Home Cerpen Thriller/Aksi RAHSIA
RAHSIA
illifadli
9/8/2016 02:47:21
3,093
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi


Kuala Lumpur, 17 Mac.

Nama aku ialah Doktor Fahmi. Catatan ini adalah sesuatu yang peribadi dan sangat sulit untuk disebarkan kepada sesiapa kerana ianya sesuatu yang mungkin boleh mengancam nyawa si pembacanya.

DSP Majid telah datang ke hospital untuk mendapatkan keterangan aku berkaitan autopsy yang telah aku jalankan terhadap mayat seorang lelaki Cina. Aku memaklumkan kepadanya bahawa aku ditugaskan untuk menjalankan "bedah siasat luaran" yang mana si mati mengalami 80% kesan kebakaran pada anggota badan. Tiada kecerderaan lain. Pegawai Polis tersebut bertanya kepada aku, mengapa tiada bedah siasat dalaman dilakukan. Aku jelaskan kepadanya memandangkan 80 peratus daripada anggota badan terbakar teruk maka si mati telah mengalami "kegagalan renal akut". Aku jelaskan kepadanya "Renal Akut" adalah komplikasi akibat kebakaran teruk dan biasanya ia mendorong kepada kegagalan buah pinggang si mati untuk berfungsi, sekaligus tidak mungkin untuk kembali pulih. DSP Majid meminta kepada aku laporan lengkap yang mana aku memberitahu dia agar dapatkan di pejabat pentadbiran hospital.

Kuala Lumpur 18 Mac.

Ketika sedang menikmati minum petang pada waktu rehat di kafetaria hospital, datang seorang lelaki bermisai, tinggi, kurus dan bertopi hitam ke arah meja aku dan bertanyakan samaada dia boleh minum disitu atau tidak. Ironinya dia tidak membawa apa-apa bekas minuman atau makanan melainkan sekeping envelope bersaiz A4 berwarna coklat. Aku fikir dia mungkin sedang menunggu seseorang lalu aku hanya melemparkan senyuman ke arahnya tanpa cubaan memulakan apa jua perbualan.

Usai minum, aku bangun untuk beredar dari situ namun dengan tiba-tiba lelaki itu tadi memegang tangan aku dan memberikan envelope itu tadi sambil berkata "ini rahsia, berkaitan semalam". Aku terkejut dan bilamana aku mahu bertanya lebih lanjut kepada lelaki itu, dia segera beredar meninggalkan aku.

Envelope yang aku terima dari lelaki itu hanya aku buka setibanya di rumah, lebih kurang jam 11 malam. Tertulis di atas penjuru kiri envelope itu perkataan "sulit". Aku buka envelope itu dan hanya ada sekeping kertas A4 yang tertulis dengan tulisan tangan "Mangsa bukan mati kerana kebakaran biasa, tetapi kerana dia gagal menyimpan rahsia pasukan". Aku kebingungan. Apakah yang dimaksudkan dengan “gagal menyimpan rahsia pasukan”? Sepanjang malam aku tidak dapat melelapkan mata bilamana memikirkan hal tersebut walhal badan dan fikiran aku terasa begitu letih selepas 15 jam bertugas di hospital. Haruskah aku memaklumkan hal ini kepada DSP Majid atau aku biarkan dulu? Aku buntu diselubungi rasa takut dan bimbang.

Kuala Lumpur, 19 Mac.

Aku menemui Doktor Hanim, doktor yang mula-mula merawat lelaki yang mati akibat terbakar itu. Aku bertanyakan kepada Doktor Hanim sekiranya dia boleh menjelaskan lebih lanjut berkaitan rawatan kecemasan yang diberikan kepada mangsa . Doktor Hanim memberitahu aku sekitar jam 11.30 malam, si mati dimasukkan ke wad. Pada masa itu, si mati masih sedarkan diri dan dapat menjawab persoalan yang diajukan kepadanya dengan jelas. Si mati mengadu bahawa dia merasai kesakitan yang terlampau teruk dan meminta agar diberikan rawatan segera. Doktor Hanim memaklumkan kepada aku bahawa keseluruhan tubuh, kaki dan muka si mati terbakar. Aku tanyakan akan rawatan yang diberikan dan dia berkata antara rawatan yang diberikan ialah “intravenous drip”, suntikan dan antibiotik selain ubat pelali berasaskan morfin diberikan. Belum sempat aku bertanyakan lebih soalan, doktor kecil molek berambut paras bahu dan bercermin mata itu memberitahu dia mendapat panggilan kecemasan dan perlu segera ke wad separa kritikal. Percayalah, semua ini masih tidak berjaya menjawab misteri di sebalik nota dalam envelope yang aku terima. "Bukan mati kerana kebakaran biasa" dan "gagal menyimpan rahsia pasukan" dua persoalan yang tidak aku temui jawapan. Akibatnya aku hilang fokus seharian dan terus buntu merungkai misteri dan persoalan yang datang tidak diundang.

