Home Cerpen Seram/Misteri Jangan Buli aku !!
Jangan Buli aku !!
Zhar Aruzi Hairi
22/10/2016 17:18:30
5,619
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Jangan Buli Aku!


Oleh : Zhar Aruzi Hairi


Tahun 1990

Pintu bilik bertutup rapat. Didalamnya panas membahang. Tiga dari enam orang yang berada di dalamnya sudah membuka baju. Yang lainnya hanya bertahan dengan bermandi peluh. Seseorang yang terbaring di lantai. Nafasnya mendengus kuat menahan kesakitan

"Apa salah Aku?!!!"

Soalan lantang itu dijawab dengan satu sepakan di muka. Bengkak di mukanya bertambah dengan lelehan darah di hidung. Dikesatnya dengan tangan yang terketar-ketar. Doa juga dipanjatkan di dalam hati supaya deritanya tidak berpanjangan.

‘Ya Allah, Apa salah aku sampai dibelasah macam ni! Setahu aku, tak pernah pulak aku buat onar selama ini’ Sempat dia mengulas di dalam hati.

Baru sebentar tadi di bergelak ketawa bersama kawan-kawan. Tapi sebaik lampu dipadamkan, dia diheret ke dalam bilik yang berbau hamis ini. Bilik yang menempatkan panel elektrik bagi keseluruhan asrama. Selalunya berkunci kemas, Cuma malam ni boleh dibuka. Pelik!

Sudah tidak terdaya dia mahu menahan sakit. Pukulan demi pukulan yang membuatkan dia hampir pengsan. Orang yang menghemtam dan memukul tidak pula dikenalpasti. Mukanya disarung dengan plastik sampah sebelum dibawa ke sini. Semua yang ada di situ tidak langsung menyebut nama sekutu mereka semasa bercakap. Semua yang ada tahu prosedur rahsia mereka. Jangan diketahui mangsa, siapa sebenarnya mereka!.


"Aku belum puas la, Sampah!" Jerit satu suara lain, serentak dengan sepakan di perut. Yang disepak mengaduh sekali lagi. Yang menyepak kemudiannya ketawa terbahak-bahak.

"Perasan muka handsome sikit jer, mulalah nak jual minyak. Bukan kau tak tahu, Laila tu aku punya" Jerkah satu suara lagi.

Dia macam kenal kenal suara itu. Suara orang yang mengumpannya ke bilik itu. Tersentak juga dia apabila nama Laila disebut. Budak perempuan hitam manis yang pernah menghantar bunga dan coklat kepadanya sebelum ini. Ada harapan menggunung dari gadis itu untuk dia menjadi teman istimewanya. Tapi dia layan macam biasa sahaja sebab ramai yang mencuba cara yang sama!

Cuma kali ni, dia terpaksa terima akibat buruknya terima bunga dan coklat dari awek orang lain!

Matanya sempat merayap di sekitar bilik yang berdebu itu. Dia mengetap bibir menyimpan dendam kepada pelaku-pelaku yang berada di situ. Semua yang ada mengunci bicara seketika. Dia mendengus nafas lagi. Sumpah seranahnya bernanah di dalam hati.


"Dah nak lunyai ni. Ke hospital pulak dia nanti. Apa lagi kau nak buat…" Lelaki itu mencangkung di sebelah yang terbaring di lantai. Dia memegang muka dan memeriksa lebam-lebam yang kelihatan. Terketar-ketar lelaki yang terbaring menahan kesakitan apabila luka dan bengkaknya disentuh.

Dia mencekak rambut lelaki yang terbaring sambil berbisik di telinga "Esok kau jangan ke kelas. Tidur di pusat rawatan je. Kalau warden tanya, kau cakap kena macam ni masa main ragbi, faham. Kalau kau cerita apa yang jadi dalam bilik ni, lagi teruk kami akan kerjakan!!"

Kepala itu dihenyak ke lantai sebelum dia berdiri.

“Kau bawak tak apa yang aku pesan tadi?” Tanya lelaki yang ketawa terbahak-bahak tadi kepada lelaki yang berpeluk tubuh di sebelahnya.

