Home Cerpen Seram/Misteri PULANGKAN
PULANGKAN
Zie Saila
22/4/2019 09:21:37
4,795
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Sewaktu mereka sampai di rumah, hari telahpun beransur gelap. Amin dan Adi segera mengeluarkan segala barang perkhemahan mereka dari dalam kereta. Perkhemahan di tepi air terjun selama dua hari itu, benar-benar memuaskan hati. Masih teringat-ingat suasana tepian sungai yang amat nyaman dan mendamaikan.

 

Usai membersihkan diri, kedua-dua sahabat itu menikmati makan malam yang dibeli dalam perjalanan pulang tadi. Setelah itu,mereka bersantai-santai dan berbual-bual pula di ruang tamu. Sambil itu, Amin terus memasang televisyen. Sesekejap Adi melihat Amin menekan-nekan butang ala tkawalan jauh televisyen.

 

Akibat rasa mengantuk yang teramat, Adi terlelap di sofa. Tiba-tiba, dia terjaga. Dilihatnya Amin telah tiada di situ.Televisyen pula masih terpasang. Jam di atas meja dikerling sekilas. Pukul satu pagi.

 

“Dah pukul satu? Haishh... Kenapalah Amin tak kejutkan aku,” sungut Adi sendirian. Adi bangun perlahan-lahan lalu menutup suis televisyen. Langkahnya diatur lemah menuju ke bilik.

 

Sedang dia menaiki tangga menuju ke biliknya, tiba-tiba Adi terdengar sesuatu. Adi memberhentikan langkahnya. Dia cuba mengamati bunyi tersebut. Keningnya berkerut. Dia masih tidak dapat memastikan apakah bunyi pelik tersebut. Namun dia amat pasti bunyi yang didengarinya itu datang dari luar rumah.

 

Adi melangkah turun semula dari tangga.Langsir tingkap dikuak perlahan. Sebaik sahaja langsir diselak, Adi benar-benar terkejut.

 

Di luar rumahnya berdiri satu lembaga yang amat mengerikan. Badannya hitam dan berbulu. Matanya yang merah menyala tajam merenung Adi. Mulutnya pula menyeringai menampakkan taringnya yang panjang. Waktu itu juga Adi terdengar bunyi menderam yang agak kuat.

 

Jantung Adi berdegup kencang. Cepat-cepat dia menutup langsir lantas berlari menaiki tangga. Pintu bilik Amin diketuk bertalu-talu, namun tiada jawapan.

 

“Amin! Amin! Bangun!” Jerit Adi sambil terus mengetuk-ngetuk pintu bilik Amin dengan kuat. Pintu masih tidak dibuka.

 “Aduh!Mana pulak Amin ni!” Katanya sendiri.

“Amin!Buka pintu ni!” Jerit Adi lagi. Namun masih tiada jawapan. Bunyi menderam diluar rumah semakin kuat. Sesekali terdengar dinding rumah seperti dicakar.


Adi semakin kecut lalu dia pantas berlari masuk ke biliknya. Adi terus melompat naik ke atas katil lantas berselubung dengan selimut nipisnya. Badan Adi menggigil. Seluruh tubuhnya berpeluh. Adi benar-benar takut. Sejak dia menyewa di rumah itu bersama Amin, tidak pernah mereka diganggu oleh makhluk seperti itu.

 

Adi cuba membaca ayat-ayat yang terlintas difikirannya. Namun segalanya lintang-pukang. Hanya perkataan ‘bismillah’ yang dapat diulang-ulang. Bajunya semakin basah bermandikan peluh.

 

Tiba-tiba Adi terdengar bunyi menderambetul-betul di hadapan biliknya. Adi semakin takut. Bunyi cakaran juga semakinkuat.


“Pergi! Pergi! Apa kau nak dari aku ha?” Jerit Adi, cuba memberanikan diri. Suara menderam di luar pintu biliknya semakin jelas.

 

“Pulangkan barang aku yang kau ambil!” Tiba-tiba Adi terdengar suara garau dan bergema dari luar biliknya. Pintu dan dinding biliknya terus dicakar. Adi semakin kecut. Jantungnya berdegup kuat.

 

“Barang? Barang apa? Aku tak ambil barang sesiapa!” Tanya Adi dengan suara yang menggigil.

 

“Pulangkan barang aku!” Makhluk itu bersuara lagi. Kali ini lebih kuat. Adi dapat merasakan makhluk itu semakin mendekat. Adi mengintai dari balik selimutnya.

 

Adi dapat melihat lembaga hitam itu dengan lebih jelas. Bau hamis dan hanyir serta merta menusuk ke hidungnya. Tangannya yang kasar dan berbulu cuba mencengkam tangan Adi. Adi tergamam. Dia cuba menjerit namun suaranya seperti tersekat di kerongkong.

 

“Pulangkan barang aku! Pulangkan!” Jerkah makhluk itu lagi. Adi dapat merasakan tangan makhluk itu memegang kuat tangannya.

 

Adi meronta-ronta mahu melepaskan pegangan makhluk tersebut. Sehabis daya Adi cuba menjerit, tetapi tiada suara yang keluar dari kerongkongnya. Tangan berbulu itu kini mahu mencekiknya pula. Adi terus bergelut cuba melepaskan tengkuknya dari dicekik.

 

“Pergi! Pergi!” Akhirnya dapat juga Adi bersuara. Namun, tangan berbulu itu masih terus memegangnya. Sedaya upaya Adi cuba meronta lagi.

 

“Adi! Adi!” Kau kenapa? Tiba-tiba Adi tersedar. Dihadapannya kini hanya ada Amin. Adi memandang sekeliling.

 

“Mana dia Min? Mana dia?” Tanya Adi kehairanan. Adi terus memandang sekelilingnya, mencari-cari sesuatu

.

“Mana apa? Kau kenapa ni?” Tanya Amin lagi. Hairan betul dia apabila melihat keadaan Adi begitu. Selimut dan bantalnya habis bersepah di atas katil.  Amin terpandang tangan Adi. Ada kesan lebam seperti dicengkam kuat.

 

“Kenapa tangan kau ni?” Tanya Amin kehairanan.

 

Sebaik sahaja melihat tangannya, Adi terus menangis ketakutan. Amin bertambah hairan.

 

"Amin... Aku mintak maaf. Aku tak ikut cakap kau,” Adi terus menggenggam tangan Amin. Amin semakin bingung.

 

“Kau dah bagitau aku, jangan usik atau ambil apa-apa dari tempat kita berkhemah tu... Tapi aku ambil jugak Min,” akui Adi.

 

“Hah? Kau ambil apa?” Tanya Amin, terkejut berbaur kecewa.

 

“Aku ambil seketul batu je Min. Aku tengok batu tu cantik sangat. Jadi aku ambillah. Aku ingatkan tak ada apa-apa Min. Seketul batu aje pun,” jelas Adi. Tangannya sedikit menggigil.

 

Amin mengeluh. Kepalanya digeleng. Sudah banyak kali dia mengingatkan Adi. Rupa-rupanya nasihatnya itu tidak langsung diendahkan.

 

“Habis, apa jadi pada kau ni?” Tanya Amin sambil melihat keadaan bilik Adi yang bersepah. Dengan suara yang terketar-ketar, Adi menceritakan segalanya kepada Amin.

 

“Pagi-pagi nanti kita ke sana semula ye Min.Aku nak pulangkan semula batu tu ke tempatnya,” rayu Adi setelah dia menamatkan ceritanya.

 

Amin hanya mengangguk.

 

- TAMAT -

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zie Saila