Home Cerpen Seram/Misteri Bomoh
Bomoh
Zhar Aruzi Hairi
11/5/2016 14:44:08
4,442
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Malam yang pekat itu tidak langsung memberikan apa-apa makna. Dari jauh kelihatan sebuah rumah kayu yang diterangi oleh lampu gasoline..

Rafik bangun sambil menyapu-nyapu kepalanya yang diselaputi debu. Rumah Tok Ngah Alang ini memang banyak debu kerana tiada orang yang menguruskannya. Siapa yang sanggup tinggal di hujung kampung, berhampiran hutan yang penuh dengan semak samun. Hanya orang yang bernama Tok Ngah Alang yang sanggup hidup sebegitu.

Sebaik berdiri, Rafik melilau mencari kelibat sahabatnya Adnan yang sama-sama datang ke rumah Tok Ngah Alang ini. Dia sedikit panik apabila melihat cecair merah berbau hanyir membasahi tangannya. Cecair itu juga membasahi sebahagian dari baju yang dipakainya.

“Darah siapa ni? Apa yang aku dah buat?” ungkapnya sendirian sambil berjalan mencari kelibat Adnan di dapur. Kepalanya masih berdenyut kesan dari syabu yang diambil sebelum ini.

“Mampus kau situa keparat!!!!!” Jeritan yang agak kuat kedengaran sebaik Rafik masuk ke bahagian dapur.

Adnan menyepak kepala mayat Tok Ngah Alang yang berlumuran darah menyembam ke lantai. Kesan sembelihan dileher jelas kelihatan. Darah hanya menitis sedikit sahaja kerana itu sahaja yang masih ada ditubuh tersebut. Yang lainnya membanjiri kawasan dapur dan sedikit sebanyak melekat di baju Adnan dan Rafik. Kakinya kemudian menghenyak-henyak kepala mayat tersebut beberapa kali. Bahagian perut dan dada mayat Tok Ngah Alang dipenuhi dengan kesan tikaman. Perutnya hampir terburai dengan luka yang besar di pinggul kanan. Ngeri dan menakutkan.

Adnan yang belum berpuas hati, merenggut janggut Tok Ngah Alang dan merapatkannya ke muka. Rasa belas kasihan memang sudah lama mati dalam dirinya. Sekalipun kepada mayat. Segala dendam kesumat yang terlekat dihatinya seboleh-bolehnya mahu dibalas sekarang.

“Ptuiiih” Ludahannya tepat mengenai hidung mayat sebelum dia menghenyakkan kepala mayat ke lantai semula. Berdentung bunyi lantai kayu mengejutkan Rafik yang ada berhampiran.

“Ha..ha..ha..puas..aku puas….” Ketawa Adnan sebaik melihat Rafik ada di situ.Giginya menyeringei dengan lagak seorang jaguh yang menang bertarung. Jari telunjuknya dihalakan kea rah mayat Tok Ngah Alang beberapa kali seolah olah memberitahu akan kepuasan dirinya.

“Apa ni Nan?…Takkan sampai bunuh kot…tadi janji tadi nak rompak jer” Rafik bersuara memprotes. Adnan yang masih dibayangi kesan Syabu memandang tepat dengan matanya yang masih merah. Amarahnya membuak-buak.

“Aku ke sini memang nak bunuh dia. Ha..ha..ha.. dia yang rogol mak aku masa datang berubat kat sini. Lepas tu, bila Mak aku cakap nak buat report polis…dia hantar hantu bunuh mak aku…MAKKK Akuu” Jerit Adnan sambil menghalakan telunjuknya sekali lagi kepada mayat.

“Sekarang..rasakan. Untung kau buat kerja tu masa aku kat dalam penjara..kalau tidak lagi awal ajal kau” Sambungnya.

Adnan menerima berita kematian ibunya semasa masih dalam tahanan. Ibunya adalah satu-satunya orang yang sering melawatnya di penjara. Selepas keluar penjara, barulah dia mengetahui kisah sebenar di sebalik kematian ibunya itu.

“Celaka,..Ptuiihggg” Ludahnya sekali lagi. Kali ini dada mayat yang berlumuran darah pula terpalit air liur.

“Kau tak pernah cerita pun kat aku…. Aku tak mahu dah buat kerja-kerja ni....Aku dah serik!!!!” Rafik mulai baran dengan tingkah Adnan. Dia pun bukannya jenis orang baik-baik yang boleh diajak berbincang. Tangannya sempat mencapai kayu beluti yang tersandar di dinding. Dia bersedia untuk menyerang kalau perlu.

