Home Cerpen Cinta Jangan Lupa Namaku
Jangan Lupa Namaku
Nadirah Aliah
23/9/2014 13:49:18
2,621
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

             Airmataku mengalir laju. Semakin aku seka semakin lebat. Luka yang cuba ku tahan semakin lama semakin besar robeknya. Pedihnya tidak tertanggung dek hatiku yang kecil ini. Ya Tuhan! Sakitnya sebuah pengkhianatan! Aku pejamkan mata. Menghabiskan sisa rembesan airmata. Bagasi yang sudah penuh aku isikan dengan segala pakaian, aku tarik zipnya perlahan. Setelah bagasi itu tertutup kemas, segumpal nafas yang amat berat kulepaskan. Aku renung tiket kereta api yang haluannya menghala ke Kedah. Ya. Aku ingin pulang ke kampung. Melupakan sementara kota Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk ini. Bertemu atuk dan nenek yang teramat aku rindui sambil membuang duka yang melara di hati. Aku mahu lupakan pengkhianatan yang telah diberikan oleh satu-satunya lelaki yang benar-benar aku sanjung dan cintai di dunia ini. Cinta yang aku beri dia musnahkan begitu sahaja. Umpama lampin pakai buang! Setelah aku digunakan, aku dibuang. Lelaki itu memang keji!

******

Hembusan udara kampung yang nyaman mendamaikan jiwaku yang lara. Bagaikan setiap duri yang menyakitkan itu jatuh satu-persatu meninggalkan hatiku. Setelah hampir dua minggu aku melara dek pengkhianatan lelaki keji itu, baru hari inilah dadaku merasa lapang dan mulutku terasa ringan untuk mengukir senyum.

“Assalamualaikum, atuk! Rindunya Dahlia kat atuk!” sapaku sambil memeluk atuk dengan erat.

“Waalaikumussalam, Dahlia cucu kesayangan atuk!”

Atuk megusap-usap belakangku lembut. Seketika kemudian, aku melepaskan pelukan. Aku menoleh ke kiri dan kanan. Keningku berkerut setelah melihatkan ketiadaan nenek menyambut kepulanganku. Selalunya setiap kali aku pulang ke kampung, atuk dan nenek akan datang bersama untuk menjemputku.

“Atuk. Nenek mana? Kenapa tak datang jemput Dahlia sekali?” tanyaku aneh. Atuk cuma senyum sambil memegang bahuku.

“Marilah kita pulang dulu,” ujar atuk tidak menjawab soalan aku. Walaupun tertanya-tanya, aku hanya menurut.

******

Sebaik sahaja sampai ke rumah, aku pantas mendapatkan nenek yang sedang duduk berseorangan di pangkin.

“Assalamualaikum nenek. Kenapa tak jemput Dahlia kat Stesen Bas tadi?” ujarku manja separuh merajuk. Namun. Nenek hanya memandang wajahku aneh. Keningku berkerut serta-merta apabila melihat nenek kerut muka dengan aku seperti itu. Kenapa dengan nenek?

“Kau siapa?” tanya nenek bingung. Aku turut bingung melihat nenek yang kebingungan seperti itu. Nenek ingin berguraukah?

“Nek, ini.”

“Dahlia. Mari sini sekejap. Biarkan nenek berehat,” belum sempat aku menghabiskan kata-kata, atuk memanggilku sambil memegang bahuku dari belakang. Aku menoleh atuk dengan kekeliruan. Atuk senyum memujuk supaya aku mengikutnya meninggalkan nenek berseorangan di pangkin. Akhirnya aku menurut.

“Dahlia, sebenarnya nenek kamu dah tak sihat macam dulu. Dia dah tak boleh nak ingat macam dulu. Dia kena penyakit nyanyuk,” terang atuk tenang. Melihat wajah tenang atuk, aku menjadi sebak.

“Nenek kena penyakit nyanyuk? Alzheimer. Sejak bila?” tanyaku ingin tahu. Atuk menghela nafas perlahan.

“Sejak dua bulan yang lepas,” beritahu atuk. Aku gamam lalu memeluk tubuhku.

“Kenapa atuk tak beritahu Dahlia?” tanyaku tidak berpuas hati. Atuk senyum. Jelas kelihatan sorot matanya yang sayu. Aku semakin hiba.

