Home Cerpen Keluarga Aku, Mama dan Dolares
Aku, Mama dan Dolares
Zhar Aruzi Hairi
14/9/2016 15:43:07
3,491
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Aku, Mama dan Dolares


Oleh : Zhar Aruzi Hairi


Malam aku tenang dengan mendengar alunan surah Al-Baqarah dari Mama. Bunyi televisyen diperlahankan sehingga kedengaran seolah berbisik sahaja. Aku mahu menonton berita, sambil menikmati bait-bait indah ayat Al-Quran yang dibacakan. Mungkin sekadar ini sahaja iman aku sekarang ini.

Mama memang pandai membaca Al-Quran dengan taranum dan tajwid yang betul. Sampai sekarang dia masih menegur sekiranya terdengar bacaan sumbang aku, waima selepas aku mengimamkan solat berjamaah kami.

Sekarang hanya tinggal aku dan Mama. Aku anak lelaki tunggal dan ayah meninggalkan kami dua tahun yang lepas. Kakak-kakakku semuanya berhijrah ke luar negara. Mama mulai tinggal berseorangan selepas itu.

Aku pula bekerja di bandar. Rumah yang aku beli pun berdekatan dengan tempat kerja. Setelah puas memujuk, barulah Mama bersetuju untuk tinggal dengan aku. Sebelum ini, memang Mama berkeras untuk tinggal di rumah pusaka tinggalan ayah. Setelah sakit-sakit dan sering berulang -alik ke klinik, dia mengalah. Mungkin berasa kasihan melihat aku yang acapkali mengambil cuti untuk menemaninya mendapatkan rawatan.

Cuma sekarang ini aku mulai risau kerana Mamalah yang menguruskan makan minum aku di rumah. Bukan aku tidak biasa memasak atau makan di luar, Cuma Mama yang bertegas untuk menguruskan rumah seperti sebelum ini.



“Nik, Bila nak kahwin ni?. Kamu tu bukannya makin muda.” Soalan Mama yang membantutkan sedikit selera aku malam ini.

“Nik kan dah ada Mama. Cukuplah. Lagipun Mamalah tiket Nik ke syurga nanti” Hujah aku untuk menegakkan hakikat.

“Tak sama Sayang. Bukan itu sahaja amanah Allah pada kamu. Banyak lagi. Jangan kamu beri alasan yang macam tu” Bentak Mama. Aku terdiam seketika.

“Tak ada calon yang sesuai Mama. Mama tau je la orang sekarang ni macammana?”Aku cuba berkalih lagi.

“Cuba kamu cermin diri kamu tu baik-baik. Kamu pun bukannya sempurna sangat. Kadang-kadang Mama tengok Lemah lembut macam perempuan. Tapi tak la sampai jadi macam sotong” Mama tertawa.

“Sampai hati Mama hina anak Mama ni. Dah perangai Nik macam ni, nak buat macam mana. Misai dan janggut ni tak nampak jantan sangat ke Ma?” Aku panas dengan kenyataan Mama. Dia masih ketawa.

“Anak Mama, Mama tahulah. Kamu jadi macam ni pun pengaruh kakak-kakak kamu la. Layan kamu macam budak perempuan.Arwah pun dah penat nak ubah kamu” Ulas Mama lagi.

“Nik nak cari orang gaji untuk jaga Mama” Aku mengubah topik. Kalau lama-lama bercerita hal kahwin ni, mau meroyan aku nanti.

“Nak buat apa orang gaji! Mama kan ada untuk uruskan makan minum kamu”

“Tapi Mama tu tak berapa sihat. Nanti kalau buat kerja-kerja rumah sorang-sorang, tiba-tiba jatuh sakit pulak. Kak Nah dan Kak Nani nanti salahkan orang pulak” Bantah Aku.

“Terpulang pada kamu la. Cari la yang perangai elok sikit. Macam-macam hal yang Mama dengar pasal orang gaji ni.”

“Tu la. Nanti orang tanyakan pada Zaher, kawan orang yang ada agensi pembantu rumah tu. Kot-kot dia ada calon yang sesuai”



Petang itu, aku mengatur pertemuan dengan Zaher. Memang lama kami tidak berjumpa. Masing-masing ada komitmen sendiri. Dia sibuk menguruskan agensi pembantu rumah disamping menguruskan restoran milik ibunya.

“Lama tak jumpa Nik. Dapat jugak kau cari aku.” Ucap Zaher sebaik kami bersalaman.

