Home Cerpen Cinta Berakhirnya Kisah Cinta
Berakhirnya Kisah Cinta
illifadli
4/12/2015 01:41:39
1,869
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta


Lagu perpisahan bergema terus mengalun mengusik hati Megat yang dari detik ke detik kian gelisah.

“Kau masih tidak percayakan aku? Kau masih marah pada aku? Cukup-cukuplah Embun, jangan biarkan aku begini. Aku merayu kau buang semua ego kau itu.”

Sejak dari tadi Megat terus menerus merayu kepada kekasihnya Embun. Dia cuba memenangi kembali hati wanita yang dicintainya itu. Dia tahu jika Embun tidak memaafkannya maka, hubungan yang sudah terjalin sejak sekian lama bakal menemui titik noktah. Embun seorang wanita yang jiwanya tidak mudah rapuh dengan pujukan seorang lelaki. Dia sudah banyak kali dikecewakan dan bila sekali lagi menerima nasib yang serupa dia tidak mungkin dapat memaafkan. Embun masih duduk di sofa biru itu, memalingkan wajahnya ke arah lain, tidak mahu matanya melihat wajah Megat yang sebentar lagi mungkin bakal meninggalkannya jika dia terus-terusan bersikap dingin sebegitu. Itu kata hati Embun, namun hakikatnya Megat tidak mudah mengalah. Sekejap dia berdiri, kemudian dia duduk di sebelah Embun, selepas itu dia melutut di atas lantai sangat hampir dengan kaki Embun. Dia merayu dan merayu, memujuk hati sang kekasih yang mula hilang keyakinan pada dirinya. Megat merasakan bahawa Embun punya ego. Ego yang sangat tinggi, tidak mudah untuk ditundukkan ego tersebut. Megat tahu kesalahan yang dia lakukan bukan terlalu besar, tetapi Embun yang sangat beremosi, langsung tidak mahu menerima penjelasannya.

“Cuba kau katakan pada aku, apa lagi yang harus aku lakukan untuk menyakinkan kau yang aku benar-benar mengaku akan kesalahan aku dan aku janji tidak akan mengulangi lagi.” Megat cuba menyentuh tangan Embun namun wanita itu pantas mengalihkan tangannya dari sentuhan Megat.

Riak wajah Megat membeku. Dia berdiri dan berjalan beberapa langkah sebelum menyalakan sebatang rokok. Selepas dua tiga hembusan, Megat kembali menghampiri Embun dengan rokoknya terbiar di celah jari, namun langkahnya berhenti di depan meja kopi. Dia memandang Embun penuh.“Kau tahu Embun, sebenarnya aku sudah letih dan bosan dengan sikap kau ini. Kau seorang wanita yang lemah lembut di luar tetapi keras di dalam. Hati kau itu seperti seketul batu yang tidak mungkin pecah hanya dengan kata-kataku sahaja. Kau menghukum tanpa membiarkan aku mempertahankan diri.”

Pandangan Embun perlahan-lahan beralih ke arah Megat. Dia merenung wajah Megat seakan cuba untuk melepaskan segala emosi yang terpendam di dalam hati.

“Kau beritahu aku Megat, wanita mana yang mampu bersabar apabila melihat kecurangan di depan mata? Kau kata aku ego, tapi pernah kau bertanya pada diri sendiri, lelaki jenis apakah kau itu yang begitu mudah membeli kasih sayang dengan wang ringgit.”

Wajah yang tadi kelihatan bengang kini menjadi hiba. Air mata Embun sudah tidak mampu untuk ditahan lagi, kesedihan mulai perlahan-lahan membaluti tubuhnya.

“Aku akui aku berlaku curang, tetapi aku tidak berniat. Semua itu berlaku tanpa aku sedari. Kau tahu perempuan-perempuan murahan itu memang mudah dibeli dengan wang ringgit. Tapi kau tak seperti mereka Embun. Maafkan aku.”

