiran?” Hanya Tuhan saja yang tahu betapa kuatnya debar dalam jantung Puteri.


Nuqman ketawa lagi. Tapi Puteri sudah hendak menangis. Bagaimana kalau Nuqman benar-benar sedar yang dirinya memang tak layak untuk diperisterikan? Bukan Nuqman tak kenal siapa dirinya. Iman lebih tipis dari kulit bawang!


“Bukan macam tu, sayang! Abang nak tanya Ika, pernah tak dengar sebuah hadis riwayat Ahmad, Rasulullah bersabda, ‘Tiga yang telah Allah haramkan Syurga: orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan si dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya.’ Abang ingat sangat hadis tu sebab abang takut kalau termasuk dalam tiga golongan yang disebut Rasulullah. Minta dijauhkan Allah!”


Terdiam Puteri seketika. Berkerdip matanya cuba mengingati. Tertelan liur sendiri bila menyedari yang dia tak pernah ambil berat tentang Hadis melainkan ketika hendak menjawab soalan periksa saja. “Err… mungkin pernah tapi Ika tak hayati.”


“Seorang suami tu Ika, akan jadi Si Dayus yang dimaksudkan Rasulullah kalau dia biarkan isteri dan anak-anaknya dalam maksiat. Maksiat tu luas maksudnya. Antara yang biasa kita tengok, anak-anak dan isteri mendedahkan aurat, bentuk tubuh dan kecantikan. Ada suami yang membiarkan isteri naik kereta berdua atau keluar dengan lelaki yang bukan mahram dengan macam-macam alasan tanpa rasa cemburu. Apatah lagi kalau biarkan anak-anak keluar bertemu pasangan, berdua-duaan ke mana-mana macam yang lumrah berlaku sekarang. Ramai suami membiarkan anggota isterinya disentuh lelaki lain bukan atas dasar darurat. Ada yang biarkan isteri melahirkan anak disambut doktor lelaki tanpa ada usaha mencari doktor perempuan melainkan darurat. Bukan tu saja, apa juga maksiat yang dibuat isteri macam mengumpat, menunjuk-nunjuk, tamakkan harta dunia dan semua yang Allah keji, suamilah yang bertanggungjawab dan dipersoalkan di Akhirat kelak. Bayangkan! Itu belum soal nafkah lahir dan batin yang mesti disempurnakan, didik dan bimbing anak isteri dalam soal tauhid dan syariat, akhlak dan tasawuf. Mesti dicarikan guru bagi yang tak mampu mendidik. Kalau difikir-fikirkan, berapa ramai lelaki sekarang adalah Si Dayus yang dimaksudkan Rasulullah?” Nuqman menghela nafas panjang yang sangat berat di situ. Diam menunggu respon isterinya dari hujung talian sana. Tiada kata-kata balas.


“Perempuan ni, Ika… kalaulah dia tahu apa yang akan berlaku pada ayah dan suaminya, dia mesti jaga syariatnya sungguh-sungguh. Dia takkan sanggup biar ayah atau suaminya jadi dayus. Kerana perbuatannya, ayah dan suaminya diharamkan Syurga, diheret ke neraka!”


Puteri menekup bibir dengan belakang tangan yang berinai di hujung jari jemarinya. Kehidupannya sebelum dan selepas mengenali Nuqman terlayar di ruang mata. Dan Tasik Cenang! Ya Allah…! Kelopak matanya tiba-tiba terasa hangat dan basah. Abah! Hatinya meraung.


“Suami akan terheret ke neraka kerana tak mampu nak halang anak isterinya dari buat maksiat walau macammana pun dia beribadah. Itulah sebenarnya berat bebanan seorang suami, Ika. Kalau difikir-fikirkan… ya Allah! Rasa tak sanggup sebenarnya…” Nuqman bagaikan menggumam sendiri. Air jernih jatuh di kedua-dua pipi bila mendengar kata-kata itu. Tergeleng kepala Puteri menahan rasa. Dia tak sanggup! Dia tak sanggup mengheret lelaki sebaik abah dan Nuqman ke neraka kerana dosanya. Ya Allah! Bantulah hamba-Mu yang lemah ini… Bagaimana aku dapat menjauhi maksiat? Aku sayangkan mereka. Sayang sangat-sangat! Tolong aku dalam bertaubat, ya Allah!


