Home Cerpen Seram/Misteri Identiti
Identiti
illifadli
17/10/2016 01:39:34
3,473
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Aku sedang meneliti fail kes pembunuhan yang dilaporkan telah berlaku enam hari lepas. Aku perlu melengkapkan kertas pendakwaan sebelum kes ini dibawa ke Mahkamah untuk perbicaraan. Pihak polis telah melakukan tugas yang baik dalam menyediakan laporan siasatan yang aku sifatkan sebagai cukup sempurna.

Enam hari lepas, seorang lelaki Afrika telah hadir ke Balai Polis Ampang berjumpa dengan Inspektor Ghaijin bagi membuat pengakuan bahawa dia telah melakukan jenayah. Suspek telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan sekiranya sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Inspektor Ghaijin dan suspek telah pergi ke sebuah rumah yang terletak di Petaling Jaya dan setibanya mereka di sana, Sarjan Mousa telah sedia menanti. Ianya sebuah rumah teres dua tingkat yang mana pintu pagarnya berkunci dan dibuka menggunakan kunci yang diberikan oleh suspek. Mereka bertiga masuk ke dalam rumah dan apabila pintu depan dibuka, kelihatan tubuh seorang wanita dalam keadaan berbogel sedang terbaring di atas sebuah tilam di lantai ruang tamu. Inspektor Ghaijin telah memberitahu kepada ASP Lim Ah Chai, Pegawai Penyiasat Kanan, IPD Petaling Jaya mengenai penemuan itu.

Berhampiran mayat wanita bogel itu, ASP Lim Ah Chai telah menjumpai sebilah pisau pemotong ikan, sepasang cermin mata hitam, sepasang blaus, coli, seluar dalam dan sepasang seluar jean berwarna biru. ASP Lim Ah Chai juga telah menjumpai sebuah beg tangan di atas meja kopi yang mana di dalamnya ada sebuah dompet berjenama LV. Melalui penelitian, ASP Lim Ah Chai telah memberitahu, wanita itu dikenali sebagai Esther Maxius melalui lesen memandu di dalam dompet tersebut.

Namun begitu, ASP Lim Ah Chai tidak dapat memastikan samaada identiti mayat itu benar-benar ialah Esther Maxius kerana keadaan mayat yang sudah reput. Maka mayat tersebut telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Keesokkan harinya, Dr. Jeffery Chiu telah menjalankan bedah siasat ke atas mayat tersebut dan melalui keterangan yang diberikan dia memaklumkan bahawa mayat tersebut ialah seorang perempuan yang telah reput. Dr. Jeffery Chiu menjangkakan kematian telah berlaku lebih lama sebelum mayat dijumpai. Menurut beliau, punca kematian ialah luka akibat tikaman di bahagian dada. Dalam laporan bedah siasatnya, beliau memberitahu terdapat 13 luka kerana tikaman pada tubuh si mati dan lapan di antaranya telah menembusi dinding bahagian dada dan telah menembusi kedua-dua belah struktur paru-paru dan jantung si mati. Katanya luka tikaman sebegitu boleh berpunca daripada senjata tajam seperti yang dijumpai oleh ASP Lim Ah Chai.

Ahli Kimia, Sanjeevan Srimuthi melalui keterangannya memberitahu pisau pemotong ikan yang dijumpai itu mempunyai kesan darah yang sepadan dengan profil DNA si mati. Kesan darah juga telah ditemui pada jean dan cermin mata hitam yang dijumpai di ruang tamu yang turut sepadan dengan profil DNA suspek.

Ada satu persoalan yang berlegar di pemikiran aku kini. Dr. Jeffery Chiu memberitahu bahawa identiti mayat wanita itu tidak dapat dipastikan samaada benar-benar Esther Maxius atau bukan kerana tiada seorang pun ahli keluarga si mati yang datang ke hospital untuk membuat pengesahan melalui ujian DNA dan satu perkara lagi, siapa sebenarnya Esther Maxius?

