Home Cerpen Seram/Misteri Si Panjang Mengurai
Si Panjang Mengurai
Nadirah Aliah
4/2/2017 21:53:30
2,263
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Cuti tahunan yang masih berbaki lima hari digunakan Maya untuk mengikuti Program Jelajah Kampung yang dianjurkan oleh Jaya Excellence Consultancy. Dia seorang yang kuat bekerja dan jarang-jarang mengambil cuti tahunan. Apabila tiba masanya untuk ‘clear leave’, Maya biasanya suka menghabiskan masanya untuk mengembara dan menyertai program-program khidmat masyarakat.

Semua peserta diminta berkumpul di ‘base camp’ Jaya Excellence Consultancy di Kuala Lumpur. Sesi ‘ice-breaking’ dimulakan bagi melancarkan perjalanan mereka ke Kampung Hujung Kuala di Perak. Seramai 17 orang mengikuti program itu yang terdiri daripada lima orang peserta wanita, 12 orang peserta lelaki termasuk tiga orang fasilitator dan seorang kem komanden.

“Hai, nama aku Anita. Kau?” tegur salah seorang peserta wanita di situ.

Maya menoleh ke arah gadis berambut pendek itu lalu tersenyum sambil menghulurkan tangannya.

“Hai, nama aku Maya. Asal mana?” tanya Maya ramah.

“Sedap nama Maya. Oh, aku asal KL jugak. Kau?”

“Terima kasih, aku asal JB. Dalam bas nanti, dudukseat sama dengan akulah. Boleh borak panjang,” balas Maya sambil menguntum senyum.

“Oh. Ok. Ok, aku suka cadangan kau tu, hehe,” balas Anita menyerigai.

Ketika menaiki bas, tiba-tiba salah seorang peserta wanita yang datang entah dari mana telah memotong barisan Maya dengan kasar sekali. Mahu sahaja Maya menyiku wanita itu biar terjelopok di atas tanah. Maya menoleh wanita itu dan wanita itu hanya menjeling dengan sombong lalu selamba sahaja dia menaiki bas itu tanpa rasa bersalah sedikitpun terhadap Maya.

“Siapa yang berlagak sangat tu? Nak aje aku benam dalam pasir jerlus!” Anita yang berada di belakang Maya merungut geram.

Maya hanya mampu menutur Istighfar di dalam hatinya. Dia datang ke program itu untuk mencari pengalaman bukan bergaduh dengan manusia tiada pedoman!

******

Ketika Maya menjejakkan kakinya di atas tapak rumah lama tempat dia dan empat orang lagi peserta wanita bakal menginap, bulu romanya terasa merinding. Dadanya terasa bergolak tidak enak seakan memberitahunya suatu petanda. Namun, apabila kehadiran mereka disambut dengan mesra oleh pemilik rumah yang bernama Pak Osman itu, Maya cuba membuang jauh-jauh perasaan tidak enak yang menjengah hatinya. Oleh kerana peserta wanita tidak ramai, mereka ditempatkan di dalam sebuah rumah kampung yang memiliki tiga buah bilik. Peserta lelaki pula ditempatkan di dua buah rumah berasingan namun berdekatan sahaja dengan rumah tempat peserta wanita menetap.

Tatkala melangkah naik sahaja ke rumah kayu dua tingkat itu, dada Maya berderau dan sekali lagi bulu romanya merinding. Pantas dia membaca doa memohon perlindungan daripada segala perkara yang akan memudaratkannya.

“Rumah ni ada dua tingkat, tingkat atas ada dua bilik. Tingkat bawah ada satu lagi bilik berhadapan dengan dapur. Bilik air pulak ada kat luar. Dalam bilik air tu ada perigi, jadi mandi guna air perigi aje,” terang Pak Osman panjang lebar dan dalam senyuman.

“Tandas pulak?” Farah mencelah.

“Tandas ada bersebelahan bilik air. Dan kamu tak usah risau sebab ada bekalan air paip dan pengepam dalam tandas tu,” balas Pak Osman membuatkan semua di situ menarik nafas lega.

