Home Cerpen Cinta Hujan Petang (Versi Penuh)
Hujan Petang (Versi Penuh)
illifadli
4/4/2016 16:44:09
1,735
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Hujan Petang


Rasanya ini bukan waktu yang tepat untuk aku terlalu bersentimental mengingat kenangan lama. Kurang tiga jam dari sekarang aku akan bergelar suami orang, peningkatan status dalam kehidupan dan bermakna lebih tanggungjawab yang akan dipikul samaada rela atau tidak. Namun entah mengapa sejak pagi tadi lagi aku teringat pada seseorang. Ini semua berpunca dari e-mel yang aku terima petang semalam dari seseorang yang mengaku mengenali diriku. Aku pasti itu bukan e-mel spam atau cubaan untuk menipu identiti. Malah untuk memastikan sendiri, aku telah menelefon nombor yang diberikan oleh si penghantar e-mel itu. Bertitik tolak dari perbualan itulah fikiran aku mula teringatkan dia. Ya dia yang bernama Ain Mardhiah, seseorang yang pernah aku kenali dan ada secebis kenangan dengannya yang tidak dapat aku padamkan dari kotak memoriku ini.

“Apa yang difikirkan itu wahai bakal Raja Sehari?” sapaan Aizal mematikan lamunanku.

“Zal, kau ingat lagi pada Ain Mardhiah?”

“Kenapa aku tak ingat pula. Itu kan...Eh, apasal tiba-tiba teringat pada dia? Jangan buat hal kawan.”

“Semalam aku dapat e-mel dari dia. Ironikan.”

“Sangat. Hampir empat lima tahun dia menghilang, kenapa sehari sebelum kau bakal bertukar status dia muncul pula?” Aizal sedikit kehairanan.

Aku membuka aplikasi e-mel di telefon pintarku. Kemudian aku hulurkan telefon itu kepada Aizal dengan maksud memintanya membaca sendiri kandungan e-mel yang dihantar oleh Ain Mardhiah. Kelihatan riak wajah Aizal berubah serta-merta.

“Tiga jam lagi kau nak bernikah. Aku tahu kau simpati pada dia, tapi aku rasa elok sempurnakan dulu urusan ini kemudian baru kita fikirkan tentang hal itu.” Aizal bersuara dalam nada tenang.

Namun ketenangan Aizal itu tadi sedikit pun tidak dapat menghilangkan kegusaran dalam hati aku. Entah kenapa, aku sendiri tidak pasti. Separuh dari diriku ingin terus menemuinya dan separuh lagi masih menyimpan perasaan yang penuh kekecewaan.

Saya perlu bertemu awak. Biarpun untuk kali terakhir. Saya benar-benar ingin mohon maaf untuk kali terakhir.

Itu antara sebahagian daripada e-mel yang aku terima darinya. “Memohon maaf untuk kali terakhir, kenapa?” Aku berbisik sendirian. Seribu satu persoalan bermain di fikiranku. Fokus aku terhadap majlis pernikahan yang bakal berlangsung sebentar lagi terganggu. Apakah ini ya Allah, apakah ini.

********

Ain Mardhiah nama yang suatu ketika dahulu sering bermain-main dalam kotak pemikiranku. Pertemuan pertama kami bermula ketika sama-sama menyambung pengajian peringkat diploma di universiti tempatan di utara tanah air. Mulanya kami sekadar teman sefakulti dengan tidak ada perasaan yang melebihi kebiasaan. Namun lantaran sering bertemu sekaligus telah menghadirkan bibit-bibit cinta yang sama sekali tidak pernah diduga. Salam cinta yang aku hulurkan disambut dengan penerimaan yang menghadirkan kegembiraan di dalam hati. Namun ketika di semester akhir apabila aku bertanyakan tentang hala tuju hubungan ini, dia tidak memberikan jawapan yang aku harapkan.

Aku merancang agar kami mengikat tali pertunangan sementara menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama namun dia menolak. Katanya ingin mengejar impian dan cita-cita yang telah lama dipasaknya dalam hati. Mulanya aku tidak mengerti mengapa dia tidak mahu mengangkat hubungan kami ke suatu tahap baharu tetapi kemudian aku mengalah. Pada suatu pertemuan menjadi titik tolak

“Jadi Ain masih mahu teruskan niat itu?” Aku bertanya kepada dia.

