Home Cerpen Cinta Mimpi
Mimpi
illifadli
4/12/2015 07:47:29
1,348
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Semenjak saya kehilangan dia, seringkali dalam tidur saya pasti akan hadir mimpi-mimpi yang bila saya terjaga membuatkan diri saya menjadi sedih. Dalam mimpi-mimpi saya itu, dia hadir dengan pakaian serba putih, segak dan menawan. Ironinya dia tidak berbicara cuma menguntumkan senyuman buat saya. Saya juga tidak berkata apa-apa padanya. Kami hanya saling berpandangan dan tersenyum melihat diri masing-masing. Cumanya dalam semua mimpi saya itu kami bertemu di suatu tempat yang dipenuhi kepulan-kepulan awan putih, tidak kelihatan pokok, rumput mahupun tanah, segalanya berwarna putih melainkan diri saya yang berpakaian baju kurung merah jambu.

Sehari sebelum dia pergi, kami berdua duduk di tepi pantai menikmati suasana petang yang memberi ketenangan. Hari itu dia tidak banyak berbicara. Wajahnya seperti menyembunyikan sesuatu. Seperti seseorang yang kesedihan. Namun sesuatu yang saya perhatikan dia kerap tersenyum bila memandang wajah saya dan itu membuat saya tertanya-tanya mengapa dan kenapa. Saya tanyakan dia satu soalan, berkaitan impian dan cita-citanya. Sambil menunjuk ke arah langit, dia beritahu yang dia ingin naik ke langit menyentuh awan. Saya fikir dia hanya bergurau kerana sifatnya memang suka berimaginasi yang tidak masuk akal. Kemudian dia beritahu pada saya jika suatu hari nanti saya rindukan dia, pandanglah pada langit. Katanya mungkin ketika itu dia sedang tersenyum melihat saya. Pada ketika itu saya sudah merasa aneh dengan kata-katanya tapi saya sekadar mengabaikan rasa itu. Kemudian dia minta izin beredar, katanya ada perkara mustahak. Maka tinggallah saya sendirian melihat laut petang dengan perasaaan bercampur baur, entah mengapa.

Pada hari dia pergi saya adalah orang terakhir yang ditemuinya. Ketika itu dia memberikan saya satu bungkusan plastik yang di dalamnya ada sepasang baju kurung berwarna merah jambu. Katanya itu sebagai hadiah sempena kejayaan saya menamatkan pengajian peringkat diploma. Ironinya dalam pertemuan itu dia tidak banyak berbicara tetapi kerap tersenyum sebagaimana ketika kami duduk berdua di tepi pantai pada hari sebelumnya.

Baju kurung berwarna merah jambu itu tidak pernah saya pakai sejak menerimanya. Jadi bila saya bermimpi bertemu dengan dia lengkap berpakaian baju kurung merah jambu itu, timbul suatu perasaan yang membuatkan saya bingung. Apabila saya terjaga dari mimpi tersebut saya dapati diri saya berasa sangat sedih dan seringkali kolam mata saya dipenuhi air jernih. Adakah dia ingin saya memakai baju kurung merah jambu itu? Saya tidak menemui jawapan pada persoalan itu.

Semalam sekali lagi saya bermimpi bertemu dengannya. Kali ini wajahnya tidak seceria seperti dalam mimpi-mimpi saya sebelum ini. Dia hanya melihat saya tanpa menguntumkan senyuman manis yang selalu saya rindui. Kemudian dia beredar meninggalkan saya sendirian di celah-celah kepulan awan putih. Saya menjerit-jerit memanggil namanya namun dia tidak mempedulikan teriakan saya itu. Itulah buat pertama kalinya saya bersuara dalam mimpi saya, tidak seperti kebiasaannya. Perlahan-lahan dia hilang dari penglihatan saya. Apabila saya terjaga dari tidur, saya menangis kesedihan sepertimana yang berlaku setiap kali selepas mimpi-mimpi itu berlaku. Itulah kali terakhir saya mengalami mimpi-mimpi yang menghadirkan perasaan sedih. Semenjak itu saya tidak lagi menemukan dia di dalam mimpi-mimpi saya. Saya merinduinya.

*****

Saya duduk di tepi pantai bersendirian. Saya berasa seolah-olah dia ada di sebelah saya, sedang tersenyum gembira melihat saya berpakaian baju kurung merah jambu yang dia hadiahkan itu. Saya teringat pada kata-katanya dulu, jika merindui dia lihat pada langit. Pada ketika itu saya tidak terlalu memikirkan hal tersebut kerana bukankah jika kita merindui seseorang kita menatap gambarnya atau terus bersua muka dengannya. Tapi kini, setelah dia tiada barulah saya sedar nilai sebenar kata-kata itu. Saya mendongak ke langit. Cerah dan kelihatan gerombolan awan putih yang berarak perlahan. Saya terfikir mungkinkah dia sedang tersenyum melihat saya? Saya tersenyum kerana berfikiran sebegitu. Saya hanya boleh berharap dia tenang di sana. Saya merinduinya, ya merinduinya setiap kali saya memandang ke langit.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.