WAJAH
lelaki di hadapannya dicerlung seperti hendak makan. Rasa geram, marah,
dan segala macam perasaan yang seangkatan dengannya hadir silih
berganti. Inilah yang dikatakan tak ada fasal sengaja nak cari fasal.
“Tak nak!” tegas Laila.
“Okey, beri aku sebab kenapa kau tak nak?” soal Andy pula seperti tidak berpuas hati.
“Pertama, sebab aku tak nak. Kedua, sebab aku tak mahu. Ketiga, sebab aku tak ingin. Jelas?”
Andy
menggaru kepala. Semua jawapan yang Laila beri membawa maksud yang
serupa. Ah, orang nak tolong pun tidak sudi. Bukannya dia berniat jahat
pun.
“Laila, aku cuma nak tolong kau aje. Salah ke apa yang aku buat ni?”
Laila mengeluh. Jika bukan kerana mereka sekarang berada di tempat awam, memang sudah lama dia luku kepala Andy.
“Kau
ni, Andy… berapa kali lagi aku nak cakap. Lain kali, kau tak payahlah
sibuk-sibuk nak cari jodoh untuk aku. Cari jodoh kau sendiri sudahlah,”
marah Laila.
“Mestilah
aku kena sibuk. Kau tu kawan aku. Aku teringin nak tengok kau berkawan
dengan seseorang. Lagipun, sampai bila kau nak macam ni? Kawan-kawan kau
yang lain semuanya dah ada pasangan. Takkanlah kau tak teringin nak ada
boyfriend macam dia orang? Kau tak risau?”
Mata Andy tidak berkelip memandang Laila. Seolah-olah cuba menagih pengertian daripada gadis itu.
Laila
menggerising. Dia tidak tahu kenapa Andy begitu beria-ia mahu
memadankan dia dengan lelaki lain. Ibu dan ayah dia sendiri pun tidak
serisau Andy walaupun lagi sebulan usianya bakal menginjak 27 tahun.
Usia yang selayaknya dia bergelar kekasih orang, tunangan orang, isteri
orang, ataupun mak orang. Kalau difikirkan logik, orang tua dialah yang
patut risau melebihi kerisauan orang lain. Tetapi sekarang, sudah terbalik situasinya. Andy pula yang lebih-lebih.
“Buat
apa aku nak ikut orang lain? Biarkanlah dia orang dengan cara dia
orang. Aku dengan cara aku. Hal-hal macam ni mana boleh nak
paksa-paksa…,” tingkah Laila lagi.
“Aku
bukan nak paksa kau. Aku cuma nak suruh kau cuba jelah. Aku jamin, kali
ni kau mesti berkenan punyalah. Nanti aku atur perjumpaan di antara kau
dengan dia, okey?”
Andy
bersungguh-sungguh memberi jaminan kepada Laila. Dia bagaikan tidak
peduli dengan reaksi Laila yang kelihatan bengang dengannya. Walau
apapun reaksi Laila, dia nekad. Dia tetap mahu kenalkan Laila dengan
kawannya.
“Ee…
susahlah kalau bercakap dengan orang yang tak faham bahasa Melayu macam
kau ni!” dengus Laila seraya meninggalkan Andy yang terjerit-jerit dari
belakang memanggil namanya. Kalau dia kata dia tidak suka, dia memang
tidak suka!
*****
JANNAH
menghulurkan mug berisi air Milo panas kepada Laila yang duduk
bersandar rapat di dinding ruang tamu sambil menongkat dagu di atas
lutut.
Laila menyambut dan meletakkannya di atas lantai. Namun Air Milo itu hanya dipandang kosong tanpa ada keinginan mahu minum.
“Hmm…
nampak sangatlah dia tu memang tak ada perasaan terhadap kau, Laila.
Kalau dia tu nak dekat kau, tak adanya dia nak kenalkan kau dengan
lelaki lain. Kau pun faham-faham jelah. Tak perlu nak berharap sangat,”
nyata Jannah, kemudiannya melabuhkan punggungnya di sebelah Laila.
Nescafe ‘O’ di tangannya ditiup perlahan sebelum disuakan ke mulut.
“Tahu…,” balas Laila. Antara dengar dan tidak.
“Haa…
kalau kau tahu, bagus! Lepas ni, jangan duk berharap lagi. Kau cari
ajelah lelaki lain. Anggap je dia tu bukan jodoh kau. Lagipun, bukannya
dia sorang saja lelaki yang ada kat dalam dunia ni.”
Laila
mengeluh panjang. Terasa lemah sekali apabila mendengar nasihat teman
serumahnya itu. Lagilah buat dia rasa tiada keinginan mahu meneguk
minuman yang dibuat oleh Jannah tadi.