“Awak harus faham Khalid. Itu impian saya, sejak kecil.” Katanya penuh yakin.

Aku hanya mendiamkan diri. Benar, Ain sudah menanamkan keinginannya itu di dalam hati sejak sekian lama, ketika dia belum mengenaliku lagi. Mungkin ini semua salah aku kerana terlalu terburu-buru memberitahu kepada ibu dan abah agar masuk merisik Ain pada hujung bulan ini. Sudahnya si empunya badan tidak memberikan persetujuan malah dia belum bersedia untuk hubungan ini dibawa lebih jauh.

“Khalid, saya tahu awak sayangkan saya. Tapi tolonglah fahami saya. Menjadi seorang peguam adalah impian saya.” Dia kembali menyambung ayatnya yang terhenti seketika tadi.

“Ain. Saya akui saya terlalu mementingkan diri sendiri. Saya faham impian dan keinginan awak. Baiklah, saya sedia menanti biar berapa lama masa yang awak perlukan, saya akan setia tanpa berbelah-bagi.” Ucapku sambil memandang tepat ke wajahnya.

Bunyi notifikasi di telefon pintarku mematikan terus imbasanku terhadap peristiwa lima tahun lalu. “Kenapa buat kerja gila kawan? Semua orang terpinga-pinga” Mesej Whatsappdari Aizal. Aku hanya membiarkannya. Tumpuanku kini hanya pada pemanduan di jalanan ini. Aku tidak pasti kenapa dan mengapa aku melakukan ini semua. Ya, aku hanya mengikut kata hati. Suatu masa dahulu kata hatiku juga pernah berbisik agar jangan mengaku kalah pada cinta yang semakin dingin, tetapi aku tidak menghiraukannya dan akhirnya aku juga yang lemas sendirian dalam lautan kekecewaan.

*********

Mata kami saling berpandangan tetapi sama-sama terdiam seribu bahasa. Pertemuan ini terasa begitu janggal buat aku apatah lagi setelah sekian lama tidak bersua muka. Aku tidak pernah menyangka akan bertemu semula dengannya di tempat sebegini. Ya, di tempat yang pada aku terlalu aneh untuk dua insan yang sudah lama terpisah kembali mengukirkan senyuman dan bertanya khabar.

“Apa yang mendorong Khalid untuk menunaikan permintaan saya?” tanya dia kepadaku.

“Saya cuma mengikut kata hati.” Jawabku ringkas.

“Maafkan saya Khalid. Maafkan Ain kerana hilang begitu sahaja dari hidup Khalid.”

“Tiada apa yang perlu saya maafkan kerana Ain tidak melakukan apa-apa kesalahan pada saya.”

“Tapi saya telah memungkiri janji-janji saya.”

“Ain. Saya sudah lama melupakan hal itu.”

Dia terdiam lantas melarikan pandangannya ke arah lain.

Tiada apa yang harus aku kesalkan. Apa yang telah berlalu harus dibiarkan berlalu, tidak perlu terus difikir-fikirkan. Ya, mungkin ada jiwaku sedikit tercalar ketika dia menghilang begitu sahaja tetapi kesan parut itu aku anggap sebagai pengajaran dalam menuntut kedewasaan akal dan emosi.

“Hidup ini adalah suatu perjalanan yang dipenuhi dengan ujian. Setiap kita akan melalui pelbagai dugaan dan mahu atau tidak ia harus ditempuhi.” Aku menyambung bicara.

“Tapi Khalid, dugaan yang saya terima ini terlalu besar. Mengapa saya? Apa dosa yang saya lakukan sehingga diuji sebegini?” air jernih mulai bertakung di kolam matanya.

“Bukan semua ujian itu datang kerana dosa yang kita lakukan. Adakalanya ujian itu hadir bagi mengangkat darjat kita disisi Maha Pencipta. Ingat tak dulu awak selalu beritahu saya, setiap kesukaran pasti akan dimudahkan. Ya, Ain jangan putus harapan.”

Pada ketika ini hanya kata-kata semangat yang mampu aku hamburkan kepadanya. Jika dia merasa tenang bila mendengarnya, syukur.

