Dhiya memandang
sekeliling. Mencari tempat-tempat menarik untuk dirakamkan oleh lensa
kameranya. Dia suka memanipulasi alam semulajadi untuk dijadikan sebagai latar
belakang setiap gambar pasangan pengantin yang dirakamkannya. Setelah beberapa
minit memerhati, pandangan Dhiya berlabuh di sebuah pohon beringin yang
kelihatan agak tua. Hatinya merasa tertarik.
“Okay. Kita shoot kat pokok tu pulak,” arah Dhiya
kepada kedua pasangan baru berkahwin itu. Pasangan pengantin itu mula teragak-agak.
“Kat pokok beringin tu?” tanya Helmi. Dhiya memandang
lalu mengangguk.
“Ya. Sana. Jom!” ajak Dhiya sambil jari telunjuknya
menunjuk lurus ke arah pohon beringin itu. Yana menggeleng ketakutan. Berkerut
kening Dhiya melihat gelengan Yana. Apa yang tidak kena dengan pasangan itu?
Sedari tadi mereka bekerjasama tidak ada sebarang masalah yang timbul. Kenapa
sekarang mereka enggan bekerjasama pula? Tambahan pula sesi penggambaran petang
itu sudah hampir selesai. Sebelum Maghrib menjelang, Dhiya mahu segera
menghabiskan sesi penggambaran hari itu.
“Why? What’s wrong?” tanya Dhiya tidak
mengerti. Jelas terpancar ketakutan di wajah Yana dan Helmi. Tidak lama
kemudian, Yana menarik tangan Dhiya dan berjalan agak jauh dari pohon beringin
itu. Walaupun bingung, Dhiya hanya menurut. Helmi turut serta bersama Dhiya dan
isterinya, Yana.
“Dhiya, listen
carefully. Bukan kami tak nak shoot
kat pokok tu. Tapi,” kata-kata Yana terhenti dek keluhan yang amat berat.
“Pokok tu keras dan berpenunggu. Tak ada sesiapa pun
dibenarkan dekati pokok tu. Lagipun, penunggu tu mesti akan marah kalau kita shoot kat situ,” jelas Yana bersungguh.
Helmi turut mengangguk membenarkan kata Yana. Dhiya bingung. Dia sememangnya
kurang pengalaman dunia paranormal. Jadi, dia agak sukar untuk mempercayai
kata-kata Yana. Namun, disebabkan kampung itu kampung halaman tempat Yana dan
Helmi membesar, mereka pasti lebih tahu sejarah kampung itu.
“Kita ambil gambar je, bukan buat apa pun. Takkan itu pun
penunggu tu nak marah?” lancang mulut Dhiya berbicara. Badannya sudah keletihan
dek penggambaran yang berlansung sejak semalam lagi. Jadi dia sedikit bengang
apabila kerja yang cuba diselesaikannya secepat mungkin tertunda hanya
disebabkan cerita tidak masuk akal itu.
“Lagipun, tinggal pokok tu je yang berdekatan kawasan ni.
Nak pergi tempat lain dah lewat senja ni. Ada dua ke tiga shoot je lagi ni. Tolonglah cooperate
dengan saya,” ujar Dhiya. Dia cuma perlu dua hingga tiga gambar sahaja lagi
untuk melengkapkan video perkahwinan pasangan itu nanti. Helmi dan Yana
mengeluh.
“Kalau awak tak nak percaya apa yang isteri saya
cakapkan, tak apa. Yang penting, kami berdua tak nak shoot kat situ. Ambil sahaja gambar candit kami untuk penuhi shoot
awak tu. Tak perlu shoot kat pokok
tu,” tegas Helmi berbicara. Dhiya melepas keluhan. Akhirnya dia akur.
“Okay. As you wish,” balas Dhiya mengalah.
