"Good
Morning Beautiful"
Good Morning Handsome!
Husband, hari ini macam
biasa I dah sediakan you sarapan pagi, pancake epal dengan teh jasmine
kegemaran you. Maaf, I tak sempat nak tunggu sehingga you bangun sebab pagi ini
ada meeting dengan bos besar (nanti lambat kalau nak sarapan sama-sama, sebab
you kalau bersiap Taylor Swift pun kalah!). Jangan lupa breakfast ya! I love
you...-Mary-
Eric membaca nota ringkas yang
ditampal oleh Mary di cermin meja mekap di dalam kamar tidurnya sambil tersenyum.
“Good Morning Beautiful.” Kata Eric
sendirian lalu menyimpan nota tersebut di dalam sebuah bekas yang disimpan di
dalam laci meja mekap. Itulah rutin harian yang dia lakukan sejak beberapa bulan
kebelakangan ini bilamana Mary mula meninggalkan nota ringkas sebelum ke tempat
kerja setiap Isnin hingga Sabtu. Eric tidak pernah bertanya mengapa Mary
menjadi lebih romantik melalui nota ucapan selamat pagi tersebut tetapi Eric
sudah boleh menduga mengapa dan kenapa. Namun yang pasti Eric berasa bahagia
setiap kali dia membaca nota itu.
Ding
Dong
Bunyi notifikasi dari telefon
pintar Eric. Dia membaca mesej tersebut yang dihantar oleh Mary.
“Husband,
hari ini pak cik teksi yang biasa itu tak dapat datang ambil you, tapi nanti
ada teksi lain akan ambil you. Balik nanti I ambil you dekat hospital ya.”
Eric menarik nafas panjang. Dia
kembali berbaring di atas katil memandang ke arah kipas siling yang sedang
berputar.
“Dialisis. Oh Tuhan kau tahu aku
semakin bosan melakukannya.” Eric berkata sendirian di dalam hati.
********
[WhatsApp]
Hisyam
: Good Morning Beautiful!
Sayang, tadi saya ada belikan nasi
lemak lauk rendang kerang kegemaran awak dekat tempat biasa yang awak selalu beli tu. Mulanya saya nak kejutkan awak
bangun awal sikit tapi saya tak
sampai hati bila tengok awak tidur sangat (sangat) lena. Semalam awak balik
lewat kan sotak apa ar kalau tidur
lama sikit. Lagipun saya tahu awak masuk kerja pukul 11 pagi jadi bettersaya tak ganggu awak. Jumpa malam
nanti ya, nanti memandu baik-baik.
Amelia masih di atas katil bilamana
dia membaca mesej WhatsApp yang dihantar oleh suaminya, Hisyam. Cahaya matahari
sudah mulai memasuki bilik tidurnya dan jam sudah menunjukkan pukul 9.20 pagi,
bermakna Amelia harus segera bangun menuju ke bilik mandi dan bersiap-siap
untuk ke stesen televisyen tempatnya bekerja. Hari ini giliran dia untuk
membaca berita jam 1 petang jadi mahu tidak mahu dia harus sampai ke studio dua
jam sebelum siaran berita bermula. Amelia menarik nafas panjang. Ya, semalam
dia bertugas sehingga jam 1 pagi kerana tugasnya membaca berita lewat malam.
Kepenatan semalam masih belum hilang namun hari yang baharu harus dimulakan.
Namun Amelia mengakui kehadiran mesej ucapan selamat pagi daripada suami
tercinta ibarat tonik pemberi tenaga untuk dia memulakan hari ini. Apatah lagi
di atas meja makan sudah tersedia sebungkus nasi lemak berlauk rendang kerang
yang menjadi kegemarannya sedia menanti untuk dijamah.
[Facebook]
Amelia
: Bila kita balik rumah dia dah tidur, dan bila dia pergi kerja kita masih
tidur. Rasa macam nak cari kerja yang masuk pukul 8 pagi balik 6 petang agar
ada masa lebih untuk dia.
********
“Good morning beautiful! Maaf saya
lambat sikit. Sikit je kan?” Amri cuba memujuk Latifah yang mula menarik muka
tanda penat menunggu.
“Ayat manis tak boleh tenangkan hati
saya ok. Awak, saya tunggu dah setengah jam tahu tak. Lain kali kalau lambat
awak call ar dulu.”