***********

Nama aku Marlny, seorang guru di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya. Aku tak tahu dari mana datangnya keberanian untuk buat keputusan sebegini. Ya, keputusan untuk berhenti kerja. Menjadi seorang guru memanglah cita-cita aku sejak kecil lagi lebih-lebih lagi ayah dan mak aku seorang guru walaupun kini mereka berdua telah pencen.

Aku anak ketiga daripada empat orang adik beradik. Dua orang abangku berkhidmat sebagai guru manakala adik bongsuku masih menuntut di kolej dalam bidang perhotelan. Mungkin dia seorang saja yang tidak akan menjadi guru dalam keluarga kami. Mungkin. Mulanya aku gembira dengan kerjaya perguruan ini tetapi entah kenapa sejak akhir-akhir ini aku semakin hilang minat dengan kerjaya ini.

Minggu lepas aku pergi ke sebuah butik di Petaling Jaya untuk sesi temuduga. Ya Tuhan, pakaian dekat butik itu sangat menarik dan membuat aku rambang mata tetapi aku tiada niat untuk membeli walau sepasang pakaian di situ kerana harganya yang mahal menyamai gaji bulananku! Pemilik butik tersebut memberikan aku kad namanya dan memberitahu bahawa dia bersedia menerima aku bekerja di situ. Oh sebelum aku lupa, nama pemilik butik itu ialah Esther Maxius, dan dia sangat cantik serta peramah. Mungkin ini permulaan untuk aku bergelar seorang pereka fesyen, kerjaya yang telah lama menjadi idamanku.

**************

Perangai Marlny memang semakin menjadi-jadi. Aku sejujurnya tidak berasa selesa bilamana dia sering membawa teman lelakinya ke rumah. Masa mula-mula kenal Marlny aku fikir dia seorang gadis yang baik dan pandai menjaga batas pergaulan tapi rupanya tidak. Kadang-kadang aku tertanya-tanya adakah si Marlny tak ingatkan Tuhan?

Hari itu bila aku turun dari bilik mahu ke dapur, aku nampak Marlny dan teman lelakinya sedang bermesraan di ruang tamu. Mungkin sebab kepala aku sangat sakit lalu emosi aku pun tak terkawal. Aku marah pada Marlny sebab berkelakuan tak senonoh di ruang tamu. Dia melenting dan terus keluar dari rumah bersama teman lelakinya.

Kadang-kadang aku menyesal juga sebab berikan Marlny peluang kerja di butik aku. Tapi bila aku fikir-fikir semula, prestasi kerja dia tak adalah merundum sangat walaupun asyik bercinta. Cuma perilaku dia yang menjengkelkan aku. Hampir dua hari juga Marlny dan aku tidak bertegur sapa dek kerana kejadian tempoh hari. Namun selepas itu hubungan aku dan dia kembali baik.

Pagi tadi Marlny diragut dalam perjalanan dia ke butik. Beg tangan berserta isi di dalamnya termasuklah duit dan kad pengenalan semuanya hilang sekali. Aku beritahu dia supaya buat laporan polis tetapi dia mahu menunggu teman lelakinya yang akan pulang dari Ipoh petang nanti.

“Esther, pinjamkan saya kad pengenalan boleh?” tanya Marlny pada aku.

Alasannya, malam ini dia mahu ke parti harijadi teman lelakinya di sebuah kelab eksklusif di Bangsar. Tapi syarat untuk masuk ke kelab tersebut mesti tunjukkan kad pengenalan kerana mereka bimbang ada pengunjung bawah umur. Petang nanti aku akan ke Hong kong untuk pertunjukkan fesyen di sana selama sepuluh hari. Aku teringat yang aku akan ke Hong Kong dengan kapal terbang bukan memandu kereta jadi aku pinjamkan Marlny lesen memanduku dan dia bersetuju. Aku cuma berharap agar dia tidak bawa teman lelakinya ke rumah sepanjang ketiadaan aku.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.