HARI-HARI TERAKHIR
SEORANG PEMBUNUH UPAHAN
Jangan bimbang hari ini saya tidak
membunuh. Saya cuma memerhati sasaran saya.
Sedang berdiri berhampiran pintu tren LRT ini, itulah dia. Seorang
lelaki berambut kerinting, berkulit coklat gelap memakai jaket denim berwarna
biru. Citarasanya pada fesyen sangat hambar. Jaket itu mungkin dibeli secara bundle dari pasar malam, mungkin. Lelaki
ini pada zahirnya kelihatan naif. Tapi jangan mudah tertipu. Dia bukan seperti
penumpang lain. Dia punya misi. Menyeluk
saku. Itulah misinya. Dia licik dan tidak mudah tertangkap. Tetapi malang,
semalam dia telah menyeluk kocek seluar seorang lelaki yang menyedari dompetnya
hilang ketika mahu membayar di kaunter sebuah pasar raya.
Malang, kerana lelaki pencopet itu
telah menempah maut. Dompet yang dicuri itu bukan milik sebarangan orang. Ia
milik saya, seorang pembunuh upahan. Ya saya seorang pembunuh upahan. Pekerjaan
ini sudah saya lakukan sejak lima tahun lepas. Tapi saya tidak membunuh tanpa
sebab. Sasaran saya cuma golongan
Penyeluk Saku, Pencuri, Perompak, Peragut, Pembunuh dan Perogol yang tidak
dapat dikesan oleh undang-undang. Mahu
tahu kenapa saya boleh terjebak dalam perilaku yang dipenuhi dosa ini? Nanti
saya ceritakan. Tapi sebelum itu biar saya uruskan lelaki berambut kerinting
itu dulu.
Tentu anda mahu tahu bagaimana saya
menyedari yang lelaki berambut kerinting itu telah mencopet dompet saya kan?
Mari saya jelaskan. Semalam saya naik LRT dari stesen IOI Puchong ke stesen
Tesco Puchong. Memang niat saya mahu membeli sesuatu di pasar raya Tesco
setelah menyelesaikan urusan perbincangan dengan seorang klien. Ketika di dalam
LRT saya sudah perasan gerak laku lelaki berambut kerinting itu yang agak
mencurigakan. Ketika keluar dari LRT lelaki itu telah melanggar bahu saya dan
tanpa rasa bersalah tidak mahu meminta maaf. Mungkin pada ketika itu dia telah
menyeluk kocek seluar saya, mungkin.
Untuk menguatkan lagi telahan saya,
rakaman cctv di stesen LRT Tesco Puchong telah mendedahkan segalanya. Dan hari
ini saya bernasib baik bertemu dengan lelaki itu lagi setelah dari pagi
menghabiskan masa di dalam tren LRT dari satu stesen ke satu stesen tapi nasib
baik itu sudah pasti tidak berpihak padanya.
Next
Station Pasar Seni
Lelaki berambut kerinting itu
keluar dari tren LRT. Saya mengekorinya dari belakang. Tiga meter. Jarak antara
saya dan dia. Di hadapan lelaki berambut kerinting itu ada seorang perempuan
berambut paras bahu memegang fail berwarna merah jambu.
Kini kami akan menuruni tangga.
Memang dasar pencopet. Lelaki berambut kerinting itu sengaja melanggar
perempuan itu tadi sehingga isi failnya bertaburan di atas laluan pejalan kaki.
Kini saya berdiri di depan perempuan yang sedang terduduk di laluan pejalan
kaki manakala lelaki berambut kerinting itu telah mengatur langkah pantas ke
seberang jalan memasuki kawasan Pasar Seni.
“Cik tak apa-apa?” tanya saya pada
perempuan itu.
“Tak. Tapi semua kertas-kertas ini
penting. Bodoh ar lelaki tu main langgar je.” Jawab perempuan itu dengan nada
sedikit marah.
Mungkin perempuan itu masih belum
sedar. Tetapi dompet di dalam beg tangannya pasti sudah tiada.