“Maya, kita tinggal satu biliklah,” bisik Anita perlahan.

Maya hanya angguk mengiyakan cadangan Anita tadi. Jelas di telinga Maya ada rasa kurang enak di dalam suara Anita tadi.

Sebaik tiba di tingkat bawah, jantung Maya semakin kuat berdegup. Bulu romanya pula berdiri terpacak. Perasaannya menjadi semakin tidak enak.

“Ha, inilah bilik di tingkat bawah ni. Antara tiga bilik di rumah ini, bilik inilah yang paling cantik sekali,” ujar Pak Osman dengan nada bangga sambil perlahan membuka pintu bilik itu.

Sebaik sahaja pintu bilik itu terbuka, Maya terkejut. Memang benar firasatnya ketika dia mula-mula menjejakkan kaki di atas tapak rumah itu. Memang ada sesuatu yang ‘menghuni’ rumah ini.

“Cantik! I nak bilik yang ini.You all semua boleh kongsi bilik kat atas. I seorang kat sini.No sharing!”

Wanita angkuh itu buat hal lagi. Sudahlah dia memotong barisan Maya ketika mahu menaiki bas tadi. Sekarang dia tunjuk lagi sikap pentingkan dirinya itu. Semua peserta wanita yang lain memang tidak suka dengan wanita angkuh itu.

“Kalauyou boleh tidur seorang kat bilik ni selama empat malam.Then it’s up to you lah. Kami tak kisah,” balas Farah dalam nada sarkastik.

Nadya yang sombong itu hanya menjeling sambil memasuki bilik yang dikatakannya cantik itu dan pantas menutup pintu. Pak Osman tidak terkata apa lagi melihatkan telatah Nadya yang angkuh itu.

“Baiklah kalau macam tu, Pak Osman mintak diri dululah ya. Kalau ada apa-apa, telefon rumah Pak Osman. Assalamualaikum,” ujar Pak Osman sambil berlalu.

******

Nadya melihat-lihat sekitar bilik yang cantik itu. Memang benar kata Pak Osman. Di dalam rumah itu, bilik itulah yang paling cantik sekali. Bibir kecil Nadya menguntum senyuman bangga kerana dia dapat menetap di bilik cantik itu seorang diri tanpa perlu berkongsi dengan peserta perempuan lain yang baginya langsung tidak setaraf dengan dirinya. Nadya mengikuti program itu bukan kerana dia mahu, tetapi kerana dia terpaksa menurut permintaan bapanya. Sejak kecil, Nadya membesar dengan gaya hidup urban di kota Kuala Lumpur. Kerana itulah bapanya mahu Nadya merasai hidup di kampung dan bergaul dengan masyarakat desa. Namun Nadya tidak suka! Kalau tidak kerana bapanya mengugut mahu menarik balik semua kad kreditnya, dia pasti sudah tidak mahu datang ke kampung yang baginya kotor dan jijik itu!

Dia tertarik dengan sebuah meja solek kayu antik yang kelihatan masih baru dan penuh dengan ukiran-ukiran yang cantik. Dia mengambil tempat di hadapan meja solek itu lalu memandang wajahnya. Dia menguntum senyum lalu di belai-belai rambutnya yang panjang mengurai dan diwarnakan dengan warna kelabu itu. Tiba-tiba anak matanya tertarik melihat satu-satunya sikat yang berada di atas meja solek itu. Sikat itu diperbuat daripada kayu jati dengan figura burung merak terukir cantik. Entah mengapa tiba-tiba Nadya merasa begitu teruja melihat sikat antik itu. Saat jarinya menyentuh sahaja sikat itu, ada satu rasa sejuk yang begitu dingin menerpa tubuhnya. Nadya terpana seketika namun tidak dihiraukan perasaan itu lantas dia membelek-belek sikat antik itu dengan penuh minat.

