Home Novel Cinta Ingin Mencintaimu Selayaknya
Ingin Mencintaimu Selayaknya
Selma Q
29/4/2019 03:45:46
43,174
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24

"Kusutlah! I tak ada kat sini, macam-macam jadi. Dahlah daddy tak nak cakap apa-apa," Syaiful Hadif mengomel. Lutfi yang duduk disebelah Mallika tidak berani untuk buka mulut. Ini semua salah Mallika. Mencabar Firdaus adalah satu langkah yang salah!

"Sekejap lagi aku nak jumpa daddy. Aku nak tanya tentang projek kerjasama dengan syarikat Firdaus. Aku nak terangkan kepada daddy yang aku tak tahu menahu pasal benda ni. Firdaus tu yang buat kerja bodoh!"

"Sayang, you janganlah marah-marah. I percaya daddy faham yang you tak terlibat dalam masalah ni," Mallika bangun lalu mendekati Syaiful Hadif yang sedang duduk di kerusi besarnya. Bahu Syaiful Hadif diurut lembut untuk menenangkan lelaki itu. 

"I tak faham. I kenal Firdaus. Dia memang kaki perempuan tapi I tahu dia tak akan paksa perempuan. Itu bukan cara dia unless... ada orang cabar dia."

Kata-kata Syaiful Hadif membuat Mallika panik. Lutfi dipandang lalu menghantar isyarat mata kepada sepupunya. Lutfi mula serba-salah.

"Err..Aku rasa....Hana yang buat Firdaus macam tu kot. Manalah tahu, dia goda Firdaus tapi bila Firdaus nak lebih-lebih, dia yang tiba-tiba jual mahal. Kita pun tak tahu cerita sebenar," Lutfi buka mulut. Terpaksa membantu sepupunya dengan pembohongan ini. 

"Masalahnya, Firdaus tak angkat call aku. Kalau dia cerita dengan aku apa dah jadi, boleh aku cakap kat daddy. Ini tidak! Semua diam. Dah tu! Projek ni macam mana? Terbiar macam tu je?!" 

Tanpa mereka sedari, pintu bilik ofis dibuka dari luar. Wajah Sayf Harith muncul disebalik pintu.

"Wah...ni semua orang berkumpul ni, ada perjumpaan hari raya ke?" Sayf Harith menyindir. Lutfi tidak senang duduk bila Sayf Harith memandangnya sekilas.

"Kau nak apa Harith? macam mana kau boleh masuk sini? Haish! bodohlah staf kat luar tu! tak reti nak bagitahu aku ke?!" Syaiful Hadif naik berang. Sayf Harith dengan bersahaja bertenggek di bucu meja kerja Syaiful Hadif. 

"Kenapa kau cakap macam tu? semua orang tahu kau adik aku. Tak kan abang sendiri nak datang, staf kau kena bagitahu kau. Aku datang sini sebab nak tanya khabar kau," jawab Sayf Harith sambil meneliti tali lehernya. 

"Kau dah kenapa nak tanya khabar aku. Tak ada kerja?" soal Syaiful Hadif dengan riak bosan. Sayf Harith simpan senyum dan Syaiful Hadif benci dengan riak wajah itu. 

"Aku datang sini sebab nak tahu keadaan kau macam mana selepas...projek kerjasama kau diberikan kepada orang lain."

Terbuntang mata Syaiful Hadif!

"Apa...apa...kau merepek ni?!" suara Syaiful Hadif sudah berketar-ketar.

"Oh! daddy tak bagitahu kau eh? Sorry bro...sebab kau dengar dari mulut aku," Sayf Harith sengaja membuat muka sedih kononnya dia bersimpati dengan nasib Syaiful Hadif.

"But...but...why? Aku banyak korbankan masa aku, tenaga aku untuk projek ni," Syaiful Hadif mengurut pelipis.

"Nampaknya...kau hilang peluang untuk tunjukkan kebolehan kau. Haiz...ARQ & CO tak sempat nak tengok apa kau mampu buat demi syarikat ni. Sayangnya..."

"Ini tak adil Harith! Aku yang layak untuk selesaikan projek ni. Bukan orang lain!" 

Sayf Harith ketawa kecil lalu wajahnya diraup. Wajah Syaiful Hadif, Mallika dan Lutfi dipandang satu persatu. Dada mula berombak semakin laju. Riak wajah Sayf Harith terus berubah menjadi serius. 

"Terima sajalah. Tak perlu nak kecoh-kecoh. Kau pun tahu kan? ini semua sebab Firdaus dah kacau staf aku."