“Saya rasa lelaki tu penyeluk saku.
Cuba cik check dalam beg tangan tu
ada apa-apa yang hilang?” tanya saya lagi.
Perempuan itu mencari-cari sesuatu
di dalam beg tangannya manakala saya membantu mengutip semua kertas-kertas yang
bertaburan. Mujur tiada angin yang terlalu kuat untuk menerbangkan
kertas-kertas itu.
“Oh shit!Dompet saya dah hilang! Sial ar lelaki tu, babi!” perempuan
itu mengeluarkan kata-kata makian.
Saya tidak berkata apa-apa. Bahkan
saya memahami perasaan perempuan itu. Kehilangan beg duit memang sesuatu yang
tidak dapat diterima.
“Encik boleh tolong saya? Pinjamkan
saya telefon boleh?” tanya perempuan itu pada saya.
Tanpa ragu-ragu saya menghulurkan
telefon pintar HTC padanya. Nampaknya nasib lelaki berambut kerinting itu
memang baik. Dapat melarikan diri dari saya bahkan sempat lagi mencopet dompet
perempuan itu.
“Terima kasih.” Perempuan itu
menghulurkan kembali telefon pintar kepada saya usai menggunakannya.
“Ada apa-apa lagi yang mahu saya
bantu?”
“Tak. It’s okay, saya dah minta
rakan saya datang jumpa saya.”
“Ok. Jaga diri. Hati-hati.” Pesan
saya padanya.
Saya berjalan ke arah lampu isyarat
manakala perempuan itu berjalan ke arah
pondok bas. Sementara lampu isyarat masih tidak membenarkan saya melintas
jalan, mata saya kembali menangkap ke arah perempuan itu. Kelihatan wajahnya
muram. Saya harap dia tidak menangis. Saya harap.
***************
“Tujuh ribu pendahuluan. Selesai kerja
aku bagi baki lapan ribu tu.”
Saya tidak mengiyakan kata-kata
lelaki yang berada di hadapan saya. Bunyi bising kipas siling di restoran Nasi
Kandar Old Town ini sedikit menganggu saya. Kipas siling itu mungkin sudah
terlalu lama mungkin.
“So orang itu akan setuju tak?”
tanya lelaki itu lagi.
“60 peratus dari jumlah bayaran.
Kalau tak batalkan.” Ujar saya.
“Ok. Ok aku ikut kata kau.”
Lelaki itu mengeluarkan sesuatu dari
beg bimbitnya. Envelope berwarna coklat. Kelihatan tebal dari biasa. Itu sudah
pasti berisi duit. Kemudian satu lagi envelope berwarna putih diletakkan di
atas meja.
“Dalam tu ada tujuh ribu. Kejap lagi
kau ikut aku pergi bank kat hujung tu aku bagi kau lagi dua ribu. 60 peratus
kan?”
Saya mengambil kedua-dua envelope
itu dan memasukkan ke dalam tote bag yang berada di kerusi sebelah.
“Tapi kau memang kenal dengan
pembunuh upahan ni ke? Kalau kau songlap duit itu macam mana?” tanya dia lagi.
Tuan punya restoran ini melihat saya
dari kaunter bayaran sambil tersenyum. Saya tak pasti apa yang difikirkannya.
Kemudian saya bangun dari kerusi dan bersedia untuk mengatur langkah menuju ke
kaunter untuk membuat bayaran. Lelaki itu mengekori saya dari belakang.
**************
Saya berada di dalam kereta di dalam
kawasan Pasar Borong Selangor. Saya memegang envelope berwarna putih yang saya
perolehi dari seorang lelaki di PJ Old Town pagi tadi. Dalam envelope itu ada
maklumat berkaitan sasaran terbaharu saya.
“Pastikan dia dibunuh dan jangan
tinggalkan kesan.”
Saya teringat pada kata-kata lelaki
yang saya temui pagi tadi. Saya buka envelope putih itu dan ada sekeping kertas
bersaiz A4 yang mempunyai maklumat berkaitan sasaran saya.