******
Dhiya
merasa tidak berpuas hati dengan apa yang diperkatakan Yana. Malah, dia
merasakan cerita yang disampaikan oleh Yana kepadanya berkenaan penunggu pohon
beringin itu hanyalah dongengan orang tua belaka. Setelah selesai mengambil
gambar terakhir Helmi dan Yana, Dhiya sempat pergi ke pohon beringin itu. Dia
mengambil beberapa keping gambar pohon beringin itu sebelum pulang ke Homestay tempat dia menginap. Tujuannya
mengambil gambar pohon beringin itu cuma satu, dia mahu pastikan samada benar
atau tidak di pohon itu terdapatnya penunggu seperti yang dikatakan Yana. Jika
penunggu itu wujud, pasti gambarnya juga wujud di dalam gambar yang dirakamnya
itu.
******
Walaupun sesi pengambaran bersama Helmi dan Yana sudah
selesai, Dhiya merasakan ingin menetap selama tiga hari lagi di Kampung
Beringin itu. Dhiya tinggal di ‘Hutan Batu’. Jadi, apabila sekali-sekala
merasakan kehidupan di kampung yang nyawan dan mendamaikan, sudah tentu dia
seronok dan ingin menginap lebih lama.
Setelah membersihkan badan, Dhiya memulakan rutinnya
memilih dan mengedit gambar terbaik yang telah dirakamnya. Dhiya membuka suis
komputer ribanya lalu mencapai kamera DSLR miliknya. Sebaik sahaja menyentuh
kamera itu, tiba-tiba sahaja angin yang amat sejuk berhembus menembusi
tulang-temulang Dhiya. Belum pernah dia merasakan angin sedingin itu sehingga
menyebabkan semua bulu romanya tegak berdiri. Suis kipas dimatikan dek kerana
suasana sekitar biliknya yang tiba-tiba sahaja menjadi sejuk beku. Dhiya segera
menyelimuti keseluruhan tubuhnya dengan selimut tebal.
“Ish, kenapa tiba-tiba je sejuk beku ni?” bebel Dhiya
sambil kembali membelek kameranya. Tiba-tiba, Dhiya merasakan seperti ada orang
menghembuskan nafas di telinganya. Dhiya menoleh ke kiri dan kanannya. Yang ada
di bilik itu cuma dia seorang sahaja. Siapa yang menghembuskan nafas tadi?
Jantung Dhiya berdegup kencang. Seluruh tubuhnya kesejukan. Badannya juga mula
menggeletar ketakutan. Dhiya cuba menyedapkan hatinya bahawa semua rasa takut
di hatinya itu cumalah perasaan semata-mata. Dia menyambungkan wayar USB
kameranya kepada komputer riba yang telah dipasang suisnya tadi. Dia memilih
semua gambar yang ada di kameranya untuk disalin ke komputer ribanya. Dia
menyalin semua 100 fail gambar yang telah dirakamnya. Namun, hanya tiga
daripada 100 fail sahaja yang berjaya disalin.
Dhiya mencuba untuk menyalin semula. Namun, gagal. Hanya
tiga fail sahaja berjaya disalin. Kening milik Dhiya mula berkerut aneh. Tidak
pernah kejadian seperti itu berlaku kepadanya sebelum ini. Dhiya mencuba sekali
lagi. Keputusannya masih sama, gagal. Keluhan berat mula keluar dari mulut
Dhiya.
“Apa masalahnya ni. Kenapa tiga gambar ni je boleh copy. Gambar apa ni?” rungut Dhiya. Dia
membuka tiga fail gambar yang berjaya disalin itu. Tatkala membuka fail gambar
yang pertama, Dhiya baru teringat dia ada merakamkan gambar pohon beringin yang
berhampiran dengan rumah pasangan pengantin itu petang tadi. Dia membuka fail
gambar kedua, juga gambar pohon beringin itu. Namun, apabila fail gambar ketiga
dibuka, Dhiya terkejut besar. Mulutnya ditekup dek perasaan terkejut dan takut.