“Sorry. Telefon dah habis bateri.
Tren LRT belum datang lagi?”
“Bukan belum datang tapi dah dua
tiga buah yang lalu depan saya ni. Ishh, ikutkan hati saya tinggalkan awak.”
“Ok, ok. Esok saya datang awal
sikit. Relaxar, kelas mula pukul 9
pagi, sekarang baru pukul 7.30 pagi ada sejam setengah lagi, InsyaAllah
sempat.”
“Kalau saya lambat siap awak.”
“Itulah, saya nak ajak naik motor
awak tak mahu. Nak juga naik LRT.”
“Hello. Naik motor berdua pergi
kolej? Tak ar kot. Lagipun tak manis orang pandang.”
“Ke awak segan wahai cik Latifah?”
“Segan? Saya bukan materialistik ok
tapi saya sedar diri. Tak apa ar, bukan selalu pun awak teman saya naik LRT,
tiga kali seminggu je kan.”
Amri tersenyum mendengar kata-kata
Latifah itu. Dia dan Latifah pelajar tahun akhir sebuah kolej swasta di Kuala
Lumpur. Sejak kewujudan perkhidmatan LRT di kawasan Puchong, Latifah tidak lagi
menggunakan perkhidmatan bas awam sebaliknya beralih ke perkhidmatan LRT yang
lebih cepat dan selesa. Apatah lagi jarak antara rumahnya dan stesen LRT Puchong
Perdana tidak sampai dua ratus meter, jadi itu sudah membuatkan dia berasa
lebih mudah. Amri pula demi cintanya pada si buah hati sanggup menunggang
motorsikal dari Puchong Utama ke stesen LRT Puchong Perdana agar dapat menemani
Latifah. Mujur dalam seminggu, tiga hari kelas Amri bermula pada waktu pagi dan
kebetulan sama dengan jadual kelas Latifah, jadi itu bukanlah masalah untuknya.
“Tren dah sampai. Kalau kita sampai
sebelum jam 9 pagi, saya belanja awak makan roti canai nak?” Amri mengusik
Latifah.
“Roti canai? Ok, tahulah kita ni
gemuk so sukalah dia nak bagi kita lagi gemuk.” Latifah mencebik.
“Walaupun awak gemuk saya tetap
nampak awak cantik hari-hari.”
“Klise bunyinya.”
************
[Twitter]
@Jebat
Good Morning Beautiful! Semoga hari kau seindah sinaran matahari pagi ini. Tapi
janganlah terlalu terik sebab hari-hari ketiak basah sebab panas!
@Intan
@Jebat Good morning! Amboi pagi-pagi ini dah mengeluh.
@Jebat
@Intan Mengeluh? Apakah maksudnya wahai cik Intan Payung Senyum Meleret.
@Intan
@Jebat panjangnya gelaran nama kita! Tu mengeluh tentang panas.
@Jebat
@Intan Oh. Biasalah cuaca memang panas kan.
@Intan
@Jebat Kena banyak minum air. Ok ar nak siap-siap nak masuk kerja. Awak tak
kerja?
@Jebat
@Intan Eh saya dekat tempat kerja ni.
Farhan menghirup kopi 3 in 1 yang
sudah beransur suam. Dia melihat jam dinding di pejabatnya, pukul 8 pagi. Tugasannya
sebagai kerani pentadbiran di syarikat pelaburan terbesar di negara, PNB
bermula untuk hari ini. Setiap pagi tweet ucapan selamat paginya akan mendapat Likedan retweet dari @Intan, gadis
manis yang diminati dalam diam oleh Farhan. Ironinya dia hanya mengenali @Intan
melalui Twitter sejak enam bulan yang lepas. Jenuh juga Farhan mengintip @Intan
di Instagram setiap hari sehingga mencetuskan suatu ledakan perasaan yang hanya
dia seorang mengerti. Tidak seperti Farhan, @Intan menggunakan gambar diri
sendiri sebagai Twitconmalah akaun
Instagramnya turut dipautkan sekali bersama akaun Twitternya dan itu
menambahkan keyakinan kepada Farhan bahawa @Intan adalah seorang manusia yang
benar-benar wujud, bukan parodi atau palsu.
