Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi Suami Aku Pakai Apron!
Suami Aku Pakai Apron!
Nadirah Aliah
28/2/2014 15:35:57
3,226
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

Maria dan Firhad. Sepasang suami isteri yang baru sahaja enam bulan berkahwin. Belum dikurniakan zuriat. Maria merupakan seorang wanita yang sofisikated. Semua benda mahu kelihatan sempurna, bersih dan kemas di matanya. Dia cukup pantang jika bilik tidur, ruang tamu dan dapur bersepah. Ribut taufan bakal melanda jawabnya! Manakala Firhad pula seorang lelaki yang tidak kisah soal kekemasan dan kebersihan. Dia juga boleh tidur lena di sebelah timbunan baju kotor yang berlonggokkan di atas katilnya. Dia tidak kisah. Apa yang penting baginya, tidur, makan dan PlayStationnya. Bagaikan sudah tertulis, dua insan yang berbeza pendapat dan perwatakan itu jatuh cinta dan akhirnya berkahwin. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula Maria dan Firhad yang bagaikan langit dan bumi itu. Setiap hari ada saja pertengkaran berlaku. Tapi mereka bergaduh tidak lama. Tidak berapa jam selepas itu mereka akan berbaik semula. Semuanya kerana Maria dan Firhad begitu menyayangi antara satu sama lain.

“Encik Firhad! Bangun!” jerit Maria. Intonasi nadanya begitu tinggi setinggi matahari yang sudah mula terpacak di langit. Firhad terpisat-pisat. Maria mengetap giginya geram. Dia menarik tangan suaminya sehingga terdorong untuk duduk. Firhad menguap. Perlahan dia membuka matanya.

“Oh, puan Maria. Ada apa?” selamba Firhad menjawab. Maria mengeluh.

“Awak tanya saya ada apa? Bangunlah. Dah tengahari ni,” bebel Maria sambil memandang wajah Firhad yang penuh air liur basi itu. Firhad tidak menyahut sebaliknya menyambung tidur. Pantas Maria menarik lengan suaminya itu. Sekali lagi Firhad terbangun. Matanya pejam erat. Geram Maria dibuatnya.

“Bangunlah. Hari minggu ni jangan asyik tidur je. Tolonglah saya kemas rumah,” gesa Maria sambil berterusan menarik tangan Firhad. Firhad menggaru kepalanya yang tidak gatal

“Alah, Misae. Biarlah saya tidur sekejap je lagi,” gumam Firhad dengan matanya masih terpejam. Bulat mata Maria. Dia mula bercekak pinggang.

“Siapa Misae? Awak jangan mulakan lagi drama Shin Chan awak tu ya. Bangunlah, cepat!” gerutu Maria geram. Otaknya ligat memikirkan bagaimana caranya untuk membangunkan suaminya yang tidurnya seperti beruang berhibernasi itu. Tiba-tiba satu idea bernas melintasi saraf otaknya. Maria tersengih jahat. Tangannya pantas mencabut bulu kaki Firhad.

“Aduh! Aduh! Sakit! Okay-okay. Saya bangunlah ni. Aduh!” rungut Firhad kesakitan lalu pantas bangun dari katil. Maria ketawa terkekeh-kekeh. Akhirnya dia menang.

“Sedap? Kalau awak bangun masa saya kejut tadi kan awak tak sakit. Dah, pergi mandi. Masham!” bebel Maria sambil menghulurkan tuala kepada Firhad. Firhad muncung. Dia menyambut tuala diberikan Maria lalu menghampiri isterinya itu. Maria memandang.

“Kenapa?” tanya Maria. Spontan sahaja Firhad menarik kepala Maria lalu dikepitnya ke ketiak. Maria meronta-ronta diperlakukan sedemikian. Tidak lama kemudian baru Firhad melepaskan kepala Maria dari sepitan ketiaknya. Maria menutup hidungnya. Tekaknya mual. Firhad tersengih.

“Okay. Sekarang kita seri. Buwek!” ejek Firhad lalu pantas melarikan diri ke bilik air sebelum diterkam oleh Maria.

******

“Awak, saya penatlah. Awak boleh tak tolong saya kemas rumah ke, masak ke? Hmm?” rungut Maria sambil duduk bersebelahan Firhad yang sedang leka menekan Joy Stick PlayStationnya. Dia penat menguruskan rumah. Pagi dia harus bekerja. Selepas pulang dari kerja dia perlu memasak, kemas rumah dan membasuh baju. Semua kerja dilakukannya.

“Rumah kita dah kemas. Awak tu ha yang asyik nak berkemas je. Masak pula, saya manalah pernah pergi jejakkan kaki saya kat dapur? Mama kata dapur adalah kawasan larangan untuk lelaki,” jawab Firhad panjang lebar. Setiap kali Maria merungut, itulah jawapan Firhad. Maria muncung.

“Itu je alasan awak setiap kali saya minta tolong. Berapa ramai Cef dalam dunia ni jantinanya lelaki. Boleh je pergi dapur?”

“Itu Cef. Lainlah. Saya ni memang dah ditakdirkan tak boleh pergi dapur. Nanti boleh terbakar dapur tu,” jawab Firhad lagi. Firhad jika memberi alasan memang nombor satu. Maria mengeluh. Entah kenapa hari itu dia berasa teramat letih. Tekaknya juga mual semacam.

“Sudahlah. Malas nak berdebat dengan awak,” gumam Maria lalu bangun untuk melangkah ke dapur. Belum lagi kakinya mencecah lantai dapur, Maria merasakan kepalanya berpusing. Pandangannya gelap lalu badannya yang lemah rebah di hadapan dapur.

“Awak!” jerit Firhad cemas.

