Home Cerpen Seram/Misteri ANTOLOGI JIWA KACAU : Liana
ANTOLOGI JIWA KACAU : Liana
Reeani Annur
22/5/2013 11:05:54
6,474
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang

“MAKAN?” tegurku kepada Liana, teman serumahku ketika aku sedang duduk makan di dapur. Namun Liana hanya senyum. Dia menggeleng perlahan sebelum masuk ke dalam biliknya.

Aku sambung makan. Kemudian, telefon berbunyi. Aku sengih sebaik sahaja melihat nama si pemanggil.

“Kau dah dapat rumah sewa ke?” tanya Jun setelah aku jawab panggilannya.

“Dah. Dah pindah pun,” jawabku sambil menyuap masuk nasi ke dalam mulut. Aku tahu, sekejap lagi Jun pasti marah sebab aku tidak beritahu dia yang aku sudah pindah rumah.

“Kenapa kau tak beritahu aku?”

“Bukan tak nak beritahu, cuma aku tak nak susahkan kau. Ala, jangan risaulah. Semua tu dah selesai. Lepas ni, kau dah tak perlu susah-susah hantarkan aku pergi kerja lagi setiap pagi. Rumah sewa aku ni dekat aje dengan tempat kerja aku.”

Aku dengar Jun menghela nafas panjang.

“Kau sewa dekat mana?”

“Dekat Flat Marie.”

“Hah? Beraninya kau sewa kat situ.”

Suara Jun seperti orang terkejut melihat hantu walaupun aku tahu dia sendiri tidak pernah nampak hantu.

“Apa hal pulak? Okey apa. Dahlah murah, suasana persekitaran dia aman damai je. Nanti kalau kau ada masa kau datanglah sini. Tidur kat rumah aku.”

Aku teruja mengajak Jun datang ke rumah sewa aku. Dalam banyak-banyak rumah yang pernah aku sewa sebelum ini, rumah inilah yang aku rasa paling selesa diduduki. Aku tidak menyesal berpindah dari rumah sewa terdahulu yang rumahnya macam tongkang pecah.

“Berapa orang yang menyewa kat situ?”

“Dua orang je. Tapi kau jangan risau, housemate aku tu okey. Tak cara orang.”

“Hmm, yalah. Kalau aku free nanti aku datang ke sana. Kalau kau perlukan apa-apa, jangan segan-segan call aku.”

“Okey. Jangan risaulah.”

Aku sengih lepas selesai berbual dengan Jun. Aku sambung makan semula. Dalam asyik menikmati Nasi Goreng Cendawan yang aku beli di kedai tadi, telinga aku menangkap bunyi orang sedang mandi di bilik air. Bila masa pula Liana masuk ke dalam bilik air?


*****


“AWAL keluar pagi ni? Kerja shift pagi ke?” soalku kepada Liana ketika kami sama-sama masuk ke dalam lif. Sebelum ini, jarang aku bertembung dengan dia semasa hendak keluar pergi kerja. Setahu aku, masa bekerja Liana tidak menentu. Kadang-kadang nak bertemu muka dengan dia pun payah.

Liana cuma senyum. Angguk tidak, geleng pun tidak.

“Kau janganlah malu-malu dengan aku. Kalau kau segan, aku pun segan jugak,” kataku lagi. Bukan apa, sepanjang aku tinggal bersamanya, aku tengok Liana seperti malu-malu hendak bercakap dengan aku. Kalau aku tidak mulakan dahulu perbualan, memang mimpi sahajalah hendak dengar suara dia. Itu pun kadang-kadang aku tanya, dia jawab dengan senyuman dan gelengan kepala sahaja.

Pintu lif terbuka di tingkat dua. Seorang lelaki masuk ke dalam.

“Aku nak pergi makan sekejap kat kedai Kak Melah. Kau nak ikut? Mehlah makan sekali. Aku belanja kau,” pelawaku. Aku tengok jam masih awal. Mungkin sempat aku isi perut sekejap sebelum masuk ke pejabat.

“Awak tanya saya ke?” soal lelaki yang baru masuk dalam lif tadi.

“Ha?”

Aku melopong memandang lelaki itu. Bila masa pula aku cakap dengan dia? Aku cakap dengan Lianalah.

“Taklah. Saya tanya kawan saya kat sebelah ni.”

Aku lihat lelaki itu pandang ke sebelah aku. Dahinya berkerut. Namun aku buat endah tidak endah sahaja. Sampai di tingkat bawah, aku dan Liana berpecah. Sambil berjalan sempat aku perhatikan Liana. Dia berjalan ke arah taman berdekatan. Eh, bukan kilang tempat Liana bekerja di depan sana ke?


*****


PETANG Sabtu itu, Jun datang ke rumah aku setelah aku pujuk dia supaya datang bermalam di rumah sewaku. Teruja benar aku bila ada kawan datang ke rumah. Sekurang-kurangnya, adalah teman untuk bersembang.