“Kalau aku cerita hal sebenar, sampai mampus pun kau tak nak ikut..Kau ni..nak duit je kan… Kalau nak mengamuk pun, biar kita setel mayat ni dulu…Nanti kalau orang jumpa, kita berdua ke dalam semula..”Ungkap Adnan cuba meredakan keadaan. Matanya masih memandang tepat kepada Rafik.

Rafik melonggarkan pegangan tangannya kepada kayu beluti. Apa yang dicakapkan oleh Adnan ada betulnya. Mereka baru dua bulan keluar dari penjara. Kalau tertangkap kali in,i mungkin mereka berdua selama-lamanya akan merengkok di dalam penjara.

“Kau jangan risau. Orang tua ni banyak duit. Lepas kita tanam mayat ni, kita selongkar bilik tempat dia simpan duit dan barang kemas” Janji Adnan sambil menarik kaki Tok Ngah Alang ke pintu dapur. Kesan darah menjalar disebalik mayat yang ditarik. Kepala yang disembelih tadi terolang oleng mengikut gerak badan.

Rafik hanya berdengus tanda masih belum puas hati. Namun di hanya mendiamkan diri.

“Kau pergi cari cangkul sekejap..Nanti kita sama-sama gali lubang” Arah Adnan sebelum menghilang disebalik kegelapan malam.

Rafik menunduk sambil menyuluh untuk mencari cangkul atau apa sahaja yang boleh digunakan untuk menggali. Lampu suluh yang dibawanya mula menerangi bahagian demi bahagian di bawah rumah Tok Ngah Alang. Semua benda yang terlindung dapat dilihat satu persatu. Ada basikal buruk, tayar lama, kotak-kotak, kawah dan banyak lagi. Mata Rafik liar mencari cangkul yang mungkin ada tersimpan di situ. Dia sendiri sebenarnya tidak pasti samada Tok Ngah Alang ada menyimpan cangkul atau tidak. Tidak lama kemudian, hanya parang berkarat dan besi penggali sahaja yang dirasakannya boleh digunakan.

“Ahak…” Bunyi batuk kedengaran di pangkin hadapan rumah. Rafik tersentak dan terus memadamkan lampu suluhnya. Dia mencari kelibat suara yang kedengaran tadi. Sempat dia menjeling jam di tangannya yang menunjukkan pukul 2.00 pagi.

“Siapa lagi yang datang berubat pagi-pagi macam ni? Kalau ada pun mesti dah dengar bunyi kereta atau motor dari tadi” Fikirnya. Tubuhnya mula merasa seram sejuk.

Kalau diikutkan, Tok Ngah Alang adalah salah seorang bomoh yang terkenal di kampung Buluh Belitong. Banyak orang dari dalam dan luar kampung yang datang untuk berubat atau mengambil azimat. Dia datang ke situ pun pada asalnya disebabkan Adnan yang mengajaknya untuk menemankan dia berubat. Sementara menunggu giliran mereka tadi, dia dan Adnan mengambil syabu yang dibawa didalam kereta untuk menghilangkan rasa bosan. Selepas itu dia langsung tidak ingat apa yang telah berlaku.

Setelah yakin yang tiada kenderaan berada di kawasan rumah. Rafik bergerak kearah suara yang didengarinya tadi.Susuk tubuh seorang lelaki tua berkain pelikat sedang menghisap rokok kelihatan duduk diatas pangkin tersebut. Kakinya satu diletakkan diatas pangkin dan satu lagi dibiarkan berjuntai ke bawah. Asap rokok yang dihembus pun dapat dihidu oleh Rafik.

“Tok Ngah” Jerit Rafik di dalam hati sebaik melihat kelibat tersebut. Belakang tengkuknya mula meremang dan tubuhnya berasa seram sejuk. Peluh jantan mula kelihatan di dahinya.

“Tak mungkin tok Ngah. Tadi Nan dah bawa mayatnya ke belakang”

Dia mencapai parang yang berkarat tadi sebelum perlahan-lahan menghampiri kelibat tersebut. Kesan syabu yang masih tersisa menjadikan dia sedikit berani. Dia takut kalau-kalau hal kematian Tok Ngah Alang diketahui orang, dia pasti akan merengkok di dalam penjara lagi.