“Hmm, cantiknya sikat ni. Kalau buat sikat rambut aku mesti jadi lagi cantik,” gumam Nadya lalu menyikat rambut kelabunya dengan sikat antik itu.

Nadya seakan-akan dibuai perasaan tatkala menyikat rambutnya menggunakan sikat antik itu. Usai menyikat rambutnya, Nadya memandang cermin sambai membelai rambutnya.

“Hmm, cantik. Rambut Nadya cantik. Hehehehe,” Nadya memuji dirinya sendiri sambil menyerigai sendirian.

******

Hari keempat berada di program itu, sudah bermacam-macam kisah pelik tersebar mengenai Nadya di kalangan semua peserta. Pada malam pertama program, mereka dikejutkan dengan kelakuan Nadya yang tiba-tiba sahaja berbaju Kebaya dengan kain batik lepas. Rambutnya yang kelabu juga sudah bertukar hitam dan disanggul rapi. Lagaknya juga seperti wanita zaman 60-70an. Sikapnya juga bertukar dari wanita moden yang sombong kepada wanita kampung yang sopan.

Malam kedua program, Thilaga menemui Nadya mandi berseorangan di bilik air pada jam tiga pagi. Thilaga yang ketika itu terbangun kerana terasa mahu membuang air kecil, terlihat Nadya hanya berkemban dengan rambutnya terurai panjang sedang menuju ke arah bilik air. Dek kerana sudah tidak tahan mahu membuang air, Thilaga tidak mempedulikan Nadya lalu segera berlalu ke tandas. Ketika mahu melangkah keluar tandas, tiba-tiba Thilaga terdengar bunyi cakaran di pintu tandas. Terkejut mendengar bunyi itu, Thilaga mengunci mulut dan dirinya yang ketakutan sehingga dia merasa benar-benar berani hendak keluar. Melihat tiada apa-apa di luar pintu tandas dan kedengaran bunyi Nadya sedang menjirus air, Thilaga lantas pantas melangkah keluar. Namun langkahnya kembali terhenti apabila terdengar suara Nadya tiba-tiba sahaja menegurnya dari arah belakang.

“Hei, Thilaga. Takut kena cakar hantu ke? Hehehehehe.”

Mendengarkan teguran itu, Thilaga lantas membuka langkah seribu tanpa menoleh sedikitpun ke arah Nadya yang menegurnya tadi.

“Korang, aku takutlah. Si Nadya tu pelik semacam,” Thilaga bersuara gusar.

Maya tidak menjawab. Dia tidak tahu jawapan apa yang harus diberikannya walaupun dia tahu kenapa Nadya berkelakuan pelik sebegitu. Dia tidak mahu orang salah faham terhadap dirinya.

“Betul weh. Pagi tadi akupun terkena dengan perangai pelik dia,” sampuk Farah.

“Dia buat perangai apa pulak kali ni?” tanya Anita.

“Aku bertembung pulak dengan dia dalam bilik air masa nak mandi pagi tadi. Aku nampak dia sidai kain basahan dia lepastu dia baring kat bawah kain tu. Dia letak kepala dia betul-betul bawah air yang menitis dari kain basahan tu dengan mata terpejam sambil mulut dia terkumat-kamit baca mantera kot aku rasa sebab sepatah aku tak faham apa benda yang dia baca,” cerita Farah. “Aku jadi macam krik krik krik tengok kelakuan dia jadi aku berdiri aje kat situ macam batu,” sambung Farah lagi.

“Gila psiko seh dia tu,” Anita bersuara tidak senang.

“Tulah, tapi disebabkan nak mandi, aku terpaksa tabahkan hati jugak. Lepas mandi, aku tengok dia masih lagi macam tu. Tak sanggup nak hadap, aku blah ke bilik. Boleh gila aku dibuatnya!”

“Korang jangan risau, bukan kita lama kat sini,” Maya yang sedari tadi diam mulai bersuara.

“Eh, kau belum kena lagi bolehlah sembang do.Memanglah tak lama, tapi nak hadap satu malam lagi dengan dia hish tak sanggup rasanya,” keluh Farah.