“Nah!” Sebuah kamera kompak diserahkan kepada yang bertanya tadi.

“Buka baju dan seluar dia. Jangan bagi dia pakai apa pun!. Korang pun jangan tercegat jer, tolong pegang kaki dan tangan dia” arah lelaki yang memegang kamera tadi. Dia mengelus kamera mencari posisi yang paling menarik.

Lelaki diatas lantai tadi meronta-ronta tidak mahu ditelanjangkan. Namun kudratnya kalah dengan tenaga lima orang yang memegang kaki dan tangannya. Dia cuba menjerit namun mulutnya disumbat dengan baju dan perutnya ditumbuk bertubi-tubi. Dia terpaksa akur dirakam bogel!!

Bunyi flash kamera berketip beberapa ketika!

“Ini insurans kami. Kalau apa-apa yang kami tak puas hati. Satu Malaysia akan tengok gambar bogel kau. Termasuk family kau, cikgu-cikgu kau, kawan-kawan kau….ingat cakap aku sampai mati…Faham !!! bangsat!!”


***************************


Sekarang

Farhan duduk membelakangkan Amirul. Matanya tertumpu kepada budak yang bersusuk tegap di meja dihadapannya. Gaya, cara senyum dan kata-kata yang dituturkan budak itu membuatkan dia meluat, meluat yang sangat-sangat. Sudahlah baru masuk ke asrama, tinggal pula di bilik yang sama dengan dia. Berlagak betul budak tu sebab mak bapak dia orang kaya!

“Kau apa hal, dari tadi aku tengok kau tenung si Ziyad tu. Berkenan ke?” Teguran dari Amirul hampir membuat dia tersedak.

“ Celaka lu..ingat aku ni apa. Aku usha pun sebab ada yang aku tak puas hati dengan budak. Dah dua minggu aku tengok dia naik tocang semacam. Aku tegur tadi pun dia tenung aku atas bawah”

Mata Farhan masih belum teralih dari memandang budak itu. Marahnya meluap-lupa. Masakan tidak, budak junior yang baru masuk sudah berani mendabik dada bilak berhadapan dengan senior sepertinya. Dahinya berkeriut memikirkan sesuatu.

“Kau ikut ikut aku malam ni. Kita pangkah budak tu kat bilik dobi.” Cadang Farhan. Amirul mengangguk dengan lagak samseng sambil mengelus penumbuk.

“Nak ajak yang lain tak?”

“Tak payah. Kau dan aku pun cukup kalau nak sparring dengan budak mentah tu”


************************


Farhan berjalan menunduk, mengelak dari bertentangan muka dengan pelajar lain yang lalu lalang.

“Kau ni kenapa? Jalan tertunduk-tunduk” Rafi menepuk belakangnya. Farhan berpaling sambil menekup pipi kanan.

“Bagi aku tengok?” Ditepisnya tanya Farhan. Kesan lebam jelas kelihatan pada tulang pipi. Farhan mengaduh apabila jari Rafi bersentuhan kulit pipinya.

“Siapa yang belasah kau?. Bagi tau aku. Nanti ramai-ramai kita pergi sesah!” Rafi menyiarap melihat rakan baiknya itu diperlakukan sebegitu. Pantang sekali pelajar-pelajar senior dibuli sebegitu. Farhan masih membisu.

“Budak sekolah ni ke budak luar?” ulang Rafi. Matanya memandang tepat mata Farhan.

“Kau jangan sembunyi apa pun? Kalau kau kena aku pun panas. Siapa yang belasah kau ni!!” Jerkah Rafi setelah Farhan terkulat-kulat untuk menjawab.

“Ziyad!”

“Ha.. budak baru tu berani belasah kau. Kenapa tak panggil aku dan kawan-kawan yang lain” Rafi mula menyinga. Tangannya dilambai memanggil Fuad dan Akmal yang lalu tidak jauh dari situ.

“Aku dengan Amirul jer yang mengadap budak tu”

“Amirulnya mana?” Tanya Fuad yang baru sampai.

“Amirul kat bilik sakit. Hari ni MC”

“ Wasit silat tu pun boleh injured. Boleh tahan jugak budak Ziyad tu” Rafi mengepal tangan.

