Alfian kaget apabila melihat Abirah berterusan menangis. Semakin lama
semakin kuat. Dia bimbang jikalau ibu bapa mereka yang tidur di bilik
bersebelahan mendengari suara tangisan Abirah. Tidak pasal-pasal nanti dia pula
yang dipersalahkan. Alfian hanya mampu memandang isterinya itu. Dia benar-benar
mati akal. Tidak tahu bagaimana mahu memujuk Abirah supaya berhenti menangis.
“Err, awak. Kenapa menangis
ni?” lembut suara Alfian bertanya. Abirah tidak memandang namun begitu
tangisannya mulai reda sedikit. Selepas mengelap airmatanya, dia mengangkat
muka memandang Alfian. Dia bagaikan tidak percaya malam itu dia bakal tidur
bersama Alfian. Lelaki yang hanya dikenalinya seminggu sebelum pernikahan
mereka berlansung. Alfian senyum. Abirah kaget. Apakah maksud senyuman Alfian?
Adakah lelaki itu berhajat untuk melakukan apa yang lazimnya sepasang suami
isteri lakukan? Kecut perut Abirah.
“Awak. Awak nak buat
apa kat saya?” tanya Abirah tergagap-gagap. Alfian sengih. Dia duduk
bersebelahan Abirah. Pantas Abirah menjarakkan kedudukan sambil menghalang
Alfian daripada mendekatinya dengan bantal. Berkerut kening Alfian melihatkan
tindakan Abirah. Mata Abirah sudah bulat memandang Alfian.
“Buat apa? Kenapa
dengan awak ni?” tanya Alfian pelik. Dada Abirah berdegup kian kencang.
“Awak tahu kan, saya
kenal awak seminggu sebelum kita nikah. Berbual pun sikit-sikit. Jadi, saya. Saya
tak sedia lagi untuk,” ujar Abirah. Kata-katanya terhenti. Alfian hanya
memandang.
“Untuk apa?” tanya Alfian.
Abirah meneguk air liur. Dia tertunduk malu.
“Untuk tulah. Ish,”
getus Abirah. Alfian ketawa. Abirah pantas memandang wajah Alfian.
“Kenapa awak ketawa?”
tanya Abirah. Alfian sengih.
“Habis tu, kalau tak
buat tu. Kita nak buat apa?” Alfian sengaja mengusik. Tidak semena-mena Abirah
memukulnya dengan bantal. Terkejut Alfian dibuatnya.
“Ish, pervert!” getus Abirah geram lalu
memalingkan muka daripada Alfian. Bulat mata Alfian mendengarkan kata-kata
Abirah.
“Apa awak kata? Saya
suami awak dan saya berhak ke atas awak tahu?” balas Alfian geram sambil
memandang Abirah yang sedang buat muka mencebik.
“Kita kahwin bukan atas
dasar cinta. Tapi atas permintaan keluarga. Walaupun awak suami saya, awak tak
berhak paksa saya!” balas Abirah sambil memandang Alfian dengan mata terjengil.
Alfian pula yang mencebirkan bibir kali ini.
“Ceh! Saya pun tak ingin!
Walaupun saya tak boleh paksa awak, awak tak patut panggil saya pervert. Saya buat betul-betul baru
tahu,” cemuh Alfian semula. Besar mata Abirah. Dia mengetap giginya geram. Begini
rupanya perangai suaminya. Pada pertemuan pertama nampak sahaja macam “cool”.
“Kalau awak tak ingin
baguslah. Dahlah, saya nak tidur. Huh!” rengus Abirah lalu berbaring sambil
membelakangi Alfian. Alfian mencebik. Dia tidak sangka Abirah agak kasar
orangnya. Pada pertemuan pertama nampak ayu sahaja sehingga terpikat hatinya.
“Ceh! Tak sangka, aku
kahwin dengan singa rupanya. Huh,” gumam Alfian sambil merebahkan badan
bersebelahan Abirah lalu melelapkan mata.
******
Sudah
genap tiga bulan tempoh perkahwinan Alfian dan Abirah. Namun, mereka hidup
bagaikan orang asing. Alfian tidur di biliknya sendiri. Abirah juga begitu.