******

Firhad memandang wajah Maria. Dia mengukir senyum kepada isterinya yang baru sahaja tersedar. Maria mengenggam lembut tangan Firhad.

“Awak. Kenapa dengan saya?” tanya Maria. Firhad senyum.

“Misae. Awak,” ucap Firhad mengusik isterinya itu. Maria jeling. Dia serius, suaminya itu mempermainkannya pula.

“Siapa Misae? Ish,” rungut Maria. Bibirnya muncung. Firhad sengih.

“Hehe. Saya gurau jelah. Awak nak tahu tak, awak bakal jadi ibu tau?” ujar Firhad lembut. Besar mata Maria.

“Jadi ibu? Hah? Betul ke ni?” tanya Maria tidak percaya. Firhad senyum lalu angguk.

“Ya. Betul. Awak mengandung dua minggu. Terima kasih sebab buat saya jadi daddy. Hehe, seronoknya saya!” balas Firhad teruja. Maria menitiskan airmata gembira. Dia pantas memeluk Firhad.

“Alhamdulillah,” ucap Maria gembira tidak terhingga.

******

Sebaik sahaja Maria terjaga dari tidur, dia merasa aneh kerana Firhad tidak berada di sebelahnya. Selalunya pada jam 8:00 pagi begitu Firhad masih lagi berair liur basi. Maria bingkas bangun. Dia membuka pintu tandas.

“Eh, tak kunci?” gumam Maria pelik. Jika Firhad berada di dalam tandas, sudah pasti lelaki itu akan mengunci pintu. Ke mana pula perginya suaminya itu seawal pagi begitu? Maria duduk semula di atas katil. Pening pula kepalanya.

“Dia pergi jogging ke? Ish, mustahil. Biasanya dia jogging malam,” Maria berteka-teki sendiri. Dia mencapai minyak angina yang berada di meja kecil bersebelahan katil. Lega sedikit kepalanya sebaik sahaja menyapu minyak itu di dahinya. Tidak semena-mena, Maria terbau asap. Hangit. Dia bingkas bangun lalu meluru ke luar. Bau hangit itu datangnya dari arah dapur. Pantas Maria berlari ke dapur.

Sebaik sahaja sampai di dapur, Maria tergamam. Dia melihat Firhad sedang terkocoh-kocoh meletakkan kuali di dalam sinki. Satu ruang dapur itu dipenuhi asap yang berbau teramat hangit. Terbatuk-batuk dibuatnya Maria.

“Awak. Awak buat apa ni?” tanya Maria. Firhad menoleh Maria kaget. Dia terdiam seribu bahasa. Maria memandang Firhad. Apakah yang dilakukan suaminya itu? Baru dia perasan Firhad memakai apron. Matanya tidak berkelip melihatkan suaminya memakai apron yang tidak pernah dipakai lelaki itu sepanjang mereka kenal dan sepanjang mereka bergelar suami isteri. Perut Maria terasa bagaikan digeletek.

Suami aku pakai apron!” jerit Maria di dalam hatinya.

“Saya nak buatkan sarapan roti telur untuk awak. Tapi, saya buka api dapur gas tu kuat sangat. Habis semuanya terbakar. Hangus,” jawab Firhad serba salah. Maria menahan tawanya daripada terburai. Maria menghampiri Firhad. Dia memandang suaminya itu atas ke bawah. Dia memegang apron yang dipakai Firhad.

“Buat sarapan untuk saya siap pakai apron?” duga Maria. Perutnya mulai keras menahan tawa. Firhad angguk lalu tersengih.

“Hehe. Ya. Kelakar ya?” balas Firhad. Tawa Maria akhirnya terburai. Dia mencubit pipi Firhad.

“Kelakar sebab awak kan tak pernah langsung masuk dapur. Kenapa tiba-tiba je awak rajin bangun pagi nak buatkan sarapan untuk saya ni? Siap pakai apron pula tu,” tanya Maria. Firhad sengih. Dia memegang perut Maria. Maria memandang.

“Kalau awak penat, nanti kasihan baby kita. Saya tak nak awak penat. Saya nak baby kita sihat,” jawab Firhad sambil mengusap perut Maria. Hati Maria tersentuh. Dia mencapai tangan Firhad lalu diletakkan di pipinya. Dia senyum memandang Firhad.

How sweet. Terima kasih awak. Tapi, kalau boleh tak payahlah masak. Awak tolong saya pun dah memadai,” ucap Maria gembira. Firhad senyum.

“Sama-sama. Okay-okay. Saya tak masak lagi. Mulai sekarang, saya janji akan tolong awak buat kerja rumah dan masak kat dapur. Baby, daddy janji!” ujar Firhad sambil meletakkan tangannya ke perut Maria. Maria tertawa kecil melihatkan gelagat Firhad.

“Tapi, saya lapar. Sarapan pula dah hangus. Macam mana ni?” ujar Maria manja. Firhad membuka apron yang dipakainya lalu menarik tangan Maria.

“Eh, nak pergi mana?” tanya Maria. Firhad senyum.

“Kita pergi sarapan kat luar jelah. Saya nak belanja baby kita makan roti canai kat kedai mamak,” balas Firhad. Maria tertawa kecil lalu menuruti langkah suaminya itu. Dia gembira Firhad mula mengubah sikapnya selepas dia disahkan mengandung. Dia berharap perubahan suaminya itu akan berterusan. Dan dia juga berharap agar dia selalu dapat melihat suaminya itu memakai apron dan memasak bersama-samanya di dapur. Maria tersengih. Lalu berbisik di dalam hatinya.

Suami aku pakai apron!”

~gadistulisofficial.blogspot.com~

~FB : Gadis Tulis - Nadirah Aliah~

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.