Home Cerpen Keluarga Biarlah Mama Pergi
Biarlah Mama Pergi
Reeani Annur
7/11/2013 16:05:59
2,454
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga
“CANTIK tak baju Syira ni, papa?” tanya Syira sambil menggayakan gaun pendek berwarna putih separas lutut di hadapan Razlan yang duduk di birai katilnya. Sesekali matanya menoleh ke arah cermin besar berhampiran yang turut memantulkan tubuh montelnya.

Razlan memandang dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki Syira. Dia tersenyum seraya mengangguk perlahan.

“Cantik. Anak papa ni pun cantik juga orangnya,” puji Razlan sambil membetulkan ikatan reben yang menjadi pelengkap gaya di kepala Syira.

Syira tersengih sekaligus menampakkan barisan giginya yang teratur. Tidak ada satu pun yang rumpang. Tegahan papanya yang melarang dia daripada makan gula-gula berjaya menghindarkan dia daripada masalah gigi yang biasa dialami oleh kanak-kanak sebayanya.

“Terima kasih papa sebab belikan gaun ni untuk Syira. Syira sayang papa.” Sekucup ciuman singgah di kedua-dua belah pipi Razlan.

“Papa pun sayang Syira juga,” balas Razlan sambil mendakap erat tubuh Syira.

“Papa, mama jadi datang tak?” tanya Syira lagi usai sahaja pelukan terlerai.

Razlan terdiam seketika. Dia tidak ada jawapan untuk pertanyaan itu. Bagaimana dia harus menjelaskan kepada Syira sedangkan dia sendiri tidak menemukan jawapannya.

“Papa….” Syira menghinggut lengan Razlan beberapa kali sekaligus membuatkan Razlan kembali tersedar.

“Syira dah habis bersiap? Kalau dah siap, Syira turunlah ke bawah dulu ya. Kawan-kawan Syira dah lama tunggu Syira.” Razlan bangkit dari katil sambil memimpin Syira ke muka pintu bilik. Soalan Syira tadi sengaja dibiarkan tergantung.

“Papa belum jawab lagi soalan Syira tadi.”

“Papa tak dapat call mama, sayang. Nanti papa cuba sekali lagi ya,” pujuk Razlan lembut. Hatinya lega apabila Syira menerima alasan yang dia beri tanpa banyak soal dan terus keluar meninggalkannya.

Razlan memerhati ke segenap ruang kamar Syira sebelum dia tutup pintu. Sebuah prem gambar yang terletak diam di atas kepala katil Syira menarik perhatian matanya. Gambar dia, Melissa dan Syira berpelukan berlatar belakangkan Menara Eiffel ketika mereka sekeluarga bercuti ke Paris beberapa tahun lepas.

Sedaya upaya dia paksa bibir mengukir senyuman. Dia rindu dengan kebahagiaan seperti di dalam gambar itu. Tetapi mungkinkah ia akan terulang kembali?

*****

Seminggu sebelum itu…

RAZLAN resah melihat jam di tangan kanannya. Tertanya-tanya dia sendirian sama ada pertemuan yang bakal berlangsung itu akan menjadi kenyataan ataupun sebaliknya.

“Maaf, saya lambat. Dah lama awak tunggu?” tegur satu suara di hadapan Razlan.

Razlan mendongak. Dia tersenyum. Kerisauannya lenyap di saat itu juga. Lega hatinya kerana Mellisa menunaikan janji.

“Tak apa, Lissa. Jemputlah duduk,” pelawanya ramah.

Melissa terus tarik kerusi duduk bersetentangan dengan Razlan.

“Apa khabar?” tanya Razlan memulakan bicara. Wajah Melissa dinodai penuh minat. Dia masih ingat, kecantikan itulah yang membuatkan hatinya terpaut kepada Melissa sehingga berjaya memiliki cintanya. Namun sayang, kebahagiaan itu hanya dikecapi seketika cuma.

“Baik. Ada apa awak nak jumpa saya?” Melissa terus bertanya tujuan sebenar Razlan mahu bertemu dengannya. Dalam masa yang sama, dia cuba mengalih mata Razlan daripada terus meratah wajah mulusnya.

Razlan tersedar. Dia berdeham beberapa kali.

“Syira rindukan awak. Kenapa awak dah lama tak datang jenguk dia?”

“Maaflah, saya sibuk kebelakangan ni. Tak sempat nak cari masa nak datang jenguk dia,” jawab Melissa.

“Lissa…,” sebut Razlan sepatah. Dia berfikir sejenak sambil merenung Melissa. Patutkah dia suarakan isi hatinya?

“Kalau ada apa-apa, cakaplah sekarang. Saya tak boleh lama-lama kat sini.” Melissa mendesak. Melihat reaksi Razlan, dia seolah-olah dapat meneka ada sesuatu yang Razlan hendak nyatakan kepadanya tetapi tidak tahu apa.

