Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi Perempuan Dari Langit (Episod 2)
Perempuan Dari Langit (Episod 2)
illifadli
18/2/2018 15:59:30
3,073
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

“MOHON BANTUAN MENCARI TUNANG SAYA YANG HILANG SEJAK DUA HARI LEPAS. DIA MENGALAMI MASALAH HILANG INGATAN....”

Jantung saya berdegup kencang. Gambar yang ditweet saling tak tumpah seperti muka perempuan dari langit itu. Beerti semua yang dia ceritakan kelmarin ketika di tasik adalah dusta belaka dan saya hanya mampu menepuk dahi mengenangkan bagaimana saya boleh percaya bahawa dia perempuan dari langit (yang saya sangka dihantar oleh Tuhan untuk menjadi teman istimewa saya!)

Lebih malang, “perempuan dari langit”ini telah bertunang! Seketika saya merasakan kebahagiaan saya telah direntap secara paksa dan sekeliling menjadi sunyi sepi..sepi..dan gelap.

            “Sekarang dah boleh masukkan ayam?”

            Lamunan saya terhenti.  Kelihatan dia tersenyum kepada saya dengan tangan kanannya masih memegang sudip. 

             “Siapa sebenarnya nama awak?” saya cuba mencungkil sedikit rahsia tentang dirinya.

            “Ayam dah siap! Boleh kita hidangkan sekarang? Saya dah lapar.” Dia tidak menjawab persoalan itu sebaliknya cuba melarikan fokus saya dengan senyuman yang diperlihatkan ke arah semangkuk sambal ayam yang sedia menanti untuk dijamah.

***************

Saya memerhatikan dia makan dengan penuh berselera, tidak toleh kanan dan kiri. Maksaya memerhati perempuan itu makan dengan senyuman dan berkali-kali menyuruh dia menambah lagi lauk ke dalam pinggan.Saya pula seakan tidak mempunyai keinginan untuk menghabiskan sebahagian nasidi dalam pinggan ini. Mungkin ini rezeki untuk kucing saya yang sejak tadi tidak pula memperlihatkan bayangnya.

             Fikiran saya masih terganggu dengan maklumat yang saya baca di Twitter berkaitan perempuan dari langit itu. Perlukah saya memberitahu kepada individu yang memuat naik tweet tersebut bahawasanya orang yang dia cari itu kini berada di rumah saya dan sedang menikmati kelazatan sambal ayam tanpa menyedari identitidirinya yang sebenar? Ah, saya buntu bercampur resah. Bagaimana kalau nanti saya pula yang dituduh menculik? Tak pasal-pasal saya menjadi tular di media sosial pula. Ishh takut!

            Kalau semalam alasan yang dia berikan ketika saya menyuruhnya meninggalkan rumah ini kononnya mahu belajar memasak sambal ayam, kali ini nescaya dia tidak punya apa-apa alasan lagi.Seandainya dia berkeras juga mahu tinggal di rumah mak saya bagaimana? Saya terfikir lebih baik saya maklumkan saja pada tunangnya melalui Twitter, ya itu yang terbaik. Saya menyuap nasi ke mulut sambil mata saya sesekali  mencuri pandang pada raut wajahnya yang manis. Wajahmu seindah serinya pelangi nan indah, seharum mawar putih sedang berkembang.

            “Cik Langit, saya sudah tahu siapa sebenarnya awak.” Saya menganggu fokusnya yang sedang asyik menonton televisyen.

            “Siapa?” dia bertanya semula kepada saya tetapi matanya masih terpaku pada program masakan yang sedang bersiaran ditelevisyen.

            “Sudah. Hari awak bersenang-lenangdi sini telah berakhir. Mari saya hantar awak pulang ke rumah awak.” Saya sedikit tegas, tiada kompromi lagi.

            “Jadi awak dah tahu di mana rumah saya?” riak wajahnya berubah serta merta, sedikit kekeliruan.

            Ya. Selepas makan tadi saya telah berkomunikasi melalui Twitter dan kemudian berlanjutan ke Whatsapp dengan si pemuat naik tweet bergambar yang mengaku sebagai tunang kepada Cik Langit, gelaran yang saya berikan pada perempuan itu. Kami menetapkan waktu dan lokasi untuk bertemu dan saya pasti kisah dongeng saya dengan seorang perempuan berkulit putih yang secara tiba-tiba memberi warna pada hari saya yang muram akan berakhir sebentar lagi.

            “Terima kasih. Kamu telah menjaga anak pak cik dengan baik. Pak cik tak boleh bayangkan jika seseorang yang mempunyai niat tidak baik menemui Aisyah, pasti kami sekeluarga...” kata-kata lelaki dalam usia lewat 50-an itu terhenti tiba-tiba. Kelihatan air mata kegembiraan mengalir dari kelopak matanya manakala saya pula bagaikan karam di lautan duka kerana sebentar lagi wajah perempuan itu akan hilang dari pandangan mata.

            Ya, saya hanya melakukan apa yang terdaya, sekadar memberi dia tumpang di rumah mak tanpa mengharap apa-apa balasan.Atau mungkin harus saya katakan sebenarnya hati saya telah tertarik padanya.Mungkin jika dia masih belum mengikat tali pertunangan ingin saja saya terus masuk merisik! Alahai, saya harus bersikap realistik, dia dan saya tidak mungkin berjodoh!

            PucukPauh delima batu

            Anak Sembilang di tapak tangan

            Sungguh kita tak mungkin bersatu

            Senyuman cik langit kekal dalam kenangan.