“Sama macam kau dan Thilaga, akupun kena gangguan jugak,” perlahan sahaja Maya membalas.

Jawapan selamba Maya tadi membuatkan Farah terdiam dan terkebil-kebil. Thilaga dan Anita tiba-tiba diselebungi rasa takut.

“Kau, kau kena ganggu jugak? Kau kena ganggu macam mana?” ujar Farah seperti tergagap-gagap.

“Malam semalam, dalam pukul tiga pagi jugak, aku tiba-tiba tersedar. Aku jarang tersedar tiba-tiba macam tu melainkan kalau aku mimpi buruk. Tapi aku rasa aku tak mimpi apa-apapun. Entah macam mana aku boleh tersedar. Dalam pada akublur tu, tiba-tiba aku terbau setanggi. Bila aku amati, macam dari rumah bawah,” cerita Maya tertangguh. Dia berfikir apakah dia harus menyambung ceritanya.

“Apasal kau berhenti do? Nak tambah unsur saspens ke apa?” rungut Farah.

“Untuk pastikan, aku bangun dan keluar dari bilik. Bila aku hampiri bilik Nadya, bau setanggi tu makin kuat. Entahlah kenapa aku tiba-tiba rasacurious, aku pergi ke bilik dia. Aku tengok pintu bilik dia terbuka dan dalam samar-samar lampu tidur, aku nampak Nadya berkemban sambil duduk sikat rambut depan meja solek. Dia bukan sikat rambut aje tapi siap asapkan lagi rambut dia dengan asap setanggi atas meja solek tu,” sambung Maya membuatkan tiga wanita yang mendengar ceritanya itu sesak nafas.

“Lepas tu?” tanya Anita sambil memeluk tubuhnya ketakutan.

Maya tidak segera membalas. Dia tidak tahu samada dia patut ceritakan babak seterusnya itu. Babak dia bertentang mata dengan ‘makhluk’ yang sebenarnya mendampingi tubuh Nadya.

“Aku terus lari masuk bilik,” ringkas sahaja jawapan Maya bagi memendekkan cerita dan menamatkan peluang untuk dia disalah tafsir.

“Kali ni aku betul-betul rasa takut gila weh. Malam ni entah-entah giliran aku pulak yang dikacaunya. Maya, aku takut sangat,” Anita sudah hampir menangis ketakutan.

“Apa kata kita semua tidur dalam satu bilik aje malam ni? Lagipun fasi dengan kem komanden pun cadangkan benda yang sama jugak. Sebab katanya kita tak boleh tamatkan program semata-mata sebab si Nadya yang psiko tu,” ujar Farah sambil menyembunyikan rasa takutnya.

Anita dan Thilaga segera mengangguk. Melihatkan keadaan itu, Maya juga turut memberi anggukan tanda setuju dengan cadangan Farah.

Walau bagaimanapun, Maya merasakan bahawa Nadya perlu dibantu dan diselamatkan segera. Jika ‘makhluk’ itu terus dibiarkan bersama dengan Nadya, Nadya mungkin tidak akan menjadi dirinya sendiri lagi. Sebelum senja nanti dia mahu berbicara dengan Pak Osman perihal rumah lama itu. Dia juga ingin meminta bantuan sesiapa sahaja yang handal di dalam ilmu perubatan Islam di kampung itu untuk membantu Nadya kerana dia tidak mampu untuk melawan ‘makhluk’ itu sendirian.

******

“Weh,apasal program malam ni dibatalkan?” tanya Anita sejurus mendengar program malam perpisahan itu dibatalkan. Ketika itu mereka semua baru usai solat Isyak.

Maya yang sudah tahu sebabnya hanya mendiamkan diri dan berpura-pura seakan dia tidak tahu apa-apa.

“Entah, tapi semua kena berkumpul kat rumah kita pulak tu. Pelikseh!” sampuk Farah.