“Cakap memanglah senang. Tapi nak lupa tu payah. Aku kenal dia bukannya empat hari tapi dah empat tahun.”
Dia
tidak dapat menidakkan hakikat betapa Andy begitu istimewa di hatinya.
Andylah lelaki pertama yang telah berjaya mengetuk pintu hati
perempuannya sejak putus cinta dengan kekasih lamanya dahulu. Sayangnya,
hanya dia seorang sahaja yang merasakan perasaan aneh itu sedangkan
Andy pula langsung tidak menunjukkan rasa yang sama.
“Dah
tu, kau nak terus berharap?” Jannah terus mengasak pertanyaan. Apabila
Laila diam, dia mengeluh sambil menggelengkan kepala.
“Kalau
aku jadi kau, dah lama aku cari orang lain. Dia dah bagi kau hint pun
kau masih tak faham-faham lagi maksud dia? Laila, Andy tu bukan setakat
bagi hint saja yang dia tu tak nakkan kau, tapi dia dah berikan kau
buktinya sekali.”
Laila angkat muka dan mengerut dahi.
“Hisy! Kau ni, lambat tangkap betullah. Buktinya, lelaki yang dia nak kenalkan dekat kau tulah!” Jannah
berdengus geram. Mana dia tidak geram, hal yang senang nak faham macam
itupun Laila susah nak mengerti. Bukannya susah sangat pun nak faham isi
hati lelaki kalau sudah tidak berminat dengan mana-mana perempuan.
Kata-kata
Jannah itu bagaikan menyentap perasaan Laila. Mungkin ada benarnya.
Barangkali, Andy sudah ada orang lain yang dia suka. Jadi sebab itulah
Andy mahu rekomenkan sahabatnya kepada dia. Ah, tapi dia bukannya mudah
memindahkan perasaan cinta terhadap orang lain.
Telefon
bimbit Laila berbunyi kuat. Pantas Laila mengalihkan matanya ke skrin.
Tertera nama Andy. Bibirnya melorek senyum. Laju sahaja tangannya
menekan butang menjawab panggilan. Apabila menyedari Jannah
memerhatikannya, dia bingkas dan berjalan menuju ke balkoni.
“Macam mana, Laila? Kau dah fikir ke fasal hal tu?”
Andy menyoal tanpa bertanya khabar seperti selalu. Kelakuan Andy itu menerbitkan sedikit tanda tanya di hati Laila.
“Hal apa pula ni, Andy?” soalnya.
“Hal yang aku cakap semalam tulah. Fasal aku nak kenalkan kau dengan kawan aku tu,” jawab Andy.
Laila mengeluh. Perasaan teruja yang hinggap di hati sebentar tadi bertempiaran lari dan diganti pula dengan bibit-bibit amarah.
“Kau telefon aku malam-malam macam ni semata-mata sebab nak tanya fasal hal tu aje?”
Nada
Laila seperti orang yang kecewa. Nampaknya, Andy benar-benar bersungguh
dengan hasratnya itu. Kenapa mesti orang lain dan tidak Andy sendiri?
“Kalau kau setuju, aku nak bawa kau pergi jumpa dia esok.”
“Hah? Kau ni dah gila ke, Andy? Tak naklah aku!” bantah Laila keras.
“Alah,
kau ni… bertenanglah. Cuma pergi berjumpa dan kenal-kenal aje. Bukannya
nak suruh kau terus bercinta pun. Kau jangan risaulah. Aku pun ada
temankan kau esok. Kira jadilah ya. Esok kita jumpa kat tempat biasa.”
“Andy, aku….”
Belum
sempat Laila membantah, Andy terlebih dahulu memutuskan panggilan.
Laila mengetap bibir. Kenapa Andy tega memperlakukan dia begitu?
Tidakkah Andy tahu betapa hatinya begitu sakit apabila dipaksa menyukai orang lain selain dirinya?
*****
PERTEMUANdi
antara Laila dan kawan Andy berlangsung sepertimana yang dirancang oleh
Andy. Mustaqim nama lelaki itu. Boleh tahan juga orangnya. Namun
sedikit pemalu. Cuma hanya Andy seorang sahaja yang tidak tahu malu
mengusik dia dan Mustaqim.
Tetapi
entah mengapa, hatinya tetap tidak terpaut kepada Mustaqim. Dia kira,
jika sekadar mahu berkawan, mungkin dia boleh meneruskan perhubungan
itu. Tetapi jika hendak lebih daripada itu dia tidak sanggup! Perasaan
dia hanya untuk Andy. Tiada dua atau tiga. Hanya untuk Andy seorang.