“Kita rujuk balik,” kata Razlan senafas. Demi Syira, dia sanggup tebalkan muka pujuk Melissa kembali dalam hidupnya.

“Rujuk balik?” Melissa terkejut. Namun kemudian dia menambah, “Saya tak fikir ia satu keputusan yang bagus. Mungkin lebih baik kita macam ni aje.” Hasrat Razlan ditolak mentah-mentah.

Razlan kecewa. Namun dia enggan cepat berputus asa.

“Tapi Syira perlukan awak, Lissa.”

“Tapi awak tak perlukan saya.” Melissa memandang Razlan seperti orang yang tidak puas hati.

“Awak dah lupa ke apa yang awak pernah cakap pada saya dua tahun lepas? Awak tak perlukan saya sebab saya ni bukan seorang isteri dan ibu yang baik buat awak dan Syira. Jadi untuk apa awak minta saya balik semula ke pangkuan awak?” Melissa mengungkit kembali kata-kata Razlan yang pernah dihamburkan kepadanya. Rasa terluka masih berbekas di hati lagi sehingga kini.

Razlan bisu. Apa yang pernah terbit dari bibirnya kini tertuding ke mukanya semula. Seolah-olah dia menjilat kembali ludah yang telah dia buang.

Perceraian itu memang menyakitkan. Bukan dia seorang sahaja yang merana. Malah, banyak hati orang lain yang turut terluka sama. Dia akui, dia terlalu ikut perasaan saat ungkapan cerai dilafazkan kepada Melissa.

Kesibukan Melissa yang begitu taasub mengejar cita-cita ingin menjadi seorang model terkenal ketika itu buat hati dia jadi berang. Dia merasakan Melissa lebih pentingkan kerjaya berbanding keluarga. Kahwin hanya pada nama. Hakikatnya, alam perkahwinan yang ditempuhi bersama Melissa sama sahaja dengan kehidupan bujang yang pernah dilaluinya sebelum itu kerana semua urusan rumah tangga dan penjagaan anak terpikul di pundaknya seorang.

Tetapi hendak menyalahkan Melissa seratus peratus memang tidak adil kerana dia juga bukan seorang suami yang sempurna. Dia gagal membimbing Melissa menjadi isteri yang baik. Kasihan Syira yang menjadi mangsa dan terlepas kasih sayang seorang ibu.

“Masing-masing buat silap. Tapi saya harap kita dapat beri peluang pada diri kita untuk perbaiki semula semua tu. Saya masih sayangkan awak, Lissa,” luah Razlan jujur.

Tidak mungkin dia dapat menidakkan perasaannya terhadap Melissa. Walaupun sudah lebih dua tahun mereka bercerai sejak perkahwinan yang dibina enam tahun yang lalu ranap, namun hatinya masih tegar menyediakan ruang buat Melissa.

“Kalau kita rujuk, mungkin kita akan mengulangi kesilapan yang sama. Saya tak mahu kecewa buat kali kedua. Lagipun, saya lebih selesa macam ni. Bebas buat apa saja tanpa ada orang kongkong hidup saya.” Melissa tidak sependapat dengan Razlan.

Razlan hilang kata-kata untuk terus memujuk. Sudah matikah segala rasa cinta dan sayang Melissa buat dia? Buat seketika, suasana di antara mereka menjadi hening.

“Terlanjur kita dah berjumpa ni, saya ada sesuatu nak beritahu awak. Ahad depan saya akan berangkat ke London.” Suara Melissa kemudiannya memecah kesunyian.

“Jadi, awak setuju dengan tawaran kerja tu?”

Melissa mengiakan dengan anggukan.

“Saya dah lama tunggu peluang ni. Tak mungkin saya akan lepaskan macam tu aje.” Menjadi model antarabangsa merupakan impiannya sejak dahulu. Tetapi Razlan tidak pernah mengerti keinginannya yang satu itu.

“Tapi hari Ahad ni hari jadi Syira. Saya dah rancang nak adakan majlis untuk dia. Saya ingat nak ajak awak rai sama-sama,” nyata Razlan dengan perasaan hampa.

Ia mungkin berita yang menggembirakan buat Melissa tetapi tidak bagi dia. Dia telah berjanji dengan Syira hendak mengajak Melissa datang meraikan majlis hari jadinya nanti. Sekiranya dia mungkir janji, apa alasan yang dia hendak beri kepada Syira? Tidakkah Melissa terfikir tentang anak kecil itu?

“Maaf, saya tak dapat datang ke majlis tu.” Melissa bertegas tanpa sekelumit simpati.

“Tapi Syira berharap awak datang. Dah dua tahun awak tak sambut hari jadi dia.”

“Maaf, Razlan. Semuanya dah diatur. Saya tak dapat ubah keputusan tu.”

“Lissa, kita pernah berkongsi hidup. Walaupun tak lama, tapi kita pernah bahagia. Syira bukti cinta kita. Takkanlah awak begitu sampai hati buat keputusan tu tanpa fikir perasaan saya dan Syira. Adakah saya dan Syira langsung dah tak bermakna lagi buat awak?” Renungan mata Razlan jatuh tepat ke wajah Melissa mendambakan pengertian.