“Farhan, surat untuk syarikat Han
Seng dah siap ke? Nanti tolong buat dua copy ya.”
“Ok Kak Jebb.”
Farhan, lulusan diploma Pengurusan
dan Teknologi Pejabat dari UiTM Perak telah bekerja di syarikat tersebut selama
hampir dua tahun. Farhan memilih untuk bekerja selepas tamat pengajian
peringkat diploma, tidak seperti rakan-rakannya yang lain, memilih menyambung
pengajian peringkat Ijazah. Mungkin kerana terlalu merasa rendah diri kerana
sekadar bekerja sebagai seorang kerani, Farhan menggunakan tweethandle @Jebat di Twitter dengan twitcongambar sepasang kasut biru. Ketika zaman belajar, dia aktif
di Facebook namun kini tumpuannya lebih kepada laman media sosial Twitter.
“Wei Farhan, hari ini ada pekerja
baharu masuk department sebelah.” Ghani membelek-belek surat di atas meja Farhan.
“Apa kaitan dengan aku?” tanya
Farhan semula.
“Nanti kita usha ar. Nak?”
“Tak payah ar korang berdua nak usha
bagai, budak perempuan yang baharu masuk tu jawatan dia Eksekutif bukan kerani.
Nak ke dia pandang korang ni kan?” Kak Jebb mencelah.
“Entah si Ghani ni. Kau ngorat je ar
Suriati, yang bancuh kopi tu, sama level, hantaran pun nanti tak mahal.” Kata
Farhan dalam nada menyindir.
Ghani yang mungkin sedikit terasa
terus mengambil beberapa keping surat dan terus beredar pergi.
Farhan menyambung semula kerja-kerja
menaipnya. Entah kenapa dia hilang fokus bila mengenangkan semula kata-kata Kak
Jebb tadi. Kemudian Farhan melihat telefon pintarnya, membuka aplikasi Twitter.
Satu persatu tweet melintasi garis masa Twitter dia baca sekali imbas.
@Intan
Hari pertama di tempat baharu. Semoga dipermudahkan. Level 17 saya datang!
Entah mengapa jantung Farhan
berdegup kencang bila membaca tweet tersebut.
@Jebat
@Intan Kerja baharu? Macam syarikat besar je bunyinya 17 tingkat!
@Intan
@Jebat Hehehe. Mahu tak besar. PNB awak, harap lif dekat sini tak pernah rosak!
Farhan menelan air liur, kepalanya
tiba-tiba pusing dan telapak tangannya mula berpeluh.
“Budak perempuan baharu department
sebelah?” bisik Farhan sendirian.
*********
[Instagram]
*Gambar
seorang perempuan bertudung merah sedang membaca buku*
“Good Morning Beautiful”
Pagi
ini mengingatkan aku kepada Mama. Cepat betul masa berlalu. Sudah tiga tahun
sejak Mama tinggalkan aku dan keluarga. Seringkali aku menyesal bila
mengenangkan ketika Mama masih ada, aku tidak pernah mengucapkan ucapan Selamat
Pagi. Aku sering terburu-buru mengejar waktu agar tidak terlewat ke pejabat.
Adakalanya aku terlupa untuk menelefon Mama bertanyakan samaada dia sudah
sarapan? Sudah makan ubat? Nanti tengah hari masak apa? Mama, Irin sudah mula
berjalan. Nanti bila dia sudah mula petah berkata-kata Haikal akan ajar dia
untuk selalu ucapkan Selamat Pagi kepada Mama dan Papanya. Ucapan itu ringkas
tetapi sangat bermakna untuk diungkapkan. Seringkali kita mengabaikan insan-insan
yang kita sayang bilamana mereka masih hidup seolah-olah kita menyangka mereka
akan terus hidup untuk selama-lamanya, tetapi bilamana mereka sudah tiada
baharulah kita sedar betapa rindunya kita kepada mereka. Kita berharap setiap
pagi kita akan dapat mengukirkan senyuman buat mereka. Hargailah insan-insan
yang anda sayang. Jangan terlalu berkira untuk memberikan Salam serta
mengungkapkan sebaris kata “Selamat Pagi” atau “Good Morning” kepada
insan-insan yang ada dalam hidup anda. Buat Mama, semoga Mama tenang di sana.
TAMAT