IDHAM BIN MOKHTAR
UMUR 22 TAHUN
PENGANGGUR + PENYELUK SAKU
KETINGGIAN SEDERHANA
BERKULIT COKLAT
BERAMBUT KERINTING
SERING DI LIHAT DI FLAT MERAH JAMBU SEBELAH SHELL TAMAN MEDAN PJ
LIHAT BELAKANG KERTAS ADA GAMBAR.
Itu maklumat yang saya baca di
kertas A4 itu. Kemudian saya lihat di bahagian belakang kertas itu. Ada gambar
berwarna yang dicetak menggunakan printer. Saya tersenyum. Sasaran saya untuk
kali ini adalah seseorang yang memang sedang saya cari. Ingat lagi pada lelaki
yang mencopet dompet saya dua hari lepas? Ya, dia adalah sasaran saya yang
dikehendaki untuk dihapuskan oleh klien saya.
“Bagus. Menepati kriteria.”
***************
“Tolong bang, jangan apa-apakan saya
bang. Ok kalau pasal dompet abang tu nanti saya pulangkan. Ada dekat rumah saya
tu. Jom kita pergi rumah saya. Tolong ar bang saya merayu ni!”
Saya memandu di lebuhraya menuju ke
Ipoh, baharu melepasi Ulu Bernam. Lelaki berambut kerinting itu berada di
tempat duduk belakang Toyota Wish ini. Kakinya telah saya ikat. Begitu juga
tangannya diikat ke belakang. Tadi matanya saya tutup namun apabila memasuki
lebuhraya saya tanggalkan kain yang menutupi matanya. Biar dia lebih jelas pada
destinasinya.
Bagaimana lelaki itu boleh berada
dalam kereta Toyota Wish yang saya sewa ini? Sejam yang lalu saya mengekori
lelaki itu di kawasan flat di Taman Medan. Ketika dia berjalan menuju ke sebuah
restoran saya memanggilnya dari dalam kereta.
“Dik, boleh tumpang tanya? Mana
Sekolah Kebangsaan PJ ya? Adik tahu?”
Lelaki ittu menjawab, “SKPJ? Abang
kena keluar dari sini ikut jalan besar tu.”
“Adik boleh tolong tunjukkan? Abang
baharu datang dari Ipoh. Tak tahu jalan sini. Abang bagi upah.”
Saya hulurkan sekeping wang dengan
not lima puluh ringgit. Tanpa banyak cerita lelaki itu masuk ke dalam kereta.
Nampak tak? Orang yang bila nampak duit,
gelap mata memang tak banyak fikir bahkan dia tak perasan pada wajah saya. Oh
mungkin memang dia tak perasan.
“Tolong ar bang! Jangan bunuh saya!
Tolong bang saya ada mak lagi!”
Lelaki berambut kerinting itu
menjerit merayu.
“Nama kau Idham bin Mokhtar kan? Kau
tahu kenapa aku nak bunuh kau?”
“Mana saya tahu! Tolong ar bang saya
merayu ni. Kesian pada mak saya. Dia dekat rumah seorang-seorang.”
“Kalau kau ada mak kenapa kau buat
kerja kotor curi dompet orang?” tanya saya lagi.
“Demi Allah bang! Saya buat tu semua
bersebab. Tiga bulan lepas saya kerja. Lepas mak sakit saya berhenti kerja.
Seluk saku ni saya buat part time je bang. Kadang-kadang.”
“Dalam dompet aku yang kau copet tu
ada empat ratus dua puluh dua ringgit kan? Duit sebanyak tu tak cukup untuk
belanja seminggu ke? Sampai kau curi dompet budak perempuan dekat stesen LRT
Pasar Seni tu?”
Dia terdiam. Saya melihat cermin
pandang belakang. Lelaki itu tidak memberi reaksi balas pada kata-kata saya itu
tadi.
“Duit tu bapak tiri saya dah kebas.
Bapak tiri saya mat pet. Kerja malas cuma tahu hisap dadah. Tak pernah balik
rumah. Tapi bila balik dia minta duit dari mak saya. Sebab dialah mak saya
jatuh sakit.”