Jika diikutkan hati Alfian, dia memang tidak mahu hidup begitu. Namun, Abirah
yang mahukan begitu. Dia hanya mampu menurut. Dia faham situasi Abirah. Gadis itu
perlu menghabiskan pengajian tahun akhirnya diperingkat ijazah. Ibu bapanya
pula memaksa dia terikat dengan komitmen perkahwinan. Disebabkan patuh, Abirah
hanya menurut. Namun, Alfian pula yang menjadi mangsa tempat Abirah melontarkan
tunjuk perasaan. Nama sahaja lelaki yang sudah berkahwin, tetapi dia masih hidup
seperti lelaki bujang. Alfian punya alasan tersendiri kenapa dia bertahan. Pertama,
kerana tidak mahu menghampakan ibu bapanya dan juga ibu bapa Abirah. Dan kedua,
dia sudah mula menyayangi Abirah sewaktu dia melafazkan akad lagi. Jadi, tidak
kira bagaimana buruk sekalipun layanan Abirah terhadapnya, dia tetap akan
mempertahankan rumah tangga mereka dan berdoa agar pintu hati Abirah terbuka
untuk mencintainya.
“Awak,”
sapa Abirah. Alfian yang sedang termenung jauh, tersentak. Pantas dia menoleh
Abirah yang sedang memandangnya.
“Kenapa?”
tanya Alfian. Abirah membuat muka bosan. Matanya kelihatan memandang sesuatu.
“Tu.
Awak goreng telur ke rentungkan telur?” tanya Abirah sambil matanya memandang
terus ke arah telur yang sedang rentung di dalam kuali. Alfian pantas
mengalihkan pandangannya ke arah kuali yang berada di hadapannya. Terkocoh-kocoh
dia menutup api lalu mengangkat kuali yang penuh dengan asap yang
berkepul-kepul itu ke dalam sinki. Abirah hanya memandang perbuatan Alfian
sambil berpeluk tubuh. Alfian terkulat-kulat apabila bertembung dengan
pandangan sinis Abirah.
“Awak
tak pergi kolej lagi?” tanya Alfian. Abirah geleng.
“Kelas
cancel. Yang awak pergi rentungkan
telur ni, awak tak pergi kerja ke?” balas Abirah. Dia mengetatkan mukanya
seketat yang boleh walaupun dia sudah tidak tahan ingin mentertawakan Alfian. Alfian
tersengih bagai kerang busuk.
“Saya
kena terus pergi site hari ni. Jadi,
saya ingat saya nak sarapan benjosebelum
pergi site. Tak sangka pulak jadi
macam ni,” ujar Alfian. Akhirnya Abirah ketawa terkekeh-kekeh. Alfian memandang
pelik.
“Kata
pandai sangat masak. Ni apa cerita goreng telur pun rentung? Awak berangan apa?
Nasib baik tak terbakar satu rumah,” bebel Abirah setelah tawanya reda. Dia yakin
pasti Alfian berangan kerana dia tahu Alfian memang handal soal masak memasak. Panjang
muncung Alfian.
“Habis
tu, ada isteri pun isteri tak boleh buatkan sarapan,” perli Alfian. Bulat mata
Abirah memandang Alfian apabila dia disindir begitu.
“Awak
tak minta saya buatkan. Macam mana saya nak buatkan?” getus Abirah geram. Alfian
mencebik.
“Eleh.
Kalau saya minta awak buatkan pun, belum tentu awak nak buatkan,” ejek Alfian. Abirah
menjeling geram.
“Baiklah
encik suami. Meh saya buatkan sarapan
untuk awak ya,” balas Abirah lalu menolak Alfian ketepi dan mencapai kuali
untuk menggoreng telur. Alfian memerhati dalam senyuman.
******
Alfian
pelik apabila melihat Abirah terbaring lesu di atas sofa ruang tamu rumah
mereka pada jam 7 petang begitu. Kenapa Abirah tidur di situ? Selalunya jika
gadis itu mahu tidur sekalipun, dia pasti akan tidur di bilik. Perlahan Alfian
mendekati Abirah yang sedang tidur lena. Brief
casedi tangannya diletakkan di atas meja. Dia duduk di hadapan sofa sambil
menatap wajah Abirah. Lembut tangannya membelai rambut isteri yang dicintainya
itu. Alfian senyum mengenangkan hidupnya bersama Abirah. Walaupun mereka sering
sahaja bertelagah, namun Abirah seorang isteri yang baik sebenarnya. Alfian
memberanikan dirinya untuk menyentuh wajah Abirah. Namun tatkala menyentuh
sahaja wajah Abirah, dia terkejut kerana suhu badan Abirah yang begitu panas. Barulah
dia tahu kenapa Abirah berbaring di situ. Rupanya isterinya itu mengalami demam
panas. Dia perlu membawa Abirah ke klinik. Jika tidak, demamnya akan bertambah
teruk.
