Home Cerpen Cinta Terminal Cinta
Terminal Cinta
Reeani Annur
12/11/2012 10:49:18
2,733
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

AKU baru sahaja melangkah turun dari bas ekspress saat aku terpandang wajahnya. Kaku. Aku seperti patung. Itulah wajah yang aku cari-cari selama ini. Wajah yang telah sekian lama hilang dari pandangan mataku setelah dia pergi tanpa pesan sejak tiga tahun yang lepas. Walaupun lama tidak ketemu namun aku masih tidak lupa wajahnya. Namanya jauh sekali.

“Hana.”

Aku nampak bibir dia bergerak menyebut nama aku walaupun aku tidak dengar suaranya. Aku gembira kerana dia masih ingat nama aku. Itu bererti dia tidak lupa siapa aku. Aku ingin meluru ke arahnya namun hasrat itu terhenti apabila aku lihat ada seorang perempuan lain terlebih dahulu menghampirinya dan mengucup mesra tangannya. Sekali lagi aku terkaku.

*****

DARI kejauhan, aku lihat dia berlalu bersama perempuan itu. Jadi aku dapat membuat kesimpulan bahawa kemunculannya di terminal bas itu disebabkan ingin menjemput perempuan tersebut. Ya, hati aku remuk.

Aku berjalan longlai ke arah bangku di Platform 4 dan duduk di situ memerhati gelagat manusia yang bermacam-macam ragam. Telefon yang berbunyi kuat kemudiannya menyedarkan aku dari lamunan. Hafiz. Tertera nama itu di skrin.

Aku mengeluh. Sejak bas bertolak dari Kemaman sehinggalah ke Kuala Terengganu, dia asyik SMS aku bertanyakan tentang perjalananku. Namun dalam berbelas-belas mesej yang dihantar olehnya kepadaku hanya satu sahaja yang aku balas. Aku sebenarnya berasa rimas dengan perhatian dia. Aku ini bagaikan budak kecil yang tidak tahu berdikari sahaja dibuat olehnya. Dengan malas panggilannya kujawab.

“Awak dah sampai ke?” soalnya.

“Ya,” jawabku sepatah.

“Nak saya jemput?”

“Tak apalah. Saya boleh balik sendiri.”

Aku menolak baik. Sebenarnya, aku tahu dia masih bekerja sebab itu aku tolak pelawaannya. Aku tidak mahu susahkan dia walaupun dia rela berbuat begitu terhadapku.

“Dah petang ni. Awak nak balik dengan apa?”

“Tak apa, teksi banyak. Saya boleh balik dengan teksi je.”

“Bahayalah, Hana. Lagipun dah lewat ni. Saya datang jemput awak ya.”

“Tak payahlah, Hafiz. Saya tak nak menyusahkan awak.”

Sekali lagi aku berkeras menolak pelawaannya. Kalau aku balik dengan teksi sekalipun apa salahnya. Aku bukannya tidak biasa menaiki teksi.

“Awak ada kat mana sekarang?”

“Terminal bas.”

“Platform berapa?”

“Empat.”

“Kalau macam tu, tunggu sampai saya datang. Jangan pergi ke mana-mana tau.”

“Haf….”

Belum sempat aku panggil, Hafiz sudah memutuskan talian. Ish, yang aku gatal sangat beritahu dia, kenapa? Kan elok kalau aku kelentong sahaja dia tadi. Sekarang aku sudah terperangkap. Sempat kutoleh jam di tangan. Pukul 6.00 petang. Jarak tempat kerja Hafiz dengan terminal bas ini mengambil masa lebih kurang lima belas minit. Itu belum ditambah dengan kesesakan lalu-lintas. Apa yang aku harus buat sementara menunggu dia? Oleh kerana tekakku berasa haus, maka aku buat keputusan untuk pergi minum di sebuah gerai berhampiran.