******

Setelah semua peserta dan fasilitator berkumpul di perkarangan rumah tempat peserta wanita menginap, kelihatan Pak Osman juga hadir bersama empat orang lelaki memakai jubah dan berketayap putih. Tiga daripada empat lelaki berjubah putih itu kelihatan masih remaja berumur lingkungan 17-19 tahun. Hanya seorang sahaja daripada mereka yang kelihatan berusia lingkungan 40an. Mungkin guru kepada tiga remaja tadi. Melihat kedatangan empat lelaki itu, mulai kedengaran suara berbisik-bisik di kalangan peserta.

“Weh, siapa tu? Aku tengok macam orang-orang dari sekolah Tahfiz aje.Apasal dia orang datang sini?” tanya Farah ingin tahu.

Seperti biasa, walaupun sudah mengetahui tujuan kedatangan guru dan anak-anak murid sekolah Tahfiz itu ke situ, Maya masih lagi mendiamkan dirinya.

“Sekolah Tahfiz tu sekolah agama untuk orang Islamkan?” sampuk Thilaga.

“Ha’ah. Itulah pelik kenapa tiba-tiba aje dia orang datang sini,” balas Anita yang juga ingin tahu. “Eh, tapikan aku baru perasan, Nadya seorang aje yang tak ada kat sini. Ke mana ajelah perempuan psiko tu dah pergi,” sambung Anita lagi.

“Entah. Biarkanlah dia. Diakan psiko, mana reti takut apa-apa,” ujar Farah menyampah mendengarkan nama Nadya.

“Assalamualaikum dan selamat malam semua, tujuan kita berkumpul di sini malam ini adalah untuk mencari peserta wanita kita bernama Nadya yang telah hilang sejak senja tadi. Kami telah meminta bantuan Ustaz Bahrain dan anak-anak muridnya dari Madrasah Tahfiz Al-Falah untuk membantu usaha mencari Nadya. Jadi, saya mohon kerjasama peserta yang beragama Islam untuk sama-sama berzikir ‘Lailahaillallah’ bagi mempermudah urusan dan bagi peserta bukan Islam untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan Nadya. Terima kasih.”

Penerangan kem komanden program itu, Syed Izmi, memeranjatkan semua peserta terutama sekali peserta wanita.

“Ya Allah, Nadya hilang?” serentak ucapan yang keluar dari mulut Farah dan Anita.

Sebenarnya Nadya tidak hilang. Nadya ada di dalam rumah dan telah dikuasai sepenuhnya oleh ‘penunggu’ rumah itu. ‘Penunggu’ itu tidak mahu melepaskan Nadya pergi kerana telah seronok ‘menetap’ di dalam tubuh Nadya. Setelah berbincang dengan Pak Osman dan Maya, Syed Izmi membuat keputusan untuk mengatakan bahawa Nadya hilang.

Selepas menerima arahan dari Syed Izmi, semua peserta beragama Islam memulai bacaan zikir. Perlahan, ustaz Bahrain juga mulai berjalan mendekati tangga rumah lama itu. Mulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran dan diikuti oleh tiga orang anak muridnya dari belakang. Tiba-tiba angin dingin berhembus kencang bagaikan dilanda ribut menyebabkan semuanya berterbangan.

“Bismillahhirramanirrahim,” lafaz ustaz Bahrain tenang lalu meletakkan telapak kaki kanan dan kirinya di atas anak tangga pertama rumah lama itu.

“Arghhhhhhhhh! Jangan kau berani masuk ke rumah aku si anak cucu Adam yang jijik! Herghhh!” Terdengar Nadya bertempik dari dalam rumah.

Tidak lama kemudian, salah satu jendela rumah itu terbuka dan Nadya sedang duduk bertenggek di muka jendela itu. Kemunculan Nadya dalam keadaan bertenggek dengan rambutnya yang panjang mengurai, mata merah menyala dan wajah yang berbirat-birat itu membuatkan semua orang yang berada di perkarangan rumah itu terdiam dalam ketakutan yang amat sangat.