"Apa kena-mengena dengan aku? Aku tak fahamlah!" Syaiful Hadif sudah hilang sabar.

"Okey, aku terangkan kepada kau," Sayf Harith berdiri tegak di depan Syaiful Hadif. Kedua tangan dimasukkan ke dalam kocek seluar.

"Kawan baik kau dah buat perkara tak baik kat staf aku dan dia tak menyesal langsung apa dia dah buat. Tu tak apa...dia boleh pulak cabar aku? Cabar Sayf Harith? Bodoh betul kawan baik kau tu," Sayf Harith masih ingat hinaan yang dilemparkan Firdaus terhadapanya.

"Sebelum tu, aku nak ingatkan kau yang projek ni adalah kerjasama dengan syarikat Datuk Hasaan. Bapak si tak guna tu. Firdaus setakat wakil je. Untuk pendekkan cerita, aku jumpa dengan Datuk Hassan. Aku ada buat perjanjiian dengan Datuk Hassan. Kita sama-sama setuju untuk keluarkan Firdaus dan kau dari projek ni." 

Syaiful Hadif tersentak! Matanya tidak lepas dari memandang wajah Sayf Harith. Dia kenal dengan abang tirinya. Sayf Harith tidak akan buat cerita. Syaiful Hadif teringat dengan janji Datuk Ilyas jika dia dapat menjayakan projek ini. Kenapa? Kenapa Sayf Harith tergamak menghancurkan impiannya? 

"Kau sengaja buat macam ni kan? Kau memang nak tengok aku gagal!" Syaiful Hadif menghentak kuat permukaan meja. Mallika dan Lutfi terperanjat dengan apa yang mereka saksikan sekarang ini. Dua-dua tidak berani untuk buka mulut.

"Tapi Firdaus yang mulakan!" suara Sayf Harith terus menjadi lantang.

"Ok fine! tapi kenapa aku terlibat sama? Kenapa aku dikeluarkan dari projek ni? Masa benda tu jadi, aku tak ada kat sini!"

"Kawan jenis apa kau ni? Tak ke sepatutnya kawan baik kena susah senang bersama," Sayf Harith senyum senget. 

"Nonsense! This is totally not fair. Kau main kotor Harith!" Syaiful Hadif terbangun dari kerusi. 

"Hey! Don't blame me. Aku dah cakap kan sebelum ni. Jangan ganggu staf aku. Itu perjanjian kita. Kau lupa ke syarat-syarat aku?"

"AKU TAK LUPALAH!" Syaiful Hadif menjerit. Rambut diramas-ramas seolah boleh meenghilangkan kekusutan yang melanda diri.

"Aku tak lupa tapi Firdaus yang bodoh cari pasal. Bukan aku." 

"Come on Hadif, I am sure that deep down in your filthy heart, kau nak Firdaus ganggu hidup aku tapi kali ni Firdaus dah melampau. Aku tak boleh berdiam diri. Apa dia buat kat staf aku, aku akan balas balik."

"Alah! setakat perempuan macam tu, you sanggup hancurkan kerjaya adik you? Perempuan tak sedar diri," Mallika beranikan diri untuk berkata sesuatu. Sakit hatinya melihat Sayf Harith sanggup bersusah-payah demi Hana Sofea. Yang lebih sakit hati, tunangnya tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Siapa yang ada kuasa dalam syarikat? Sayf Harith atau Syaiful Hadif?

"Aku nak balik ofis. Aku banyak kerja nak buat," Sayf Harith sengaja buat-buat tak dengar dengan apa yang dikatakan Mallika tadi. 

"Ada lagi satu perkara aku nak cakap. Hadif..kalau kau nak Lutfi kerja dengan kau, beritahu aku. Aku dengan rela hati transfer Lutfi ke ofis kau. Memandangkan dia banyak luangkan masa dia kat sini, lebih baik dia kerja terus kat ofis kau. Kalau kau nak, bagitahu aku. Kau pun tahukan yang aku ada kuasa untuk buat apa dengan staf aku?" Sayf Harith mengenyit mata sebelum melangkah keluar dari bilik Syaiful Hadif.

Dada Syaiful Hadif mula turun naik. Dia benci Sayf Harith! Kenapa Sayf Harith pulang ke Malaysia? Kenapa dia tidak menetap terus di Dubai seperti yang dirancangkan?

"Arghhhhh!" Syaiful Hadif menolak semua fail yang ada di atas mejanya. Kertas kerja kini bertaburan di atas lantai.

