Home Cerpen Cinta Laila Namamu Teratas
Laila Namamu Teratas
Reeani Annur
19/3/2013 20:30:53
2,429
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

WAJAH lelaki di hadapannya dicerlung seperti hendak makan. Rasa geram, marah, dan segala macam perasaan yang seangkatan dengannya hadir silih berganti. Inilah yang dikatakan tak ada fasal sengaja nak cari fasal.

“Tak nak!” tegas Laila.

“Okey, beri aku sebab kenapa kau tak nak?” soal Andy pula seperti tidak berpuas hati.

“Pertama, sebab aku tak nak. Kedua, sebab aku tak mahu. Ketiga, sebab aku tak ingin. Jelas?”

Andy menggaru kepala. Semua jawapan yang Laila beri membawa maksud yang serupa. Ah, orang nak tolong pun tidak sudi. Bukannya dia berniat jahat pun.

“Laila, aku cuma nak tolong kau aje. Salah ke apa yang aku buat ni?”

Laila mengeluh. Jika bukan kerana mereka sekarang berada di tempat awam, memang sudah lama dia luku kepala Andy.

“Kau ni, Andy… berapa kali lagi aku nak cakap. Lain kali, kau tak payahlah sibuk-sibuk nak cari jodoh untuk aku. Cari jodoh kau sendiri sudahlah,” marah Laila.

“Mestilah aku kena sibuk. Kau tu kawan aku. Aku teringin nak tengok kau berkawan dengan seseorang. Lagipun, sampai bila kau nak macam ni? Kawan-kawan kau yang lain semuanya dah ada pasangan. Takkanlah kau tak teringin nak ada boyfriend macam dia orang? Kau tak risau?”

Mata Andy tidak berkelip memandang Laila. Seolah-olah cuba menagih pengertian daripada gadis itu.

Laila menggerising. Dia tidak tahu kenapa Andy begitu beria-ia mahu memadankan dia dengan lelaki lain. Ibu dan ayah dia sendiri pun tidak serisau Andy walaupun lagi sebulan usianya bakal menginjak 27 tahun. Usia yang selayaknya dia bergelar kekasih orang, tunangan orang, isteri orang, ataupun mak orang. Kalau difikirkan logik, orang tua dialah yang patut risau melebihi kerisauan orang lain. Tetapi sekarang, sudah terbalik situasinya. Andy pula yang lebih-lebih.

“Buat apa aku nak ikut orang lain? Biarkanlah dia orang dengan cara dia orang. Aku dengan cara aku. Hal-hal macam ni mana boleh nak paksa-paksa…,” tingkah Laila lagi.

“Aku bukan nak paksa kau. Aku cuma nak suruh kau cuba jelah. Aku jamin, kali ni kau mesti berkenan punyalah. Nanti aku atur perjumpaan di antara kau dengan dia, okey?”

Andy bersungguh-sungguh memberi jaminan kepada Laila. Dia bagaikan tidak peduli dengan reaksi Laila yang kelihatan bengang dengannya. Walau apapun reaksi Laila, dia nekad. Dia tetap mahu kenalkan Laila dengan kawannya.

“Ee… susahlah kalau bercakap dengan orang yang tak faham bahasa Melayu macam kau ni!” dengus Laila seraya meninggalkan Andy yang terjerit-jerit dari belakang memanggil namanya. Kalau dia kata dia tidak suka, dia memang tidak suka!

*****

JANNAH menghulurkan mug berisi air Milo panas kepada Laila yang duduk bersandar rapat di dinding ruang tamu sambil menongkat dagu di atas lutut.

Laila menyambut dan meletakkannya di atas lantai. Namun Air Milo itu hanya dipandang kosong tanpa ada keinginan mahu minum.

“Hmm… nampak sangatlah dia tu memang tak ada perasaan terhadap kau, Laila. Kalau dia tu nak dekat kau, tak adanya dia nak kenalkan kau dengan lelaki lain. Kau pun faham-faham jelah. Tak perlu nak berharap sangat,” nyata Jannah, kemudiannya melabuhkan punggungnya di sebelah Laila. Nescafe ‘O’ di tangannya ditiup perlahan sebelum disuakan ke mulut.

“Tahu…,” balas Laila. Antara dengar dan tidak.

“Haa… kalau kau tahu, bagus! Lepas ni, jangan duk berharap lagi. Kau cari ajelah lelaki lain. Anggap je dia tu bukan jodoh kau. Lagipun, bukannya dia sorang saja lelaki yang ada kat dalam dunia ni.”

