Home Novel Cinta Ingin Mencintaimu Selayaknya
Ingin Mencintaimu Selayaknya
Selma Q
29/4/2019 03:45:46
43,234
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

"Encik Luqman..."

"Hana, tak perlu nak panggil encik. Formal sangat. Anggap I macam...abang. Apa kata mulai dari sekarang, panggil abang Luq?" Luqman tersengih. Hana Sofea membalas dengan senyuman ikhlas. Sebenarnya dia rasa selesa dengan Luqman. Luqman bijak menyusun kata dan dia tahu batas antara perempuan dan lelaki.

"Okey abang Luq."

"Ha! kan bagus macam tu!" Luqman menyambung membuat akaun emel untuk Hana Sofea.

"Abang Luq, dah pukul dua belas suku. Semua staf dah keluar pergi makan. Abang Luq tak lapar ke? Dahlah abang Luq ajar Hana sejak pagi tadi."

"Hana tak payah risau. Harith akan belikan kita makan. Nanti kita akan makan kat pantri."

"Dengan Tuan Sayf sekali ke?" Hana Sofea menyoal. Kalau boleh dia mahu jauhkan diri dari Sayf Harith. Dia takut jika dia gagal mengawal perasaan terhadap lelaki itu.

"Kenapa? Hana tak suka ke?" Luqman mengalih matanya dari skrin komputer. 

"Bukan tak suka...Hana masih segan dengan Tuan Sayf." Hana Sofea tersengih kaku. 

"Tuan Sayf tu okey je. Dia nampak bengis sebab dia simpan rambut panjang tapi dalam hati dia sebenarnya ada taman."

"Ada taman? Maksud abang Luq? Tuan Sayf....pernah...bercinta?" tebak Hana Sofea

"Bercinta? Jatuh cinta pernah tapi untuk bercinta...abang Luq kurang pasti."

"Maksudnya?" Hana Sofea diserang dengan rasa ingin tahu tentang Sayf Harith. Dia tahu dia tidak sepatutnya mengorek kisah hidup lelaki itu tapi hatinya meronta-ronta nak tahu! Lagi pun sekadar tahu cerita, apa salahnya?

Luqman tidak menjawab. Hana Sofea rasa serba salah..

"Kalau abang Luq tak nak cerita, Hana faham." Hana Sofea berdehem kecil. Dalam hati menjerit-jerit mahukan Luqman mula bercerita.

Luqman bangun dari kerusi lalu menuju ke pintu. Pintu kaca ditarik dan kepalanya dipanjangkan ke luar bilik mesyuarat. Pintu dibiarkan ternganga luas.

"Abang Luq nak pastikan tak ada orang curi dengar." Luqman kembali duduk di kerusinya. Hana Sofea terasa dengan kata-kata Luqman. Apa ke tak! Dia sendiri mencuri dengar perbualan Sayf Harith dengan Luqman pagi tadi.

"Ni cerita lama. Harith ada suka dengan seorang perempuan ni." Luqman mulakan cerita.

Baru saja mula tetapi Hana Sofea sudah rasa cemburu.

Cemburu dengan perempuan yang berjaya mendapat perhatian daripada Sayf Harith. Hana Sofea tarik nafas. Perasaan cemburu cuba dihalau pergi.

"Abang Luq dapat tahu pun dari mulut Harith. Abang Luq sendiri tak kenal siapa perempuan tu. Jadi...belum sempat hubungan tu menjadi serius, perempuan tu...dia..."

"Dia apa?" Hana Sofea mendekatkan badannya ke meja. Luqman menggosok belakang tengkuk.

"Dia terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian."

Hana Sofea tersentap! Allahuu!

"Harith tu orang dia baik sama macam arwah ummi dia tapi sejak dia kehilangan ummi, lepas tu atuk dia dan benda ni pulak terjadi kat dia..." Luqman tidak mampu untuk menyambung cerita. Luqman menggigit bibir.

"Apa Harith buat? dia keraskan hati dia. Dia takut untuk dekat dengan orang. Dia takut kalau dia kehilangan orang yang dia sayang. Jadi Hana faham-fahamlah kenapa Harith macam tu. Tapi abang Luq kenal Harith, Macam mana dia cuba nak keraskan hati dia, sekeras mana pun,tetap terselit perangai lama dia yang prihatin dengan perasaan orang lain."

