Home Cerpen Cinta Puisi Untuk Bulan
Puisi Untuk Bulan
Zhar Aruzi Hairi
29/11/2016 15:54:30
2,803
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Aku

Melolong pada langit

Meminta turunnya hujan

Supaya dia bernyanyi


Pagi ini,

Semuanya sunyi

Dan aku hayati

Degup jantung sendiri.


Biar berkaca

Walau tanpa sinarnya

Melihat tanpa mata

Hati ini goyang lagi..


Hadi menutup buku catatannya. Pena yang dipegang tadi masih dijari. Dihalakan bahagian yang bertudung ke bibir dan digigit lembut..

"Alhamdullillah, walau hanya tiga bait yang mampu terungkap pagi ini" hatinya terdetik bersekali senyuman. Hasil bermenung selama satu jam dengan merenung jam di dinding. Dituliskan tajuk di bahagian atas : Gundah

Tangannya mencapai handphone dan menaip pada aplikasi whatapps.

"Otw balik tapau aku nasi lemak tepi bus stop. Teringin"

Selang beberapa saat handphonenya bergegar dengan bunyi muzik.

"Ok. Kau blaje. Hujung bulan. Poket koyak" Dia faham sangat jawapan dengan singkatan perkataan itu.

"Ok. Aku redho. Nasi lebih tau..Balik nanti ambik duit" Dia membalas dengan perkataan singkat sambil tersenyum.

Handphonenya berbunyi dengan emotikon tanda bagus di skrin.

Tangan Hadi mencengkam bulatan tengah di tayar kerusi rodanya. Dipusingkan haluan kerusi rodanya ke dapur. Berkeriut bunyi kerusi rodanya bergerak melintasi ruang tamu rumah.

Dia terlihat tubuh lelaki yang terbungkam di sofa ruang tamu.

“Ya, Allah.. Kutu embun ni tak balik rumah malam tadi rupanya” fikirnya. Dia mencapai handphone dan menaip semula.

Nasi tambah lagi satu. Mirul tido sini” taipnya.

Tangannya menggoyang roda hingga ke dapur.



“Ada yang baru. Aku nak letak kat meja dia pagi esok” Damian bersuara. Hadi hanya tersenyum.

“Kau ni. Penat-penat cari idea, lepas tu tulis. Pastu bagi free jerk at mamat buta seni ni. Awek tu mati-mati percaya dia yang tulis” Amirul membantah. Mulutnya kembali menyuap nasi lemak.

“Ish tak pe. Aku tulis pun suka-suka je. Kalau orang suka tu dah kira bonus.” Hadi merendah diri.

“Aku cuma respek stu kat kau la Adi. Susah-susah kau yang tak sempurna macam kami ni. tak pernah pulak kau mengeluh. Syurga tempat kau nanti” Puji Amirul lagi.

“Nampak tak Adi. Game budak ni. Kau belanja di nasik ni, memanjang dia puji kau. Silap-silap nanti kalau dia solat dhuha nanti pun dia doa banyak-banyak untuk kau” Tingkah Damian.

“Over sangat kau ni. Dia ikhlas cakap tu” Bela Hadi sambil tersenyum. Dua sahabat inilah yang selalu menceriakan harinya. Sudah dua tahun dia menyewa bersama Damian. Amirul dan beberapa rakan yang lain cuma menumpang tidur atau menonton bola. Selalunya tidur dan makan sekali.

Hadi pun tak kisah sangat. Sekurang-kurangnya dia tidak kesunyian. Ada teman bergurau dan boleh diajak berbual.



Ziha tersenyum girang. Paginya disambut dengan sekuntum ros dan sebuah puisi lagi. Dia yakin secret admirer yang menghantarnya adalah kawan-kawan sepejabat atau tingkat atas dan bawah sahaja. Sebab itu sahaja bangunan yang disewa majikannya.