Kalaulah Andy tahu dan faham. Hati Laila mengeluh kesal.
“Mustaqim
tu anak orang kaya tau. Siapa yang dapat dia memang beruntung. Kau
cubalah rapat-rapat dengan dia, Laila. Manalah tahu kalau-kalau ada
jodoh. Bahagia hidup kau nanti." Andy membuka bicara sewaktu dalam perjalanan pulang menghantar Laila ke rumah sewanya. Dia tersengih memandang Laila.
Laila
hanya diam dan melepaskan pandangannya ke luar tingkap kereta. Dia
berasa tidak berminat dengan topik yang dipilih oleh Andy.
“Kenapa
kau diam je ni? Kau tak suka dia ke?” soal Andy setelah pancing yang
diumpannya tidak mengena. Macam bercakap dengan tunggul kayu pun ada
juga.
“Andy, yang kau beria-ia sangat nak menjodohkan aku dengan Mustaqim tu, kenapa?” Akhirnya Laila mula bersuara. Wajah Andy direnung tajam. Geramnya terhadap Andy bukan kepalang lagi.
“Aku cuma nak tengok kau gembira.”
“Gembira?”
tukas Laila. Kemudian, dia tersenyum sumbing. Andy ni butakah sehingga
tidak tahu membezakan mana satu hal yang gembira dan hal yang tidak
gembira?
“Kenapa? Salah ke apa yang aku cuba buat?”
“Sangat-sangat!”
“Apa
kurangnya Mustaqim? Aku dah tunjukkan kau jalan dan kau cuma perlu buka
ruang je untuk dia. Dia seorang lelaki baik. Aku percaya kau akan
bahagia dengan dia.”
“Masalahnya
sekarang, aku sukakan kau bukannya Mustaqim!” bentak Laila. Walaupun
mukanya rasa berbahang membuat pengakuan itu namun ditepis jauh-jauh.
Biarlah Andy tahu apa yang terbuku di hatinya. Dia memang tidak dapat
mencintai lelaki lain selain Andy. Kalau Andy hendak kata dia gila
sekalipun terpulanglah.
Air
muka Andy berubah. Lidahnya kelu mahu membalas kata-kata Laila.
Akhirnya, suasana di dalam kereta itu menjadi sunyi sepi dan berterusan
sehingga sampai di hadapan rumah sewa Laila.
Tanpa
menunggu lebih lama, Laila terus sahaja membuka pintu kereta. Baru
sahaja dia mahu angkat punggung, Andy memanggilnya perlahan. Laila tidak
jadi keluar dan menoleh semula ke arah Andy.
“Aku
tahu, kau sukakan aku. Aku pun sukakan kau. Tapi aku buat semua ni
sebab aku sayangkan kau, Laila. Tak ada orang kat dalam dunia ni yang
sanggup tengok orang yang dia sayang bersedih,” ujar Andy. Matanya
menerjah tepat ke wajah Laila. Seolah-olah itulah peluang terakhir dia
menatapinya.
Laila terkedu. Tiba-tiba dia dapat merasakan kelainan daripada cara Andy memandangnya. Benarkah Andy sayangkan dia?
*****
LAILA
membuka kelopak mata perlahan-lahan. Pandangannya yang kabur semakin
lama semakin terang. Suasana di tempat dia berada itu sunyi sepi. Jarum
jam di dinding menunjukkan angka tepat ke pukul 2.00 pagi. Dia cuba
untuk mengingati kembali detik-detik enam jam yang lepas.
Tiba-tiba jantungnya berdegup kuat. Andy! Bagaimanakah keadaannya sekarang?
“Laila, kau dah sedar?”
Tiba-tiba terdengar suara seseorang menyapanya. Laila segera menoleh ke kanan. Dia menarik nafas lega.
“Andy,
syukurlah kau selamat. Aku ingatkan aku dah kehilangan kau,” ungkap
Laila. Hatinya tidak henti-henti menyatakan kesyukuran. Tanpa sedar, air
matanya merembes keluar dari tubir mata.
Andy
yang turut terbaring lemah di atas katil bersebelahan dengan katil
Laila menguntum senyum. Wajah Laila yang sedikit pucat itu direnung
penuh makna.
“Laila,
terima kasih di atas pengorbanan yang kau lakukan untuk aku. Aku minta
maaf kalau selama ni aku banyak melukakan perasaan kau. Kau dah sedarkan
aku tentang banyak perkara. Aku harap aku takkan kehilangan kau dan
lepaskan kau kepada orang lain lagi,” tutur Andy penuh pengharapan.