“Ain. Saya harus pulang.”

“Pulang ke Kuala Lumpur?”

“Oh, tidak. Saya menginap di hotel di Ipoh buat sementara, esok petang saya akan pulang semula ke Kuala Lumpur. Tapi awak jangan bimbang, sebelum pulang saya akan menemui awak lagi esok. Awak kuatkan semangat ya.”

“Saya berharap kita berkesempatan untuk bertemu lagi esok.”

“InsyaAllah. Ain, awak harus tenang. Doa saya sentiasa mengiringi awak.”

Dia mengangguk tanda menerima kata-kataku itu. Hatiku berasa berat untuk meninggalkan dia, bimbang kalau-kalau ini adalah pertemuan terakhir.

************

Hujan masih membasahi bandaraya Ipoh, tiada tanda-tanda ianya akan beransur teduh. Petang ini aku hanya menghabiskan masa di dalam bilik hotel, berbaring di katil merenung jauh menanti terbenamnya matahari dan langit menjadi gelap di mana aku berharap segala keresahan yang bersarang dalam jiwa buat ketika ini moga-moga beransur hilang. Aku tidak punya kekuatan untuk melihat telefonku. Sejak aku tiba di Ipoh, telefon itu aku biarkan mati begitu sahaja, langsung tidak ada niat untuk memberikan kuasa pengecasan pada baterinya. Aku tahu mereka di Kuala Lumpur sedang kelam-kabut dengan tindakan tidak masuk akal aku. Pengantin lelaki hilang tiga jam sebelum majlis akad nikah, itu mungkin boleh menjadi tajuk utama surat khabar untuk menarik perhatian pembaca.

“Kenapa awak buat saya macam ini Khalid? Kenapa?”

“Maafkan saya Sue. Kita akan tetap meneruskan pernikahan ini cuma bukan dalam masa terdekat. Saya cuma minta berikan saya seminggu dua, itu sudah memadai.”

“Maaf Khalid. Awak benar-benar telah memalukan saya dan keluarga saya. Semoga awak temui bahagia. Tak, saya harap hidup awak sengsara!”

Aku mengimbas semula perbualan telefon antara aku dan Suzana pada hari sepatutnya majlis pernikahan kami berlangsung. Ya, aku membatalkan pernikahan kami secara tiba-tiba. Perbuatan yang tidak sopan dan mencetuskan polemik besar yang bakal mengundang perbagai persoalan. Mungkin bagi pihak keluargaku mereka dapat menerima keputusan yang aku lakukan itu, tetapi di pihak keluarga Suzana ianya suatu tamparan yang cukup hebat untuk diterima oleh mereka.

“Tangguh? Kenapa?Lagi tiga jam bukan? Uncle harus berbincang dengan bapa kamu dulu. Ini semua akan memalukan kami.”

“Abah dan ibu Khalid dah tahu Uncle. Maaf, tetapi Khalid ada urusan yang penting harus diberi keutamaan.”

“Urusan penting? Kamu gila! Sudah. Batalkan majlis ini. Ingat, jangan kamu berani lagi tunjukkan wajah kamu pada keluarga kami.”

Ayah Suzana begitu marah bila aku memberitahu mahu menangguhkan majlis pernikahan. Ya, siapa saja yang boleh menerima perilaku tidak masuk akal ini bukan? Aku fikir mungkin jodoh antara kami tidak begitu kuat maka akhirnya terlerai jua.

“Kamu selesaikan dulu apa yang harus diselesaikan. Hal disini abah akan uruskan. Kami sekeluarga akan menyokong kamu sepenuhnya.”

“Terima kasih abah.”

“Tapi kalau kelak kamu disaman, jangan minta abah carikan peguam terbaik ya.”

“InsyaAllah, tidak akan sampai ke tahap itu.”

Abah bersikap terbuka dengan tindakan aku. Ibu? Ya ibu mulanya kurang senang dengan semua ini sehinggalah aku memujuknya dan memberitahu betapa hal yang harus aku lakukan ini juga boleh dianggap penting dan aku tidak mahu menyesal di kemudian hari jika tidak memenuhi permintaan Ain Mardhiah.