“Wanita yang kau tumpang itu juga anak cucu Adam. Tidak kau rasa jijik dengan tubuhnya?” lantang jawapan ustaz Bahrain.

“Heh, kau diam! Mana perempuan yang bawa kau datang ke mari hah? Mana diaaaaaaa!” Nadya bertempik lagi dan kali ini dia melompat turun ke atas tanah dan dalam keadaan mencangkung, matanya melingas ke kiri dan kanan seperti sedang mencari sesuatu.

Ustaz Bahrain lantas menuju ke arah Nadya sambil tiga anak muridnya dengan pantas mengelilingi Nadya.

“Maaayaaa! Kau perempuan mari kau ke sini! Mariii!” lantang jeritan Nadya bagaikan harimau sedang mengaum.

Thilaga, Farah, Anita lantas menoleh ke arah Maya dengan perasaan terkejut dan takut yang sudah bercampur-baur. Namun, reaksi Maya yang tenang membuatkan mereka bertambah terkejut. Adakah Maya juga seorang psiko yang tidak takut langsung dengan perkara sebegitu?

“Maya, kekal di tempat duduk awak dan teruskan apa yang awak baca,” arah ustaz Bahrain.

Maya mengangguk tenang sambil memejam matanya lalu meneruskan bacaan ayat suci al-Quran yang sudah dibacanya sedari awal tadi. Babak itu meninggalkan berbagai spekulasi di benak setiap peserta tentang siapakah sebenarnya Maya dan apa kaitan Maya dengan ‘penunggu’ yang merasuk Nadya?

“Kurang ajar! Kau memang kurang ajar! Sejak kau datang aku memang tak suka dengan kau! Aku dah pesan pada kau jangan ganggu urusan aku! Kau memang kurang ajar Maya!” ucap Nadya dalam amarah yang meluap-luap sehingga mukanya semakin biru dan matanya semakin merah menyala.

“Dia cuma mahu menyelamatkan kehidupan saudaranya daripada musnah dalam tangan syaitan laknatullah seperti kamu. Dan jika kamu tak mahu keluar dari tubuh gadis ini, maka kamulah yang kurang ajar dan aku berhak menarik kamu keluar dari tubuhnya!” tegas ustaz Bahrain menutur kata.

“Tariklah kalau kau kuat sangat. Hahahahahaha. Bodoh!” cemuh Nadya sambil lidahnya terjelir-jelir mengejek ustaz Bahrain.

“Faliq, laungkan azan,” arah ustaz Bahrain sambil dia memulakan semula bacaan ayat-ayat suci al-Quran diikuti dua lagi anak muridnya.

Sebaik sahaja azan dilaungkan, mata Nadya bagaikan terjengil keluar. Dia berbaring di atas tanah lalu berguling-guling.

“Hei berhenti! Berhentilah bodoh! Arghhhhhhhh!”

Jeritan Nadya tidak dipedulikan. Ustaz Bahrain tetap meneruskan bacaan dan anak muridnya, Faliq juga tidak berhenti melaungkan azan. Dalam pada Nadya berguling-guling di atas tanah, ustaz Bahrain dengan kemas menangkap kepala Nadya lalu tangan kanannya memegang kuat ubun-ubun Nadya.

“Arghhhhhhh! Jangan sentuh rambut aku! Jangan sentuh, arghhhhhhhh!” Nadya menjerit-jerit kesakitan.

“Bismillahi-Masyaallah. Bismillahi-Masyaallah. Bismillahi-Masyaallah,” ucap ustaz Bahrain sambil tangan kanannya terus memegang ubun-ubun Nadya.

“Sakittttt! Sakittttt! Arghhhhhhhh!” Nadya menjerit kuat dengan kaki dan tangannya menggelupur bagaikan diserang sawan babi.

“Bismillahi-Masyaallah. Bismillahi-Masyaallah. Bismillahi-Masyaallah,” ustaz Bahrain tetap juga meneruskan ucapan itu.