Patutkah aku tarik diri sebelum semua itu terjadi, ya Allah? Bibir bawahnya digigit sampai terasa sakit. Tegakah dia berpisah dengan Nuqman kerana itu? Atau apakah Nuqman benar-benar tak sanggup…


“Sebab itu, Allah campakkan rasa nak hidup berpasang-pasangan. Allah Maha Tahu. Allah cambahkan rasa kasih sampai seorang lelaki sanggup menanggung semua tu demi isterinya. Macam yang abang rasa pada Ika sekarang. Walau macam mana payah sekali pun, abang tetap nak hidup dengan Ika. Nak ada zuriat dengan Ika. Cuma abang harap sangat, isteri abang akan jadi isteri solehah, yang dapat selamatkan abang dari neraka. Abang harap sangat, Ika…”


Terpejam sepasang mata Puteri dengan linangan airmata keharuan dengan pengakuan dan permintaan suaminya. Ya Allah! Teresak di situ tanpa mampu melafazkan sepatah kata pun.


“Sayang! Abang… abang tak bermaksud nak buat Ika sedih! Abang cuma nak kongsi rasa hati abang, harapan abang… itu saja! Ika… are you crying?” Nuqman kaget sungguh dengan esakan halus di hujung talian sana. Dia yang tadi tersandar di sofa kini duduk tegak dek rasa bersalah.


Semakin kuat esakan Puteri dibuatnya. Nuqman! Awak terlalu baik. Apa yang saya boleh buat… saya terlalu sayangkan awak. Takkan sanggup lepaskan awak… tapi saya juga takut jadi penyebab awak terseksa…! Maafkan saya…. Rintihan itu hanya bergema dalam hatinya. Tak terluah! Dia hanya menangis di situ sambil menekan dada sendiri dengan telapak tangan.


“Abang ke sana sekarang!” Nuqman dah makin panik. Hiba hatinya mendengar esakan sayu Puteri Zulaikha.


“Jangan!” Terjerit Puteri dibuatnya. Dan digigit bibir sekuat hati supaya esakannya berhenti. Pedih hatinya, hanya Tuhan yang tahu.


“Ika faham! Ika sayangkan abang!” Dia memaksa diri untuk berkata supaya Nuqman tak mematikan talian itu. Apa yang harus dikatakan lagi, Nuqman. Harapan itu… ya Allah! Mampukah aku…?


“Sayang… lupakan saja apa yang abang cakap tadi. Abang… abang terbawa-bawa sebenarnya. Sorry! I’m so sorry! Abang tak bermaksud nak buat Ika…”


“Ika memang berazam nak jadi isteri solehah, abang! Cuma Ika bimbang… Ika belum kuat dengan Tuhan… Ika tak macam abang…” Puteri menangis terus. Dia tak dapat menahannya lagi. Terlalu sakit dadanya kalau terus ditahan.


“Tolong pimpin, Ika… Ika tak nak buat semua tu. Ika tak nak abang ke neraka. Ika sayangkan abang.” Lirih suaranya merayu. Nuqman tergamam di situ.


“Ika banyak dosa pada abah. Ika takut nanti Ika juga buat dosa pada abang. Tapi Ika tetap nak jadi isteri abang walaupun Ika tahu, Ika tak layak sebenarnya,” Habis terluah juga isihatinya dalam esak tangis yang meruntun perasaan sesiapa pun yang mendengar. Apatah lagi Nuqman. Luruh airmata lelakinya dengan pengakuan tulus itu. Kalaulah wanita itu di hadapannya sekarang, pasti didakap erat dan takkan dilepaskan lagi.


“Itu dah cukup bagi abang, sayang! Syhhh… jangan nangis lagi. Allah Maha Tahu siapa Ika sebenarnya. Ika pilihan Allah untuk abang. Jangan pernah ragu tentang tu. Abang sayang Ika sangat-sangat. Kita cuba yang terbaik, ya sayang. Tolong jangan nangis. Abang rasa sakit kalau Ika menangis…”
Serentak itu Puteri menekup bibirnya sekuat hati, menahan diri dari teresak. Matanya terpejam rapat agar jangan ada airmata yang mengalir lagi. Nafas ditarik dalam-dalam walaupun tersekat-sekat kerana dia mahu mengawal emosi. Sedaya upaya dia menahan… kerana dia tak mahu lelaki kesayangannya sakit kerana airmatanya. Apatah lagi ke neraka kerana dosanya!


“Sayang, Nuqman dah sampai! Ya Allah… kenapa menangis ni? Ika…? What’s wrong?” Nadia yang masuk ke bilik Puteri bersama Najjah terperanjat dan saling berpandangan. Najjah sudah berkerut mukanya langsung terduduk melutut di sebelah Puteri yang masih di kerusi di hadapan meja soleknya. Sepupunya yang jelas terkejut bila disapa itu sedang kelam-kabut mengeringkan airmata dengan hujung jari-jemarinya yang merah berinai.