“Nombor lama kau aku msih simpan la. Kalau tak bersebab, memang payah la kita nak berjumpa.” Balas Aku.

“Kau nak pakai orang gaji ke? Tapi…Aku tak boleh nak rekemankan orang gaji pada orang bujang. Salah tu” Pintas Zaher sebaik aku membuka mulut. Aku sendiri dapat membaca tanggapannya.

“Bukan untuk jaga aku. Untuk tolong Mama aku. Dia dah tinggal dengan aku” Aku berterus terang.

“Kau dah kahwin ke belum?" Soalan yang lain pula muncul.

Aku menggeleng dan Zaher tersenyum.

“Aku dah agak dah. Kau dah ada calon?” Kali ini dia bertanya perlahan.

“Kau ni ejen pembantu rumah ke ejen mencari jodoh?” Aku memintas.

“Dua-dua pun boleh. Aku sebenarnya nak carikan jodoh untuk adik perempuan aku. Dah sampai tahap andalusia dah pun dia tu”

“Kita settle bab pembantu rumah ni dulu, Ok” Aku cuba mengelak.

Pelayan kedai tiba membawa minuman yang kami pesan tadi. Aku mencicip jus oren bagi membasah tekak.

“Kalau kau nak Indon yang bagus, yang terlatih dari agensi. Aku tak ada calon sekarang. Mungkin dua bulan lagi baru ada yang diaorang akan hantar. Itu pun dah ada orang booking. Kalau sekarang ni, aku cuma ada seorang budak Philipine. Baru seminggu sampai dan sekarang ini orang rumah aku yang train dia jadi orang gaji”

“Orang gaji Philipine. Kau biar betul. Boleh ke dia cakap melayu. Masak masakan melayu. Nanti masaalah pulak” Omel aku. Yang nak tolong Mama aku mestilah orang yang senang nak berkomunikasi.

“ Dia boleh cakap bahasa inggeris dan melayu. Cuma bahasa melayu dia kurang sikit. Kadang-kadang dia akan cakap campur-campur. Bab masakan kau jangan risau. Banyak dah yang orang rumah aku ajar. Insha Allah dia boleh buat. Cuma satu jer…”

“Cuma apa pulak..?”

“Cuma dia bukan Islam. ”

“Ish kau ni pun. Dah tahu bukan islam, kenapa nak rekomen kat aku. Sah-sah nanti mak aku tak setuju”

“Itu sahaja calon yang available sekarang. Aku cuma bagi cadangan. Budak tu pun pun tak kisah nak kerja rumah siapa pun?”

Aku menggaru kepala dan mencapai telefon bimbit. Nombor Mama aku dail.

“Ok. Mama aku tak kisah sangat. Asalkan rajin dan boleh buat kerja. Aku cadang nak ambik dia buat percubaan seminggu dulu. Lepas tu aku baru decide.Boleh” Aku memberikan kata putus sebaik menghabiskan perbualan dengan Mama.

“ Boleh je bro. Kau tengok dulu macammana dia kerja. Kalau kau dah ok, baru aku buat paperwork yang patut”

Aku mengangguk bersetuju.



Sebuah kenderaan pacuan empat roda diberhentikan di hadapan rumah aku. Seorang gadis bertocang dan berskirt labuh turun sambil menjinjing beg pakaian. Zaher pula menurunkan beg yang lebih besar. Aku menyambut dari muka pintu.

“Ini Dolares. Kami panggil Dolly jer” Zaher memperkenalkan gadis yang berkulit kuning langsat itu. Matanya sedikit sepet dengan senyuman yang menawan.

“Mama, pembantu Mama dah sampai” Aku menjerit ke arah rumah.

Aku membiarkan Mama yang menguruskan kedatangan Dolares. Bilik yang berhampiran dapur dijadikan biliknya. Mudah untuk dia ke dapur nanti.Apa-apa yang berkaitan dengan tugasan harian juga diterangkan olah Mama.

Aku terus ke bilik sebaik mereka berdua beredar. Aku berharap sangat Mama dapat menerima pembantu rumah itu. Kuranglah sedikit beban aku untuk menemankan Mama. Kalau ada tugasan outstation pun aku dah boleh terima dengan hari yang senang.