Kelihatan jelas figura seorang perempuan tua berbaju putih, berambut putih,
bermata merah semerah biji saga dan memegang tongkat. Dhiya tidak percaya
dengan apa yang dilihatnya.
“Si. Siapa ni?” bisik Dhiya dalam ketakutan. Dia pasti
ketika dia merakamkan gambar pohon itu, tidak ada sesiapapun berdiri di hadapan
pohon itu. Tetapi, siapa pula figura itu?
“Akuuuuu,” kedengaran suara halus berbisik di telinga
Dhiya. Jantung Dhiya bagaikan ingin meletup saat itu. Siapa. Siapa yang
berbisik di telinganya? Sebaik sahaja suara halus tu berbisik, komputer riba
milik Dhiya tiba-tiba sahaja mati. Begitu juga dengan kamera DSLR miliknya itu.
Dhiya kaget. Kedua-dua gadjetnya itu berfungsi dengan baik sahaja tadi,
bagaimana tiba-tiba boleh mati pula? Lampu biliknya juga terpadam. Dalam keadaan yang gelap gelita itu, tingkap bilik
yang tertutup rapat sedari tadi juga tiba-tiba sahaja terbuka luas. Dhiya
menoleh kaget. Angin sejuk menderu masuk menampar dingin pipi Dhiya. Seluruh
tubuhnya menggeletar ketakutan. Airmatanya mengalir laju. Dia menyelimuti
seluruh tubuhnya. Matanya dipejamkan cuba mengingati ayat-ayat al-Quran yang
pernah dihafalnya. Bacaannya tunggang-langgang dek ketakutan yang menggigit
setiap tubuhnya.
Tiba-tiba selimut yang menyelimuti tubuhnya, ditarik
kuat. Dhiya terkejut. Airmatanya mengalir kian laju. Matanya dipejam erat. Apa
jua yang ada dibiliknya itu, dia tidak mahu melihatnya. Dia takut. Dia
benar-benar takut.
“Kenapa pejam mata? Takut?” suara halus itu menerjah
pendengarannya. Dhiya menekup telinganya. Mulutnya terasa kebas untuk
berbicara. Dia menangis sekuat hatinya. Tatkala itu dia tidak mahu membuka
matanya, namun bagaikan ada satu tarikan magnet membuka kelopak matanya. Figura
nenek tua itu kini benar-benar berada di hadapannya. Dhiya terpaku. Nenek tua
itu tersenyum sinis memandangnya yang sedang ketakutan.
“Pohon beringin dahannya rendang. Ehehehehehehehe,” nenek
tua itu berlagu sambil disambung dengan hilai tawa. Airmata Dhiya mengalir
ketakutan. Dia benar-benar terpaku saat itu, tubuhnya tidak boleh bergerak.
Bagaikan disuntik dengan ubat kebas.
“Tadi kata nak jumpa. Sekarang takut? Ehehehehehehehe,”
nenek tua itu terus berbicara. Dhiya terus membeku. Perasaannya saat itu hanya
Tuhan sahaja yang tahu. Dia menguatkan hatinya untuk terus membaca ayat-ayat
suci al-Quran. Tidak lama kemudian, nenek tua itu berterbangan mengelilingi
Dhiya.
“Ehehehehehe. Ehehehehehehe,” hilai tawa nenek tua itu
berterusan membuatkan Dhiya semakin dibunuh ketakutan.
“To. To. Tolonglah. Aaa. Aaa. Apa kau nak?” akhirnya
Dhiya memberanikan diri untuk berbicara. Nenek tua itu berhenti berterbangan lalu
berdiri betul-betul berhadapan Dhiya. Jarak mereka hanya satu lengan sahaja.
Wajah nenek tua itu bertukar bengis.
“Gambar rumah aku. Aku nak kau buang! Buang!” jerkah
nenek tua itu bengis. Jantung Dhiya bagaikan mahu terkeluar di situ juga. Namun
begitu, Dhiya kurang faham apa yang dimaksudkan nenek tua itu dengan gambar
rumahnya.