“Dapat lagi!!” Zura dari meja bersebelahan bertanya. “Patut la senyum sampai ke telinga.Meh aku baca. Sampai ke tidak punch line dia”

No way. Biar aku sorang jer yang hadam” Ziha menyengih sambil memasukkan kertas ya g diterimanya ke dalam laci.

“Kedekut…Aku doakan secret admirer kau tu pak guard yang kerja shift malam!!!”

“Hoi..mulut jangan cabul. Karang langsung tak syer apa-apa” Ugut Ziha.

Zura hanya tersenyum. Tangannya diangkat seakan membaca doa. Mulutnya tak bersuara tapi seakan-akan menyebut perkataan Amin! Amin!. Ziha membaling pembaris plastik melepasi kubikelnya dan jatuh ke lantai.

Zura mengangkat kaki ke arah pantry sambil ketawa mengekek.


“Dah kenapa awak ni?” Hampir sahaja Zura melanggar En. Nawab yang baru sampai di muka pintu. Mujur dia sempat berhenti. Kalau tidak pasti dia menyembam muka ke perut Bosnya yang boroi itu.

“Banyak main ni?” Tegur En. Nawab. Mujur dia jenis bos yang tak suka bising-bising.

“Maaf Bos” Itu sahaja ayat yang terfikir di kepala Zura.

“Hmm..” Hanya itu respon ringkas dari bosnya itu.

“Padan muka!!” Ziha pula membuat tangan tanda bagus.



“Nak ikut tak Adi?” Damian menghulurkan helmet cat ayam berwarna merah kepada Hadi.

“Naik moto dengan kau aku dah serik. Tak tau nak brek langsung. Tak nak lah!” Bentak Hadi.

“Minggu ni langsung kau tak ke mana-mana kan?. Ikut aku gi ronda-ronda, pastu singgah mamak pu jadi la. Ambik la sikit udara luar” Damian belum berputus asa.

“Segan la aku. Orang tengok kau dukung aku ke sana sini. Kau pun malu jugak nanti”

“Baru hari ni kau nak malu. Dari sekolah rendah lagi apa aku dukung kau”

“Kau keluar la dengan awek yang kau ayat hari tu. Aku ni kau jangan risau. Tak keluar pun aku tahu apa yang jadi kat luar sana”

Damian mengambil helmet merah tadi dan diletakkan pada raga motosikalnya.

“Ada nak kirim apa-apa tak?”. Hadi menggeleng. Damian berlalu keluar sambil bersiul-siul.

Hadi mencapai buku nota dan pen pada beg di sisi kerusi rodanya dan mula menulis.


Api-api bernyala lagi

Mengajak aku keluar kepompong

Terbang dengan percikan mercun

Mungkin aku terbakar nanti.


Api-api dan gandar besi

Cair tanpa menumpah seni

Disempuh semberani

Arang itu kini berwarna warni


“Terima kasih Ian. Keluar juga idea aku ni layan kau” Ujar Hadi di dalam hati. Bukunya dimasukan semula ke dalam poket di kerusi rodanya.



“Awak!” Perkataan pertama yang terpancul dari mulut Ziha. Secret Admirer yang selama ini diimpikannya sebagai putera idaman cuma budak pejabat di tempat kerjanya. Hancur luluh hatinya untuk bertemankan jejaka kacak berkemeja di pejabatnya. Kalau orang pejabat tahu dengan siapa secret admirernya itu, pasti kecoh satu pejabat nanti!. Dia kenal sangat rupa mamat yang selalu ambil dan hantar barang di kaunter depan ni.

Damian tersengih-sengih dan malu-malu untuk duduk. Maklumlah dia hanya berseluar jeans dan bert-shirt kolar bulat berwarna hitam sahaja. Melihatkan reaksi Ziha tadi, dia sudah tahu ke mana arah perbualan mereka selepas ini.

Damian masih tercegat sebelum Ziha memberi isyarat supaya duduk.