Setelah beberapa minggu bekerja, Dolares serasi dengan Mama. Macam ibu dengan anak sahaja lagak mereka. Kadang-kadang aku yang menjadi mangsa leteran mereka berdua.Yang pentingnya, Dolares pandai mengambil hati Mama. Kerap juga aku melihat di mengurut bahu Mama sambil bercerita. Entah Mama faham atau tidak, Aku pun tak pasti.



“Tuan buat apa?” Tegur Dolares, melihatkan aku menggembur tanah di pangkal pohon bunga kertas.

“Gembur tanah” Aku malas melayan sebenarnya. Kerja yang aku buat ini pun sebenarnya mahu mengeluarkan peluh sahaja.

“Gembur tu apa?” Dia masih menyoal. Aku memberikan isyarat supaya dia melihat aksi aku dengan penggembur di tangan. Dia tersenyum meminta mahu mencuba pula.

“Tak payah tolong di sini. Tolong Mama di dapur sahaja sudah cukup” Aku memerintah.

“Kerja di dapur semua sudah selesai tuan. Mama pun sudah tidur.” Katanya sambil duduk di bangku berhampiran melihat aku bekerja. Memang dia membahasakan diri aku “Tuan”, walaupun aku sendiri tidak suka.

“Kenapa Tuan belum kahwin?” menyiarap darah aku yang keletihan ini mendengar soalan itu. Tanganku terhenti dari bergerak. Aku berpaling dengan wajah menyinga.

“Pertama kali saya melihat tuan marah. Comel” Kata-katanya yang menyebabkan aku serba salah. Aku sendiri tersenyum apabila mendengar tawa Dolares.

“Tuan suka lelaki ka atau tuan memang tidak punyai keinginan kepada perempuan” Sekali lagi soalan tajam dari Dolares menghiris telinga aku. Kali ini aku buat-buat tidak dengar. Semakin kuat dia ketawa.

“Kahwin aja dengan aku tuan. Kita mungkin punyai anak kacukan. Pan Asia” Katanya lagi dengan ketawa yang semakin memanjang. Aku pun turut tertawa.

“Aku ke dapur dulu ambil minuman. Tuan pasti dahaga” Katanya sebelum masuk ke dapur.



“Dolares tu macam mana Mama?” Aku bertanya kepada Mama. Hari ini aku membawa Mama ke pasar.

“Dia baik sahaja. Bagus budaknya. Cuma cemerkap sikit dan suka ketawa” Luah Mama.

“Mama tak kisah ke dia jadi pembantu Mama?”

“Mama tak kisah pun. Dia pun Mama anggap macam anak Mama. Cepat dia belajar tau”

“Walaupun dia tak seagama dengan kita?” aku cuba bertingkah.

“Kau pun tak ada pilihan lain, kan. Lagipun dia tak pun membuat perkara yang bertentangan dengan agama kita. Kalau dia ke Gereja pun, dia akan beritahu Mama.” Terang Mama.

“Hmmm..Kalau Mama ok. Nik pun senang hati”

“Senang hati tak apa. Jangan kamu ambil kesempatan sudah. Dia tu memang peramah orangnya” Pesan Mama.

Aku hanya mengangguk.



Aku mencapai cangkul sebelum ke belakang rumah. Ada rumput dan tanah yang ingin aku ratakan. Dolares tiba-tiba mengikut dari belakang dengan sebotol minuman di tangan.

“Boleh saya tolong tuan?” Pinta dia sambil berjalan mengekoriku.

“Bukan kerja perempuan ni. Kamu duduk di dalam rumah sahaja. Sikit jer aku nak cangkul” Aku berkeras menyuruh dia masuk ke rumah.

“saya bosan Tuan. Mama pun masih menonton TV. Saya pun boleh menyangkul”

“Kamu memang degil ya”

“Semua orang termasuk Mama pun cakap macam tu. Saya mengaku saya degil, tapi saya tak menyusahkan orang kan.” Kata-katanya kadangkala mengalahkan ego aku.

“Sekurang-kurangnya tuan berteman. Dan bagus sebab saya yang comel ini menjadi teman berkebun tuan” Mulutnya becok bercerita.

Aku mengalah dan dia menunggu aku sambil bercerita perihal keluarganya.

“Kenapa kamu ke sini? Jadi pembantu rumah” Aku pula yang menyoal.

“Sebetulnya, Aku mahu mencari Mama aku di negara ini. Sudah lama dia meninggalkan aku bersama nenek”

“Kenapa kamu tak pergi ke kedutaan sahaja?”

