Home Cerpen Keluarga Maafkan Aku!
Maafkan Aku!
12/7/2016 14:10:57
3,694
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Part 1

Seri - seorang gadis muda berusia 25 tahun. Berkulit sawo matang, bertubuh tinggi lampai. Sepasang matanya yang bundar itu terpancar sayu. Menyembunyikan rasa galau dan rindu terhadap kedua orang tuanya. Dia berdiam di negeri itu kerana rajuk.

Rajuknya yang lama membuatkan rasa rindu semakin bersarang dalam jiwa.

Kerana rajuknya yang panjang dia tidak kembali lagi ke sana. Terkadang dia rasa gusar memikirkan ibu dan ayah yang jauh di kampung halaman. Sedang dia tetap tegar melayan rajuk yang kian lama tidak terpujuk.

Lima tahun menjadi saksi rajuk yang tiada terpujuk. Lima tahun juga tiada khabar berita yang dikirimkan buat ibu dan ayah. Dan lima tahun juga tiada dia mendapat khabar berita dari kampung. Terputus terus hubungan mereka anak-beranak. Selama lima tahun itu rajuk dan rindu bersatu tapi dek kerana ego seorang anak, dia tetap bertahan dalam rajuk panjangnya walau rindu kian sarat mencengkam dada.

Imbas kembali...

"Sampai bila pun Seri tetap tidak akan setuju!" ujarnya tegas.

Ya, Seri seorang yang tegas. Lagi-lagi ia membabitkan soal kehidupannya. Bagi Seri tiada siapa pun yang bisa mengubah prinsip hidupnya. Walaupun kedua orang tuanya.

"Tolonglah setuju, nak." Rayu Pak Meon. Berharap supaya Seri setuju dengan cadangan mereka.

Batuk-batuk kecil seiring juga dengan bicaranya. Pak Meon sudah tua, hanya Seri harapannya. Mahu diharapkan adik Seri, si Melati itu? Dia masih anak-anak. Dirinya juga belum bisa diurus, inikan pula mahu mengurus rumah tangga yang pastinya penuh liku.

“Apa yang ayah berkenan sangat dengan lelaki itu?” soal Seri sinis sambil berpeluk tubuh. Mencerlung matanya memerhatikan Pak Meon.

Apa yang Pak Meon nampak pada lelaki itu sampai sanggup mahu menjadikannya menantu? Sedangkan usia lelaki itu lebih kurang sebaya Pak Meon sendiri!

“Dia sudah banyak tolong kita. Apalah salahnya jika dia berkehendakkan diri kau, Seri.” Pak Meon cuba membujuk.

“Betul cakap ayah tu.” Mak Leha pula menyampuk, menyokong segala ujar suaminya. Dalam matanya penuh harapan. Seri nampak semua itu, tetapi dia tetap dengan keputusannya.

“Kalau ibu dan ayah sudah berkenan dengan dia, kenapa tidak ayah dan ibu saja berkahwin dengan dia? Kenapa mesti Seri. Seri masih muda!” Bentaknya.

Seri berlalu laju memasuki biliknya. Pintu bilik dihempas kuat. Lalu tubuh tinggi lampainya dihempas di atas katil. Bantal dicapai lalu dipeluk erat. Tangisannya tumpah di situ.

‘Tok-tok.’

Pintu bilik diketuk dan terkuak perlahan. Seri tetap berdiam diri. Dia tahu, pasti ibu atau ayah yang masih belum berputus asa mahu memujuknya.

“Seri… ibu tak pernah meminta apa-apa dari Seri. Ibu cuma minta Seri setuju saja dengan peminangan ini.” Sentuhan lembut Mak Leha di bahu Seri ditepis kasar.

“Kalau itu yang ibu dan ayah mahu… Seri akan keluar dari rumah ini!” keputusannya nekad.

Seri berdiri, matanya galak membaham wajah Pak Meon dan Mak Leha. Ternyata Pak Meon dan Mak Leha terkejut dengan keputusan itu.

“Sudahlah Leha. Tak ada guna cakap dengan anak kamu ni!” Pak Meon mula berang. Tangannya mencekak pinggang.

“Leha, kamu kunci bilik ni. Jangan bagi dia keluar. Keputusan aku muktamad!” Pak Meon mula bertegas dalam katanya.

Terbeliak mata Seri bila mendengarkan itu. Apakah dia harus mengikut kata hati atau kata orang tuanya?

‘Kring… kring…’

Bunyi telefon pejabat di hadapan Seri membuatkan dia kaget. Terlalu lama Seri bermenung lantas tangan kanannya laju mencapai ganggang telefon. Kedengaran suara tegas sorang lelaki di corong telefon membuatkan dia terus melupakan kenangannya tadi.