“Atuk tak mahu Dahlia risau. Atuk tak apa-apa. Atuk mampu jaga nenek. Lagipun Dahlia sibuk. Atuk tak mahu ganggu urusan Dahlia,” perlahan saja suara atuk ketika itu. Aku merasa bersalah. Sepatutnya aku yang perlu lebih mengambil tahu tentang mereka kerana hanya mereka berdua sahaja keluarga yang aku ada dalam dunia ini. Setelah kedua ibu bapaku meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya ketika aku berusia enam tahun lagi aku telah dijaga oleh atuk dan nenek dan dibesarkan dengan sepenuh kasih sayang. Aku lantas memeluk atuk seeratnya.

“Atuk. Maafkan Dahlia. Dahlia dah abaikan atuk dan nenek. Maafkan Dahlia,” ucapku dengan tangisan. Atuk mengusap belakangku perlahan.

“Tak apa. Bukan salah Dahlia. Sudahlah, jangan menangis,” pujuk atuk lembut. Aku masih terus memeluk atuk melepaskan segala kesedihan. Namun, tiba-tiba.

“Hei, perempuan! Kau tak tahu malu ke peluk laki aku hah?” suara nenek yang tinggi mengejutkan aku. Aku serta-merta melepaskan pelukan. Aku terpinga-pinga tatkala melihat nenek memegang penyapu lidi di tangannya. Bersedia untuk melibas aku pada bila-bila masa. Atuk hanya tersenyum. Sebelum sempat nenek melibaskan penyapu lidi itu di badanku, atuk dengan tenang bergerak ke arah nenek lalu mengambil penyapu lidi itu daripada nenek. Nenek menjengil. Atuk tertawa.

“Salmah. Ini cucu kita. Cucu kesayangan kita. Dahlia. Kau tak ingat?” pujuk atuk lembut. Nenek masam mencuka.

“Entah perempuan mana yang kau peluk. Kau kata dia cucu aku. Kita anak pun belum ada tahu?” cemuh nenek. Wajahnya mencerut. Atuk hanya tertawa. Entah mengapa, aku juga ingin turut tertawa melihat keletah nenek yang cemburukan atuk itu.

“Iyalah. Iyalah. Aku minta maaf. Kau tak masak ke? Aku lapar,” tanya atuk. Nenek kelihatan terkejut. Mungkin sedang ingatkan sesuatu yang dia lupa. Aku hanya memerhatikan.

“Aku lupa nak masak! Kau lapar? Aku masak sekarang ya!” balas nenek lalu tergesa-gesa ke dapur melalui pintu belakang. Aku tersenyum. Bukan kerana mentertawakan nenek yang sudah lupa. Tapi aku tersenyum melihatkan layanan atuk terhadap nenek. Sungguh tenang dan penuh dengan kesabaran.

“Macam tulah dia, Dahlia. Ingatannya tersekat dimana-mana sahaja. Kadang-kadang atuk pun kena sesah dengan penyapu lidi sebab dia tak ingat yang atuk ni suami dia,” ujar atuk sambil tertawa. Aku juga turut tertawa.

******

“Dahlia! Bila Dahlia balik? Kenapa tak beritahu nenek? Boleh nenek ajak atuk pergi jemput Dahlia,” sapa nenek saat melihat wajahku ketika aku ingin menghampiri meja makan pagi itu. Aku hanya tersenyum tatkala nenek memegang mesra wajahku. Aku pegang tangan nenek lembut. Hiba bertandang di hatiku. Kasih sayang nenek masih sama seperti dahulu walaupun ingatannya kini sudah rapuh.

“Dahlia sampai tengahari semalam nek. Atuk kata nenek tak sihat. Jadi atuk tak beritahu nenek. Atuk pergi seorang jemput Dahlia,” pujukku. Faham dengan keadaan nenek, aku membuat helah seperti itu. Nenek angguk lalu melepaskan wajahku. Dia segera menyuruh aku duduk di meja makan.

“Duduk. Nenek dah masakkan nasi goreng kesukaan Dahlia. Tunggu sekejap nenek ambilkan,” pelawa nenek sambil tergesa-gesa menghidangkan nasi goreng ke pinggan yang berada di hadapanku. Aku perhatikan gerak-geri nenek. Aku lihat betul-betul wajahnya. Senyumannya. Hatiku sebak. Saat itu dia ingat nama aku, makanan kesukaan aku dan kasih sayangnya pada aku. Entah berapa minit kemudian, aku tak tahu ingatannya akan tersekat di bahagian mana pula. Nenek. Panggilku di dalam hati yang semakin diratah kesayuan.