“Sudah. Banyak kali. Tapi tak dapat dicari jugak. Kata nenek, Mama aku sudah menukar nama dan menjadi muslim.”

“Oh. Kamu tahu namanya?”

“entahlah. Tapi aku sering mencari-cari namanya di facebook”

“Berapa lama kamu mahu mencari dia?”

“Seberapa lama yang aku mampu. Apa pun, nanti aku perlu pulang dan ceritakan semuanya pada nenek”

“Kenapa Mama kamu meninggalkan kamu?” Kali ini dia memandang lama kearahku sebelum menjawab.

“Hmmm.. Pelik sebenar kisah aku tuan. Mama serahkan aku kepada nenek sebagai pengganti dirinya. Selepas Mama menjadi muslim, mereka saling berbalahan. Nenek mahu Mama setia dengan agama asal, tapi Mama sayangkan suami dan anak-anaknya. Nenek yang syaratkan supaya aku dijadikan ganti.”

“Mama kamu setuju”

“Mulanya Mama tidak setuju. Dia mahu membayarkan wang kepada nenek. Tapi nenek tidak mahu. Kalau Mama tidak menyerahkan aku, dia tidak dibenarkan pulang ke Malaysia. Akhirnya Mama terpaksa lepaskan aku.”

“Kamu berapa beradik sebenarnya?”

“Sekarang, entahlah.Masa diserahkan dulu, aku punyai tiga orang adik.” Kata Dolares dengan senyum tawar. Matanya mulai berkaca.

“Kamu lari dari nenek kamu ya.” Aku mengagak.

“Tidaklah. Nenek yang menyuruh aku ke sini. Dia sudah tua dan sangat-sangat rindukan Mama. Apa yang berlaku dahulu pun dia sudah lupakan”

“Macammana kamu boleh bercakap Melayu? Bagus sekali kamu bertutur” Aku cuba menyuarakan kemusykilan yang selama ini aku pendam.

“Aku mengambil bahasa Melayu sebagai pengajian tambahan semasa di Universiti dulu”

“Haah… kamu punyai degree. Kenapa bekerja sebagai pembantu rumah sahaja” Dolares tersenyum.

“Ya. Aku sepatutnya menguruskan satu department di company milik keluarga. Tapi aku tolak. Sebab aku mahu mencari Mama dahulu. Jadi orang gaji di sini buat aku lebih fleksible. Senang nak ke mana-mana. Lagipun tak perlu terikat lama-lama”

“Jadi, Dolares nak berhenti bekerja di sini la?”

“Belum Tuan. Saya ada banyak benda yang nak belajar dari Mama tuan”

“Apa benda yang kamu dah paling suka belajar dengan Mama?”

“Hmmm….Saya dah boleh mengucap tuan. Asha…………………………………..” Dolares menghabiskan bacaanya dengan sempurna. Aku sendiri terkedu mendengar.

“Kamu nak jadi muslim?” Dia mengangguk.

“Kenapa?” Aku teruja untuk bertanya.

“Sebab saya suka melihat Mama Tuan sebagai seorang Islam. Dan saya sudah faham mengapa Mama saya sanggup menyerahkan saya pada nenek demi Islam” Aku terpana dengan penjelasan Dolares. Dan timbul rasa kagum pada Mama yang boleh berdakwah dalam diam.

“Kamu bagi gambar Mama kamu dan semua perkara yang kamu tahu pasal dia. Nanti Aku uruskan dengan Kastam dan Perkim” Aku memberi kata putus.

Dolares hanya mengangguk. Ada harapan yang menggunung dalam hatinya.



“Kamu suka Dolares Nik” Mama bertanyakan aku sebaik menjamah goring pisang. Aku terhenti mencicip kopi panas.

“Kenapa Mama bertanya?”

“Mama nak jodohkan kamu dengan dia” terus terang sahaja Mama menyuarakan isi hatinya. Aku terdiam seketika.

“Kenapa Mama tiba-tiba nak buat keputusan macam ni?” Aku cuba mempertikai.

“Sebab kamu berdua memang sudah jatuh cinta kan” Mama cuba memancing pengakuan aku.

“Tak adalah Ma. Saya kan majikan dia. Kenalah banyak berkomunikasi denga Dolly. Biasa la tu”

“Jangan nak tipu Mama, Nik.Akhir-akhir ni kamu berdua dah semacam. Kalau balik rumah tu, dia dulu yang kamu cari. Dia pun sama, selalu tengok jam tunggu kamu balik. Awal-awal lagi dah bancuhkan kopi kegemaran kamu. Sekarang ni kalau berbual tu, boleh gelak-gelak sampai jauh malam.”