Tekak yang kering terasa lega apabila dibasahi air. Sambil minum aku termenung. Masih terkesan dengan pertemuan dengan Rafi sebentar tadi. Aku ralat kerana dia berlalu begitu sahaja sedangkan ada banyak persoalan yang aku mahu rungkaikan. Aku mahu tanya ke mana dia menghilang selama ini? Dan mengapa dia menggantung cintaku begitu lama tanpa kepastian. Kerinduanku padanya tidak tertahan sampai aku tutup semua pintu hati aku buat lelaki lain yang cuba menagih cinta daripadaku.

Sungguh, aku cintakan dia. Dapatkah dia rasa semua perasaan aku terhadapnya? Seingat aku, dahulu dia juga pernah menyatakan hal yang sama kepadaku. Namun kalau benar dia cintakan aku, mengapa dia pilih perempuan lain dan bukannya aku?

Bunyi mesej masuk menyentak khayalanku. Aku tunduk baca.

Hana, saya mungkin lambat sikit. Boleh awak tunggu sekejap?

Aku mengeluh. Ini yang aku tidak suka. Ada kerja tetapi beria-ia hendak tolong aku. Bukankah menyusahkan diri sendiri.

Tak payahlah, Hafiz. Susahkan awak je. Saya boleh balik sendiri. Buatlah kerja awak.

Aku tekan butang send. Aku harap dia akur dengan permintaan aku. Tidak lama kemudian, ada mesej masuk lagi.

Awak jangan balik dulu. Tunggu sampai saya datang. Saya janji saya akan datang cepat-cepat.

Aku mengeluh lagi. Kenapalah Hafiz ni degil sangat? Aku bukannya tidak tahu balik sendiri. Disebabkan malas hendak bertekak, aku biarkan sahaja mesej itu tanpa ada perasaan ingin membalas. Entah berapa lama lagi aku akan tersadai di terminal ini.

*****

SUDAH lebih sejam aku tunggu Hafiz tetapi bayangannya masih juga belum muncul. Bosan. Air yang aku minum tadi sudah lama habis. Akhirnya selepas membuat bayaran, aku memutuskan untuk duduk semula di atas bangku tempat mula-mula aku duduk tadi.

Kelibat orang yang lalu-lalang di situ kuperhatikan sahaja buat hilang rasa bosanku. Namun tanpa aku duga, pandanganku bertembung dengan pandangan seorang lelaki yang berdiri tidak jauh dari situ. Aku tidak tahu sudah berapa lama dia memerhatikan aku. Hati aku tambah berdebar apabila aku lihat dia mengorak langkah menghampiri aku.

“Belum balik lagi?” soalnya sebaik sahaja duduk di sebelahku.

Aku geleng sambil mengengsot sedikit. Sungguh, rasa debarku lain macam. Tidak sangka aku akan bertembung lagi dengannya sedangkan tadi aku lihat dia sudah pergi seolah-olah tidak akan berpatah semula. Adakah dia kembali sebab aku?

“Hana, saya minta maaf,” ungkap Rafi tiba-tiba.

Aku pandang Rafi tanpa suara. Namun aku fikir Rafi sedar apakah kesilapan yang telah dia lakukan terhadapku. Aku terus diam untuk memberi peluang kepadanya seandainya dia ada sesuatu yang ingin diperkatakan lagi.

“Saya dah kahwin. Perempuan yang awak nampak tadi isteri saya.”

Kalau aku ibaratkan hati aku seperti kaca, memang ia sudah pecah berderai. Sempat aku soroti jemarinya yang tersarung sebentuk cincin. Hati aku terus didatangi sebak. Aku gigit bibir tahan perasaan sedih itu.

“Sejak bila?”

Aku beranikan diri bertanya.

“Sejak dari hari pertama kita kenal,” jawab Rafi perlahan.

Pengakuan Rafi itu tambah mengoyakkan perasaan aku.

“Jadi, selama ni awak tipu saya?”