Muka Ziha masih mencuka semasa mereka memesan makanan. Ziha hanya memesan kek dan Damian memesan burger. Damian serba salah untuk berbicara dengan gadis idamannya itu. Dia tahu peluang untuk mereka bersama sangat tipis.

“Sajak-sajak tu awak yang buat ke?” Ziha memulakan perbualan setelah sekian lama berdiam diri. Damian teragak-agak untuk menjawab.

“Saya tanya ni. Takkan tak ada mulut nak jawab” Tegas Ziha. Kali ini dia mula berasa sakit hati. Jawapan yang bakal diterima sudah dapat dibaca.

“Awak tiru dari buku siapa?”

“Tak. Kawan saya yang karang”

“Awak ni posmen sahaja ke, Awak yang betul-betul ada hati kat saya!”

“Posmen sahaja” Ayat itu cukup membuatkan Ziha berasa tenang semula. Ada sedikit senyuman di hujung bibirnya. Sekurang-kurangnya masih ada harapan untuk dia berkawan dengan orang yang lebih baik jawatannya.

“Kenapa kawan awak tak datang?” Soal Ziha.

“Dia sibuk. Tiba-tiba pulak dia ada mesyuarat tergempar” Helah Damian bersambung. Dia lega melihat reaksi Ziha yang lebih baik dari mula-mula mereka berjumpa tadi.

“Ada tak gambar dia?” soal Ziha lagi yang tidak sabar-sabar untuk melihat rupa secret admirernya. Damian gugup memikirkan helah untuk meyakinkan Ziha.

Terketar-ketar dia menyerahkan handphonenya dengan gambar Hadi tertera di skrin.

“Boleh tahan. Dia kerja apa?” Tanya Ziha sambil menatap wajah “secret admirer”nya itu.

“Programmer di Zihad Holding” Jawapan yang betul-betul melegakan Ziha. Sekurang-kurangnya lelaki itu kukuh dalam kerjaya.

Burger yang dikunyah Damian terasa berpasir. Rasa bersalah mengusai dirinya kerana berbohong dengan Ziha. Secara teknikalnya, memang Hadi yang menulis. Hadi juga memang berkerjaya seperti yang diceritakannya. Cuma dia bukan orangnya.

“Kirim salam kat dia. Cakap kat dia saya ni peminat no 1 dia. Minta kalau dia sudi, terus bagi sajak-sajak tu dekat saya”

Damian mengangguk faham. Dia berniat untuk meminta nombor telefon tapi setelah teringatkan pasal Hadi, niat tersebut dilupakan. Belum masanya, tegas Damian.



“Apa?” Cerita Damian sebentar tadi benar-benar mengejutkan Hadi. Kerusi rodanya ditarik ke belakang sedikit untuk dia membetulkan duduk. “ Ko gila ke apa? Petik nama aku tiba-tiba kat awek tu”

“Aku gabra la bro. Tak sempat apa-apa lagi dia dah tanya macam-macam”

“So, sekarang macammana?”

“Sekarang ni kau kena ambil alih tugas aku. Aku rasa dia ada hati kat kau”

“Macammana kau tahu?”

“Dia kata gambar kau hensem?”

“Gambar?”

“Gambar kau yang dalam phone aku tu. Aku tunjuk kat dia.”

“Dia tahu tak aku ni tak sempurna macam lelaki lain”

“He..he ..tak. Aku tak berani nak cerita. Takut spoil mood dia”

“Bro..kan aku dah cakap. Apa-apa pun kau kena cerita yaNg sebenar. Nanti tak pasal-pasal pulak dia kecewa.”

“Releks la bro. Ini pun belum apa-apa lagi. baru cerita-cerita jer. Sampai masa nanti aku terus terang la”

“Apa-apa nanti, kau yang tanggungjawab tau. Aku tak nak campur”

“Ye la. Aku janji akan tanggung apa yang jadi”



Ziha melangkah keluar dari kereta. Dari tadi hatinya tidak berapa tenteram. Bukan apa, banyak perkara yang berlaku di rumahnya tadi yang membuatkannya hilang fokus. Lampu di ruang tamu tiba-tiba tidak bernyala. Air tiba-tiba tidak ada, malahan cermin yang digantung di biliknya pula jatuh dan pecah.