“Jangan nak menyorok lagi. Lebih baik kau ke sini” suara garau seakan suara Tok Ngah Alang itu dilontarkan oleh kelibat tersebut. Langsung tidak memandang kearah Rafik.

“Siapa ?” Rafik memberanikan diri bertanya. Suaranya kedengaran dalam dan bergetar.

“Aku…. waris Tok Ngah” Kelibat itu menjawab sambil berdengus. Rafik menggeletar ketakutan namun parang berkarat ditangannya tetap digenggam kemas.

“Walau apa pun kamu..Bukan aku yang bunuh Tok Ngah!!” Jelas Rafik sambil bergerak mendekati pangkin tersebut. Tiupan angin dirasakan semakin kuat dan bunyi anjing kedengaran bersahut-sahutan disebalik hutan. Dahan-dahan dan ranting pokok rambutan yang menaungi pangkin berdesir ditiup angin.

“Itu aku tahu” ucap kelibat tersebut sambil memalingkan kepalanya kearah Rafik. Wajah yang seakan Tok Ngah itu kelihatan pucat dengan bola mata hitamya memenuhi rongga mata. Tiada mata putih langsung kelihatan. Mulutnya berbau rokok dan giginya kekuningan menyeringai senyuman yang menakutkan. Rafik memberanikan diri untuk duduk bersebelahan. Bau yang seakan-akan bangkai membuatkan dia hampir muntah.

“Panggil aku Tok Daik” Lembagai tu memperkenalkan diri. Disebalik cahaya lampu yang suram, Rafik melihat dengan jelas tubuh Tok Daik yang hanya diselaputi kulit dan tulang. Mukanya yang seakan Tok Ngah Alang itu mencengkung kedalam. Urat-urat kelihatan berselerakan membalut tulang-tulangnya. Nafasnya pula terhenti-henti dengan bau yang sangat busuk.

“Aku nampak tadi kawan kamu yang tikam dan sembelih Tok Ngah” Lembaga itu bersuara.

“Kenyang aku dan kawan-kawan aku malam ni. Dah lama Tok Ngah tak jamu kami”

Rafik mula mengesyaki yang dihadapannya itu bukannya manusia.Dia cuba untuk beredar namun kakinya seakan terpaku pada tanah. Tangannya juga kejang untuk digerakkan ke kiri dan ke kanan.

“Apa yang kamu mahu Tok Daik?” Rafik memberanikan diri bertanya.

“Aku…… nakkan waris Tok Ngah!!!” Tok Daik menjawab dengan nada yang sedikit keras.

“Siapa waris Tok Ngah?” Soal Rafik balik.

“ha..ha..ha…” Tiba-tiba, suara ketawa parau Tok Daik menggerunkan Rafik. Matanya yang kehitaman merenung tepat kepadanya. Ngeri dia melihat soket anak mata yang bergerak-gerak seolah akan jatuh dan muka cengkung yang menampakkan bentuk tengkorak kepala. Misai dan janggut Tok Daik memutih dan menutupi sebahagian dari mulut.

“Aku mahukan orang tanpa keturunan macam Tok Ngah. Tak ada anak. Tak ada bini…Cuma….Akuuuu..” Ulas lembaga yang bernama Tok Daik. Kali ini dia bangun membongkok mengelilingi Rafik. Rokok ditangannya masih bernyala meskipun ditiup angin. Sesekali dia akan batuk-batuk sebelum menghembuskan asap tanda kepuasan.

Rafik yang tadinya hampir terkencing pada mulanya, kini sedikit tenang. Kelibat yang tidak diketahui asal usulnya itu dirasakan tidak mengancam nyawanya. Parang yang dipegangnya pun diletakkan sahaja diatas pangkin.

“Yang kau maksudkan sekarang … Akulah waris yang kau mahu..”

Tok Daik hanya mengangguk. Senyum yang tadinya menakutkan, kini memberikan tanda yang dia sukakan Rafik.

“Apa yang aku dapat kalau aku menjadi waris Tok Ngah” Rafik mulai tawar menawar.

“Kau akan dapat segala-galanya yang Tok Ngah ada. Harta dan ilmunya …. DAN kau boleh buat apa sahaja yang kau suka …. Dengan syarat”

“Apa syaratnya?”

“Jangan ada sekelumit pun….. syahadah dalam hati kau….. sampai mati..”