“Saya minta maaf. Saya tahu saya banyak siksa perasaaan awak. Tapi saya tak tipu fasal perasaan saya yang sukakan awak.”

Air mata aku jatuh tiba-tiba. Terasa sia-sianya penantian aku selama ini. Terasa begitu bodohnya aku.

“Kalau awak cintakan saya sekalipun ia tetap takkan merubah gelaran suami yang awak pegang. Awak dah buang masa saya bertahun-tahun dengan buat saya fikir saya mencintai orang yang betul. Kenapa sampai macam ni sekali awak mainkan saya?”

Rafi terdiam.

“Macam mana saya nak buang semua perasaan sayang dan cinta saya terhadap awak lepas bertahun-tahun saya tanam semua rasa tu kat dalam hati saya? Awak ingat, saya boleh lupakan semua tu dalam masa yang singkat?”

“Saya tahu payah. Sebab saya pun tak dapat lupakan awak juga. Hana, saya pergi bukan sebab saya tak cintakan awak tapi sebab saya nak lari daripada cinta yang terlarang ni. Saya fikir, bila saya tinggalkan awak macam tu, kita boleh saling berhenti berharap. Tapi saya tak sangka ia semakin buat saya rasa tersiksa.”

“Saya lebih tersiksa, Rafi.”

Laju aku membalas kata-kata Rafi itu. Sungguh, aku berasa begitu bodoh sekali kerana menantikan seseorang yang sebenarnya tidak layak pun untuk aku cintai. Aku tidak sepatutnya mengharapkan sesuatu yang indah. Sepatutnya, aku perlu sedar dari dahulu lagi. Ah, tetapi apa gunanya aku sesal sekarang?

Pipi aku yang sudah basah itu aku sapu dengan belakang tangan. Aku tarik nafas dalam-dalam untuk meredakan perasaan aku. Beberapa pasang mata berdekatan turut mengerling aku tetapi aku buat-buat tidak endah.

“Hana….”

Rafi panggil aku setelah aku diam namun aku tidak menoleh ke arahnya. Perlahan-lahan aku mula berasa benci. Maruah aku sebagai perempuan seolah-olah tergadai dengan penipuannya.

“Beri saya peluang untuk tebus kesilapan saya terhadap awak. Saya akan bertanggungjawab atas semua tu.”

“Tak perlu. Lebih baik kita tamatkan saja semua ni kat sini. Pergilah pada orang yang lebih berhak.”

“Awak nak tinggalkan saya?”

Rafi pandang aku tidak berkelip.

“Awak pun pernah buat hal yang sama pada saya. Bezanya, dulu awak tinggalkan saya dengan macam-macam persoalan. Sekarang, saya tinggalkan awak dengan alasan yang kukuh. Saya lebih rela kecewa hilang awak daripada buat orang lain berasa kecewa dengan sikap saya. Saya maafkan awak tapi saya harap lepas ni kita takkan berjumpa lagi.”

“Hana….”

Rafi menahan aku bangun.

“Tolong biarkan saya pergi.”

“Kalau awak tak keberatan, biar saya hantar awak balik.”

Rafi menawarkan diri. Mungkin dia ingin tebus rasa bersalahnya terhadap aku. Tetapi sekarang walau apa cara sekalipun dia cuba buat ia tetap tidak dapat mencantumkan kembali hati aku yang sudah terluka.

“Tak apa. Saya boleh balik sendiri,” jawabku lantas terus berjalan tanpa menoleh lagi. Sebenarnya, aku sendiri tidak tahu ke mana hendak heret kaki aku. Aku cuma terdetik hendak larikan diri daripada Rafi sahaja. Aku harap aku takkan bertemu dengan dia lagi.

*****

HARI semakin gelap. Namun orang yang berkunjung ke terminal itu tidak pula aku tengok berkurang. Di celah-celah orang ramai itu aku cuba juga mencari kelibat Hafiz. Sayangnya, tidak kujumpa. Aku periksa telefon tetapitidak ada mesej atau panggilan daripadanya. Aku juga malas hendak menghubunginya.