*************

Aku tidak pasti mengapa pagi ini debaran di dadaku tidak seperti kebiasaannya. Setelah selesai bersarapan, aku bersegera memandu menuju ke hospital. Jarak antara hospital dengan hotel penginapanku hanya mengambil masa 15 minit pemanduan.

Sebaik sahaja aku melangkah masuk ke lobi hospital, debaran di dadaku semakin kencang. Langkah kaki ku atur pantas menuju ke lif hospital. Semalam aku telah berjanji dengan Ain untuk melawatnya sekali lagi sebelum aku pulang ke Kuala Lumpur. Tingkat 7, Wad 7B itulah arah tujuanku. Apabila memasuki wad tersebut debaran di dadaku bertambah kencang, terasa seolah-olah jantungku akan terkeluar dari tubuh!

Aku membuka pintu bilik yang menempatkan Ain Mardhiah. Kehairanan menyelubungi diriku tatkala pandangan mataku tertumpu pada katil yang kosong tiada pesakit yang sepatutnya sedang baring di situ. Mungkinkah Ain Mardhiah telah keluar dari hospital? Tetapi bagaimana mungkin aku tidak mengetahuinya atau ada sesuatu yang tidak aku ketahui?

Aku tidak mahu terus berteka-teki lantas aku bertanya kepada jururawat yang sedang bertugas di kaunter hadapan wad. Debaran di dadaku masih pantas dan ianya semakin pantas bilamana aku bertanyakan kepada jururawat itu, “Maaf, boleh saya tahu di mana pesakit di dalam bilik tiga?”

***********

Kepada Khalid.

Setiap kali saya selepas solat tidak pernah saya lupa untuk mendoakan kebahagiaan awak. Saya tahu betapa hancurnya hati awak ketika saya memberitahu agar kita menamatkan kisah cinta kita tanpa sebarang alasan. Awak sabar menanti dan kesabaran itu hanya menemui kehampaan akhirnya. Saya akui saya telah membuat kesilapan dalam hidup apabila memilih untuk menerima cinta seseorang yang saya fikir akan memberikan kebahagiaan kepada saya untuk selamanya. Namun saya harus redha dengan kegagalan rumahtangga yang saya bina. Khalid. Saya tidak tahu mengapa awak antara insan yang paling ingin saya temui sebelum saya pergi selamanya. Saya tidak mahu menagih simpati tetapi saya sangat berharap untuk melafazkan kata-kata maaf kepada awak secara bersemuka. Saya perlu bertemu awak. Biarpun untuk kali terakhir. Saya benar-benar ingin mohon maaf untuk kali terakhir.

Ain Mardhiah, Ipoh- Perak.

“Semoga rohnya dicucuri Rahmat dan ditempatkan dikalangan hamba-hambaNYA yang beriman.”

“Amin. Terima kasih sahabat kerana sudi menemani aku. Jauh kau memandu dari Kuala Lumpur ke sini.”

“Untuk seorang sahabat apalah sangat letih memandu. Lagipun Arwah juga pernah aku kenali. Kau macam mana sekarang?”

“Ya, aku bersyukur kerana Allah izinkan aku bertemu dia sehari sebelum dia pergi selamanya.”

“Kau benar-benar telah memaafkan dia bukan?”

“Zal, dia tidak pernah lakukan apa-apa kesalahan untuk dimaafkan. Jika ada, telah lama aku maafkan.”

“Semuanya dah selesai. Lepas ini kau kena pulang ke KL, selesaikan urusan perkahwinan kau yang tertangguh itu, jangan lari dari masalah lagi.”

“Lari? Aku tak lari dari masalah. Tentang perkahwinan itu, keluarga Suzana dah batalkan. Tapi aku tetap akan pergi berjumpa dengan keluarganya dan memohon maaf.”

“Itu yang terbaik.”

Aku tersenyum memandang Aizal. Kopi hitam yang sejak tadi telah lama bertakung dalam cawan, aku renung tanpa keinginan untuk menghirupnya. Suasana dalam kopitiam ini mulai dipenuhi dengan pelanggan yang rata-ratanya golongan pekerja yang singgah untuk menikmati minum petang disitu. Di luar kopitiam, rintik-rintik hujan masih kelihatan walaupun langit mulai cerah tidak lagi mendung seperti sejam yang lalu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.