“Makan. Makan banyak-banyak. Dahlia suka kan?” kata-kata nenek buat aku tersedar bahawa airmataku hampir jatuh menimpa nasi goreng kampung yang telah dicedukkan oleh nenek ke dalam pingganku itu. Aku tunduk sembunyikan wajah sedihku daripada penglihatan nenek lalu aku nikmati nasi goreng itu dengan perasaan yang bercampur baur. Aku hanya mampu menangis di dalam hati.

******

Dalam tempoh tiga hari aku menetap di kampung, berbagai-bagai keletah nenek telah aku lihat. Sekejap dia menjadi kanak-kanak. Sekejap dia menjadi anak dara. Sekejap dia menjadi nenek. Namun, di sebalik keletah nenek itu juga, aku telah lihat besarnya kesabaran seorang suami. Tabahnya hati atuk menerima dugaan dan ujian yang telah Tuhan berikan ini. Aku membuang pandang ke arah sawah padi yang sedang menguning menunggu masa untuk dituai. Apabila sesekali angin berhembus, bau harum padi itu singgah di rongga hidungku. Sungguh damai. Bagaikan segenap luka yang melukai hatiku dibawa pergi bersama hembusan bayu yang sungguh damai itu.

“Dahlia, fikir apa?” suara tenang atuk mengejutkan aku dari lamunan. Aku tersenyum lalu menoleh atuk yang duduk bersebelahan denganku.

“Tak ada apa-apa,” balasku pendek lalu melabuhkan semula pandanganku ke arah sawah.

“Usah dikenang lagi perkara yang sakit tu. Selagi dikenang, selagi itulah kamu takkan bergerak ke hadapan. Lupakanlah. Maafkanlah,” ujar atuk lembut. Hatiku sentap. Tidak sedikitpun aku berbicara tentang lelaki keji yang telah mengkhianati cintaku itu kepada atuk. Namun, bagaimana atuk begitu tangkas menekanya?

“Maafkan siapa maksud atuk?” aku berpura-pura keliru. Atuk senyum.

“Kekasih Dahlia yang dah kecewakan Dahlia tu,” balas atuk bersahaja. Bulat mataku memandang atuk. Atuk tersenyum.

“Macam mana atuk tahu? Dahlia tak ada cakap apa-apa pun?” tanyaku kali ini benar-benar keliru. Atuk tertawa perlahan. Dia mengusap kepalaku lembut.

“Tiga hari dah Dahlia kat kampung. Tak sekali pun atuk nampak Dahlia bercakap kat telefon. Tak sekali pun atuk tengok Dahlia berbalas-balas mesej. Masa sampai kampung pun, atuk tengok Dahlia macam sedih je. Maknanya betullah ni kekasih Dahlia kecewakan Dahlia?” tebak atuk. Semuanya tepat. Bagaikan soalan peperiksaan yang bocor. Atuk meneka semuanya dengan tepat sekali. Hatiku kembali sakit mengenangkan lelaki keji itu. Wajahku tunduk.

Ya. Dia kecewakan Dahlia. Dia khianati cinta yang Dahlia berikan pada dia. Dia keji atuk! Dia keji! Dia buat Dahlia macam sampah!” luahku geram sambil menutup muka. Airmataku serta-merta merembes keluar. Aku menangis teresak-esak tatkala atuk mengusap belakangku.

“Menangislah Dahlia. Buang segala duka yang buat kamu rasa sedih. Buang segalanya. Tapi, jangan libatkan cinta sekali,” pujuk atuk. Apabila tangisanku sedikit reda, aku mengangkat muka memandang atuk. Sebenarnya aku tak faham apa yang cuba atuk sampaikan kepada aku tadi.

“Apa maksud atuk jangan libatkan cinta sekali?” tanyaku bingung. Atuk senyum lalu mengesat sisa airmataku.

“Yang lukakan hati Dahlia pengkhianatan. Yang sakitkan hati Dahlia penipuan. Bukan cinta. Jadi, jangan libatkan cinta dalam kesakitan yang hati Dahlia rasakan. Jangan buang cinta tu tapi berikannya pada yang tepat,” ujar atuk. Berkerut keningku cuba untuk memahami apa yang atuk katakan. Otakku ligat bekerja untuk memproses kata-kata atuk sebentar tadi menjadi sesuatu yang aku fahami.