Akhirnya, aku putuskan untuk balik menaiki teksi sahaja. Lagipun hari sudah hendak maghrib. Perlahan-lahan aku bangun dari bangku dan ingin berjalan ke perhentian teksi di seberang jalan namun niat itu mati apabila Hafiz muncul di depan mata.

“Kan saya suruh awak tunggu kat platform 4. Kenapa awak duduk kat sini? Puas saya cari awak tadi.”

Hafiz merungut setelah menghampiri aku.

“Awak cakap tunggu sekejap je tapi saya tunggu awak kat sini hampir dua jam. Semua kedai dah nak tutup baru awak muncul.”

Aku turut merungut sama. Kalau diikutkan, tempat aku duduk itu bukanlah jauh sangat dari Platform 4 cuma tempatnya agak terlindung sedikit. Mungkin itu yang menyukarkan Hafiz mencari aku.

“Maaflah. Saya tak berniat nak buat awak tertunggu lama. Saya ada hal tadi.”

“Kalau ada hal buat apa susah-susah nak datang jemput saya jugak? Kan saya dah cakap tadi saya boleh balik sendiri.”

“Kan saya dah janji dengan awak yang saya nak datang jemput awak. Jadi saya kenalah kotakan janji saya tu.”

“Mana kereta awak?” soalku tanpa memanjangkan hal tersebut. Hendak bertekak pun tidak ada gunanya juga.

“Seberang jalan sana. Jom,”

Hafiz ambil beg pakaian dari tanganku dan ajak aku ikut langkahnya.

Aku sedikit tergamam namun hanya menurut.

“Awak tukar kereta baru ke?” tanyaku setelah masuk ke dalam kereta. Setahu aku, Hafiz pandu kereta Gen 2 dan bukannya Perdana.

“Taklah. Ni kereta kawan saya. Saya pinjam sekejap.”

“Kereta awak mana?”

“Masuk bengkel,” jawab Hafiz sambil tersenyum.

“Dah tahu tak ada kereta tapi masih nak datang jemput saya jugak. Cubalah jangan nak susahkan diri sendiri sangat.”

Aku merungut sambil menjeling geram. Namun ada sesuatu yang membuatkan aku berasa ingin memandang dia sekali lagi.

“Dahi awak tu, kenapa?”

Aku mengamati kesan lebam di dahi Hafiz yang ditutupi oleh rambutnya. Tadi aku tidak perasan tetapi apabila duduk sebelah menyebelah begini barulah aku sedar dan nampak lebih jelas.

Tangan Hafiz naik meraba dahi. Kemudian dia ukir senyum lagi.

“Sebenarnya, masa saya dalam perjalanan tadi saya kemalangan. Kepala saya terhantuk ke stereng.”

Aku tersentak. Jawapan Hafiz buat mata aku jadi buntang.

“Kenapa awak tak beritahu saya tadi?”

“Saya tak nak awak risau. Kemalangan kecil je. Tak adalah teruk sangat pun. Cuma bahagian depan kereta saya tu je yang remuk sikit. Tapi saya okey.”

“Jadi, sebab tulah awak datang lambat tadi?”

Hafiz angguk.

Tiba-tiba sahaja aku rasa marah dengan diri aku sendiri. Mengapa aku begitu pentingkan diri sendiri? Sedangkan Hafiz sedaya upaya cuba menggembirakan aku tetapi aku tidak pernah nampak semua itu. Di saat itu juga aku rasa hendak menangis apabila mengenangkan kesungguhan Hafiz yang sanggup mengorbankan masanya atas alasan bimbangkan keselamatan aku. Walaupun dia kemalangan tetapi dia masih cuba datang kepadaku untuk mengotakan janjinya. Apakah aku masih hendak membutakan mata dan hati aku?


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.