Hana Sofea tersandar ke belakang. Tak sangka Sayf Harith diuji dengan kehilangan orang yang dia sayangi. Dia faham perasaan Sayf Harith. Dia juga kehilangan kedua orang tuanya.

"Abang Luq, Tuan Sayf dah lama kenal dengan arwahnya?" Mulut gatal nak bertanya.

Luqman peluk tubuh. "Bila eh..tak silap...dia orang kenal..."

"You buat apa kat sini?!"

Luqman dan Hana Sofea dengan automatik terpusing ke belakang. Perbualan mereka terus terbantut. Hana Sofea berkerut dahi. Wanita yang sedang berdiri ini...wajahnya macam pernah nampak, tapi dimana?

"Ika, you buat apa kat sini?" Luqman membalas dengan soalan yang serupa.

"Luq! you diam! Jangan masuk campur dengan hal I!"

Luqman pantas bangkit dari kerusi lalu berdiri di depan Mallika.

"Eh! sedap mulut kau mengarah aku macam tu! Kau tu tak malu ke nak buat kecoh kat ofis Harith? Lebih baik kau pergi dari sini." 

"Aku suruh kau diam kan? Ke tepi!" Mallika menjerit. Hana Sofea adalah sasarannya.

"Eh perempuan! Kau kerja kat sini? Kau nak rampas Hadif dari aku eh?" Mallika sudah tidak kisah dengan kewujudan Luqman di dalam bilik itu. 

Hana Sofea sudah ingat. Terimbau kenangan pahit yang dulu.

"Oh! Awak?" Hana Sofea jawab dengan selamba walhal hati sudah bergelegak dengan api kemarahan. Bertemu semula dengan wanita ini membuat perasaan marah dan sakit hati timbul kembali. 

"Cik, saya tak ada hubungan dengan Tuan Hadif. Saya sendiri tak nak ganggu hidup dia." Hana Sofea menjawab dengan tenang kerana itulah kenyataan! 

"Ika, kau dah kenapa nak serang Hana? Kau dah salah orang ni. Kalau Hadif ada buat hal dengan perempuan lain, kau pergi cari Hadif kat ofis. Bukan kat sini." Luqman menjeling. Menyampah dengan perangai Mallika.

"Luq! Kau tu tak tahu cerita sebenar. Jangan nak menyibuk boleh tak?" Mallika bingit dengan Luqman yang sesuka hati nak menyampuk. Dia sendiri tak kenal siapa Hana Sofea. 

"Eh perempuan! Kau ni memang tak sedar diri! Bercerai dengan adik, sekarang kau nak pikat abang dia pulak? Eh sedarlah diri tu dah jadi bekas orang." Mallika menuduh sambil menuding jari ke arah Hana Sofea.

"Cik dah salah faham. Saya kat sini nak cari rezeki. Itu je." Hana Sofea rasa bahang. Dia nak pikat Sayf Harith? Sejak awal lagi dia tidak tahu langsung pun yang mereka berdua ada ikatan keluarga. Hana Sofea rasa malu kerana dituduh sebegitu. 

"Sudahlah! Aku kenal perempuan murahan macam kau. Kenapa? kau nak rujuk semula dengan Hadif? atau kau nak goda Harith? dalam banyak-banyak kerja kat KL ni, syarikat ni jugak tempat kau cari makan! Kau tak ada tempat lain ke nak pergi?" Mallika mendengus kasar.

Luqman keliru bila mendengar setiap ayat yang keluar dari mulut Mallika. Hana Sofea pernah ada hubungan dengan Syaiful Hadif ke? Rujuk semula? 

Hana Sofea malas untuk berdebat. Tak ada guna dia mempertahankan diri. Kebisuan Hana Sofea membuat Mallika bertambah marah! 

"Aku benci kau! Ada hati nak rapat dengan Harith? Kau memang melampau! Nak kena dengan aku ni! Aku patut kerjakan kau!" Mallika bertindak untuk mendekati Hana Sofea. Dia mahu menampar wajah polos itu. 