"Sayang, ini mungkin rancangan perempuan tu! entah-entah dia yanng perangkap Firdaus. perempuan tu memang licik. Dia tahu yang Harith akan back-up dia. Perempuan tu memang tak sedar dirilah!" Mallika mula menghasut. Syaiful Hadif mengurut kepala. Mungkin apa yang dikatakan Mallika memang betul. Syaiful Hadif bernekad. Dia tidak mahu berdiam diri. Laci meja ditarik lalu sampul berwarna putih dikeluarkan.

"Lutfi, sebarkan gambar-gambar ni tapi muka Datuk kau kasi blur. Ingat arahan aku! Sebarkan gambar ni dan blur muka Datuk. Jangan pandai-pandai buat keputusan sendiri! Faham?"

Lutfi bangun dan terus mengambil sampul surat itu dari meja Syaiful Hadif. Mallika yang berdiri di sebelah Syaiful Hadif, tersenyum besar dalam hati.

***

"Terima kasih Nia sebab sudi ziarah akak. Sepatutnya akak turun bawah jumpa Nia tapi Nia naik atas pulak. Akak dah susahkan Nia," Hana Sofea malu dengan tetamunya.

"Jangan cakap macam tu. Bilik akak ni, bukanlah jauh mana! Setakat naik tangga je. Sebenarnya, mama pun nak datang tengok akak tapi mama ada hal sikit, jadi Nia datang seorang je. Hmmm..Akak macam mana? dah okey?" Dania yang duduk di tepi katil, mencapai tangan Hana Sofea. Tangan itu dielus lembut.

"Akak okey," Hana Sofea cuba senyum. 

"Akak cuti berapa lama? Bila mula kerja?"

"Akak dah dua minggu lebih tak kerja. Akak ambil cuti tanpa gaji. Akak...akak belum bersedia untuk keluar rumah," Hana Sofea berterus-terang.

"Tak apa. Apa yang terjadi kat akak, bukan benda kecil. Akak gunakan masa ni untuk sembuhkan diri dan hati akak."

"Akak gembira sangat Nia datang hari ni. Kalau tak, akak asyik terperuk dalam bilik ni. Ibu akak bila ada masa, akan berbual dengan akak tapi, akak tak bolehlah harapkan Ibu akak untuk duduk sebelah akak 24 jam."

"Kesian Kak Hana," Dania menggosok tangan Hana Sofea untuk memujuk wanita itu. Sejak dia mendapat tahu apa yang terjadi kepada Hana Sofea dari Sayf Harith, hatinya tak tenang selagi dia tidak melihat sendiri keadaan Hana Sofea.

Jeda.

Dua-dua terdiam buat seketika.

Hana Sofea mengeluh kecil. Hatinya meronta-ronta ingin menanyakan tentang Sayf Harith. Setelah Sayf Harith menghantarnya pulang pada hari kejadian itu, tiada lagi berita dari Sayf Harith. Tentang cuti, Luqman yang akan menghubunginya. Hana Sofea tahu yang dia sudah terlepas cakap dalam kereta Sayf Harith tempoh hari dan dia juga belum sempat mengucap terima kasih kepada Sayf Harith kerana telah selamatkan dirinya dari kejahatan Firdaus. Hana Sofea tiba-tiba dijentik dengan perasaan sedih.

"Nia tengok akak macam sedih je."

"Tak ada apa-apa. Hmmm..Auntie dan Uncle sihat?"

"Sihat kak," Dania jawab pendek. Hana Sofea ternanti-nanti untuk Dania menyebut nama Sayf Harith. Selalunya mulut Dania ringan untuk berbual tapi kenapa hari ni Dania seolah berat mulut untuk bercerita? 

"Akak duduk rumah ni, selalunya buat apa?" soalan Dania membuat Hana Sofea rasa hampa. Hati nk tahu tentang lelaki itu tapi mulut malu untuk bertanya.

"Akak banyak tidur, makan...dan kalau rajin, akak akan melukis atau membaca."

"Kalau akak boring, call je Nia. Kita boleh berborak kat telefon. Nanti sebelum Nia balik, kita exchange number."

Hana Sofea mengetap bibir. "Nia kan boleh minta nombor akak dari sepupu Nia. Dia ada nombor akak. Hmmm sepupu Nia tu, apa khabar dia?"

Hana Sofea gunakan kesempatan ini untuk bertanya. Dia terpaksa bertanya demi ketenangan hati. Dania tersenyum.

"Kenapa akak tak telefon abang Harith sendiri?" soalan Hana Sofea dibalas dengan soalan.

"Akak tak nak ganggu dia. Mesti dia sibuk," Hana Sofea menolak rambutnya ke belakang telinga. Dia malu dan kini debaran hati semakin menggila. Dania merenung wajah Hana Sofea dengan senyuman yang masih setia di bibir.