“Dia ada buah tomoi bro. Pecah muka Amirul kena buah siku dia. Aku nasib baik kena penumbuk jer”

“Yang kau terhegeh-hegeh nak ke kelas ni kenapa? Dah injured tu duduk la dekat bilik sakit”

“Aku ada presentation sejarah pagi ni. Kalau tak datang mati la group aku, sebab aku yang present

“Kalau cikgu tanya nanti kau nak jawab apa?”

“Pandai-pandai la aku reka cerita. Malam nanti kita meeting hal ni kat pantry bro”


*************************


Muka Amirul mengerinyut, menahan sakit sebaik jururawat melarik putik kapas yang berisi iodin. Jari-jemarinya mencengkam kasar cadar dan tilam. Bisanya sakitnya sampai menitiskan air mata.

“Siapa yang pukul kamu?” Cikgu Lutfi selaku warden dan guru disiplin yang berdiri bersebelahan bertanya.

“Saya jatuh cikgu. Masa nak ke bilik air semalam”

“Kamu jangan nak sorok dengan aku. Bukan aku tak boleh beza, luka jatuh dengan luka bertumbuk ni. Cepat cakap siapa yang terlibat!!” Cikgu Lutfi sengaja menekan nada suara. Kalau berlembut sangat, pelajar-pelajar senang naik kepala.

“Saya kena ni sorang-sorang Cikgu. Sumpah” jawab Amirul yang menyeringai menahan sakit. Jururawat tadi membalut semula luka di mukanya.

“Kamu tahu kan yang cikgu boleh ambil tindakan disiplin pada kamu. Masih nak berbohong!!” Ugut Cikgu Lutfi.

Amirul sengaja tidak memandang kearah Cikgunya itu. Takut dimarahi lagi.

“Kalau kamu taknak cerita tak apa. Ada lagi cara lain untuk tahu kes kamu ni. Cikgu ni pun anak murid sekolah ni jugak”


**********************************


Selepas habis kelas persediaan malam, kawan-kawan Farhan dan Amirul berkumpul di bilik Pantry. Lapan orang kesemuanya yang hadir. Lampu bilik itu tidak dinyalakan supaya pihak warden tidak mengesyaki apa-apa. Cahaya dari lampu di luar balkoni sudah cukup untuk mereka melihat muka antara satu sama lain.

“Amirul mana?” Rafi bertanya.

“Dah tidur. Aku tak bagi dia join. Sakit dia tu belum baik” Farhan menjawab.

“Hal ni dah sampai ke warden ke belum?”

“Amirul ada cerita tadi yang Cikgu Lutfi datang bertanyakan hal ni pagi tadi. Dia tak cerita apa-apa pun”

“Si Ziyad tu macammana pula?” Fuad yang berada di hujung bilik bertanya. Dia berpeluk tubuh sambil memandang kearah Farhan.

“Budak tu dah naik tocang. Sengaja dia melanggar bahu aku masa kat kantin tadi. Benda ni bukan main-main dah. Budak yang dengan dia pun dah tenung senior-senior form five ni semacam jer”

“Tak boleh jadi macam ni. Ulat dah nak jadi naga. Kita pulak nanti yang kena tunduk dengan budak form three. So apa cadangan yang ada” Sindir Rafi.

Mereka semua menunduk sebaik mendengar bunyi kereta. Mungkin Cikgu Lutfi dah balik, Fikir mereka.

“Kita ajak diaorang fight kat luar. Tempat aku boleh setting. Mana-mana tempat pun aku ‘on’. Kalau tak cukup budak, boleh kumpulkan geng-geng aku kat sini.”

“Hal kita kat sekolah ni,kita settle cara sini. Jangan libatkan orang luar. Serabut jadinya nanti” Farhan memberi amaran.

Hatinya masih tidak senang mengenangkan kejadian yang berlaku semalam. Bengkak di mukanya masih menyucuk-nyucuk. Kalau tidak mengenangkan dia tahun akhir di situ, sudah lama dia membanting kayu hoki ke tubuh budak hingusan itu.