“Mama ni, ada-ada aje la”

“Mama pun sukakan dia. Walaupun tak sesempurna mana, dia boleh serasi dengan kamu. Mama yakin dia boleh aturkan hidup kamu. Sayangkan kamu. Dan yang penting sekali, kamu boleh bimbing dia jadi muslimah yang baik. Mama memang tak mampu nak jaga kamu selama-lamanya.”

Aku merenung mata Mama. Jelas harapan yang terpampang pada wajahnya. Mama memang sayangkan Dolares. Sama seperti aku.



“Dolly, Ada berita gembira untuk kamu” aku menjerit sambil berlari ke dapur .

“Ada apa Nik, terjerit-jerit sampai ke dapur” Bebel Mama. Dolares turut berlari mendapatkan aku. Aku menyerahkan kepadanya envelope kuning yang diusung tadi.

“Buka sekarang” pintaku.

“Ya Allah.” Jerit Dolares sebaik membaca kandungan surat yang diterimanya. Aku serba salah bila dia memeluk aku dihadapan Mama. Bila Mama berdehem, cepat-cepat dia melepaskan tangannya.

“Terima kasih tuan. Aku dah jumpa Mama. Nanti aku akan telefon dia” Ucap Dolares dengan linangan air mata. Mama turut tersenyum dengan mata berkaca.



“Hebat Mama kamu. Sekarang dah jadi datin” Aku memuji Mama Dolares, sebaik kami duduk di pankin untuk berbual seperti selalu. “Nampaknya Aku kena cari pembantu rumah yang baru”

Dolares hanya diam.

“ Nama mana yang Tuan suka. Fatehah ke Aisyah?” Dolares mengubah topik.

“ Saya suka nama apa pun,janji Dolly suka”

“suka huruf “A” ke “F”” Dolares mengubah corak soalan.

“ A” aku menjawab pantas. Kalau tidak berjawab nanti, soalan akan berlarutan.

Then, Aku kenalkan diri. Nama saya sekarang Aisyah Dolares Mario” Katanya sambil tersenyum. “Esok saya akan mendaftar diri secara rasmi sebagai seorang muslim. Mama akan bawa aku ke sana nanti.”

“Kamu akan tinggal di rumah Mama kamu ke?” Dia mengangguk.

“Ya. Mama nak ajar aku macam mana mahu jadi muslim.Dia nak tebus salah lampaunya”

“So. Ini malam terakhir kita berbual di sini.” Aku memberikan kenyataan.

Mata Dolares berkaca. Dan titisan jernih meluncur dari tubir matanya.

“Hmmm..” Itu sahaja yang mampu diungkapkannya.

Aku pula merenung jauh.



“Betul ke rumah ni Mak?” Aku merenung rumah yang tersergam di hadapan. Tangan aku membunyikan loceng.

Mama disambut seorang perempuan separuh baya. Mereka bersalaman dan kelihatan begitu mesra.

" Ni Nik kan?" Tanya Datin Mariah, Mama Dolares sebaik memandang aku. "Terima kasih banyak-banyak sebab tolong anak makcik"

"Sama-sama Makcik. Dah tanggungjawab saya" aku berbahasa. Mata aku melilau mencari seseorang yang aku rindu sangat- sangat.

" Aisyah dekat kolam belakang. Kamu pergilah ke sana" Datin Mariah seolah-olah dapat membaca fikiran aku.



Dari jauh kelihatan susuk tubuh yang aku kenal sedang menghadap sebuah muqaddam. Butir-butir bacaan nahu al-Quran yang diulang-ulang baca kedengaran perlahan.

“Assalamualaikum Aisyah” Suara aku menghentikan bacaannya.

“Waalaikumsalam” Jawabnya dengan nada sebak. Matanya hampir berkaca.

“Buat apa tuan di sini?” Soalnya. Dia berdiri sambil memeluk muqaddam yang dibacanya tadi.

Kalau diikutkan hati mahu sahaja aku memeluk gadis di hadapan aku ini. Jarak dan tatasusila membataskan kami. Baru dua minggu sahaja dia meninggalkan kami, aku sudah terlalu rindu padanya. Rindukan celoteh dan leterannya.