            Pulang dari menghantar Cik Langit,saya menerima panggilan telefon dari bekas kekasih yang memberitahu, “Hai Li, I cuma nak bagitahu bulan depan I nak bertunang, I harap you bahagia lepas ni. Kalau boleh tolong un-follow I di Instagram dan Twitter serta un-friend I di fb. Maaf, tapi I tak akan  jemput you ke majlis pertunangan dan perkahwinan I nanti. Harap you cepat-cepat move on.”

            Sebagai  reaksi balas saya mengambil selfie dengan senyuman paling menawan persis pelakon korea, lalu post gambar  terbaharu itu dengan kapsyen berbunyi :

“SAYADAH MOVE ON SEJAK TIGA HARI LEPAS. SAYA TERIMA TIADA JODOH ANTARA KITA. ANDA YANG GAGAL BERCINTA PUN KENA BANGKIT MACAM SAYA OK! #BangkitKembali #MoveOn #SayaTabah #TiadaAirMata #SayaGarangTapiBaik #KuatBersama”.

            Gambar tersebut mendapat ribuan like dan ratusan komen balas. Ianya turut menjadi inspirasi topik perbualan Kurator Tweet Cinta dan Tweet Gagalis sepanjang hari.

Ratusan followers saya di Instagram memuji ketabahan saya. Ada yang menghantar Direct Message  ingin menjadikan saya sumber inspirasi tak kurang yang menawarkan diri untuk menjadi “teman tapi mesra”. Bagi mereka ini adalah contoh seseorang yang berani bangkit selepas kegagalan percintaan.

            Realitinya mereka semua tidak tahu,selepas saya post gambar tersebut,saya menangis sendirian di dalam teksi sehingga si pemandu teksi itu berkata,“Sabar dik, cinta terlarang memang kesudahannya menyakitkan.”

            Alunan lagu “Patah Seribu” oleh Shila Amzah benar-benar meruntun jiwa saya pada waktu itu!

 

6 Bulan Kemudian

Angin petang mengembalikan rindu saya pada seseorang yang pernah saya temui di kawasan tasik ini beberapa bulan dahulu. Tetapi mengapa saya harus merindui dia yang tidak ada apa-apa hubungan dengan diri ini bahkan saya sudah sedia maklum dia telah bertunang!. Ini semua cuma perasaan mengarut yang sedang cuba mempermainkan kewarasan akal saya, mungkin.

            Rindu-rindu aduh sayang merindu

            Jauh-jauh orang sudah menjauh

            Kasih-kasih aduh sayang berkasih

            Bukan-bukan hamba orang terpilih

            Kiri duri kanan pun berduri

            Arah mana ke mana hendak hamba melangkah

            Nasib diri begini nasib diri

            Rela hamba terima walaupun jiwa parah....

            Sepasang mata saya tertancap pantas ke arah seorang perempuan berkurung hijau muda. Entah kenapa dada saya berombak-ombak seperti seseorang yang baru selesai berlari di bawah terik matahari. Perempuan itu sedang duduk bersandar di bangku batu di depan tasik.Mungkinkah dia? Kemudian pandangan perempuan itu beralih ke arah saya, serta merta terlihat senyuman di wajahnya. Saya mengatur langkah berjalan menghampirinya, sesuatu yang terjadi secara spontan.

            “Awak? Cik Langit? Eh, Aisyah kan?”saya bertanya kepadanya penuh keterujaan. Ya, yang sedang berada di hadapan saya ialah dia, Cik Langit atau nama sebenarnya Suria Aisyah yang mulanya dulu  saya fikir datang dari  langit kemudian meminta saya mengajarnya memasak sambal ayam sebelum hakikat sebenar dia cuma seorang perempuan yang hilang ingatan dan sudah bertunang.

            “Tadi saya ke rumah awak. Mak awak beritahu yang awak ada di sini. Sihat?” dia bertanya kepada saya, matanya berkaca-kaca.

            “Alhamdulillah, sihat. Jadi awak sudah menemui semula ingatan yang keciciran di angkasa?” saya  berseloroh padanya. 

Dia hanya ketawa kecil dan saya tersenyum lebar.

            “Sudah. Saya dah ingat semuanya. Ohsaya ingin ucapkan terima kasih.”

            “Untuk?”

            “Ya, untuk sambal ayam itu danlayanan baik yang awak berikan.”

            Saya pula yang menjadi malu  secara tiba-tiba. Dia masih ingat tentang sambal ayam yang saya ajarkan separuh ikhlas padanya enam bulan lepas.

            “Jadi sekarang awak sudah mahir memasak sambal ayam?” saya kembali bertanya kepadanya.

            “Sudah tentu! Nanti ada masa saya masak untuk awak.” Jawapannya begitu bermakna penuh keyakinan. Kemudian dia menghulurkan sekeping sampul surat berwarna putih. Tidak mungkin di dalamnya sepucuk surat cinta luahan jiwa, bisik hati kecil saya.

            “Kad jemputan kahwin. Nanti datangya.” Katanya.

            “Tahniah”. Hanya perkataan itu  yang terpancul daripada mulut saya.

            Dari jauh saya melihat dia menaiki sebuah kenderaan MPV berwarna hitam. Hati saya bergetar. Saya mendongak ke langit dan menarik nafas sedalam-dalamnya seraya melihat matahari perlahan-lahan terbenam dan kedengaran entah dari mana beberapa baris lirik lagu “Antara Gadis” nyanyian kumpulan Dinamik sedang dialun syahdu.

            Mengapakah kau melangkah pergi

            Ketika ku masih perlu

            Menatap wajah mu kali akhir

            Dan lantas menyelam rindu..

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.