Rafik terdiam seketika. Sudah lama sebenarnya dia tidak menyebut kalimah itu. Namun jauh di dalam hatinya, dia masih mengakui Allah taala itu wujud. Di penjara pun dia selalu sembahyang berjamaah dengan penghuni yang lain.

“Cuma Aku..pendamping kau…dunia dan akhirat”

Rafik hanya mampu membatu. Rasa selesanya direngut tiba-tiba sebaik dia teringatkan perkataan “Allah”. Nafasnya terasa tersekat-sekat. Seolah-olah sepasang tangan yang tak kelihatan sedang mencekik pangkal lehernya perlahan-lahan. Dia langsung tidak mampu untuk mengingati mana-mana ayat Al-Quran yang pernah dibacanya. Lidahnya menjadi kelu secaratiba-tiba.

Tok Daik yang tadinya berlegar-legar di situ tiba-tiba ghaib. Ia diikuti dengan ribut yang datangnya entah dari mana. Semakin lama semakin kuat. Diikuti pula dengan bunyi guruh yang sabung menyabung.

Rafik hanya mampu berteleku ketakutan. Tubuhnya yang terbaring diatas pangkin dibasahi hujan yang turun dengan tiba tiba. Ribut petir pula sabung menyabung. Perlahan-lahan dia merengkutkan tubuhnya dan memeluk kedua-dua kakinya. Dia memejamkan mata dalam kesejukan dan ketakutan beberapa ketika.

“Kau hebat dari segalanya” ungkapan tersebut terpancul dari mulutnya sebaik dirasakan nyawanya betul-betul berada diatas ubun-ubun. Lenyap terus sisa-sisa syahadah yang cuba dipertahankannya tadi. Nyata sekali ugutan syaitan itu mampu merobek akidahnya dengan mudah.

“Aku akan taat padamu” janji Rafik sebaik merasa hujan ribut yang datang mulai reda. Dia sudah boleh bangun dan duduk seperti sediakala. Cengkaman dilehernya mulai lolos dan menghilang. Matanya meliar mencari Kelibat Tok Daik di sekitar kawasan itu. Dia kemudiannya menyapu sisa-sisa air hujan dan dedaun rambutan yang bersisa di baju dan seluarnya.

“Seru sahaja nama AKU…. Aku akan membantumu …” Rafik mendengar satu suara dari atas pohon rambutan. Hanya sepasang mata yang besar berwarna kemerahan kelihatan nun diatas sana. Rafik menelan air liur beberapa kali apabila cuba menghitung ketinggian makhluk yang menjadi pendampingnya kini. Ada gegaran kecil pada tanah dan bunyi nafas merengus di sebalik ribut yang menggila tadi.

“Bunuh Adnan..” satu suara lain pula yang berbisik ditelinganya. Terlalu dekat sehingga dia dapat merasakan satu hembusan nafas dilehernya. Dia sendiri ragu-ragu akan arah suara itu. Suaranya itu kemudiannya terus terngiang-ngiang di dalam fikirannya.

Rafik segera mencapai parang berkarat yang diletakkannya tadi.

“Kau ke mana ha?” Jerkah Adnan sebaik melihat suluhan lampu kearahnya. Dia bernafas keletihan kerana mengusung mayat Tok Ngah Alang hingga sampai ke pinggir hutan.

“Mana cangkulnya? Kita nak tanam mayat Tok Ngah ni kat sini !!”Tanya Adnan lagi.

Rafik hanya membatukan diri buat seketika. Tubuhnya masih kesejukan setelah dibasahi hujan sebentar tadi. Perlahan-lahan dia menurunkan tangannya yang menyuluh ke arah Adnan tadi. Tangan kirinya menggenggam kemas parang yang berkarat.

“Kau ni kenapa? Dah bisu ke? Aku tanya ni. Jawab la” Adnan mula tidak berpuas hati.

“Rumah Tok Ngah ni tak ada cangkul” Ringkas sahaja jawapan Rafik.

“Habis tu, Tak reti-reti nak nak cari pengorek yang lain. Kalau tak kau sendiri la yang korek pakai tangan” Marah Adnan lagi. Kali ini dia berdiri tegak. Seolah-olah bersedia untuk berlawan sekali lagi.

“Kau memang sial punya kawan. Aku bawa kau untuk tolong aku. Bukannya menyusahkan aku” bebelnya lagi.

Rafik menyeringai senyuman yang menakutkan. Antara nampak dengan tidak disebalik kegelapan malam. Tangannya kini bersedia untuk merodok parang.