“Awak,
bangun,” gesa Alfian. Perlahan Abirah membuka matanya.
“Kenapa?
Pukul berapa ni?” tanya Abirah jalu. Alfian melepaskan nafasnya gusar.
“Dah
Maghrib ni. Awak demam. Jom saya bawa awak pergi klinik,” ujar Alfian prihatin.
Mendengar perkataan klinik, Abirah segera menggeleng.
“Tak
nak,” pantas sahaja jawapannya. Alfian menggeleng. Dengan perasaan nekad, dia
terus mengendong Abirah. Abirah yang lemah tidak berdaya tidak mampu melawan.
“Awak
nak bawa saya ke mana ni?” tanya Abirah lemah. Alfian tidak menjawab. Dia segera
membawa Abirah ke kereta. Setelah memasuki kereta, Alfian segera menghidupkan
enjin.
“Nanti.
Nanti,” arah Abirah lemah. Alfian menoleh.
“Kenapa?”
“Tudung.
Awak nak biar orang tengok aurat isteri awak ke?” ujar Abirah. Baru Alfian
teringat. Disebabkan terlampau kaget, dia sampai terlupa bahawa Abirah tidak
memakai tudung.
“Sekejap
saya ambil,” balas Alfian lalu tergesa-gesa turun. Tidak lama kemudian, dia
memasuki kereta dengan membawakan tudung Abirah. Namun dia lihat Abirah sudah
tidak berdaya dan memejam matanya. Pantas dia menyarungkan tudung itu di atas
kepala Abirah. Entah mengapa, jantungnya berdegup kencang saat menyarungkan
tudung itu di kepala Abirah. Bukan Alfian sahaja merasakan debaran itu, Abirah
yang sedang lemah itu juga turut merasakannya.
******
Disebabkan Abirah masih lemah, Alfian memutuskan untuk
mengambil cuti selama dua hari untuk
menjaga Abirah. Selepas pulang dari klinik semalam, Abirah tidak mahu menjamah
apa-apa makanan pun. Risau Alfian dibuatnya. Akhirnya Alfian memutuskan untuk
menelefon ibu mertuanya untuk bertanyakan hidangan apakah yang membuka selera
Abirah ketika gadis itu sedang demam.
“Assalamualaikum, ma. Mama sihat?” tanya Alfian mesra.
“Waalaikumussalam, menantu mama! Mama sihat, kamu
dengan Ira macam mana?” balas Saadiah ceria. Alfian tersengih. Ibu mertuanya
itu cukup sayang dengannya. Kerana dialah satu-satunya menantu wanita itu.
“Afi sihat je ma. Ira yang tak sihat. Dia demam,”
balas Alfian dengan suara gusar.
“Ya Allah, sayang mama demam? Sejak bila?” tanya
Saadiah bimbang.
“Sejak petang semalam. Tapi, Afi dah bawa dia ke
klinik dah. Cuma, sampai sekarang ni Ira tak nak makan. Afi tak tahu nak buat
apa dah,” gumam Alfian. Kedengaran Saadiah mengeluh di talian.
“Sayang mama memang macam tu, Afi. Tapi, kamu jangan
risau. Kamu buatkan dia kek coklat je. Dia mesti nak makan,” ujar Saadiah. Bulat
mata Alfian mendengar kata-kata ibu mertuanya.
“Kek coklat?” tanya Alfian tidak percaya. Kedengaran suara
Saadiah ketawa.
“Ya. Kek coklat. Sejak kecil lagi, kalau Ira sakit dan
tak selera makan, mama akan buatkan dia kek coklat. Lepas makan kek coklat je,
dia terus selera nak makan benda lain,” jelas Saadiah. Walaupun masih tidak
percaya, Alfian hanya mengangguk.
“Tapi, kek tu kamu kena buat sendiri. Bagi dia makan masa
panas-panas. Baru dia nak makan. Kalau kamu beli, dia tak akan makan,” tambah Saadiah
lagi.
“Oh. Macam tu. Kalau macam tu, Afi akan buatkan Ira
kek coklat. Terima kasih mama. Assalamualaikum,” balas Alfian lalu menamatkan
talian. Dia termenung sebentar.
“Singa suka makan kek coklat? Nak yang panas-panas
pula tu. Ceh, demandbetul isteri kau
Afi. Nasib baik aku pandai masak,” gumam Alfian sendirian sambil tersengih
mengenangkan kemanjaan Abirah.