Kuala Lumpur, 23 Mac

Dari hari terakhir aku menerima nota pelik itu sehingga ke hari ini, tiada apa-apa perkara aneh yang berlaku kepada aku. Semuanya berjalan seperti biasa melainkan...Ya, pada jam lebih kurang 6 petang aku menerima e-mel dalam bahasa Inggeris yang berbunyi, "He said to me, someone had poured petrol on him and then set him on fire with matches."

Aku terkejut, takut, gelisah, keliru..segala jenis perasaan bercampur aduk. Siapa pula yang mengirimkan e-mel ini? Motif? Tujuan? Aku membalas e-mel tersebut namun ternyata ianya hanya sia-sia kerana pengirimnya tidak membalas semula pertanyaanku. Selepas selesai kerja sekitar jam 7 malam aku bercadang untuk ke Ibu pejabat polis pusat bandar berjumpa DSP Majid. Aku sudah tidak sanggup untuk memikirkan semua ini. Mungkin ada baiknya jika aku serahkan pada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Aku yakin kematian lelaki tersebut bukanlah sesuatu yang terjadi akibat kemalangan tetapi ianya lebih kepada jenayah yang dirancang. Tetapi adakah itu hanya persepsi aku atau hakikat sebenar?

Tarikh, tempat dan masa yang tidak diketahui.

Kepala aku berasa sungguh berat sekali seperti baharu lepas diketuk dengan sesuatu yang keras. Apabila aku membuka mata hanya kegelapan yang terlihat. Aku tidak ingat apa yang berlaku dan bagaimana aku berada di situ? Tempat apakah ini? Kemudian ada cahaya yang samar-samar memasuki bilik tersebut bilamana seseorang membuka pintu bilik. Seingat aku, perkara terakhir yang aku lakukan ialah memandu untuk ke balai polis bagi berjumpa DSP Majid. Bilik itu kini diterangi dengan cahaya lampu kuning yang tidak begitu terang.

Kelihatan seorang lelaki bertubuh gempal sedang memakai sarung tangan getah. Aku tidak dapat melihat dengan jelas wajah lelaki itu tetapi aku dapat merasakan sesuatu yang buruk akan terjadi. Apa yang aku sedar, aku kini dalam keadaan duduk di atas lantai simen dengan tangan bergari. Aku hanya mampu bersandar di dinding berhampiran penjuru bilik itu.

Aku ketakutan...Lelaki itu berjalan ke arah aku..Dia mempunyai bau badan yang tidak menyenangkan.

Kebukk! Kebukk Kebukk!

Dia memukul, menyepak, menendang serta menerajang ke arah tubuhku bertalu-talu! Aku tidak mampu melakukan apa-apa melainkan hanya menjerit kesakitan.

Bertalu-talu dia menendang aku serta menghantukkan kepalaku ke dinding. Aku mendengar dia berkata "Jangan jadi hero" beberapa kali...Kaki aku kekejangan, darah mulai keluar dari mulutku......Segalanya menjadi kelam dan kegelapan mengambil tempat...

**********************

"Abang turun makan, buat apa lama-lama dekat atas tu?" suara ibu membuatkan aku bersegera keluar dari bilik.

"Dah Ibu, dah turun ni, wah sedap bau ni" aroma yang enak membuatkan perutku lapar.

"Abang baca buku yang dia dapat dekat luar pagar tu mak" suara adik membuatkan aku tergamam seketika. Ah, nanti kalau ibu bertanya lebih lanjut tentang buku yang dikatakan oleh adik apa pula yang harus aku jawab.

"Adik ni, abang baca buku komik. Buku orang dewasa..." Aku membalas kata-katanya lalu mencubit pipi adikku yang berusia enam tahun.

Ibu sedang menghidangkan makanan di atas meja makan dan aku mengambil peluang membantu apa yang perlu.