“Mampus kau celaka!!” suara Rafik kedengaran dengan diikuti oleh jeritan Adnan kesakitan. Parang yang dihunus Rafik melekat diperut Adnan yang kemudiannya jatuh terbaring. Dia menjerit kesakitan sambil memaki-maki rakannya itu.

Rafik kembali tersenyum. Belum sempat di berbuat apa-apa, sepotong kayu beluti menghentam kepalanya. Kepalanya terasa berpinar pinar sebelum disusuli dengan satu tumbukan menjengah diperutnya. Keparat ni belum mati!!!!

Adnan berdiri dengan lagak pahlawan. Dia memang seorang pesilat yang berkebolehan. Parang yang terlekat diperutnya dibiarkan bersama dengan lelehan darah yang semakin deras. Dia menggunakan sisa-sisa tenaganya mengampu isi perutnya yang mahu terburai. Tindakannya melawan Rafik tadi menyebabkan tubuhnya semakin lemah. Dia tahu dirinya akan tewas. Cuma dia mahu Rafik turut menderita. Kayu ditangannya digenggam kemas.

“Sudahlah. Aku malas bermain darah” Rafik tiba-tiba mengalah. Namun mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.

Adnan mula merasakan sesuatu sedang memandangnya. Kedua-dua kakinya kini terpaku pada tanah dan tidak boleh digerakkan. Tangannya segera melepaskan kayu beluti yang dipegang untuk menutup belahan parang diperutnya dengan kedua-dua tangan. Ada lidah-lidah ghaib yang dirasakan sedang menjilat darahnya yang mengalir. Semakin lama semakin banyak.

“Apa yang kau buat ni?” Adnan terduduk sebaik merasa ada benda yang memanjat tubuhnya dari belakang. Kesakitan yang dialaminya tidak terperi. Kaki-kaki ghaib yang berkuku tajam melingkari tubuhnya sambil menjilat titisan-titisan darah yang ada. Muka Mayat Tok Ngah Alang yang tadinya disepak, seolah-olah menguntum senyuman mengejeknya. Dia mula dibayangi ketakutan.

Rafik hanya memerhatikan belaan-belaan barunya menjamu selera. Dia sendiri beasa terhibur melihat Adnan mengeliat kesakitan sebaik tali perutnya terburai jatuh. Suara jeritannya tersekat-sekat seolah –olah dicekik di bahagian leher. Lama kelamaan gerakkan semakin lemah dan dia menggelepar seketika sebelum ajalnya menjemput.

Rafik tersenyum puas.

“Mana Tok Ngah ?” Soal Ajis sambil menjinjing bungkusan beras dan seplastik makanan. Matanya meliar mencari orang tua tersebut.

“Tok Ngah balik kampung malam tadi. Anaknya yang jemput” Jawab Rafik yang tiba-tiba muncul dari belakang. Tubuhnya berbau hamis tetapi bajunya dan seluarnya sudah bertukar.

“Siapa pula ni?” Soal Ajis lagi sebaik menyambut salam Rafik.

“Panggil aku Rafik. Anak murid sulung Tok Ngah”

“Orang tua ni memang payah nak bercerita. Tiba-tiba je hilang macam tu jer. Dah tu macam mana dengan pesakit yang aku bawa tu?” soal Ajis sambil menunjuk kearah keretanya.

“Bawak barang-barang ni masuk ke rumah dulu. Kejap lagi ajak orang sakit tu naik ke rumah. Bagi aku pula yang berubat” ujar Rafik sejurus mencapai guni beras yang dijinjing Ajis.

“Hmm.. lekas sikit. Budak perempuan tu dah tak tahan dengan bisa-bisa santau yang dia kena” sahut Ajis sambil berjalan masuk ke rumah.

Rafik hanya mengangguk membontoti Ajis masuk ke dalam rumah.

Rafik tersenyum sambil membuka tempayan berisi beras. Sebaik terbuka penutupnya, dua kepala manusia yang dikenalinya terbungkam didalam timbunan beras. Darah yang masih bersisa membasahi butiran beras sekelilingnya. Kepala Adnan dan Tok Ngah Alang diletakkan merapat di bahagian tengah tempayan sebelum perlahan-lahan hilang ditutupi beras baru yang dicurah Rafik.

Dia bergegas ke ruang tamu sebaik mendengar jeritan pesakit pertamanya!!!!!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.