“Bad luck ni!” Ujar Alia, teman serumahnya. Dia diam sahaja kerana tidak mahu percaya sangat dengan pendapat sebegitu.

Hatinya masih berdebar-debar.

Sebuah kereta tiba-tiba melencong dari arah jalan raya menuju kearahnya.

BRAMM !!!!

Ziha terperosok hingga ke dalam longkang.



“Kau dengar cerita tak” Damian memasang telinga semasa menghantar envelope ke kaunter hadapan.

“Ziha accident semalam!” Kerani di kaunter bercerita kepada staff yang kebetulan lalu di situ.

“Teruk ke?”

“Entahlah, tapi dia dah masuk ke ICU”

“kalau ke ICU tu maksudnya kritikal la tu”

“kesian dia, baru pagi semalam kami borak-borak kat sini”

“Dia kat hospital mana?” Sampuk Damian.

“HKL. Kita tak boleh pergi tengok. Ahli keluarga sahaja yang dibenarkan” Damian mengagguk faham.



Hadi keluar dari bilik untuk ke dapur sebelum perasankan Damian yang menyandar di sofa dengan lengan melintang di dahi.

“Termenung jauh bro, dah sampai mana?” Tegurnya dengan niat melawak. Damian buat-buat pejam mata.

“Awek dah terlepas la tu..tu la lain kali fikir sebelum cakap”

“Awek tu dah eksiden semalam. Kat ICU sekarang!” tegas Damian.

“Ye ke. Ada kaitan dengan kau ke?”

“Kalau dia meninggal, aku rasa bersalah sangat sebab tak cerita hal yang sebenar masa jumpa hari tu”



Kalau tuhan

Sentuh aku

Sebelum datangnya ajal

Dengan luka-luka dan kesakitan

Dan padamkan aku dengan pitam

Supaya aku faham

Bila-bila sahaja

Aku mungkin dipanggil pulang



Damian sempat menatap puisi nukilan Hadi tangannya. Ros merah sekumtum juga tersisip di poket kemejanya. Dia melangkah masuk ke wad yang menempatkan Ziha.

“Encik ni siapa?” seorang perempuan setengah baya menegurnya sebelum dia sampai ke katil Ziha.

“kawan Ziha”

“Minta maaf, Ziha dah pesan kat Makcik, buat masa ni dia taknak jumpa sapa-sapa”

“Kalau macam tu, Makcik tolong bagi ni kat dia” Damian menyerahkan envelope yang berisi puisi tadi dah ros merah kepada Makcik tersebut. Makcik tersebut menyerahkannya kepada Ziha yang berada di sebalik tabir hijau. Damian melangkah untuk pulang.

“Anak!” suara Makcik tadi menjerit dari belakang.

“Kenapa Makcik?”

“Ziha ucap terima kasih” Balas perempuan tua itu sambil tersenyum.



Damian membetulkan tali lehernya. Itu pun tali leher yang dipinjamkan Hadi.

“Kalau nak pergi interview. Kena pakai tie. Baru orang respek” Terngiang-ngaing lagi kata Hadi.

Hari ini dia menyahut cabaran bosnya untuk turut sama mengikuti sessi temuduga untuk jawatan kosong di pejabat. Encik Wahab yang menyarankan kepadanya untuk berpindah jawatan kalau mahu terus maju dalam kerjaya.Majikannya itu juga yakin dia mampu untuk menggalas tugas sebagai kerani.

“Excuse me” suara seorang gadis bersuara dari belakang, meminta laluan. Damian berpaling dan melihat seorang gadis berkerusi roda sedang menuju kearah lif.