"Ibu masak rendang ayam hari ini. Ibu nak meraikan kejayaan abang menang pingat emas taekwando bulan lepas. Tapi maaf terlambat.” Ibu melemparkan senyuman kepada aku.

Sedang kami menikmati hidangan makan tengah hari itu, mataku tertarik pada tajuk utama pada surat khabar yang menjadi lapik di atas meja makan. Rasanya ini surat khabar empat hari lepas berdasarkan kepada tarikh yang tercetak di bahagian atas surat khabar itu.

"Doktor Patologi rentung akibat kemalangan".

Di sisi ruang beritanya terdapat gambar seorang lelaki melayu dengan kapsyen

"Doktor Fahmi. Mangsa kemalangan....”

"Ibu, ayah tak balik makan tengah hari?” aku bertanya kepada ibu.

"Masih di balai polis, ada mesyuarat khas. Esok Presiden Amerika nak datang ke negara kita, jadi sibuklah dia terlibat mengurus hal ehwal keselamatan. Tambah nasi lagi tu." Jelas ibu seraya menyuruhku menambah sesenduk dua nasi ke dalam pinggan.

Aku melihat ibu dan adik begitu berselera menikmati makanan mereka sedangkan aku entah mengapa tiba-tiba menjadi resah. Nama doktor yang mengalami kemalangan itu sama seperti nama individu yang menulis catatan di buku yang aku baca tadi.

Aku bersegera menghabiskan makanan kemudian terus naik ke bilik.

Serta merta aku terus teringat akan buku catatan berwarna ungu yang aku baca tadi. Hatiku berdebar-debar. Buku catatan itu aku temui di dalam sebuah beg plastik yang di dalamnya juga terdapat sebuah bekas berwarna biru kelihatan seperti kotak pensel.

Aku merebahkan badan ke atas katil. Aku menyelak beberapa muka surat terakhir buku catatan itu. Satu demi satu muka surat diselak sehingga bertemu dengan muka surat yang belum aku baca.

*****************

Tempat tidak diketahui, 15 April.

Aku kini sedang terbaring di atas katil di suatu bilik berhawa dingin. Aku dapat merasakan cahaya matahari yang menembusi langsir bilik ini..Bukankah kali terakhir aku dibelasah teruk? Adakah ini syurga?

Seorang perempuan sedang duduk di sofa biru yang berada tidak berapa jauh dari katil aku.

"Anda bertuah. Multiple Blunt Trauma, Sub-Arachnoid Haemorrhage...Tiada siapa yang mampu hidup dengan keadaan sebegitu rupa" kata perempuan itu. Ya, dengan ciri-ciri yang disebut oleh perempuan itu aku sewajarnya telah mati dan mustahil untuk hidup!

Aku bertanyakan kepada dia akan tarikh hari ini, dan dia katakan "15 April sayang..."

Perempuan itu meninggalkan aku bersendirian. Dia berikan sebuah i-pod dan alat mendengar. Dia memberitahu bahawa mendengar lagu akan menenangkan jiwa. Aku bersetuju dengan kata-katanya..Alunan muzik yang aku dengari itu benar-benar mendamaikan. Sedang aku dibuai dengan kemerduan alunan muzik instrumental tersebut tiba-tiba melodinya terhenti. Suara seorang lelaki pula yang kedengaran dari i-pod itu.

"Selamat Pagi. Selamat menikmati udara segar di dalam bilik yang bertaraf hotel lima bintang ini. Doktor, tahniah dan anda bertuah kerana dipilih untuk diselamatkan. Saya Profesor V individu yang mengetuai misi menyelamatkan anda. Ya, rasanya tidak perlu saya jelaskan bagaimana dan dimana kami menemui anda. Keadaan anda amat parah. Satu-satunya cara bagi menyelamatkan anda ialah dengan rawatan kecemasan yang istimewa. Sejenis serum rahsia yang hanya pihak tertentu di negara ini mengetahui kewujudannya. Doktor jangan bimbang, pihak yang melakukan keganasan kepada anda telah kami hapuskan.

Doktor, setiap pertolongan adalakanya perlu dibalas dengan pertolongan dan kami amat berbesar hati sekiranya doktor sudi membantu. Kami cuma inginkan persetujuan doktor untuk bersama-sama sebahagian mereka yang berkebolehan membentuk satu pasukan. Kami pasukan yang melindungi keselamatan tanah air ini secara senyap. Kami tidak memilih keganasan tetapi kami memilih membersihkan kuman-kuman yang mencetuskan keganasan. Bunyinya lebih bagus bukan? Mencegah lebih baik daripada merawat. Doktor, kami berikan anda pilihan. Sekiranya doktor bersetuju, keselamatan doktor adalah tanggungjawab kami. Namun jika doktor tidak bersedia, doktor boleh tinggalkan bilik ini. Di dalam almari yang berada di dalam bilik ini telah tersedia pakaian baharu untuk doktor.