“Korang tak takut kena buang sekolah ke?” satu suara tiba-tiba mencelah. Hisyam selaku ketua murid sekolah tersebut turut menyelit di dalam pakatan itu.

“Macammana kau boleh join ni. Kami tak ajak pun” Fuad membentak.

“Aku sengaja join malam ni. Bukan sebagai ketua murid. Tapi sebagai kawan korang. Aku tak nak korang buat tindakan yang kurang bijak ni. Lambat laun warden akan tahu jugak. Bukan aku tak terasa kalau budak form three tak respek kita lagi. Cuma aku nak korang jangan buat dengan cara yang salah. Korang susah, family korang lagi susah.”

Hisyam berjalan merapati Farhan. Dia menjongket kaki untuk duduk sama diatas meja yang diduduki Farhan.

“Syam, kalau kau nak skema. Jangan join kitaorang malam ni. Budak-budak pengawas yang satu batalion tu kau boleh kerah untuk cari salah si Ziyad tu”

“Kau bercakap macam tak sekolah la. Hal pentadbiran sekolah aku tak nak campur. Budak-budak pengawas, termasuk aku bawah kuasa Cikgu Lutfi. Takkan aku nak libatkan semua orang untuk cover kerja kotor korang ni” Bantah Hisyam dengan nada berangin.

“Jaga mulut kau tu bebaik. Nanti bukan si Ziyad tu yagn pecah muka, tapi ketua murid” Fuad mendepa dada di depan Hisyam.

“Boleh tenang sekejap tak?. Aku dah semakin bodoh bila mendengar korang bercakap. Macam peluru, tapi satu pun tak membantu dalam kes malam ni. Kalau kitaorang nak budak-budak lain respek kita. Si Ziyad tu kita kena ajar!”

“Memang la nak kena ajar, soalnya sekarang. Macam mana?”

“aku ada idea” Ihsan yang dari tadi hanya memerhati bersuara.

“Apanya? Cerita la”

“Aku rasa baik kita kurung si Ziyad tu dalam bilik hujung tingkat bawah tu. Sehari semalam kalau boleh. Lepas tu kita tengok apa jadi”

“Maksud kau, bilik berhantu kat sebelah tandas bawah tu”

Ihsan mengangguk.

Semua yang ada di situ maklum tentang bilik panel elektrik di tingkat bawah asrama. Bilik yang dikatakan paling keras kerana ada pelajar yang membunuh diri didalamnya. Bilik itu juga diwartakan sebagai kawasan larangan. Sampai sekarang pun, tiada siapa pun yang berani masuk atau lalu di hadapan bilik itu. Tandas yang berdekatan pun tidak akan digunakan pada waktu malam.

“Ingat senang ke nak sumbat budak Ziyad tu siang-siang ke dalam bilik tu? Kalau ada sesiapa yang boleh tepis buah lutut dengan buah siku tomoi dia, bolehlah buat” Tingkah Fuad.

“Aku setuju dengan cadangan Ihsan. Bilik tu jauh dari bilik warden. Kalau menjerit pun belum tentu orang dengar. Kita pressure dia macam tu dulu. Sampai dia mengalah dan respek kita semua. Hujung minggu ni kita buat. Kalau orang cari dia, kita cakap yang dia balik kampung sekejap”

“Takkan kita nak ikat dia masuk dalam bilik tu kot.”

“Aku ada cara. Cuma sekarang ni aku nak Hisyam tolong dapatkan kunci makmal dan kunci bilik elektrik tu”

“Kalau korang janji tak cederakan budak tu, aku boleh tolong”

Hisyam memerhati sekeliling. Dia juga bimbang kalau-kalau warden keluar meronda. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu kawan-kawan yang sama tingkatan dengannya dikenakan tindakan disiplin, paling teruk dibuang sekolah.

“setakat kurung jer, aku tak rasa dia akan injured. Makanan nanti aku mintak sapa-sapa bungkus dan hantar ke dalam bilik tu ikut lubang angin” Jelas Farhan.

“kau tak rasa dia boleh panjat keluar ke.”

“lantak la dia nak panjat ke apa. Yang aku nak sangat, biar puaka dalam bilik tu bagi pengajaran sikit kat dia” Jawab Farhan garang.