“Kenapalah kau sewa dekat blok belakang ni. Blok depan tak ada kosong ke? Jenuh aku nak cari rumah kau tadi.”

Jun merungut sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah aku.

“Blok depan dah penuh. Tinggal blok belakang je yang kosong. Tapi okeylah sebab view dia pun cantik. Cuba kau tengok kat belakang tu. Hijau dan redup je mata memandang. Macam ni, barulah best.”

Aku sengih memandang Jun sambil membawa Jun pergi ke balkoni. Pemandangan bukit-bukau yang menghijau itu menjadi salah satu faktor aku tertarik menyewa di rumah itu. Malam-malam kalau aku susah nak tidur, aku selalu juga duduk melepak sambil minum di situ. Kalau pagi-pagi pula, pemandangannya memang mendamaikan perasaan. Dengan kabus yang tebal dan sejuk yang mencengkam sehingga ke tulang, terasa macam duduk di luar negara pun ada.

“Tempat seram macam ni kau cakap best? Kau tahu tak masa aku naik lif tadi lampu lif tu sekejap buka, sekejap tutup. Takut aku tau. Kalau aku lah, tak adanya aku nak sewa dekat sini,” balas Jun.

“Biasalah tu. Kalau lama tak servis macam tulah jadinya. Eh, kau duduk dulu ya. Aku pergi dapur kejap buat air untuk kau.”

Aku tinggalkan Jun keseorang di situ. Setelah buat air ala kadar, aku keluar semula ke ruang tamu. Aku ajak Jun duduk minum di atas tikar nipis di depan televisyen. Kami bersembang rancak. Leka bergelak ketawa, aku terdengar bunyi pintu gril dibuka. Aku agak itu tentu Liana.

“Liana, baru balik ke? Ni, kawan aku ada datang nak tumpang tidur sini malam ni. Kau tak kisah, kan?” sapa aku setelah melihat Liana berjalan masuk.

Liana hanya membalas dengan anggukan.

“Eh, kau nak minum? Mehlah duduk sekali.”

Aku pelawa mesra tetapi Liana menolak. Selepas itu, dia terus berjalan masuk ke bilik. Aku faham dan tidak ingin memaksa. Aku fikir, mungkin Liana segan hendak duduk sekali dengan aku dan Jun.

“Kau cakap dengan siapa tu, Mel?” soal Jun. Dia pandang aku hairan.

“Dengan housemate aku.”

“Mana? Tak nampak sesiapa pun.”

Mata Jun meliar ke segenap ruang di dalam rumah. Setelah itu terkelip-kelip dia pandang aku semula.

“La, kau tak nampak ke dia masuk dalam rumah tadi? Pakai spek tebal macam tu pun masih rabun lagi ke?”

Laju aku bidas Jun. Aku berasa tidak logik pula apabila Jun berkata begitu. Takkanlah Liana sebesar itu pun Jun boleh tidak nampak? Memang teruk sangat dah tu tahap rabun dia.

“Masalahnya, aku memang tak nampak siapa-siapa. Ke kau ni cakap dengan hantu?”

“Ish, mana ada hantulah! Mulut kau tu, jangan celopar sangat.”

Aku cubit paha Jun. Aku bukannya duduk di rumah hantu nak bercakap dengan hantu. Tengok hantu pun tidak pernah seumur hidup aku.

Jun hanya ketawa.

“Manalah tahu. Eh, aku nak pergi toilet sekejap. Kat mana toilet rumah kau ni?”

“Masuk dapur, tepi singki. Belah kiri. Kanan bilik mandi.”

Jun segera bangun dan pergi ke dapur. Tinggal aku keseorangan di ruang tamu. Sementara tunggu Jun kembali, aku tonton televisyen. Tiba-tiba aku terdengar suara Jun menjerit kuat. Bergegas aku berlari ke bilik air.

Jun tergesa-gesa keluar dari bilik air dengan wajah yang pucat.

“Kau, kenapa?” soalku.

Jun pantas mencapai tanganku dan heret aku keluar dari dapur. Pegangannya terasa begitu kuat mencengkam pergelangan tanganku.

“Kenapa dengan kau ni? Kenapa kau jerit tadi? Ada katak ke dalam toilet tu?” tanyaku sambil tidak berkelip pandang muka Jun.

“Aku….”

Kata-kata Jun terputus di separuh jalan. Seperti susah sekali dia hendak bercakap.

“Aku apa? Cakaplah,” desakku lagi.

“Mel, aku rasa aku tak jadilah nak tidur kat rumah kau malam ni. Lain kali jelah ya. Aku minta diri dulu.”

“Eh, kenapa pulak ni?”

Aku terpinga-pinga melihat Jun yang sudah pun mencapai beg dan meluru ke arah pintu. Jeritan aku tidak dipedulikannya. Aku mengeluh sendirian. Apa yang buat Jun tiba-tiba mengubah fikiran dia?


© Reeani Annur 2013


-TAMAT-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.