Tapi izinkan saya memberikan sedikit penjelasan sebelum doktor membuat keputusan.”

Aku menanggalkan alat mendengar itu dari telingaku. Semua ini tidak masuk akal tetapi bila aku memikirkan semula tentang keadaan aku yang masih hidup aku kembali memasang alat mendengar itu di telinga.

“Serum yang disuntik ke dalam tubuh doktor itu sangat bernilai dan ianya mampu memberikan kesan jangka masa panjang. Serum tersebut mampu menjadikan seseorang sembuh dengan cepat daripada luka dan kecederaan parah. Ia membantu proses pemulihan dalaman malah berupaya menambah tenaga kepada individu yang menggunakannya. Pasti doktor dapat merasa perubahan dalam tubuh doktor bukan? Ini adalah ciptaan untuk kegunaan masa depan yang masih belum lengkap seratus peratus namun tidak salah untuk diuji. Namun begitu ia tetap mempunyai kelemahan yang perlu saya rahsiakan buat masa ini. Ya, cara menghapuskan mereka yang disuntik dengan serum itu adalah melalui kepanasan pada suhu yang tinggi seperti kebakaran. Namun sekali lagi suka saya ingatkan kepada doktor agar jangan bimbang dan khuatir. Doktor bebas membuat pilihan samaada meneruskan kehidupan seperti sediakala atau menyambut salam perkenalan kami ini. Di dalam dunia tiada apa yang kekal dan kehidupan yang serba singkat ini harus dipergunakan sebaik mungkin dengan berbakti pada negara. Bukankah itu yang selalu doktor dengar? Semoga anda membuat keputusan yang bijak demi masa depan anda. Terima kasih."

Kuala Lumpur, 30 Ogos

Keputusan yang aku ambil ini sama sekali telah mengubah masa depan aku atau harus aku katakan aku tiada masa depan. Seringkali aku berfikir bahawa semua ini seperti telah dirancang. Ketiadaan aku selama sebulan dari tempat kerja tidak dipersoalkan malah kononnya aku mengambil cuti ke luar negara. Siapakah disebalik semua ini? Walaupun aku berada dalam "pasukan" mereka namun aku tidak pernah bertemu mereka. Semuanya dilakukan secara rahsia. Aku masih belum menemui jawapan pada semua persoalan ini. Bila tiba masanya nyawa bakal menjadi taruhan. Kamu. Ya kamu yang membaca catatan ini, percayalah aku telah lama mengikuti perkembangan kamu melalui laman media sosial. Aku yakin kamu mampu memikul tanggungjawab ini. Aku percaya kamu mampu mencari jawapan yang tidak berjaya aku temui. Aku berikan sesuatu yang istimewa kepada kamu. Tetapi harus aku ingatkan bahawa mereka tidak mengetahuinya tetapi bukan beerti mereka tidak akan cuba untuk menjejak kamu. Jangan sesekali kamu terpedaya dengan tipu helah mereka. Gunakanlah pemberian ini dengan rasa tanggungjawab. Semoga berjaya dan ingat rahsia harus kekal dalam diri sendiri

-Doktor Fahmi-

*********************

Aku melihat isi kandungan bekas berwarna biru itu dan kelihatan sebatang picagari terkandung cecair jernih yang masih belum digunakan di dalamnya beserta cebisan kertas yang tertulis “guna bila perlu”. Adakah aku individu yang dimaksudkan oleh si penulis buku catatan itu? Perasaan cemas mula mengambil tempat di dalam diriku. Adakah aku berada dalam bahaya? Atau ini semua hanya kebetulan dan mungkin juga perbuatan seseorang untuk mengenakanku. Aku buntu memikirkannya. Adakah aku harus menyimpan rahsia ini berseorangan atau berkongsi dengan orang lain. Mungkin dengan ayah? Tetapi jika semua yang aku baca di dalam buku catatan itu benar belaka, beerti keselamatan kami sekeluarga dalam bahaya. Seribu satu persoalan berlegar-legar di dalam kotak pemikiranku.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.