“Boleh tak atuk terangkan? Sebab Dahlia kurang faham,” pintaku. Atuk tersenyum lagi.

“Hasan. Kau buat apa kat sini? Lama aku tunggu kau. Kau tak balik-balik. Perempuan ni siapa?” sapa nenek dari belakang membuatkan penjelasan yang aku mahukan daripada atuk terbantut serta-merta. Aku dan atuk menoleh ke arah nenek. Wajah nenek kelihatan lain ketika itu. Kelihatan seperti tidak bermaya. Aku dan atuk cemas. Sebentar tadi, sewaktu aku dan atuk mengajak nenek ke sawah, nenek enggan kerana dia mengatakan badannya kurang sihat. Atuk segera bangun dan mendapatkan nenek.

“Salmah. Kau kata kau tak sihat. Kenapa kau keluar rumah?” tanya atuk kaget. Aku lihat wajah nenek pucat. Aku turut bangun dan berdiri bersebelahan nenek.

“Kau. Kau tak lupa nama aku Hasan? Kau, kau tak lupa?” ujar nenek tiba-tiba. Keadaannya saat itu sudah lemah. Atuk segera memapah tubuh nenek bimbang nenek jatuh. Hatiku sebak melihatkan keadaan nenek saat itu.

“Salmah, kau tak sihat. Mari kita balik,” gesa atuk. Namun nenek berdiri terpaku memandang wajah atuk yang sedang memapah tubuhnya. Dengan kolam mata yang bertakung dia merenung wajah lelaki di hadapannya. Aku semakin hiba.

“Hasan. Jangan lupa namaku,” ucap nenek lalu rebah di pangkuan atuk. Airmataku tidak tertahan lagi. Dengan airmata yang mengalir lebat, aku cuba membantu atuk untuk memapah nenek ke dalam rumah. Mujur juga ada penduduk kampung yang kebetulannya melalui kawasan itu. Dengan bantuan penduduk kampung itu, kami membawa nenek masuk ke dalam rumah.

******

Tanpa sempat dibawa ke hospital, nenek menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan atuk. Aku lihat atuk begitu tenang sekali menerima pemergian nenek. Dia juga yang menguruskan segala urusan pengebumian untuk nenek. Malah kubur tempat nenek bakal disemadikan juga digali oleh atuk. Tidak setitis airmatapun yang mengalir dari mata lelaki tua itu. Ya Tuhan. Kekuatan yang bagaimanakah yang kau telah pinjamkan kepada atuk di saat itu?

Setelah jenazah nenek disemadikan, atuk masih tidak berganjak dari kubur nenek walaupun ketika itu semua orang telah berlalu dari tanah perkuburan tersebut. Aku lihat atuk termenung memegang batu nisan di kubur arwah nenek. Aku pegang lembut bahu atuk.

“Atuk. Dah berapa lama atuk dekat sini. Mari kita balik,” pujukku. Atuk melepaskan keluhan perlahan. Aku lihat atuk menyentuh lembut ukiran nama arwah nenek yang terukir kemas di batu nisan.

“Aku janji, Salmah. Aku takkan lupakan nama kau. Aku pulang dulu ya. Jangan risau, aku akan sentiasa doakan kau. Sebab aku tak akan lupakan nama kau. Assalamualaikum,” ujar atuk untuk kali terakhir. Airmataku mencurah lebat seiring hujan lebat yang membasahi tanah perkuburan itu. Aku membantu atuk untuk berdiri. Atuk menggengam tanganku erat lalu melangkah perlahan-lahan meninggalkan tanah perkuburan tempat arwah nenek disemadikan. Aku juga turut berdoa agar arwah nenek ditempat di kalangan orang-orang yang diredhai oleh Allah.

******

Malam itu, aku lihat atuk termenung jauh sambil memegang sekeping gambar. Mungkin gambar arwah nenek. Perlahan aku menghampiri lalu duduk bersebelahan atuk. Atuk menoleh lalu memberikan aku senyuman.

“Atuk. Fikir apa?” tanyaku lembut. Atuk senyum. Namun senyuman itu penuh kedukaan.

“Mengenang cinta yang tak lagi ada depan mata. Hanya ada dalam hati,” jawab atuk lembut. Hatiku disapa kesayuan. Aku curi lihat gambar yang berada di tangan atuk. Tepat sangkaanku, itu gambar arwah nenek.