Intonasi suaranya berbeza kali ini.
Tidak menjerit-jerit seperti sebelum ini. Kali ini agak tenang.
“Perempuan yang saya curi dompet dia
itu bukan perempuan baik pun.” Sambung lelaki itu lagi.
“Maksud kau?” tanya saya.
“Perempuan tu ada skandal dengan
pensyarah dia. Dah lama dah.”
“Mana kau tahu?”
“Dulu saya pernah belajar di kolej
tempat dia belajar sekarang. Sebelum saya berhenti.”
“Tadi kau cakap dulu kau kerja.
Sekarang kau cakap dulu kau pernah belajar. Kau nak kencing aku ke?” saya
menoleh ke belakang melihat lelaki itu.
“Saya sempat belajar dua semester.
Diploma Pemasaran. Lepas mak kahwin baharu, saya berhenti belajar. Saya boikot.
Kemudian saya kerja dekat hotel Pearl Point. Tak sampai setahun, hidup mak saya
kucar kacir. Suami dia tu rupanya penagih dadah. Masa kahwin dia cakap pada mak
dia kerja sebagai supervisor dekat pasar raya. Rupanya dia dah tahu mak saya ni
janda ada duit sebab itu dia pikat. Saya memang dah agak dari awal tapi mak
saya tak percaya.”
“Pasal perempuan tu. Macam mana kau
tahu dia ada skandal dengan pensyarah dia?”
“Saya ada rakam aksi tak senonoh
dorang berdua dalam kereta. Saya ugut pensyarah tu. Saya cakap nak bagitahu
pada isteri dia. Tiap-tiap minggu saya akan pergi ke kolej paudia seratus ringgit.”
“Perempuan tu? Dia tahu apa-apa?”
saya semakin ingin tahu.
“Tak. Dia itu baharu dua semester
dekat situ. Dia tak kenal saya. Masa saya belajar dekat kolej tu dia belum
masuk lagi. Abang tahu kenapa saya curi dompet dia hari tu?”
“Kau rasa aku perlu tahu?”
“Perlu. Saya sebenarnya nak ambil
gambar dia dalam dompet tu. Saya nak berikan pada isteri pensyarah yang ada
skandal dengan budak perempuan tu. Patutnya malam ini saya nak jumpa dengan
isteri pensyarah tu, saya nak bagi semua bukti.”
“Bukti? Untuk apa? Dia bayar kau ke?”
“Pensyarah tu dah bayar saya. Lima
belas ribu lum sum. Tapi saya rasa bersalah sebab isteri dia masih tak tahu
suaminya curang. Jadi saya rasa patut semua
bukti kelakuan dia saya serahkan. Saya dah buat keputusan lepas ini saya tak
mahu ambil tahu hal dorang lagi. Tapi belum sempat saya ambil duit itu dalam bank,
dah jadi macam ini.”
“Hahahaha! Rugi ar kau macam itu.
Tak sempat merasa duit tu akan kena bunuh.” Saya menyindir.
“Sekejap. Saya nak dibunuh bukan
sebab curi dompet abang kan?”
“Itu salah satu sebab. Tapi ada
orang yang upah aku untuk bunuh kau. Mungkin kau pernah curi dompet dia.”
“Siapa?”
“Aku tak kenal. Kerja aku tak pernah
ditemukan dengan klien. Aku cuma berjumpa dengan wakil dia. Lagipun semua orang
yang jumpa aku tak fikir aku ni pembunuh. Mereka fikir aku ejen si pembunuh
upahan.”
“Ah, saya tahu. Ini kerja pensyarah
tu. Celaka!” lelaki itu menjerit tidak puas hati.
“Aku tak tahu. Dah aku tak mahu
dengar cerita kau lagi.”
“Orang yang jumpa abang tu ada bagi
nombor telefon? Cuba abang tanya dia siapa yang nak saya mati tu.”
“Itu bukan hal aku.”