Sekarang
dia sedar, Laila begitu bermakna buatnya. Di dalam hatinya, nama Laila
berada di kedudukan paling atas sebagai teman sehidup dan sematinya. Dia
berjanji akan membuktikannya apabila sudah sihat nanti.
*****
Tiga bulan yang lalu…
“BUKAN
begitu caranya untuk kau tunjukkan perasaan sayang kau terhadap aku.
Kalau kau fikir cara kau tu akan membuatkan aku rasa gembira, kau silap,
Andy. Kau hanya menambahkan kesakitan hati aku. Dan mungkin kau
menyakiti hati kau juga.”
“Aku
cuma memikirkan kemungkinan buruk yang bakal berlaku.
Sekurang-kurangnya, bila aku dah tak ada nanti kau ada pengganti aku
yang boleh membahagiakan kau. Dan kau tak kesorangan…,” ujar Andy sambil
menyandarkan badannya di kerusi kereta. Dalam pada itu, matanya masih
tidak berkalih memandang Laila.
Berat
sungguh dugaan yang Tuhan berikan kepada dia. Ternyata penyakit buah
pinggang yang dihidapinya itu telah merentap seluruh perasaannya yang
tersimpan buat Laila. Dia tidak yakin Laila akan berasa bahagia
bersamanya dalam situasi yang dihadapinya sekarang. Ia pasti akan
menimbulkan kesusahan buat Laila. Dia tidak mahu Laila berasa terbeban
dengan masalah yang dihadapinya.
Jalan
terbaik yang dia fikir adalah melepaskan Laila kepada orang lain.
Paling tidak, sekiranya nyawa dia ditarik pergi, Laila tidaklah begitu
meratapi ketiadaannya nanti kerana sudah ada pengganti lain di sisi.
“Kau
pengecut, Andy! Kau kata kau sayang aku. Tapi kau tak berjuang
mempertahankan rasa sayang kau terhadap aku. Kau sedang membunuh rasa
sayang yang sedang kau tanggung. Jika aku bersama dia sekalipun, adakah
kau benar-benar pasti aku akan bahagia? Kenapa kau tak mahu beri peluang
kepada aku dan diri kau sendiri untuk merasakan perasaan tu?”
Kelopak
mata Laila mula digenangi air. Dia faham, Andy cuba berkorban demi mahu
melihat dia bahagia. Tetapi dia yakin, pengorbanan itu tidak berbaloi
sekiranya Andy memperjudikan rasa sayang itu sedangkan rasa cinta dan
sayangnya terhadap Andy lebih daripada itu.
Andy
meraup wajah. Sedikit sebanyak, kata-kata Laila diakui. Namun dia ada
sebab yang kukuh mengapa dia lakukan semua itu. Bukannya dia suka-suka
mahu menyerahkan orang yang dia sayang kepada orang lain.
“Masa
aku dah terlalu suntuk, Laila. Doktor cakap, kalau aku tak dapat cari
penderma buah pinggang yang sesuai, aku mungkin tak dapat bertahan
lama.”
“Kau
lebih percaya cakap doktor daripada ketentuan Tuhan? Doktor hanya
menjangkakan tapi semua tu bergantung kepada takdir Tuhan. Kau tak boleh
putus asa. Kau kena berjuang. Kau lelaki. Sepatutnya, kau kena lebih
kuat bukannya jadi selemah ni!” bentak Laila. Dia seakan-akan cuba
mencabar Andy yang kelihatan seperti sudah kalah dengan perjuangan
hidupnya sendiri.
Andy tunduk membisu. Dia kehilangan kata-kata.
Laila
merenung Andy lama. Mungkin Andy terasa dengan kata-katanya tadi. Ah,
dia tidak berniat mahu menyinggung perasaan Andy tetapi Andy tidak
seharusnya cepat mengalah.
“Mesti ada jalan penyelesaiannya. Kau mesti kuat. Kalau kau lemah, kau akan mempengaruhi aku untuk jadi lemah seperti kau juga.”
“Laila, ia tak semudah yang kau fikirkan. Aku….”
“Aku sanggup dermakan sebelah buah pinggang aku untuk kau. Kita berusaha. Selebihnya kita berserah kepada Tuhan.”
“Laila….” Andy sekali lagi terpempan.
“Nanti kau bawa aku pergi jumpa doktor dan kita sama-sama berjuang.”
Laila meyakinkan Andy. Dalam sendu, ada garisan senyuman yang terukir di bibirnya. Dia ikhlas. Demi Andy.
-TAMAT-
© Reeani Annur 2013