Part 2

“Kau balik raya tak tahun ni?” tiba-tiba Seri mendapat soalan itu.

Seri termangu seketika. Sudah lima tahun lamanya Seri tidak balik menjenguk orang tua dan adik di kampung. Entah mengapa, soalan yang baru ditanya oleh rakan sekerjanya tadi mengamit rasa rindu dalam hatinya. Apakah mereka merindui dirinya kala ini?

“Hoi! Menung apa?” Hentakan di meja membejatkan lamunan Seri. Syazwani yang di hadapannya berkerut dahi bila melihat Seri membiarkan soalannya sepi.

“Aku pun tak tahu nak balik atau tak.” Keluh Seri dengan wajah yang sayu.

Sungguh Seri sedih. Dia mahu balik. Tapi dia risau jika ayahnya, Pak Meon masih marah padanya.

“Baliklah Seri. Mak ayah ada satu je. Tak elok kau nak merajuk lama-lama. Benda yang lepas tu kau lupakanlah.” Syazwani memujuk. Pada Syazwani diluahkan segalanya. Cuma Syazwani yang tahu kisahnya.

Imbas kembali…

Majlis perkahwinan yang bakal berlangsung beberapa detik dari sekarang membuatkan jiwanya kacau. Seri tidak mahu menamatkan zaman bujangnya dengan cara paksa seperti ini.

‘Apa harus aku lakukan sekarang?’ desis hatinya.

Kreeek…

Bunyi pintu ditolak dari luar memeranjatkannya. Kelihatan Mak Leha masuk dengan senyuman yang tak lekang dari bibirnya.

“Senyum sikit Seri.” Tegur Mak Leha bila melihat wajah masam anaknya.

“Ibu… Seri mohon, jangan kahwinkan Seri.” Setitik air matanya tumpah membasahi pipi.

Mak Leha memandang anaknya sayu. Tiada bicara yang mampu dilontarkan hanya gelenggan kepala menjadi jawapan. Tangan tua itu menyapu lembut pipi Seri.

“Sudah siap semuanya?” tiba-tiba terpacul wajah Pak Meon yang siap bersongkok dan berbaju melayu.

“Kenapa kau menangis?” soal Pak Meon pelik.

“Ayah, tolonglah… Seri tak mahu kahwin!” kata Seri seraya melutut memegang kaki Pak Meon.

“Kau jangan bikin malu ayah, Seri!” ternyata Pak Meon masih tetap berkeras.

Nafas Pak Meon mula naik turun. Segala persiapan sudah tersedia, tinggal lagi menunggu rombongan pengantin lelaki sampai saja. Kala ini, rombongan juga sudah semakin hampir. Mana mungkin Pak Meon membatalkan! Mak Leha yang sedari tadi menjadi pemerhati tidak mahu ikut campur walaupun dia kasihan melihat Seri.

“Kalau kau masih berdegil juga. Anggap sajalah aku ni bukan ayah kau. Dan kau boleh berambus dari rumah ini!” marah Pak Meon. Seri terkesima mendengar kata ayahnya.

“Abang…” Mak Leha cuba untuk membantah tetapi lekas disekat oleh Seri.

“Baiklah. Jika itu yang ayah mahukan. Seri akan keluar dari rumah ini!” tercalar hatinya saat dia berkata begitu. Tetapi dia nekad. Ini soal hidupnya!

“Andai itu pilihan kau, jangan kau jejakkan lagi kaki kau dalam rumah ini!” kata-kata Pak Meon bagaikan halilintar. Tersentap Seri dan Mak Leha.

Pak Meon terus melangkah meninggalkan mereka dua beranak yang sedang berpelukan.

“Hoi, kau ni kalau tak berangan tak boleh ya?” ujar Syazwani sambil menolak bahu Seri bila dia melihat Seri sedang asyik mengelamun.

‘Aku cakap dengan dia, boleh pula dia termenung. Kurang asam punya kawan!’ sempat lagi Syazwani mengutuk dalam hatinya.

Seri tersentak seraya tersenyum hambar.

“Kau balik ke, Syaz?” Soal Seri. Tangannya ligat mengemas meja pejabat.

“Mestilah. Aku cuti seminggu.” Semangat sekali.

“Aku… mungkin balik.” Tertahan-tahan suaran Seri. Syazwani sudah menunjukkan riak gembira. Bahu Seri ditepuk perlahan, mengalirkan semangat untuk Seri.