“Anggap ini permintaan terakhir saya
boleh?” lelaki itu seperti cuba merayu.
Saya tidak membalas kata-katanya.
Pemanduan saya begitu lancar. Lebih kurang sejam lagi saya akan sampai ke
destinasi tujuan. Tapi ada sesuatu pada lelaki berambut kerinting itu yang buat
saya sedikit teragak-agak. Tidak. Saya bukan teragak-agak mahu membunuhnya
kerana itu memang tugas saya. Tapi ceritanya tadi. Saya fikir mungkin ada
benarnya.
“014-2345674. Itu Nombor pensyarah
yang saya ugut itu. Abang cuba call.
Tanya sendiri.”
Lebih kurang dua puluh minit berlalu
sebelum saya memutuskan untuk menelefon nombor yang diberikan oleh lelaki
berambut kerinting itu. Wajahnya kelihatan gusar tetapi ada riak ketenangan.
Saya tak pernah melihat seorang yang bakal mati setenang itu.
“Hello”
“Hello. Siapa itu. Kalau tak mahu cakap jangan call.”
“Wakil encik minta saya call encik
terus. Katanya kalau urusan dah selesai maklumkan pada encik.”
“Urusan?
What urusan apa? Kamu merepek apa ni?”
“Lelaki berambut kerinting. Wakil encik
berikan saya maklumat itu.”
“Bodoh
punya Kamal. Dia bagi nombor telefon saya pada kamu? Eh dengar sini, saya dah
bayar dan saya tak mahu tahu apa-apa. Jangan call saya. Satu lagi kalau polis
cari saya kamu siaplah. Delete nombor saya. Faham!”
Panggilan telefon diputuskan.
Kata-kata lelaki berambut kerinting itu memang benar. Mungkin saya harus beri
peluang pada lelaki berambut kerinting itu. Tapi suka saya ingatkan, saya ini
pembunuh upahan yang berprinsip. Tidak ambil duit jika tidak buat kerja.
“Bila kau akan jumpa isteri
pensyarah itu?”
“Malam ini. Sekarang abang
percayakan saya kan.”
Saya terdiam.
Kami tidak berkata apa-apa melebihi
tempoh satu jam. Saya fokus pada pemanduan dan lelaki berambut kerinting itu
merenung jauh ke cermin kereta. Saya sudah memasuki bandar Ipoh. Misi harus
saya sempurnakan.
“Saya nak buat satu perjanjian
dengan abang. Boleh?”
“Perjanjian? Bukan kau patut ingat
pada Tuhan pada waktu-waktu sekarang ini?”
“Tapi tak salah kalau abang dengar
dulu kan?”
Saya memandang cermin pandang
belakang. Lelaki berambut kerinting itu sedang tersenyum. Gila apa sudah mahu
dibunuh masih tersenyum.
“Perjanjian apa? Cakaplah.”
“Sebelum tu saya nak tanya. Abang ni
jenis yang bunuh semua jenis manusia ke atau ada kriteria tertentu?”
“Tak. Aku cuma bunuh orang yang buat
enam jenis jenayah.”
Lelaki itu ketawa mendengar
kata-kata saya. Kemudian dia menyambung tanya.
“Contoh?”
“Penyeluk Saku, Pencuri, Perompak,
Peragut, Pembunuh dan Perogol”
“Ada jugak pembunuh upahan yang
macam itu ya.”
“Jadi perjanjian apa yang kau nak
buat?”
“Maknanya saya bukan tergolong dalam
enam jenis manusia yang abang cakap tadi kan?”
“Kau dah curi dompet aku. Jadi kau
tergolong sekali.”
“Tapi yang upah abang tu mahu saya
dibunuh sebab saya tahu skandal dia. Sebab tu dia nak bunuh saya. Sekarang biar
saya upah abang untuk bunuh seseorang yang betul-betul memenuhi kriteria abang.
Boleh?”
“Kau gila? Kau nak bayar pakai apa?
Jangan buat lawak.”
“Abang ambil duit yang saya dapat
dari pensyarah tu.”