“Hah.. bab puaka tu slow sikit. Tengah malam ni. Tengok kiri dan kanan tu. Takut-takut ada yang lain join kita sekarang ni”

“Kalau macam tu, kes ni kita serah kat Farhan. Bagi dia yang settle hal ni”

Masing-masing mengangkat kaki pulang ke bilik asrama mereka.


***************************


Jam menunjukkan pukul 4.00 pagi.

Tuala kecil yang dipinjam dari Amirul diseluk masuk ke saku. Cecair klorofom didalam botol kecil yang dicuri di makmal tadi turut dibawa bersama. Farhan melangkah perlahan mencari Fuad untuk membantu.

“Woi! Bangun” Fuad yang sedang asyik berdengkur ditarik kakinya.

“Kenapa kau kejut aku pagi-pagi buta ni?” Tanya Fuad sambil menguap. Dia pun masih mamai.

“Jom ikut aku!” arah Farhan.

“Kita nak ke mana?”

“Ikut je. Jangan banyak soal boleh.”


*****************************


“Dah!”

“Dah!” Fuad yang berjaga di muka pintu menjawab.

“Tolong aku angkat badak ini!” Tubuh Ziyad pengsan ditekup dengan klorofom oleh Farhan.

“Berat nak mampus” Rungut Fuad yang memegang di bahagian kaki.

“Kita nak angkut ke mana?”

“La..kan dah janji. Ke bilik bawah tu la”

“Err…Kau tak rasa meremang bulu roma ke malam-malam ni ke bilik tu”

Fuad mula menghela nafas berat. Dia cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan rasa takut.

“Jangan tegur apa-apa. Lepas aku buka pintu nanti. Kita baringkan dia kat situ. Kemudian kita blah”

Fuad hanya mengangguk.


*****************************


Ziyad merasa berat di kepala. Pandangannya berpinar. Silau cahaya menampakkan kelibat bayang-bayang yang semakin lama semakin mendekatinya.

“Aduh!” rasa sakit yang amat sangat di seluruh badannya. Seolah-olah dibelasah seluruh badan. Tubuhnya menggeletar kesejukan tanpa seurat benang.

“Ingat cakap aku sampai mati !!!” Suara yang sayup-sayup itu menusuk ke corong telinganya.

Dia tidak lagi mampu untuk berbuat apa-apa.


*********************************


“Dah…keluar!” Hisyam mengarahkan Ziyad yang berteleku di penjuru bilik. Dia bangun terhoyong-hayang menghala ke luar.

“Kau nak ke mana tu?” Jerkah Hisyam. Tubuh yang hanya berseluar tracksuit itu dipanggil.

“Aku nak balik bilik!”

“Kau tahu sebab apa kau kena kurung dalam bilik tu”

“Aku jahat…aku kacau perempuan” Ziyad bersuara sambil tersengih.

“Kau kenal aku tak?”

“Kenal. Pengawas sekolah kan” Jawapan Ziyad tidak meyakinkan Hisyam.

“Berapa gelen klorofom yang Farhan dah bagi kat engkau, aku tak tahu la. Dah semacam aku tengok”


******************************


“apa yang kau dah buat Farhan?” Tanya Hisyam.

“Buat apanya. Aku pengsankan dia dengan klorofom jer. Tak banyak pun. Lepas tu dia tertidur”

“Yang dia jadi sasau tak tentu hala tu kenapa. Tadi ada cikgu yang komplen si Ziyad tu masuk kelas lain. Semalam dia merayau-rayau di padang hoki tengah malam. Mujur Pak Guard nampak”

“Mana aku tahu. Fuad pun tahu apa yang kami dah buat. Alih dia ke bilik tu je. Pukul pun tidak”

“Malam nanti Cikgu Lutfi nak jumpa dia. Aku takut dia buka mulut pasal hari tu”

“Aku dah tak ambil port dah. Kalau dia cerita apa yang jadi, bagi aku yang tanggung semuanya. Jangan libatkan kawan-kawan yang lain. Aku yang mulakan sengketa ni, bagi aku yang terima akibatnya”

“Hmmm.. Kalau boleh, kau bincang baik-baik dengan Ziyad. Settle cara dalam dulu. Budak tu pun bukan kerek sangat”

“ Ok. Tengoklah nanti”


***********************


Suasana di bilik sakit itu suram dan sunyi. Ziyad masih duduk dengan memeluk lututnya diatas katil.