Embun merenung jauh, dia teringatkan sesuatu. Dia teringat ketika mula-mula dia mengenali Megat. Lelaki yang memiliki segala-galanya yang diidamkan wanita. Megat hadir ibarat cahaya yang menerangkan kegelapan hidupnya yang suatu ketika hilang arah selepas diperdaya oleh si kekasih yang kononnya menjanjikan bahagia. Namun itu semua harapan palsu. Ketika Embun hampir-hampir terjerumus ke dalam lembah kehinaan, Megat menjadi penyelamatnya. Embun sebak, dia teringat saat-saat romantis bila bersama Megat, bagaimana lelaki itu memberikan segala yang dia inginkan. Rumah, kereta malah segala macam kemewahan yang diinginkannya dipenuhi oleh lelaki itu. Namun lelaki seperti Megat memang tidak cukup dengan seorang wanita. Kadang-kala dia berasakan kesetiaannya pada Megat seperti sia-sia. Sampai ke saat ini dia masih tidak memiliki apa-apa ikatan sah disisi undang-undang dengan Megat. Pada dasarnya Embun tidak ubah seperti anak patung yang disimpan Megat dengan rapi bagi memenuhi keinginan diri. Adakalanya Embun berfikir adakah Megat benar-benar cinta padanya? Adakah Megat benar-benar sayang padanya. Namun semakin Embun memikirkan hal itu semakin dia berasa dirinya seperti seorang pengemis yang bezanya tidak meminta wang tetapi cinta dan kasih sayang.

“Kita putuskan hubungan ini saja. Aku sudah tidak mahu berada dalam sangkar peliharaan kau lagi. Kau pergilah, puaskan diri kau dengan nafsu yang seringkali menipu kau Megat.” Embun melemparkan kata-kata yang membuatkan Megat tersentak.

“Kau sudah fikir masak-masak?”

“Sudah. Cukup semua ini yang aku lalui.”

“Apa? Yang kau lalui? Kau lupa siapa yang memberikan semua ini pada kau. Kau lupa kalau bukan kerana aku kau sudah menjadi wanita murahan yang menjual diri di lorong-lorong kota. Aku tidak minta banyak dari kau, cuma kasih sayang.” Megat bernada kesal.

“Kasih sayang? Selama ini bukankah kau dah mendapatkannya dari aku. Cuma aku yang tak pernah merasainya dari kau!” Embun meninggikan suara. Dia sudah tidak dapat menahan lagi gelora kemarahan di jiwanya.

Megat terdiam. Seakan terkesima dengan kata-kata Embun itu. Kekesalannya tadi mati tiba-tiba. Dia menyedari yang selama ini dia hanya mahukan Embun memenuhi keperluan nafsunya. Benar, dia pernah menjanjikan untuk memperisterikan Embun, namun sehingga ke saat ini janji-janji itu tidak dapat ditunaikannya. Dia sendiri tersepit antara memilih untuk membawa hubungan mereka ke satu tahap yang baru atau terus leka bergelumang dosa. Embun, wanita yang dia sendiri tidak tahu dari mana asal usulnya hadir tatkala dia kehilangan isteri tersayang.

“Baiklah. Kalau ini yang kau mahukan, lebih baik kita berpisah. Apa guna lagi aku merayu dan merayu pada kau Embun. Sebenarnya kau yang tamak. Kau sedar kita tidak punya apa-apa hubungan yang halal, maka kau sebolehnya cuba mengunci aku. Aku lelaki Embun, lelaki yang sentiasa dipenuhi dengan hawa nafsu. Benar aku gunakan wang untuk membeli kasih sayang, tapi dengan kau aku turut memberikan hati aku.”

Megat menghampiri Embun yang sedang memeluk tubuh sendiri di sofa biru itu. Dia melabuhkan punggungnya di sofa biru itu lalu menatap wajah Embun sedalamnya.

“Kau tahu Embun, mengapa aku belum mahu memperisterikan kau?”

Embun mengelengkan kepalanya, dia melihat wajah Megat, seraya dengan nada lembut berkata“Mengapa?”

“Kerana aku terlalu berdosa. Berdosa pada kau, pada keluarga ku, pada Tuhan.”

“Kerana itu aku mahu kita akhiri semua ini. Aku sedia menjadi Isteri kau. Aku bukan mahu semua ini. Kemewahan ini semua aku tidak mahu.” Embun memegang lengan Megat, matanya terpaku pada wajah Megat. Sebaliknya lelaki itu tidak berkata apa-apa.

Megat kemudian bangun dari sofa biru, bergerak perlahan-lahan menghampiri muka pintu meninggalkan Embun sendiri membatu. Dia langsung tidak menoleh ke arah Embun. Tiada kata-kata ucapan selamat tinggal darinya. Embun kelihatan kebingungan. Tidak menduga kekasihnya akan pergi begitu saja. Penonton yang di bawah pentas juga sedikit kehairanan, mereka tidak menduga penutup kisah ini sebegitu rupa, namun kemudian seluruh hadirin bangun bersama senyuman di wajah lantas memberikan tepukan tanda penghargaan. Maka malam itu berakhirlah pementasan sebuah kisah cinta yang mana dua watak utamanya tidak menemui kebahagiaan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.