“Baik. Baik. Aku keluar. Aku janji aku tak kacau perempuan ni lagi. Aku keluar sekarang,” akhirnya ‘penunggu’ di dalam tubuh Nadya mengalah dan tidak lama kemudian, Nadya terjelopok di atas tanah tidak sedarkan diri.

Melihatkan keadaan itu, Maya segera mendapatkan Nadya yang sudah lemah longlai. Dapat dilihat rambut Nadya sudah bertukar kembali ke warna kelabu seperti awal program. Peserta lain beku dan kaku setelah melihat sendiri apa yang terjadi ke atas Nadya sebentar tadi. Mulut mereka bagaikan terkunci rapi.

“Alhamdulillah, terima kasih Allah. Semuanya dah selesai,” ucap Maya dalam tangisan kesyukuran.

******

Selepas kejadian malam itu, Nadya telah diambil pulang oleh kedua ibu bapanya bagi memastikan keselamatannya terjamin. Ustaz Bahrain juga telah ‘membunuh’ penunggu yang merasuk tubuh Nadya dan ‘membersihkan’ rumah lama itu. Namun, malam itu semua peserta wanita diminta untuk menetap di rumah Pak Osman bagi memastikan keselesaan mereka.

Menurut Pak Osman, rumah lama itu adalah rumah peninggalan arwah neneknya. Bilik yang Nadya duduki itu adalah bilik milik arwah neneknya. Arwah neneknya dahulu merupakan seorang jelitawan dan Ratu Kebaya yang digilai oleh pemuda-pemuda kampung. Oleh kerana rambutnya yang cantik dan panjang separas punggung, penduduk kampung menggelarnya si Panjang Mengurai. Walaupun setelah mempunyai cucu, arwah neneknya masih kelihatan muda dan cantik.

Namun, ketika arwah neneknya meninggal dunia, barulah segala rahsia terbongkar. Arwah neneknya mengamalkan ilmu hitam untuk kekal muda dan cantik. Tidak diketahui dari mana arwah neneknya menuntut ilmu itu namun apa yang di beritahu pada Pak Osman, arwah neneknya tidak boleh menyikat rambut dengan sikat selain sikat kayu yang berukir dengan figura burung merak. Sikat itu juga haruslah diasapkan dengan setanggi pada setiap malam. Setelah ketiadaan arwah neneknya, tiada siapa lagi mahu menetap di situ lalu Pak Osman membuat keputusan untuk menjadikan rumah itu sebagai rumah penginapan. Namun, Pak Osman tidak menyangka rupanya ‘belaan’ arwah neneknya masih lagi ‘menghuni’ rumah itu kerana sebelum ini tiada penyewa pernah mengadu akan sebarang perkara pelik yang berlaku di rumah itu. Dia merasa amat sesal atas kejadian yang menimpa Nadya.

******

“Maya, kau ni sebenarnya siapa? Bomoh ke?” tanya Farah sebaik sahaja mereka tiba di ‘base camp’ Jaya Excellence Consultancy.

“Kau rasa?” balas Maya dengan senyum sarkastik.

“Weh, aku dari semalam curious gila nak tahu do! Kau janganlah main tarik tali macam ni,” rungut Farah.

Maya tertawa perlahan. Tidak lama kemudian, Anita dan Thilaga menyertai mereka berdua.

“Beritahulah Maya. Kita orang punya rasa ingin tahu ni dah macam gunung berapi meletus-letus rasanya,” sampuk Thilaga.

“Aku bukan bomoh. Aku cuma manusia yang boleh melihat apa yang manusia lain tak boleh lihat. Dan aku sedang belajar untuk jadi pengamal perubatan Islam dengan izin Allah,” balas Maya tenang dan bersahaja.

“Maksud kau, kau ni manusia yang matanya tak berhijab? Wah hebat!” sampuk Anita.

“Ya. Nama sebenar aku Maya Andarra dan aku memiliki sepasang mata yang tidak berhijab dan segala pujian kembali pada Allah SWT.”

-JUMPA LAGI-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.