Laila mengeluh panjang. Terasa lemah sekali apabila mendengar nasihat teman serumahnya itu. Lagilah buat dia rasa tiada keinginan mahu meneguk minuman yang dibuat oleh Jannah tadi.

“Cakap memanglah senang. Tapi nak lupa tu payah. Aku kenal dia bukannya empat hari tapi dah empat tahun.”

Dia tidak dapat menidakkan hakikat betapa Andy begitu istimewa di hatinya. Andylah lelaki pertama yang telah berjaya mengetuk pintu hati perempuannya sejak putus cinta dengan kekasih lamanya dahulu. Sayangnya, hanya dia seorang sahaja yang merasakan perasaan aneh itu sedangkan Andy pula langsung tidak menunjukkan rasa yang sama.

“Dah tu, kau nak terus berharap?” Jannah terus mengasak pertanyaan. Apabila Laila diam, dia mengeluh sambil menggelengkan kepala.

“Kalau aku jadi kau, dah lama aku cari orang lain. Dia dah bagi kau hint pun kau masih tak faham-faham lagi maksud dia? Laila, Andy tu bukan setakat bagi hint saja yang dia tu tak nakkan kau, tapi dia dah berikan kau buktinya sekali.”

Laila angkat muka dan mengerut dahi.

“Hisy! Kau ni, lambat tangkap betullah. Buktinya, lelaki yang dia nak kenalkan dekat kau tulah!” Jannah berdengus geram. Mana dia tidak geram, hal yang senang nak faham macam itupun Laila susah nak mengerti. Bukannya susah sangat pun nak faham isi hati lelaki kalau sudah tidak berminat dengan mana-mana perempuan.

Kata-kata Jannah itu bagaikan menyentap perasaan Laila. Mungkin ada benarnya. Barangkali, Andy sudah ada orang lain yang dia suka. Jadi sebab itulah Andy mahu rekomenkan sahabatnya kepada dia. Ah, tapi dia bukannya mudah memindahkan perasaan cinta terhadap orang lain.

Telefon bimbit Laila berbunyi kuat. Pantas Laila mengalihkan matanya ke skrin. Tertera nama Andy. Bibirnya melorek senyum. Laju sahaja tangannya menekan butang menjawab panggilan. Apabila menyedari Jannah memerhatikannya, dia bingkas dan berjalan menuju ke balkoni.

“Macam mana, Laila? Kau dah fikir ke fasal hal tu?”

Andy menyoal tanpa bertanya khabar seperti selalu. Kelakuan Andy itu menerbitkan sedikit tanda tanya di hati Laila.

“Hal apa pula ni, Andy?” soalnya.

“Hal yang aku cakap semalam tulah. Fasal aku nak kenalkan kau dengan kawan aku tu,” jawab Andy.

Laila mengeluh. Perasaan teruja yang hinggap di hati sebentar tadi bertempiaran lari dan diganti pula dengan bibit-bibit amarah.

“Kau telefon aku malam-malam macam ni semata-mata sebab nak tanya fasal hal tu aje?”

Nada Laila seperti orang yang kecewa. Nampaknya, Andy benar-benar bersungguh dengan hasratnya itu. Kenapa mesti orang lain dan tidak Andy sendiri?

“Kalau kau setuju, aku nak bawa kau pergi jumpa dia esok.”

“Hah? Kau ni dah gila ke, Andy? Tak naklah aku!” bantah Laila keras.

“Alah, kau ni… bertenanglah. Cuma pergi berjumpa dan kenal-kenal aje. Bukannya nak suruh kau terus bercinta pun. Kau jangan risaulah. Aku pun ada temankan kau esok. Kira jadilah ya. Esok kita jumpa kat tempat biasa.”

“Andy, aku….”

Belum sempat Laila membantah, Andy terlebih dahulu memutuskan panggilan. Laila mengetap bibir. Kenapa Andy tega memperlakukan dia begitu? Tidakkah Andy tahu betapa hatinya begitu sakit apabila dipaksa menyukai orang lain selain dirinya?

*****

PERTEMUANdi antara Laila dan kawan Andy berlangsung sepertimana yang dirancang oleh Andy. Mustaqim nama lelaki itu. Boleh tahan juga orangnya. Namun sedikit pemalu. Cuma hanya Andy seorang sahaja yang tidak tahu malu mengusik dia dan Mustaqim.