“Hu..Hu…”

Cikgu Lutfi masuk ke dalam bilik sakit itu bersama Cikgu Lokman. Kedua-duanya warden yang bertugas di asrama itu.

“Kamu ni kenapa Ziyad, macam kena sampuk je?” Cikgu Lokman menepuk belakang pelajar itu. Ziyad mengalihkan pandangan dengan mata yang membulat dan gigi yang menyeringai.

“Eeee….eee”

“Jangan buat suara macam tu boleh tak?” Jerkah cikgu Lutfi.

“Budak ni dah tersampuk cikgu. Kena panggil ustaz Ismail ni” Cikgu Lokman terus mendail.

“Kalau kau setan, keluar dari tubuh budak ni” Jerkah Cikgu Lutfi sekali lagi.

“abang Lutfi…. Syamel ingat cakap Abang sampai mati!!!” tutur Ziyad yang bangun dari katil.

Muka Cikgu Lutfi pucat tidak berdarah. Suara yang sampai ke telinganya cukup dikenalinya.

“Syamel tu siapa?” Cikgu Lokman pula bertanya sebaik selesai menelefon Ustaz Ismail.

“Akuuuuu…..Syamel…Engkauuuuu……. Lutfiiiiii……..bunuhhhhh…Akuuuuuuuu” Jeritan Ziyad mengegarkan bilik sakit itu. Pelajar yang ada berdekatan berlari ke bilik itu untuk melihat apa yang terjadi.

Kali ini Cikgu Lutfi terdorong ke belakang. Peristiwa yang berlaku puluhan tahun lalu diasarama itu kembali ke fikirannya. Sesalnya berbondong-bondong setelah mengetahui Syamel membunuh diri selepas dibuli oleh dia dan rakan-rakan.

Cikgu Lokman yang tadinya bersahaja mula meremang bulu roma. Hatinya berharap sangat Ustaz Ismail cepat-cepat datang. Pelajar-pelajar asrama sudah mula mengerumuni ruang legar di hadapan bilik sakit itu.

“Semua balik ke bilik masing-masing!!! Balik sekarang!!” Hisyam yang keluar dari biliknya menengking ke arah gerombolan pelajar. Mereka yang ada bertempiaran lari ke bilik masing-masing.

“Tutup lampu..jangan ada yang keluar…kalau aku jumpa..siap!!” Laung Hisyam lagi. Dia kemudian menyertai Cikgu Lokman dan Cikgu Lutfi di bilik sakit.

“Dah call ustaz?”. Cikgu Lokman hanya mengangguk. Dia menelan air liur melihat Ziyad yang terhencot-hencot berjalan kea rah Cikgu Lutfi. Tangannya cuba untuk menarik Cikgu Lutfi keluar dari situ, tetapi dia kakinya seolah-olah terpaku di lantai.

“Dah lama aku tunggu untuk keluar. Baru sekarang kita bersua…..Kau ingat aku tak tahu siapa yang rancang nak belasah aku..ambil gambar aku…. Ingat aku bodoh…” Omel Syamel dalam jasad Ziyad.

“Aku gantung diri sebab aku malu…Aku malu kat mak bapak aku…Kat kawan-kawan aku…kat cikgu-cikgu…kau janji takkan bagi gambar aku kat sapa-sapa..tapi kau tipu…Gambar-gambar aku tu tersebar merata-rata…Aku maluuu..maluuu…”

Cikgu Lutfi terdiam. Dia akur kata-kata Syamel, walaupun bukan dia yang memuatnaik gambar-gambar yang diambilnya ke internet.

“Aku minta maaf Syamel. Aku rasa bersalah sangat……” akui Cikgu Lutfi. “Aku tak sangka nak jadi sampai macam ni. Sebab tu aku sanggup mengajar kat sini. Aku taknak budak-budak lain ikut perangai aku”

“Kau bayar dengan nyawa kau!!!!!!!! Lutfi..aku ingat cakap kau sampai mati..” Tangan Ziyad mencengkam tenggorok Cikgu Lutfi. Tersekat-sekat nafas lelaki itu meminta nyawa.