“Dulu masa awak ceraikan saya, awak pun tak fikir fasal perasaan saya dan Syira, kan? Jadi, saya rasa awak tak berhak nak pertikaikan keputusan saya ni!” Nada suara Melissa tinggi menengking Razlan. Perbualan mereka kini jadi semakin tegang.

“Kalau awak tak nak fikir perasaan saya, sekurang-kurangnya tolonglah fikirkan perasaan Syira.”

“Fasal hari jadi Syira tu, nanti saya akan belikan dia hadiah,” putus Melissa.

“Masalahnya sekarang, Syira mahukan awak. Tak ada hadiah yang lebih bermakna bagi dia selain tengok mama dia ada di depan mata sambut hari jadi dia bersama. Takkanlah awak tak rasa kasihan pada dia?”

Melissa mendengus.

“Razlan, awak boleh marahkan saya kalau itu yang awak nak. Tapi saya takkan patah balik dengan apa yang saya dah mulakan. Maafkan saya.” Melissa terus bangun meninggalkan Razlan.

Hati Razlan luluh.

*****

“PAPA, papa dah tanya mama?” Syira bergegas mendapatkan Razlan setelah melihat kelibatnya muncul di pekarangan kolam renang, tempat berlangsungnya majlis hari jadi Syira.

“Belum, sayang. Mama tak jawab call papa. Nanti papa cuba call lagi ya.” Alasan yang sama diulang buat sekian kalinya oleh Razlan. Tidak tahu sama ada Syira masih mahu percaya ataupun tidak.

“Kenapa mama tak jawab call papa? Mama dah lupa ke hari ni hari jadi Syira?” tanya Syira seakan-akan merajuk. Raut wajahnya berubah menjadi sendu.

Razlan terkedu. Dia tahu jawapannya tidak menyenangkan hati Syira. Tetapi apa lagi alasan yang mampu dia beri? Berkali-kali dia menghubungi Melissa tadi namun hanya suara operator sahaja yang menjawab. Mungkinkah Melissa sudah berangkat pergi?

“Papa, mama dah tak sayangkan Syira lagi ke? Tahun lepas pun mama tak datang juga ke majlis Syira.”

“Syira….” Belum sempat Razlan menjawab, telefon pintar di dalam poket seluar jeansnya mengalun bunyi. Bibirnya melorek senyum setelah melihat nama si pemanggil.

“Mama,” bisiknya kepada Syira sebelum menjawab panggilan tersebut.

“Syira nak cakap dengan mama.” Syira merengek manja sambil meloncat-loncat teruja. Dia cuba capai telefon di tangan Razlan namun Razlan segera letak jari telunjuk di bibir memintanya diam.

“Papa, nak cakap dengan mama,” rayu Syira lagi sambil menghentak-hentakkan kakinya. Apabila permintaannya tidak diendahkan, dia mula berhenti merengek.

“Okey, bye,” ungkap Razlan perlahan sebelum mengakhiri perbualannya dengan Melissa.

“Kenapa papa tak bagi Syira bercakap dengan mama tadi? Sampai hati papa buat Syira macam tu.” Syira tarik muka masam setelah melihat Razlan menyimpan semula telefon ke dalam poket seluar.

“Syira, mari kita pergi potong kek. Kawan-kawan Syira dah lama tunggu tu. Papa pun dah tak sabar nak tengok Syira tiup lilin.” Razlan tarik tangan Syira namun Syira membatukan langkahnya.

“Papa….” Syira merenung Razlan tidak berkelip. “Mama takkan datang, kan?”

Razlan duduk mencangkung sambil memegang kedua-dua belah bahu Syira. Wajah muram Syira ditatap lama sebelum melepas keluhan panjang. Dia dapat menyelami kesedihan Syira.

“Syira, mama dah nak bertolak ke London. Mama takkan balik ke Malaysia lagi lepas ni. Dia dah tinggalkan Syira dan papa. Papa minta maaf sebab tak dapat pujuk mama datang ke majlis Syira.” Suara Razlan lirih memaklumkan hal sebenar.

“Kenapa mama tinggalkan Syira? Mama dah tak sayangkan Syira lagi ke?” Mata Syira mula bergenang. Tidak lama selepas itu, terus gugur manik-manik jernih ke pipi. Terjongket-jongket bahunya menahan sebak.

Razlan terus mendakap tubuh Syira yang sudah meraung di dadanya.

“Jangan menangis, sayang. Biarlah mama pergi kalau itu yang mama mahu. Syira masih ada papa. Papa sayangkan Syira. Papa akan jaga Syira dan jadi mama yang terbaik buat Syira,” bisik Razlan sambil mengusap-usap belakang Syira. Tanpa sedar, air mata lelakinya turut gugur sama.


-TAMAT-


© Reeani Annur 2013

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.