Tetapi entah mengapa, hatinya tetap tidak terpaut kepada Mustaqim. Dia kira, jika sekadar mahu berkawan, mungkin dia boleh meneruskan perhubungan itu. Tetapi jika hendak lebih daripada itu dia tidak sanggup! Perasaan dia hanya untuk Andy. Tiada dua atau tiga. Hanya untuk Andy seorang. Kalaulah Andy tahu dan faham. Hati Laila mengeluh kesal.

“Mustaqim tu anak orang kaya tau. Siapa yang dapat dia memang beruntung. Kau cubalah rapat-rapat dengan dia, Laila. Manalah tahu kalau-kalau ada jodoh. Bahagia hidup kau nanti." Andy membuka bicara sewaktu dalam perjalanan pulang menghantar Laila ke rumah sewanya. Dia tersengih memandang Laila.

Laila hanya diam dan melepaskan pandangannya ke luar tingkap kereta. Dia berasa tidak berminat dengan topik yang dipilih oleh Andy.

“Kenapa kau diam je ni? Kau tak suka dia ke?” soal Andy setelah pancing yang diumpannya tidak mengena. Macam bercakap dengan tunggul kayu pun ada juga.

“Andy, yang kau beria-ia sangat nak menjodohkan aku dengan Mustaqim tu, kenapa?” Akhirnya Laila mula bersuara. Wajah Andy direnung tajam. Geramnya terhadap Andy bukan kepalang lagi.

“Aku cuma nak tengok kau gembira.”

“Gembira?” tukas Laila. Kemudian, dia tersenyum sumbing. Andy ni butakah sehingga tidak tahu membezakan mana satu hal yang gembira dan hal yang tidak gembira?

“Kenapa? Salah ke apa yang aku cuba buat?”

“Sangat-sangat!”

“Apa kurangnya Mustaqim? Aku dah tunjukkan kau jalan dan kau cuma perlu buka ruang je untuk dia. Dia seorang lelaki baik. Aku percaya kau akan bahagia dengan dia.”

“Masalahnya sekarang, aku sukakan kau bukannya Mustaqim!” bentak Laila. Walaupun mukanya rasa berbahang membuat pengakuan itu namun ditepis jauh-jauh. Biarlah Andy tahu apa yang terbuku di hatinya. Dia memang tidak dapat mencintai lelaki lain selain Andy. Kalau Andy hendak kata dia gila sekalipun terpulanglah.

Air muka Andy berubah. Lidahnya kelu mahu membalas kata-kata Laila. Akhirnya, suasana di dalam kereta itu menjadi sunyi sepi dan berterusan sehingga sampai di hadapan rumah sewa Laila.

Tanpa menunggu lebih lama, Laila terus sahaja membuka pintu kereta. Baru sahaja dia mahu angkat punggung, Andy memanggilnya perlahan. Laila tidak jadi keluar dan menoleh semula ke arah Andy.

“Aku tahu, kau sukakan aku. Aku pun sukakan kau. Tapi aku buat semua ni sebab aku sayangkan kau, Laila. Tak ada orang kat dalam dunia ni yang sanggup tengok orang yang dia sayang bersedih,” ujar Andy. Matanya menerjah tepat ke wajah Laila. Seolah-olah itulah peluang terakhir dia menatapinya.

Laila terkedu. Tiba-tiba dia dapat merasakan kelainan daripada cara Andy memandangnya. Benarkah Andy sayangkan dia?

*****

LAILA membuka kelopak mata perlahan-lahan. Pandangannya yang kabur semakin lama semakin terang. Suasana di tempat dia berada itu sunyi sepi. Jarum jam di dinding menunjukkan angka tepat ke pukul 2.00 pagi. Dia cuba untuk mengingati kembali detik-detik enam jam yang lepas.

Tiba-tiba jantungnya berdegup kuat. Andy! Bagaimanakah keadaannya sekarang?

“Laila, kau dah sedar?”

Tiba-tiba terdengar suara seseorang menyapanya. Laila segera menoleh ke kanan. Dia menarik nafas lega.

“Andy, syukurlah kau selamat. Aku ingatkan aku dah kehilangan kau,” ungkap Laila. Hatinya tidak henti-henti menyatakan kesyukuran. Tanpa sedar, air matanya merembes keluar dari tubir mata.

Andy yang turut terbaring lemah di atas katil bersebelahan dengan katil Laila menguntum senyum. Wajah Laila yang sedikit pucat itu direnung penuh makna.

“Laila, terima kasih di atas pengorbanan yang kau lakukan untuk aku. Aku minta maaf kalau selama ni aku banyak melukakan perasaan kau. Kau dah sedarkan aku tentang banyak perkara. Aku harap aku takkan kehilangan kau dan lepaskan kau kepada orang lain lagi,” tutur Andy penuh pengharapan.