“Dalam dompet saya ada kad bank ada
nombor pin belakang gambar mak saya. Lepas abang bunuh saya, abang ambil kad
bank tu keluarkan duit tu.”
“Kau nak aku bunuh siapa?”
“Abang bunuh bapak tiri saya. Dia tu
selain menagih dia juga meragut, seluk saku, curi.”
“Aku tak kenal bapak tiri kau.
Lagipun tujuan aku memang nak bunuh kau.”
“Saya ada gambar dia. Tapi tak salah
kalau saya pula upah abang kan?”
“Jadi kau sedia dibunuh? Mak kau?
Kalau suami dia mati siapa nak jaga dia?”
“Bapak tiri saya tu memang tak pernah
jaga mak saya. Kalau dia hidup pun akan tambah susah lagi. Jadi abang setuju ke
tak?”
“Tadi kau suruh aku jangan bunuh kau
sebab kesiankan mak kau. Jadi kau rela biar mak kau hidup bersendiri?”
“Arwah bapak saya cakap, suatu hari
kita akan tahu bila tiba masanya untuk kita pergi. Rasanya masa saya dah tiba.
Ya, saya sedih dengan keadaan mak saya sekarang. Tapi dah terlambat.”
“Kau sedih tapi kau jadi pencopet,
duit tu kau bagi mak kau makan. Itu namanya kesian?”
“Saya tak buat makan duit tu. Kalau abang
nak tahu semua duit hasil kejam haram tu saya buat bayar hutang along. Bapak
tiri saya berhutang dan along cari kami setiap minggu untuk mintak duit!”
Saya terkejut dengan kata-katanya.
Tapi boleh jadi dia menipu.
“Kalau abang tak mahu percaya. Hak
abang. Tapi abang setuju dengan tawaran saya tak?”
“Kalau abang setuju kita kena balik
rumah saya dulu. Nanti saya bagi gambar bapak tiri saya pada abang. So setuju
ke?” tanya lelaki berambut kerinting itu lagi.
Saya tidak memberikan jawapan.
Sekiranya saya bersetuju beerti saya harus berpatah balik, pergi ke rumah
lelaki berambut kerinting itu untuk mengambil gambar bapak tirinya yang mahu
dijadikan sasaran seterusnya. Tapi bukankah itu bermakna saya akan menangguhkan
pembunuhan ini?
Sekali lagi saya ingatkan saya ada prinsip.
Tidak ambil duit kalau tidak buat kerja. Lelaki berambut kerinting ini harus
dibunuh kerana upah telah dibayar walau tidak penuh. Tapi suka saya ingatkan
saya juga ada satu prinsip lagi. Saya tidak akan bertemu dengan klien saya selepas
kerja dilakukan samaada berjaya atau tidak dan klien saya juga tidak akan
mencari saya selepas kerja dilakukan samaada berjaya atau tidak. Itu muktamad.
Saya menoleh ke belakang melihat lelaki berambut kerinting itu, mungkin untuk
kali terakhir. Mungkin.
**************
Lelaki berusia pertengahan 40 an itu
berlari pantas sehingga sukar untuk saya mengejarnya. Namun saya berusaha
berlari selaju mungkin. Celaka ingatkan
Mat Pet macam dia lari tak laju tapi boleh tahan jugak!
Saya terus mengejarnya sehingga ke
lorong belakang bangunan kedai. Lelaki itu sudah kepenatan lalu berhenti
berlari. Dia membongkok, nafasnya tercungap-cungap. Saya turut berhenti
berlari. Jarak antara kami lebih kurang sepuluh meter.
“Celaka Lu, apasal kejar gua hah? Lu
polis ke?” lelaki itu menjerit.
Saya berjalan ke arah lelaki itu.
“Gua tak ada barang pun dalam poket
ni. Lu kejar gua pun sia-sia bhai.” Ujar lelaki itu lagi.
“Aku tak mahu barang kau. Aku ada
tujuan. Kau mahu tahu tujuan aku?”