“Gaa. Gambar aaa. Apa?” tergagap-gagap Dhiya bertanya.
Nenek tua itu tersenyum sinis. Tidak semena-mena, komputer riba Dhiya bernyala
semula. Dan secara automatik, tiga gambar pohon beringin itu diulang-ulang
tayang.
“Pokok tu keras dan
berpenunggu. Tak ada sesiapa pun
dibenarkan dekati pokok tu. Lagipun,
penunggu tu mesti akan marah kalau kita
shoot kat situ.”
Kata-kata Yana petang tadi melintasi fikiran Dhiya.
Sekarang Dhiya mengerti, apa yang diperkatakan Yana benar. Sekarang, penunggu
pohon itu sudah marah kerana sikap kurang ajarnya. Dialah yang bersalah.
“Ya. Baa. Baiklah. Aaa. Aku padam. Aaa. Aku minta maaf,”
pinta Dhiya sepenuh hati.
“Ehehehehehehe. Aku nak kau hidang pulut kuning dan tiga
biji telur sebagai tanda maaf. Ehehehehehe,” balas nenek tua itu. Dhiya enggan
menurut permintaan nenek tua itu. Kerana semua perbuatan itu perbuatan Khurafat
dan Syirik.
“Taa. Tak nak! Aku takkan bagi Syaitan makan!” jerit
Dhiya. Setelah beberapa ketika membaca ayat-ayat suci al-Quran, dia semakin
beroleh kekuatan untuk melawan nenek tua itu. Dia semakin berani. Wajah nenek
tua itu kembali bengis.
“Kalau macam tu, aku akan terus kacau kau.
Hahahahahahaha. Hehehehehehe,” ujar nenek tua itu dengan hilai tawa. Dhiya
menangis. Dia berdoa agar Allah memberinya jalan keluar.
“Aaa. Allah! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!”
tiba-tiba sahaja terlintas di fikiran Dhiya untuk bertakbir. Selepas takbir
ketiga, nenek tua itu tiba-tiba lenyap. Dan setelah itu, Dhiya cuba berjalan
keluar dari Homestay tersebut namun
rebah lalu tidak sedarkan diri.
******
“Dhiya. Dhiya,” panggil Yana. Dhiya merasakan kepalanya
sengal. Seluruh tubuhnya kesakitan. Perlahan dia membuka matanya. Dalam
kesamaran, dia lihat Yana tersenyum kepadanya. Di manakah dia?
“Syukur Alhamdulillah, Dhiya dah sedar,” ucap Yana lega.
Yana membantu Dhiya untuk bangun. Dhiya memegang kepalanya yang sakit. Di situ
bukan hanya Yana seorang sahaja. Malah ada Helmi dan sepasang suami isteri
berumur lewat 40-an sedang tersenyum memandangnya. Siapakah pasangan suami
isteri itu?
“Saa. Saya kat mana? Kenapa dengan saya?” ujar Dhiya
lemah.
“Kita sekarang di rumah ustaz Manaf dan puan Hayati. Pagi
tadi, masa Yana nak datang hantar sarapan kat Dhiya, Yana jumpa Dhiya pengsan
depan pintu Homestay. Yana bawa balik
rumah. Tapi, lepas tu Dhiya meracau-racau tak sedarkan diri. Itu yang petang ni
Yana dengan Helmi bawa Dhiya ke rumah ustaz Manaf untuk berubat,” terang Yana
panjang lebar. Dhiya hanya mendengar lemah.
“Kenapa dengan saya ustaz? Kenapa saya meracau?” tanya
Dhiya ingin tahu. Ustaz Manaf tersenyum.
“Tak ada apa. Awak cuma mengalami gangguan sahaja. Saya
difahamkan, gangguan itu datangnya daripada kesilapan awak sendiri. Awak kacau
privasi hidup dia. Dia marah. Tapi tak apa. Semuanya dah pulih. Gambar dalam
kamera awak pun dah dipadamkan,” terang ustaz Manaf tanpa berselindung. Dhiya
sesal.