“Hmm… Ika okey je, mummy! Tak ada apa…” Puteri cuba tersenyum sambil mengelak dari bertentangan mata dengan wanita yang selama ini menggantikan tempat ibu yang telah pergi. Dia tak mahu buat orang jadi risau kerananya.


“Are you sure?” Nadia membongkok lalu memaut bahu anak saudara kesayangannya rapat-rapat.


“Kak Ika… jangan sedih…!” Najjah pula mengusap pehanya, cuba memujuk. Puteri angguk laju-laju sambil memaksa diri tersenyum. Sebak di dada ditahan sedaya mungkin.


“Ika ingat ibu ya?” Telah Nadia dalam serba-salah. Gambar kakaknya diriba Puteri menyentak dirinya. Langsung berhamburan airmata Puteri yang sedari tadi gigih ditahan dari berjatuhan. Memang ibulah yang diseru-seru malam tadi selepas lama dia dipujuk Nuqman. Sehingga dia dapat ketawa semula. Sedangkan sebenarnya dia simpan gelodak rasa supaya Nuqman tak lagi merisaukannya.


Hanya selepas Nuqman memberi salam, dia kembali memikirkan kata-kata Nuqman. Segala rasa yang datang tak tahu hendak dikongsikan dengan siapa. Tentunya waktu itu, kehadiran ibu adalah sesuatu yang paling diharapkan. Namun Puteri hanya ada gambar ibu…


Nadia dan Najjah juga tak dapat menahan airmata. Dalam keharuan, mereka saling berpelukan. Saling mengusap dan memujuk. Tuhan… kalaulah kehilangan ini bisa berganti!


“She’s here, honey! She’s always here for you. Dia tak pernah tinggalkan kita. Dia cuma ada di sebalik tabir saja. Please don’t cry… she must be hurt to see you cry…” tutur Nadia dalam payah. Dia tahu… sampai saatnya, Puteri akan sangat terasa kehilangan… terutama bila tiba detik bahagianya seperti saat ini. Saat seorang anak sangat-sangat memerlukan ibu. 

Puteri angguk. Dikemam bibir sekuat yang boleh, menahan airmata dari gugur lagi. Dia juga yakin ibu ada bersamanya dari alam sana. Malah semalam dia bermimpi ibu memandang dari jauh sambil tersenyum. Dia terbangun ketika azan Subuh berkumandang kerana dia mahu berlari mendakap ibu. Langsung dia tersedar dari mimpi lalu tersembam semula membenamkan tangis pilu ke bantal yang bisu.


“Kak Ika… kami semua sayang kakak. Jangan nangis, kak! Najjah tak tahan kalau akak nangis macam ni…” Gadis yang amat penyayang itu sudah merah mata dan hidungnya, teresak lebih teruk dari sepupunya.


“Nuqman is here, sayang. Don’t let him be sad…” Nadia kehabisan daya mahu memujuk. Lalu disebut nama lelaki bertuah itu. Mendengarkan nama suaminya, Puteri semakin berusaha untuk berhenti dari teresak. Dia angguk lagi sambil melepaskan pelukan mummy dan Najjah.


‘Jangan menangis kalau sayangkan abang…’ Kata-kata Nuqman semalam terngiang-ngiang di pendengarannya. Dia akur. Dia terlalu sayangkan lelaki itu. Sayang separuh mati! Perlahan-lahan, Puteri mengorak senyum sedikit kepada mummy dan Najjah. Mereka ikut tersenyum dengan mata yang basah.


“Ika dah berwuduk? Kita nak solat jemaah sekejap lagi. Tetamu semua dah siap di saf…”


Puteri geleng laju. Dia bangun sambil mohon permisi. “Ika berwuduk dulu ya.”


... bersambung


Harap pembaca terhibur dengan part ni. Terima kasih sudi baca!


**PAD sambungan novel Makna Pada Rasa yang kini sedang dipromosi secara online dengan harga istimewa sempena Ramadhan bersama cenderahati. Whatapp 011-12541676.

Jemput baca Makna Pada Rasa di Portal Ilham yang kini mencecah 76k bacaan. Terima kasih kepada yang pernah singgah!

http://www.portalilham.my/…/st6…/DzqK1PjDIX8/Makna-Pada-Rasa


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Juea Abdullah