“Tujuan apa? Lu merepek apa ni?”
“Kau tahu sebab kenapa kau nak
dibunuh?”
“Hoi! Lu Malaikat Maut ke apa hah!
Apasal gua nak kena bunuh? Gua bukan curi duit. Gua hisap dadah je kot. Lu
bunuh ar orang lain tu.”
Kebukk!
Satu tumbukan hinggap di pipi
kirinya. Lelaki itu melawan. Dia cuba menendang ke arah perut saya namun tangan
saya lebih pantas menepis kakinya dan sebegitu juga saya memusingkan badan dan
melakukan tendangan tepat ke arah lehernya. Dia terjatuh.
Bangg
bangg!
Dua das tembakan tepat ke arah dada
kiri lelaki itu. Maaf saya bukan pembunuh upahan yang banyak cakap. Sekali
pistol dikeluarkan pasti ada mangsa menanti.
Saya berjalan pantas meninggalkan
kawasan lorong belakang kedai. Kepekatan langit malam dan cahaya lampu jalan
yang samar-samar menjadi saksi perilaku saya tadi. Oh tak lupa Tuhan juga
melihat.
Sekarang mari saya ceritakan
bagaimana saya boleh menjadi pembunuh upahan. Lima tahun lalu. Semuanya bermula
pada detik itu. Ketika saya dan isteri berjalan kaki di Kuala Lumpur, seorang
lelaki telah meragut beg tangan isteri saya. Perbuatannya itu tidak dapat saya
maafkan. Kerana perbuatan peragut itu isteri saya telah mati. Saya berlari
mengejar peragut itu tanpa menyedari isteri saya turut mengejar dari belakang
dan sebuah kereta keluar dari satu susur telah melanggarnya. Dia mati di situ.
Peragut itu meloloskan diri. Namun wajah peragut itu tidak pernah luput dari
ingatan saya. Seminit sebelum beg tangan isteri saya diragut, si peragut itu
datang kepada kami berpura-pura bertanya jalan. Seminit kemudian dia datang kepada
kami untuk melakukan jenayahnya.
Sejak itu saya bertekad mencari
peragut itu dan membuat keputusan untuk membunuhnya jika berhasil ditemui.
Banyak pembunuhan yang telah saya lakukan dan tidak seorang pun yang mempunyai
wajah yang saya cari selama ini. Namun tidak pada malam ini. Wajah yang saya
cari sejak sekian lama telah saya temui dan tadi dendam saya telah terlerai. Terima
kasih pada seorang lelaki yang telah mencopet dompet saya ketika di stesen LRT
seminggu yang lalu. Kerana dia saya menemui apa yang saya cari selama ini.
Bahkan dia, lelaki yang mencopet dompet saya itu antara sasaran saya pada
mulanya. Namun semuanya berubah dalam sekelip mata dan dia yang pada mulanya
sasaran berubah menjadi klien. Saya fikir kejujurannya adalah kunci kenapa dia
terlepas dari dibunuh oleh saya. Lima minit sebelum saya bersedia mahu
menamatkan riwayat hidupnya, saya tersedar sesuatu. Saya memeriksa telefon saya
dan Ya! nombor telefon si pensyarah yang diberi olehnya untuk dihubungi juga
merupakan nombor yang sama di dail oleh perempuan yang dicopet olehnya ketika
di laluan pejalan kaki stesen LRT Pasar Seni. Itulah punca saya berubah fikiran
dan mula mempercayainya. Saya fikir kini dia sedang menonton tv bersama emaknya
dan mungkin lebih menghargai hidup.
Pembunuhan itu tadi merupakan yang
terakhir saya lakukan. Selepas ini saya akan cuci tangan. Saya sudah menemui
tujuan akhir sebagai pembunuh upahan. Ini hari terakhir saya bergelar pembunuh
upahan. Tiada lagi prinsip seorang pembunuh upahan yang saya pegang dan tiada
lagi istilah sasaran seterusnya, namun suka saya mengingatkan“Whoever commits murder shall be punished
with death.”
TAMAT