Mallika belum sempat nak buat apa-apa, ada satu tangan merentap lengan Mallika hingga dia terjatuh dalam keadaan terduduk.

"Hish! Apa ni!" Mallika menolak rambutnya ke belakang. Dengan pantas dia berdiri menghadap Luqman yang membuat dia terjatuh tadi.

Mallika terpempan. Dia ingatkan Luqman yang tarik tangannya tadi, rupa-rupanya...

"Har...Harith..." Mallika sudah tergagap-gagap.

Sayf Harith menyuruh Hana Sofea untuk berdiri di belakangnya. Mallika mengetap bibir. Dia benci melihat sikap Sayf Harith yang mahu melindungi Hana Sofea.

"You buat apa kat ofis I?" Sayf Harith bersuara tegas. Mulut Mallika bagai terkunci.

"You buta? tak tahu ni tingkat berapa? atau you dah nyanyuk? Lupa tunang kesayangan you handle Marketing Department which located on the 7th floor. Jadi you ni dalam golongan yang mana satu?" sindir Sayf Harith.

Luqman simpan senyum dan cuba menahan ketawa.

Mallika tersentap. Egonya tercabar bila disindir di depan Hana Sofea.

"Harith...I..." Mallika cuba mencari alasan untuk mempertahankan diri.

"Tak perlu nak bagi alasan. Dah buat salah, mengaku sudah. Jangan nak salahkan orang lain." Sayf Harith berhujah. Mata dilirik ke belakang untuk melihat keadaan Hana Sofea. 

Hana Sofea menarik lengan baju Sayf Harith lalu berbisik. "Tuan Sayf, sudahlah tu."

Mallika mencebik melihat Hana Sofea yang sembunyi di belakang Sayf Harith. Mallika cemburu! Hana Sofea boleh rapat dengan Sayf Harith tetapi dirinya? selalu ditolak jauh setiap kali dia mahu mendekati Sayf Harith. Tak adil! apa kelebihan Hana Sofea? 

"I sekarang nak you minta maaf dengan Luq dan Hana."

Mallika buat-buat ketawa.

"No way! I tak salah dan I tak akan minta maaf dengan perempuan murahan macam dia ni!" Mallika peluk tubuh. 

"Apa you cakap? I salah dengar ke?" Sayf Harith menggosok telinga.

"Harith, you jangan terpedaya dengan perempuan ni! Muka dia nampak je suci tapi dia pisau cukur! Dia nak you jatuh hati kat dia. Dia nak perangkap you. I kenal siapa dia sebenarnya!" Mallika mula menghasut.

"Eh! eh! perempuan ni memang dah melampau!" Luqman tiba-tiba menyampuk. Dia sudah tidak tahan dengan perangai Mallika yang suka tuduh melulu. Walaupun dia baru saja kenal dengan Hana Sofea, dia tahu Hana Sofea adalah wanita yang baik.Setiap tuduhan Mallika tak masuk akal langsung!

"Luq! relax! You just sit down and watch the show."

Luqman sekadar mengangkat bahu dan akur dengan arahan Sayf Harith. Luqman melabuhkan punggung lalu duduk bersilang kaki. Dia tahu Sayf Harith ada caranya yang tersendiri bila berhadapan dengan wanita licik seperti Mallika.

Sayf Harith mengerling ke belakang. Wajah Hana Sofea kelihatan pucat. Sayf Harith berbisik rapat ke telinga Hana Sofea.

"You nak handle perempuan ni sendiri atau you nak I uruskan perempuan ni untuk you?" Sayf Harith menjauhkan wajahnya dan menunggu balasan dari Hana Sofea.

"Saya...saya..." suara sudah tersekat di kerongkong. Sayf Harith tersenyum nipis.

"Tak apa, I uruskan hal ni untuk you." Kening Sayf Harith ternaik. Hana Sofea angguk kepala dengan lemah.

Tanpa membuang masa, Sayf Harith melangkah laju ke arah Mallika. Lengan Mallika direntap sekali lagi lalu diheret keluar dari bilik itu. Hana Sofea terkejut dengan cara Sayf Harith menghalau Mallika untuk keluar.