******
Terkejut
Alfian melihat Abirah berdiri di hadapan pintu ketika dia sedang menatang
dulang berisi kek coklat yang baru sahaja keluar dari ketuhar bersama segelas teh
kundur. Abirah memandang kek coklat yang ditatang Alfian dengan perasaan yang
tidak percaya. Mamanya datang melawatkah?
“Awak nak pergi mana?” tanya Alfian. Abirah membuat
muka selamba. Kalau dia mengaku yang dia bangun kerana terbau bau kek coklat
kegemarannya, sudah pasti dia sendiri yang malu nanti.
“Saya nak pergi tandaslah,” balas Abirah cuba
berselindung. Kecur air liurnya dengan bau kek coklat yang masih panas itu.
Alfian sengih.
“Tapi, tandas kat sebelah kiri sana,” duga Alfian. Terkena
Abirah dibuatnya. Pantas dia memalingkan tubuhnya lalu berlalu ke arah tandas. Alfian
hanya mampu menggeleng kepala melihat telatah isterinya itu. Perlahan Alfian
memasuki bilik Abirah lalu meletakkan dulang berisi kek itu di atas meja kecil
bersebelahan katil Abirah.
“Awak. Ni saya buatkan kek coklat untuk awak. Jangan lupa
makan ya. Lepas makan, awak makan ubat tau. Saya nak turun bawah, nak kemas
dapur,” pesan Alfian ketika Abirah berada di dalam tandas. Tidak lama selepas
Alfian turun, Abirah segera keluar dari tandas.
“Dia yang buat? Tapi, kenapa sama dengan bau kek
coklat mama?” gumam Abirah tatkala menatap kek coklat cawan buatan Alfian. Dia segera
mencapai satu kek coklat itu lalu disuakan ke mulutnya. Aromanya, rasanya dan
teksturnya sama seperti kek coklat yang selalu dibuat oleh mamanya!
“Tapi, kalau mama yang buat, takkanlah aku tak dengar
langsung suara mama?” Abirah masih berteka-teki. Tetapi, tidak mustahil juga
jika Alfian yang memasak kek coklat itu kerana Alfian memang pandai masak.
Ketika sedang menikmati kek coklat cawan itu, dia
merasakan demamnya mulai kebah sedikit. Dia juga dapat merasakan kasih sayang
Alfian di dalam kek coklat itu. Tiba-tiba dia terkenangkan semua kenangannya
selama dia menjalani hidup dengan lelaki itu. Dia akui, Alfian memang suami
yang baik, penyayang dan bertanggungjawab. Walaupun kadang-kadang lelaki itu
bersikap “annoying” namun lelaki itu
tidak pernah memarahinya. Bahkan lelaki itu sering menggembirakan hatinya. Cuma
dia sahaja sengaja membutakan matanya. Dia teringat bagaimana lembutnya Alfian
menyarungkan tudung di atas kepalanya. Betapa kasihnya lelaki itu padanya
lebih-lebih lagi tatkala mendukungnya. Sedikitpun lelaki itu tidak mengambil
kesempatan ke atas dirinya. Hatinya sebak.
“Alfian. Terima kasih. Saya sayang awak,” ucap Abirah
perlahan dengan juraian airmata terharu.
******
Berangin
satu badan Abirah hari itu. Baru sahaja dia ingin melayan Alfian dengan baik. Muncul
pula makhluk yang tidak diinginya. Seminggu selepas dia sembuh daripada demam,
Alfian membawanya ke rumah ibu mertuanya. Dan dia tidak menyangka perkara
sebegini terjadi kepadanya.
“Kek coklat abang Afi sedaplah. Nurul suka!” terngiang-ngiang kata-kata
pujian sepupu Alfian itu di telinga Abirah. Mendidih hatinya.
Sepanjang
perjalanan pulang, Alfian lihat wajah Abirah masam mencuka. Muncungnya pula
panjang sedepa. Apa kena dengan isterinya itu? Selepas sembuh daripada demam,
baik sahaja layanan Abirah terhadapnya. Hari ni, mengapa Abirah kembali menjadi
dingin pula?
“Awak,
kenapa ni? Masam je,” ujar Alfian perlahan. Abirah memalingkan wajahnya.
“Saya
penatlah. Awak drive cepat sikit boleh
tak? Ish,” rungut Abirah. Berkerut kening Alfian. Selalunya Abirah bising jika
dia memandu laju. Hari itu, disuruhnya Alfian memandu laju pula?
“Okay,” itu sahaja jawab Alfian. Dia tidak
mahu bertekak dengan Abirah.