Dia merenung aku dengan mata yang berkaca. Perlahan-lahan terlontak esak tangis yang ditahan-tahan.

“Aisyah rindukan tuan” Ucapnya tanpa berselindung. Sudah membahasakan dirinya dengan nama baharu. Esaknya mulai memanjang.

Mahu sahaja aku membelai rambutnya sambil memujuk dia supaya tenang. Dan mengucup dahinya tanda aku pun sangat menyayanginya. Tapi semua itu hanya khayalan aku buat seketika. Yang nyata kami hanya berdiri bertentangan tanpa berkata apa-apa.

“Nik, Aisyah, masuk minum dulu” suara Datin Mariam memecahkan kesunyian kami. Dolares bergerak meninggalkan aku. Mungkin kecewa kerana aku gagal mengucapkan apa-apa.



“Mama sihat?” ujar Dolares sebaik memeluk Mama. Air matanya masih mencurah. Mama mengangguk sambil mendakap erat.

“Kamu nakal tak di sini?” soal Mama sambit mengesat air mata Dolares dengan tisu. Dia tersenyum dengan soalan Mama.

“Dengan adik-adik tak boleh nakal Ma. Kena tegas” Katanya sembil memandang kearah Datin Mariam.

“Mama dan Nik rindukan kamu. Sampai sekarang pun belum ada pengganti kamu di rumah” Cerita Mama. Datin Mariam hanya memerhati.

“Seronok tinggal dengan Mama kamu sekarang?”

“Seronok Ma. Keluarga Aisyah dah lengkap sekarang. Cuma…”

“Cuma apa lagi?” Datin Mariam pula menyampuk.

“Cuma hati Aisyah belum lengkap lagi Ma” Kali ini Dolares bertingkah sambil mengerling kearahku. Aku kaget apabila Mama dan Datin Mariah turut menoleh.

“Kamu sudah jatuh hati dengan Nik?” Datin Mariam melengkapkan soalan tadi. Dolares hanya diam. Tanda mengiyakan soalan tadi. Aku pula yang menjadi serba salah.

“Nik pun sama Datin. Cuma ego untuk mengaku sahaja. Dah berapa lama dia tak berselera makan. Selalu duduk sorang-sorang melayan perasaan. Gambar Aisyah pun dah jadi wallpaper handset dia” Cerita Mama sambil memandang kearahku. Aku semakin gelabah.

“Kalau dah suka sama suka, senang kerja kita” Datin Mariam pula menyambung.



Kini Dolares merenung tepat pada mata aku. Wajah sedihnya kini terselit senyuman nakal. Dia bangun dan berdiri diantara Mama aku dan Datin Mariam.

“Tuan sayangkan Aisyah ke tidak” Soalnya. Ada nada nakal dalam senyumannya. Aku sendiri menjadi sangat malu. Lidahku pun menjadi kelu dari berkata-kata.

“Payah sangat ke nak mengaku?” Mama sempat memerli.

Aku segera mencapai gelas dan menghabiskan jus oren yang disediakan, dengan sekali tegukan sahaja. Dolares, Mama dan Datin Mariam mulai ketawa.

“Teruk betul perangai bakal menantu aku ni?” Ulas Datin Mariam sambil ketawa. Mama dan Dolares pun sama sahaja.

Aku sendiri mati akal. Tangan aku mencapai handphone dan segera menaip.


Handphone Dolares berdering menandakan mesej yang aku hantar telah sampai. Dia membacanya sebelum terduduk di kerusi dengan mata yang kembali berkaca. Lantas dia tersenyum dan kami bertenangan mata.



"Sayangku Aisyah, Maaf sebab Nik tak seberani Aisyah untuk mengakui perasaan sendiri. Lidah ini tidak mampu sejujur perasaan dalam hati ini.

Nik syukur sangat sebab Aisyah dah suarakan rasa hati tadi. Kalau tidak ada Mama dan datin, mungkin Nik dah peluk cium Aisyah tadi. Hu.hu..

Janji Nik pada Aisyah sekarang. Nik akan datang lagi untuk bawa pulang Aisyah ke rumah, dalam masa terdekat ini. Bukan sebagai orang gaji, tapi sebagai suri hati ini. Dan Nik juga janji untuk bimbing Aisyah jadi muslim sejati. Insha Allah.

Iniibig Kita ( I Love you dalam bahasa tagalong )

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.