Luqman sekadar menggeleng kepala. Faham benar dengan perangai Sayf Harith. Jangan sesekali cari masalah dengan Sayf Harith. Buruk padahnya!

"Harith! Apa ni?!" jeritan Mallika tidak dihiraukan. Sayf Harith menarik pintu kaca lalu menolak Mallika keluar dari pejabatnya.

"I dah bagi amaran kat you. Jangan datang sini dan jangan cari pasal dengan I! Dah lupa?" Sayf Harith sudah bercekak pinggang.

"Harith! kenapa you nak pertahankan perempuan tu? You baru kenal dia." Mallika menggosok lengan yang sedikit  berbisa. Kasar betul layanan Sayf Harith terhadapnya!

Sayf Harith menapak selangkah ke depan. Mata merenung Mallika dengan tajam

"Sebab kau dan Hadif dah aniaya dia!" 

Mallika telan liuh. Bibir bergerak tetapi tiada suara yang keluar dari tekaknya. Sayf Harith sudah tahu perkara sebenar? Dia tahu siapa Hana Sofea?

"Harith, you tahu yang Hana..."

"Ya! I tahu! kenapa?" Sayf Harith menyoal. Wajah Sayf Harith sudah kembali tenang.

"Bi...bila you tahu?" Mallika menunduk kepala. Bola mata mula bergerak ke kiri dan ke kanan. Perasaan gementar sudah bertandang ke dalam hati.

"Hmmmm...tak ke tadi you dah terlepas cakap yang Hana bekas Hadif?" Sayf Harith sengaja nak mendera perasaan Mallika.

Mallika geleng kepala. Tak mungkin! Kalau Syaiful Hadif tahu yang dia telah pecahkan rahsia, habislah dia! Mati dia dikerjakan nanti.

"Tak, I cakap macam tu tak bermaksud apa-apa. You tipu! You sebenarnya dah tahu siapa Hana Sofea. Kalau you tak tahu, you tak setenang macam ni bila dapat tahu yang Hana Sofea bekas isteri Hadif. Sekarang you nak putar belit cerita yang I dah lepas cakap. This is too much!"

Sayf Harith senyum meleret. 

"Mesti Hadif mengamuk teruk bila tunang dia sendiri pecahkan rahsia dia. You rasa, daddy akan buat apa kalau daddy tahu yang Hadif pernah kahwin senyap-senyap?"

Mallika meraup rambutnya ke belakang dengan kedua tapak tangan. Nafas ditarik dalam-dalam. Sayf Harith direnung dari atas ke bawah.

"Kalau you bijak, you tak akan beritahu daddy." Mallika tiba-tiba berubah. Rentak suaranya bertukar menjadi serius. 

Sayf Harith melangkah perlahan-lahan menuju ke pintu lif. Dengan wajah yang tenang, butang lif ditekan. Sayf Harith nak tunjukkan yang dia tak rasa tergugat! tetapi dalam otak sudah bermain pelbagai soalan.

"Whatever! I don't care. Sila berambus dari sini."

Sayf Harith mahu cepat beredar. Takut kalau dia terperangkap dengan jerat yang dipasang oleh Mallika. Dia tahu Mallika sanggup cakap apa saja untuk pastikan rahsia Syaiful Hadif tidak terbongkar!

"Harith! you kenal perangai adik tiri you! Apa yang Hadif buat mesti bersebab. Kalau I jadi you, I tak bagi tahu daddy tentang hal ni. Kalau you berdegil nak beritahu daddy jugak, sampai bila-bila you tak akan tahu yang.." Mallika sengaja membiarkan ayatnya tergantung.

Langkah Sayf Harith termati. Otak menghalang untuk bertanya tetapi hati menjerit-jerit ingin tahu. Akhirnya dia kalah dengan tuntutan hati.

"What do you mean?" Sayf Harith berpaling.

Mallika sengaja melambatkan masa untuk menjawab soalan Sayf Harith. Kukunya yang panjang ditilik buat seketika.

"Mallika! Answer me! Kau jangan cabar aku. Kau tahu apa aku boleh buat kalau aku tengah marah." Sayf Harith terpaksa ugut. Dia sudah hilang sabar.

Mallika mendongak kepala sambil tersenyum sinis.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Selma Q