“Atuk. Dahlia nak tanya boleh?” soalku berhati-hati menyembunyikan nada sedihku. Atuk hanya angguk.

“Sebelum arwah nenek rebah, arwah ada beritahu atuk supaya jangan lupa nama dia. Kenapa ya?” ujarku dengan suara yang timbul tenggelam dek kerana kesedihan yang mencarik-carik hati. Aku lihat atuk tersenyum lalu mengusap perlahan wajah yang berada di dalam potret lama itu.

“Sebab waktu kami bercinta dulu, atuk selalu lupa nama arwah nenek kamu. Dia betul-betul cintakan atuk. Dia tak mahu atuk tinggalkan dia. Jadi, dia minta atuk berjanji supaya tak lupakan nama dia,” jawab atuk terhenti seketika dengan helaan nafas yang kedengaran tidak lancar di telingaku. Aku mengetap bibir. Airmata yang cuba kutahan sedari tadi, bocor juga menempiasi segenap pipiku.

“Dia minta atuk berjanji supaya tak lupakan nama dia walaupun dia sendiri yang lupa nama dia. Dengan cara tu, tak kira walau macam mana lupa sekalipun dia, dia tahu atuk cintakan dan sayangkan dia,” luah atuk lagi. Aku lihat dia semakin lemah menahan kesedihan di hatinya. Airmataku mengalir seakan tak mahu berhenti. Namun, aku gagahkan juga untuk menyekanya.

“Dahlia, cinta itu indah. Tapi kalau kamu tak berhati-hati, ia boleh melukakan. Sebab cinta itu umpaca kaca. Dahlia kena berikan pada orang tepat untuk menjaganya. Dengan cara itu Dahlia akan bahagia kerana Dahlia tahu orang itu akan dapat menjaga cinta Dahlia sebaiknya. Atuk berikan cinta atuk pada arwah nenek sebab atuk tahu dia orang yang tepat untuk menerimanya,” nasihat atuk lembut. Serta-merta aku teringatkan kata-kata atuk sebelum arwah nenek rebah di sawah.

Yang lukakan hati Dahlia pengkhianatan. Yang sakitkan hati Dahlia penipuan. Bukan cinta. Jadi, jangan libatkan cinta dalam kesakitan yang hati Dahlia rasakan. Jangan buang cinta tu tapi berikannya pada yang tepat.

Jadi, itulah yang atuk maksudkan! Sekarang aku mengerti. Lelaki keji yang mengkhianati aku itu bukanlah orang yang tepat untuk menerima cinta aku. Bahkan, dia langsung tidak layak untuk memilikinya. Aku yang tersilap memilih dan menilai.

“Cinta adalah satu penerimaan yang mana bila kita lihat kekurangan orang yang kita cintai, kita tetap mahu untuk hidup bersamanya. Cinta juga adalah satu perkongsian yang mana kita bersedia untuk susah dan senang bersama-sama. Cinta kadang-kadang perlukan pengorbanan untuk pastikan cinta itu terus bernyawa kerana cinta sejati adalah sesuatu yang tidak mati tapi abadi untuk selama-lamanya. Itu kata arwah nenek Dahlia sewaktu ayah dia tanya kenapa dia mahu hidup bersama dengan atuk.”

Atuk berhenti berbicara. Aku lihat pipinya ditaburi mutiara jernih. Suaranya bertukar pilu. Dia menangis teresak-esak sambil memeluk potret insan yang teramat dicintainya itu di dalam erat dakapannya. Aku juga turut menangis seperti atuk. Aku memeluk atuk erat. Saat memeluk atuk, aku dapat merasakan betapa kuatnya cinta atuk terhadap arwah nenek. Juga betapa kuatnya cinta arwah nenek terhadap atuk. Beginilah rupanya cinta sejati. Aku berdoa agar cinta atuk dan arwah nenek akan disatukan hingga ke Syurga. Semoga aku juga dikurniakan cinta sejati yang bersatu hingga ke Syurga kelak. Itu doa yang aku kirimkan pada yang maha Esa. Aku tahu, Dia mendengar doaku. Aku hanya perlu bersabar menanti. InsyaAllah. Amiinn.

~Jangan Lupa Namaku~ TAMAT

~gadistulisofficial.blogspot.com

~FB : Gadis Tulis - Nadirah Aliah

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.