“Bukan ke tu?” dia seakan mengecam wajah perempuan yang menggunakan kerusi roda tersebut. Cepat-cepat dia berlari mengejar dari belakang.

Ziha memberhentikan kerusi rodanya sebaik berasa ada tangan menyentuh kerusinya itu dari belakang.

“Ziha kan?” Ziha malu-malu untuk menjawab. Sebolehnya dia tidak mahu bertembung dengan sesiapa yang dikenalinya di situ. Kedatangannya pun sekadar untuk mengambil barang-barang di mejanya dan menyelesaikan urusan-urusan berkaitan permohonannya untuk berhenti kerja.

“Ya..Ian. Sorry sebab awak terpaksa lihat saya macam ni” Ziha menjawab dengan perasaan serba salah.

“Tak apa. Awak datang dengan siapa?”

“Saya seorang sahaja. Mak ada hal. Kawan saya pun ada emergency”

“Biar Ian tolong tolak”

“Tak payah Ian. Ziha dah biasa. Nanti Ian malu kat kawan-kawan pulak.”

“Tak ada yang nak dimalukan. Ziha pun kawan Ian kan” Balas Damian sambil menyorong Ziha masuk ke dalam Lif.

“Ziha nak ke mana?”

“Ke Office. Ambik barang-barang yang masih ada. Kemudian jumpa H.R.” Jawab Ziha acuh tak acuh. Malu jugak dia dilihat oleh rakan-rakan sepejabat lamanya.

“Tak kerja dah ke?”

“Dah lama berhenti. Lepas eksiden tu”

“Sekarang buat apa?”

“Duduk rumah jer. Belum decide lagi apa nak buat. Makan duit insurans jer” Jawab Ziha yang masih serba-salah.

“Ada satu perkara yang saya tak beritahu kat Ziha…dan saya serba salah kalau tak bagi tahu?

“Bagitahu apa?”

“Ingat tak orang yang tulis puisi untuk awak tu..secret admire awak?”

“Ya..”

“Dia pun berkerusi roda macam ni”. Ziha memberhentikan kerusi rodanya sebentar.

“betul ker?” Katanya bersungguh-sungguh.

“Ya. Kalau awak nak jumpa dia. Saya boleh uruskan. Dia arif sangat hal-hal orang berkerusi roda ni” Ziha mengagguk bersetuju. Zura yang nampak dari jauh datang menghampiri mereka. Damian kemudiannya meminta diri.

Zura pula mengambil alih menyorong sahabatnya.

"Nak datang tak cakap!" Bebelnya panjang.


Damian memandang kearah jamnya sebelum berlari kea rah lif.

“Ah! Lambat lagi aku!”


Hadi mengangkat tangan tanda bagus kepada Damian. Itu sebagai tanda yang dia akan bergerak sendiri dengan kerusi rodanya. Damian pula akan mencari tempat lepak atau ke mana sahaja yang dia suka.

“Assalamualaikum” Hadi memberi salam kepada dua gadis yang berada di hadapannya. Kerusi yang ada dialihkan supaya dia dapat rapat ke meja dengan kerusi rodanya.

“Lama tunggu”

“Lama jugak. Mana Ian?” Ziha menjawab. Hadi teringat janji sepatutnya sejam lebih awal.

“Maaf lambat. Ian tak ikut. Tolong hantar je. Ada hal katanya”

“Adik saya Ifa “ Ziha memperkenalkan gadis di sebelahnya. “Akhirnya jumpa jugak kita”

Budak perempuan itu tersenyum sebelum kembali menghabiskan airkrimnya.

Hadi memesan minuman dan burger sebagai hidangan makan malam.



Selepas diam seketika, Hadi memulakan pertanyaan. “Awak suka sajak?”

“Dulu tak..sekarang dah boleh hadam?” Jawab Ziha bersahaja.

“Kalau saya tanya kenapa suka?”