Hisyam cuba membantu dengan menendang belakang Ziyad, namun dia yang tercampak ke belakang.

Cikgu Lokman pula mengundur hingga ke muka pintu.

Bunyi ayat-ayat al-quran berkumandang dari arah koridor. Ustaz Ismail tiba dengan dua orang lelaki lagi.

Ziyad menyeringai marah.

“Tak habis-habis nak ganggu anak Adam” Laung Ustaz Ismail. Kedua-dua orang rakannya masih meneruskan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Tangan Ziyad yang mencengkam leher Cikgu Lutfi mulai longgar. Cikgu Lutfi termengah-mengah menarik nafas. Titisan peluh membasahi dahi dan baju yang dipakainya.

“Aku mintak maaf Syamel” Luah Cikgu Lutfi dengan suara yang tersekat-sekat.

“Itu bukan Syamel Cikgu. Syaitan tu nak kita rasa bersalah. Bertaubat dengan Allah, bukan dengan makhluk” Tingkah Ustaz Ismail. Dia mengarahkan Cikgu Lokman dan Hisyam memapah Cikgu Lutfi keluar dari bilik itu.

“Apa kita nak buat sekarang ustaz?” Lelaki yang di sebelah kanan bersuara.

“Kita tengok gerak dia dulu. Kalau melampau kita sembelih sahaja” Ustaz Ismail memberi arahan. Mulutnya terkumat-kamit meneruskan bacaan.

“Arrrghhhhh……..kamu semua memang suka membuli sesama makhluk Allah” Suara menengking keluar dari mulut Ziyad.

“Kami tak memulakan semua ni. Kamu yang memilih untuk merasuk anak Adam tu. Selagi kamu tak keluar, selagi tu aku akan memahat kamu didalam tubuh budak ni”

“Aku belum membalas dendam…Aku nak membela kematian aku….”

“ Balas dendam kepala bapak kau…yang jadi pun bukan hal kau… Kau tu jin yang cuba nak menyesatkan anak Adam. Hidup dan mati itu ketentuan Allah. Kau yang kena laknat jangan cuba-cuba nak berlakon jadi roh manusia. Aku sembelih kau nanti!!!!”

“Aku tak takut mati..kalau kau sembelih aku..budak ni pun akan mati…ha..ha..ha” ugut Makhluk di dalam badan Ziyad.

Ustaz Ismail tidak menjawab. Dia masih terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-quran. Perlahan-lahan dia duduk bersila diatas lantai. Dua orang rakannya turut diberi isyarat supaya duduk.

Ziyad mula mendengus seperti lembu yang disembelih. Menggelupur diatas lantai. Semakin lama-semakin perlahan.

Ustaz Ismail mengeluarkan air mineral berbotol kecil dari poket jubahnya. Dia membacakan surah al-Fatihah dan Tiga Qul. Air itu kemudiannya disapukan ke muka Ziyad.

“Kat mana saya ni?” Ziyad yang tersedar bersuara.

“Alhamdullillah..kamu selamat. Sekarang ni di bilik sakit.” Ucap Ustaz Ismail sambil tersenyum.

“Makhluk tu ke mana Ustaz?” Tanya Cikgu Lutfi yang kembali semula ke bilik sakit itu.

“Kami dah sembelih dia tadi. Insha Allah, lepas ni dah tak ada gangguan”

“Budak ni dah Ok” Tanya dia lagi, merujuk kepada Ziyad.

“Dia tak apa-apa. Cuma kena pulihkan semangat dia saja”


******************************


“Syam!!” laung Cikgu Lutfi.

“Kenapa Cikgu?” Hisyam muncul di muka pintu.

“Dah sedia untuk cerita?”

“Cerita apa cikgu?”

“Cerita kat kami semua ni apa punca si Ziyad jadi macam tu”

“Saya pun tak pasti Cikgu…”

………

“Kamu seorang sahaja yang pegang kunci bilik elektrik tu kan..”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.