“Terima kasih, ustaz,” ucap Dhiya dengan linangan airmata
menyedari kesilapannya. Ustaz manaf tersenyum.
“Tak apa. Tapi, saya kagum dengan awak sebab awak tak
turutkan kemahuan dia untuk hidangkan pulut kuning dan telur tu. Awak lawan
dia. Awak mempunyai jiwa yang kuat. Banyakkan dekatkan diri dengan Allah.
InsyaAllah awak akan terhindar daripada segala gangguan dan kejahatan. Ini saya
ada buatkan air untuk awak. Minum dan niat untuk sembuh kerana Allah.
InsyaAllah awak akan pulih seperti sediakala,” lembut sahaja ustaz Manaf berbicara.
Dhiya angguk dan akur.
“Oh, ya. Dhiya. Malam ni, awak tidur di rumah kami
sahaja. Sekadar langkah berjaga-jaga. Saya akan temankan awak,” ujar puan
Hayati. Berat hati Dhiya menerima pelawaan itu. Namun apabila terfikirkan
kejadian malam itu, dia menerima pelawaan itu.
“Terima kasih Yana, Helmi, ustaz dan puan,” ucap Dhiya
penuh kesyukuran. Mereka semua hanya tersenyum.
******
Dhiya mengucup kitab suciAl-Quran itu setelah selesai membacanya. Jiwanya tenang. Dia benar-benar menyesali sikapnya yang sinis terhadap sesuatu yang ghaib. Sedangkan semuanya Allah telah nyatakan dalamAl-Quran bahawa semua makhluk itu wujud cuma kebanyakan manusia sahaja yang tidak nampak. Ketika sedang melipat telekung, telinga Dhiya menangkap sesuatu. Bunyi itu sayup-sayup kedengaran ditelinganya. Dia cuba mengamati apakah bunyi itu.
“Hmmmmmmmm.”
Lama-kelamaan, Dhiya dapat merasakan ada sesuatu yang sedang memandangnya dari arah tingkap dua pintu yang berada betul-betul di belakangnya.Bulu roma Dhiya tegak berdiri.Dia mengenggam erat kitab suci Al-Quran yang dipegangnya sedari tadi. Dengan kekuatan dari kitab Allah itu, perlahan Dhiya berpaling ke arah belakang.
“Allahhu Akbar!” terpacul takbir itu dibibir Dhiya sejurus dia melihat lembaga si Nenek Pohon Beringin itu.
Nenek itu memandang Dhiya dalam keadaan mencangkung dan mata yang merah menyala. Kedengaran sekali sekala dia mendengus kasar. Tiba-tiba, dia cuba bangun dan ingin menerpa ke arah Dhiya.
“Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahhu Akbar!” jerit Dhiya kuat sambil menghalakan kitab Al-Quran dipegangnya ke arah lembaga Nenek yang ingin menerkamnya itu. Matanya terpejam erat.
“Dhiya, kenapa ni?” tanya puan Hayati cemas.
Dhiya terduduk lemah. Namun kitab Al-Quran itu masih lagi terangkul kemas di dalam pelukannya. Dia menangis tersedu-sedan. Puan Hayati yang segera faham dengan keadaan itu lantas memeluk tubuh Dhiya sambil bibirnya mengalun zikrullah.
“Tak apa, Dhiya. Dia cuma datang sekejap aje. Lepasni, dia tak akan datang lagi. In Sha Allah. Dia dah pergi dan tak akan ganggu Dhiya lagi,”pujukpuan Hayati lembut.
“In Sha Allah. Mudah-mudahan dia dah pergi untuk selamanya. Amiin. Terima kasih ya Allah,” ucap Dhiya setelah sedikit tenang sambil mengusap airmatanya.
(Kesudahan cerita ini telah diedit semula, terima kasih)
~gadistulisofficial.blogspot.com~
~FB : Gadis Tulis - Nadirah Aliah~