Sekarang dia sedar, Laila begitu bermakna buatnya. Di dalam hatinya, nama Laila berada di kedudukan paling atas sebagai teman sehidup dan sematinya. Dia berjanji akan membuktikannya apabila sudah sihat nanti.

*****

Tiga bulan yang lalu…

BUKAN begitu caranya untuk kau tunjukkan perasaan sayang kau terhadap aku. Kalau kau fikir cara kau tu akan membuatkan aku rasa gembira, kau silap, Andy. Kau hanya menambahkan kesakitan hati aku. Dan mungkin kau menyakiti hati kau juga.”

“Aku cuma memikirkan kemungkinan buruk yang bakal berlaku. Sekurang-kurangnya, bila aku dah tak ada nanti kau ada pengganti aku yang boleh membahagiakan kau. Dan kau tak kesorangan…,” ujar Andy sambil menyandarkan badannya di kerusi kereta. Dalam pada itu, matanya masih tidak berkalih memandang Laila.

Berat sungguh dugaan yang Tuhan berikan kepada dia. Ternyata penyakit buah pinggang yang dihidapinya itu telah merentap seluruh perasaannya yang tersimpan buat Laila. Dia tidak yakin Laila akan berasa bahagia bersamanya dalam situasi yang dihadapinya sekarang. Ia pasti akan menimbulkan kesusahan buat Laila. Dia tidak mahu Laila berasa terbeban dengan masalah yang dihadapinya.

Jalan terbaik yang dia fikir adalah melepaskan Laila kepada orang lain. Paling tidak, sekiranya nyawa dia ditarik pergi, Laila tidaklah begitu meratapi ketiadaannya nanti kerana sudah ada pengganti lain di sisi.

“Kau pengecut, Andy! Kau kata kau sayang aku. Tapi kau tak berjuang mempertahankan rasa sayang kau terhadap aku. Kau sedang membunuh rasa sayang yang sedang kau tanggung. Jika aku bersama dia sekalipun, adakah kau benar-benar pasti aku akan bahagia? Kenapa kau tak mahu beri peluang kepada aku dan diri kau sendiri untuk merasakan perasaan tu?”

Kelopak mata Laila mula digenangi air. Dia faham, Andy cuba berkorban demi mahu melihat dia bahagia. Tetapi dia yakin, pengorbanan itu tidak berbaloi sekiranya Andy memperjudikan rasa sayang itu sedangkan rasa cinta dan sayangnya terhadap Andy lebih daripada itu.

Andy meraup wajah. Sedikit sebanyak, kata-kata Laila diakui. Namun dia ada sebab yang kukuh mengapa dia lakukan semua itu. Bukannya dia suka-suka mahu menyerahkan orang yang dia sayang kepada orang lain.

“Masa aku dah terlalu suntuk, Laila. Doktor cakap, kalau aku tak dapat cari penderma buah pinggang yang sesuai, aku mungkin tak dapat bertahan lama.”

“Kau lebih percaya cakap doktor daripada ketentuan Tuhan? Doktor hanya menjangkakan tapi semua tu bergantung kepada takdir Tuhan. Kau tak boleh putus asa. Kau kena berjuang. Kau lelaki. Sepatutnya, kau kena lebih kuat bukannya jadi selemah ni!” bentak Laila. Dia seakan-akan cuba mencabar Andy yang kelihatan seperti sudah kalah dengan perjuangan hidupnya sendiri.

Andy tunduk membisu. Dia kehilangan kata-kata.

Laila merenung Andy lama. Mungkin Andy terasa dengan kata-katanya tadi. Ah, dia tidak berniat mahu menyinggung perasaan Andy tetapi Andy tidak seharusnya cepat mengalah.

“Mesti ada jalan penyelesaiannya. Kau mesti kuat. Kalau kau lemah, kau akan mempengaruhi aku untuk jadi lemah seperti kau juga.”

“Laila, ia tak semudah yang kau fikirkan. Aku….”

“Aku sanggup dermakan sebelah buah pinggang aku untuk kau. Kita berusaha. Selebihnya kita berserah kepada Tuhan.”

“Laila….” Andy sekali lagi terpempan.

“Nanti kau bawa aku pergi jumpa doktor dan kita sama-sama berjuang.”

Laila meyakinkan Andy. Dalam sendu, ada garisan senyuman yang terukir di bibirnya. Dia ikhlas. Demi Andy.


-TAMAT-

© Reeani Annur 2013


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.