"Tapi...mesej kan boleh? Abang Harith tu memang sibuk tapi dia sibuk macam mana pun, dia akan reply mesej. Lebih-lebih lagi kalau mesej tu dari kak Hana. Abang Harith confirm akan terus balas. Percayalah cakap Nia. Nia kenal dengan perangai Abang Harith. Ha! apa kata, sekarang akak mesej Abang Harith?"cadang Dania dengan wajah  yang teruja.

"Err..Nia, akan nak pergi toilet sekejap," Hana Sofea cuba mengelak. Dania mengecilkan matanya. Dia tahu yang Hana Sofea mahu larikan diri.

"Lepas ni, Nia nak akak mesej Abang Harith depan mata Nia. Ingat Nia tak tahu ke yang akak nak mengelak ni," Dania berpeluk tubuh.

"Eh..Eh.. budak ni. Nia tunggu sini sekejap. Buat macam bilik sendiri. Nanti kita sambung borak," Hana Sofea bangun dari katil lalu melangkah keluar dari bilik. Dania turut bangun lalu melihat sekitar bilik tidur Hana Sofea. Biik tidur yang kemas dan bersih. Dania bergerak merapati rak-rak buku yang terletak di depan katil bujang. Mata meneliti setiap tajuk buku yang ada tetapi tiada yang menarik perhatiannya. Dania bergerak pula ke meja solek di sebelah. Tangan mula menilik setiap botol minyak wangi dan botol penjagaan muka. Mata Dania tertangkap ada satu buku nota berwarna hitam di tepi meja. Dania diserang dengan rasa ingin tahu untuk melihat ada apa di dalam buku nota itu. Tangan menyelak satu persatu muka surat. Setiap muka surat mempunyai lukisan. Dalam hati, Dania kagum dengan bakat lukisan yang ada pada Hana Sofea. Setiap lukisan amat mengkagumkan sehinggalah mata Dania terhenti di salah satu lukisan. Lukisan yang menarik perhatian Dania. Dania menjenguk ke arah pintu buat seketika. Dia takut kalau perbuatannya ditangkap oleh Hana Sofea. Lukisan itu ditatap buat seketika dengan bermacam-macam  soalan bermain di benak hati.

"Lukisan ni..." Dania mengetuk-getuk dahi untuk mencari jawapan. Entah mengapa dia tidak boleh endahkan perasaan ini.

"Tak mungkinlah..." Dania berbual sendiri. Dania berjalan mundar-mandir di depan meja solek sambil mengigit jari.

"DANIA!" tiba-tiba namanya dipekik dari luar. Dania terus menutup buku nota itu lalu keluar mencari Hana Sofea. Rupa-rupanya Hana Sofea sedang berada di bawah, di bahagian ruang tamu. Dania dengan pantas menuruni anak tangga.

"Nia, tolong akak! Ibu akak pengsan," Hana Sofea mula cemas.

"Akak nak Nia buat apa? telefon ambulans?"

"Tak payah. Tolong akak ambilkan tuala basah. Tuala ada kat dalam laci dapur," Hana Sofea mengarah. Dania mengangguk laju lalu berlari menuju ke ruang dapur. Hana Sofea menepuk lembut pipi Puan Salehah. "Ibu, bangunlah! Apa dah jadi ni? Tadi Ibu okey je."

"Kak, nah! tuala basah," Dania memberikan tuala yang sudah dibasahkan kepada Hana Sofea. Hana Sofea menekap dahi dan pipi Puan Salehah dengan tuala basah itu.

"Kak, Nia ada terjumpa gambar kat atas meja makan," ujar Dania dengan wajah yang cemas.

"Gambar apa? nanti akak tengok. Nia tolong akak tekapkan tuala basah kat dahi Ibu, akak nak ambil minyak angin." 

Tuala basah sudah bertukar tangan. Hana Sofea tanpa membuang masa berlari untuk mencari minyak angin yang ada di dalam kabinet dapur. Sewaktu melintasi meja makan, mata Hana Sofea ternampak beberapa kepingan gambar yang disebut oleh Dania tadi. Langkah Hana Sofea serta-merta terhenti. Hana Sofea menarik nafas lalu mendekati meja makan dengan perasaan yang tidak enak. Mata Hana Sofea terbuka luas bila melihat gambar-gambar itu.

Gambar Aisyah bersama lelaki tua? Bukan ke gambar ni...

Hana Sofea terjelopok di atas lantai. Ini mesti angkara Syaiful Hadif! 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Selma Q