“Sebab sajak tu buatkan benda yang besar jadi kecil. Cerita yang besar-besar boleh dirungkai dalam dua tiga rangkap sahaja. Minda kita pula perlu membaca dan meneka apa yang diungkapkan. Macam eksesais minda jugak. Kalau nak seronok, masukkan muzik dan nyanyikan dengan nada yang indah. Mesti orang suka sebab dah jadi lagu..” Jelas Ziha. Bibirnya mencicip fresh orange.

“Dah macam pakar awak ni?”

“Ni la akibat banyak duduk rumah. So banyaklah yang boleh dibaca dan difikirkan..Hmmm. Sebab apa Adi suka tulis sajak?”

“Sebab apa yang terlintas dalam fikiran tu rezeki…tulis ajela… Tuhan nak bagi. Rezeki kalau dikongsi pun ada keberkatannnya”

Ziha memahami apa yang dimaksudkan Hadi.


Hadi mengeluarkan sekeping kertas dan diserahkan kepada Ziha.


Terima kasih bulan

Kerana meminjam sinar mentari

Untuk menerangi aku

Yang kadang-kadang buta ini.


Terima kasih bulan..

Kerana memberi ilham

Tanpa dipaksa-paksa

Akal ini serasi dengan hadirmu.


Kau datang dan pergi

Tapi sentiasa memerhati.


“Sajak pertama saya” Terang Hadi.

“Tajuknya?”

“Puisi untuk bulan”

“kenapa bulan ?”

“Sebab saya berterima kasih kepadanya kerana dia menyokong saya selama ini”

“Bulan ?”

“Qamar Damian, sahabat saya”

“Ian maksud awak?”

“Ya. Orang menyokong saya sampai sekarang. Dari sekolah rendah lagi kami bersama. Nakal bersama, seronok pun selalu bersama. Walaupun dia tak secerdik saya, tapi dia jujur dan lurus untuk bantu saya berjaya. Dia buat saya rasa ada kaki..”

“Kenapa tak bagi sajak ni dekat dia?”

“Nanti dia ketawa terbahak-bahak. Dia akan cakap saya poyo” Jelas Hadi sambil tersenyum.

“Kenapa tunjukkan dekat saya?”

“Sebab saya nak beritahu dekat awak..Bulan tu adalah orang yang suka awak sebelum ni dan sampai sekarang dia masih sukakan awak. Semua sajak-sajak tu dia yang minta dari saya untuk serahkan pada awak……. Kalau awak nak seseorang yang boleh jaga awak. Yang boleh hidup susah senang dengan awak..yang boleh terima keadaan kita yang macam ni... Dialah orangnya. Dia boleh jadi kaki saya…dan boleh jadi kaki awak.”

“Sekarang saya faham…” Ziha terdiam seketika.

“Dia ingat yang awak akan sukakan saya sebab keadaan saya sama dengan awak. Lagipun kerjaya saya lebih baik dari dia..dia cemburu sebenarnya. Tapi hakikatnya dialah yang boleh tolong awak untuk bangkit semula..bukan saya. Kalau sama-sama berkerusi roda pun mungkin masaalah jugak kan..”

“Kalau saya ambil dia..awak?” Ziha mengerling sambil tersenyum.

“Saya dah boleh berdiri dan berlari atas kerusi ni. Jangan risaukan saya sebab saya dah boleh berdikari. Saya pun dah jumpa orang lain yang sanggup tolong saya”

“Awek?”

“Taklah…kawan. Orang di pusat jagaan orang cacat. Dia pun tak normal, tapi upaya dia lebih dari saya”

“Ian tahu” Hadi menggeleng. “kalau dia tahu..mesti dia guna point tu untuk kenakan saya”

Hadi menujukkan telefonnya yang sedang berdering.

“Dia dah risaukan saya ni”

Hadi menjawab panggilan itu.



“Boleh tolong saya satu perkara?” Pinta Ziha.

“Tolong apa?”

“Bagi saya no. phone bulan tu”

Hadi tersenyum.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.