******
Abirah
memandang wajah Alfian yang sedang leka menonton Televisyen.
“Dia dah buat salah, tak minta maaf pun?” getus Abirah di dalam hatinya. Alfian masih
lagi ralit menonton. Panjang sedepa muncung Abirah.
“Awak
ada apa-apa nak beritahu saya ke?” tanya Alfian tiba-tiba. Tersentap Abirah dibuatnya.
Namun, dia berterusan diam.
“Sepupu
awak tu, awak rapat ke dengan dia?” tanya Abirah. Tembok keegoannya runtuh
sedikit dek kerana rasa ingin tahu. Alfian memandang wajah Abirah.
“Rapat.
Sejak kecil lagi. Dah macam adik beradik dah. Kenapa?” balas Alfian. Abirah
mencebirkan bibir sambil berpaling daripada memandang Alfian.
“Yalah
tu adik beradik. Bukan main mesra lagi. Siap buat kek sama-sama,” balas Abirah
cemburu. Alfian berterusan memandang Abirah.
“Yalah.
Awak tak nak buat kek sama-sama dengan saya. Dia tolonglah. Salah ke?” ujar
Alfian. Abirah mengeluh.
“Tak
salah, cuma,” Abirah terhenti berbicara. Dia tidak mahu Alfian tahu dia
cemburu. Alfian sengih.
“Awak
cemburu?” duga Alfian. Abirah pantas memandang wajah Alfian yang sedang memandangnya
selamba.
“Perasan!”
ejek Abirah. Alfian cuma senyum.
“Awak
nak tengok TV ke tak?” tanya Alfian tidak mengendahkan ejekan Abirah. Abirah geleng.
Melihat gelengan Abirah, Alfian pantas menutup suis lalu berdiri sambil memandang
Abirah.
“Saya
masuk tidur dulu ya. Selamat malam,” ucap Alfian sebelum berjalan membelakangi
Abirah.
“Ya.
Saya cemburu. Saya cemburu sebab saya dah mula sedar yang saya cintakan suami
saya,” ucap Abirah tiba-tiba sambil memeluk Alfian dari belakang. Terkejutnya Alfian
Allah sahaja yang tahu. Tidak lama kemudian, Abirah meleraikan pelukan. Alfian cuba
memusingkan tubuhnya yang hampir beku itu lalu memandang wajah Abirah. Alfian
memegang wajah Abirah dengan perasaan terharu.
“Maafkan
saya buat awak cemburu. Saya tak tahu yang selama ni Nur Abirah yang saya
cintai selama ni juga mencintai saya,” ucap Alfian perlahan. Mata Abirah
berkaca. Pantas dia memeluk suaminya itu.
“Terima
kasih, Ahmad Alfian sebab sudi jadi suami saya. Terima kasih kerana dah jaga
saya dengan baik. Terima kasih kerana menyayangi saya. Terima kasih untuk
semuanya,” ucap Abirah dengan linangan airmata. Alfian tersenyum gembira.
Akhirnya Allah memakbulkan doanya. Perlahan dia meleraikan pelukan.
“Sama-sama
isteriku sayang,” ucap Alfian sambil mengucup dahi Abirah dengan sepenuh kasih
sayang.
“Saya ada satu soalan. Mana awak tahu saya hanya selera makan kek coklat masa demam?”
tanya Abirah ingin tahu. Alfian tertawa kecil.
“Mama
beritahu. Saya risau awak tak nak makan apa-apa langsung. Sedap tak?” balas
Alfian. Abirah senyum.
“Sedap.
Sedap sangat,” puji Abirah. Alfian senyum gembira.
“Terima
kasih,” ucap Alfian. Abirah senyum.
“Sama-sama.
Tapi, lepas ni, awak tak boleh bagi orang lain makan kek coklat tu melainkan
saya seorang,” pesan Abirah. Berkerut kening Alfian.
“Kenapa?”
tanya Alfian.
“Sebab
dalam kek coklat encik suami saya, ada kasih sayang dan cinta. Saya tak nak
orang lain rasa kasih sayang dan cinta tu selain saya seorang. Faham tak?”
terang Abirah manja. Alfian tertawa kecil.
“Oh,
patutlah jealous bila Nurul makan kek
coklat tu,” balas Alfian. Abirah sengih. Tidak lama kemudian, dia juga turut
tertawa bahagia sambil memeluk Alfian dengan sepenuh kasih sayang.
~gadistulisofficial.blogspot.com~
~FB : Gadis Tulis - Nadirah Aliah~