Home Cerpen Seram/Misteri PERCAYA
PERCAYA
Zie Saila
12/4/2019 10:33:06
1,620
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

“Apahal ni?” Tanya Encik Murad kepada beberapa orang kakitangannya yang sedang berkumpul di satu sudut pejabat.


“Cerita hantu, Encik Murad,” jawab Johan serba salah.


Encik Murad mendengus. “Huh! Mengarut lah kamu semua ni! Mana ada hantu! Saya tak percayalah hantu-hantu ni!” Sanggah Encik Murad.

 

“Pagi tadi pengawal bangunan cerita, dia nampak hantu kat pejabat kita ni semalam. Dia kata...” Hanif cuba bercerita, namun Encik Murad cepat-cepat memotong cakapnya.

 

“Sudah! Jangan mengarut. Bangunan pejabat kita ni bangunan baru. Mana ada hantu! Dah,dah! Pergi buat kerja masing-masing,” arah Encik Murad.

 

“Ana!”panggil Encik Murad tiba-tiba.

 

Ana yang baru sahaja mahu melangkah ke tempatnya menoleh.

 

“Hari ini saya nak awak ‘stayback’. Ada banyak dokumen yang saya perlu siapkan, dan awak kena tolong saya,” ujar Encik Murad kepada keraninya itu.

 

“Baiklah Encik Murad,” sahut Ana lalu segera berlalu ke mejanya.

 

**********

Jam didinding biliknya telah menunjukkan hampir lapan setengah malam. Encik Murad mengeluh.Masih ada beberapa dokumen lagi yang harus disiapkan. Esok dia perlu menyerahkan semua dokumen tersebut kepada Ahli Lembaga Pengarah.

 

“Ana,”panggil Encik Murad sedikit kuat dari dalam biliknya.

 

Seketika kemudian Ana menjengukkan wajahnya di muka pintu bilik Encik Murad.

 

“Awak tolong susun semua dokumen yang awak fotostat tadi tu. ‘Compile’ jadi 10 set,”arah Encik Murad sambil menunjuk ke arah dokumen yang berlambak di atas meja mesyuarat di biliknya. Ana hanya mengangguk dan memulakan kerja-kerjanya.

 

Sedang Encik murad leka menaip di komputer, telefon bimbitnya berbunyi. Nombor yang tidak dikenali tertera di skrin telefon.

 

“Hello,”jawab Encik Murad.

 

“Hello,Encik Murad. Ana ni,” jawab suara di talian. Kening Encik Murad berkerut.

 

“Siapa?”Tanya Encik Murad, inginkan kepastian. 


“Ana.Bateri saya habis. Saya guna telefon mak saya ni.”

 

Encik Murad terus kelu. Dahi dan tangannya mula berpeluh.

 

“Maaf,tadi saya terpaksa balik dulu. Ayah saya dimasukkan ke hospital. Masa tu Encik Murad tengah solat maghrib. Lupa pulak saya nak tinggalkan nota. Dan esok saya terpaksa cuti,” sambung Ana lagi apabila tiada balasan daripada Encik Murad.

 

Talian segera diputuskan. Encik Murad terus berpaling ke arah Ana yang sedang membelakanginya. Matanya tertancap kepada jari-jari panjang dan runcing yang sedang menyusun dokumen-dokumen di atas meja itu. Jelas kelihatan kuku-kukunya yang panjang dan hitam.

 

Seketika kemudian ‘Ana’ memusingkan badannya perlahan-lahan menghadap Encik Murad. Encik Murad terpempan. Wajah makhluk di hadapannya itu amat hodoh dan mengerikan.Kulit dan daging mukanya telah mereput, buruk dan busuk. Kelihatan ulat-ulat merayap keluar dengan banyak dari kedua-dua belah matanya yang lompong. Makhluk itu seolah-olah memandang tepat ke arah Encik Murad.

 

Encik Murad terkaku. Mukanya benar-benar pucat. Seluruh tubuhnya menggigil dan berpeluh. Dia cuba lari tetapi kakinya seolah-olah terpaku ke lantai.

 

Saat itu juga, hidungnya terhidu bau yang amat busuk dan meloyakan. Dia cuba membaca segala ayat yang terlintas di fikiran. Namun semua yang dibacanya hanya tersekat dikerongkong. Makhluk itu semakin mendekat. Bau busuk seakan bangkai dan hanyir darah, bersilih ganti. Encik Murad semakin loya.

 

Akhirnya,Encik Murad berjaya juga menggerakkan kakinya lalu terus lari lintang-pukang keluar dari pejabatnya. Dari belakangnya, kedengaran suara hilaian yang amat mengerikan seolah-olah makhluk itu sedang mengejarnya.

 

**********


“Lambat kau balik hari ni Johan?” Tegur Hanif yang baru pulang dari tapak pembinaan. Jam di pergelangan tangannya telah menunjukkan pukul lima setengah petang.

 

“Haah. Aku baru je masuk pejabat ni. Tadi jumpa client. Sebelum masuk tadi Encik Murad call aku, mintak tolong siapkan semua dokumen yang nak bagi pada Lembaga Pengarah,” jawab Johan jujur.

 

“Encik Murad ke mana?” Hanif menjengukkan kepalanya ke dalam bilik Encik Murad yang kelihatan agak bersepah.

 

“Cuti sakit dua hari. Demam panas katanya,” terang Johan.

 

“Kau nak kena hantar bila tu?” Soal Hanif lagi.

 

“Sepatutnya hari ni. Tapi Encik Murad kata dia dah minta tangguh sampai esok,” jelas Johan sambil terus menaip di komputer.

 

“Banyak jugak ni. Harap-harap sempatlah aku siapkan,” keluh Johan.

 

“Hmmm.Kalau banyak sangat, mintalah Ana tolong kau,” cadang Hanif.

 

“Eh? Ana datang ke? Tadi Encik Murad bagitau aku, dia cuti kecemasan hari ni. Ayahnya masuk hospital,” tanya Johan kehairanan.

 

“Masa akulalu tadi, ada je aku nampak kat tempat dia,” terang Hanif.

 

“Fuh!Kalau dia ada, ‘cantek’ lah tu. Cepat sikit kerja ni siap,” ujar Johan kelegaan. Langkah terus diatur ke meja Ana.

 

“Ana,”panggil Johan. Ana menoleh.

 

“Awak jangan balik dulu ye. Tolong saya siapkan dokumen Encik Murad ni,” pinta Johan. Ana hanya mengangguk.

 

Sebaik sahaja Johan meninggalkan tempatnya, ‘Ana’ tersenyum penuh makna.

 

- TAMAT -

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zie Saila