“Sudahlah, jom!” Ajak Seri. Dikerling jam di tangannya. Tinggal lagi setengah jam waktu rehat. Sempatlah mereka makan di kafe.

Part 3

Hari yang dinanti kini tiba. Seri berdoa dalam hati supaya ayah dan ibu masih menerima dirinya sebagai anak. Satu persatu baju dilipat dan dimasukkan ke dalam beg kecilnya. Seri tidak bawa banyak. Cukup untuk dia bermalam sehari dua di sana. Cuti Seri pun tak lama, cuma tiga hari saja.

Lagipun dia tidak tahu penerimaan mereka kelak. Andai Seri diusir, dia redha. Kerana itu Seri tidak mahu bercuti lama. Tapi sekiranya dirinya disambut baik, Seri masih punya banyak waktu untuk pulang lagi ke kampung.

“Sudah siap ke?” terjengul wajah Syazwani di balik pintu.

“Sudah.” Jawab Seri lalu bangun dan menunjukkan beg kecil di atas katilnya.

“Sikitnya.” Komen Syazwani. Berkerut dahinya melihat cuba sebuah beg kecil yang Seri bawa.

“Cukuplah. Bukan lama aku di sana nanti. Silap haribulan, hari ini juga aku balik semula ke sini.” Ujar Seri perlahan.

“Kau ni! suka sangat buat andaian. Aku yakin mereka juga merindui kau. Kau tu anak mereka. Tak mungkin marahnya sampai sekarang.” Kata Syazwani, meniupkan semangat kepada Seri. Seri hanya mengangguk.

Mereka berpelukan seketika sebelum Syazwani melangkah meninggalkan Seri seorang di situ. Syazwani sudah bergerak pulang ke kampungnya yang terletak di utara tanah air. Seri berjanji dia akan menghubungi Syazwani bila dia sudah menjejakkan kaki di kampung halamannya nanti.

Seri juga sudah siap untuk pulang ke kampungnya di Johol, cuma dia sedikit teragak-agak. Hatinya berbelah-bahagi. Tetapi, sampai bila dia mahu begini?

Setelah memeriksa keadaan rumah, Seri melangkah. Pintu rumah di kunci kemas. Seri melangkah perlahan ke arah keretanya. Dia duduk dan menarik nafas dalam-dalam sebelum pedal minyak ditekan. Kereta bergerak perlahan meninggalkan perkarangan rumahnya. Tekadnya dalam hati, walau apa pun terjadi dia mesti jumpa ibu, ayah dan Melati hari ini juga!

Lagu-lagu raya menemani perjalanan Seri membuatkan rasa rindu bagai tidak tertanggug lagi. Seri berasa mahu lekas sampai. Sungguh dia rindu.

Keampunan ku pohon

Sekiranya aku yang berdosa

Pulanglah ku merinduimu sayang

Ku menanti dengan jiwa raga

Pulanglah kepangkuan ku oh sayang

Ku menunggumu di hari raya

Lagu pulanglah nyanyian Aishah membuatkan hati Seri lagi terasa sayu. Matanya bergenang.

‘Ibu…tunggu Seri balik.’ Gumamnya.

Jam sudah menginjak ke angka enam petang. Kira-kira lagi sejam Seri akan sampai itu pun jika tidak berlaku kesesakan. Sempatlah dia berbuka sekali nanti. Pada musim perayaan begini orang ramai berpusu-pusu mahu pulang beraya. Pasti akan berlaku kesesakan jalan raya.

Jam lapan malam Seri sampai. Tidak sempat dia mahu berbuka sekali. Seri hanya mengalas perut dengan air dan roti yang dibeli semasa dia berhenti di perhentian tadi.

Rumah kampung sebuah berbumbung bentuk minangkabau tersergam indah di hadapannya kini. Tingkap semua sudah bertutup. Kelihatan cahaya terang di sekeliling rumah, cahaya terang dari pelita buluh. Cantik!

Sudah lama Seri tidak merasa suasana ini. Jika dulu, waktu begini pasti dia dan Melati sudah sibuk membantu Mak Leha mengayam ketupat untuk di buat juadah pada pagi raya esok. Bibirnya menguntum senyuman.

Senyumannya mati bila pintu depan rumah terkuak. Kelihatan sosok tubuh seorang lelaki tua yang perlahan-lahan menuruni anak tangga satu-persatu. Mata tua itu yang sudah rabuh mengecil untuk melihat ke arah Seri. Seri yang masih membatu di dalam kereta mula tak senang duduk.

Pak Meon melangkah menghampiri kereta Seri. Cermin tingkap yang gelap itu menyukarkan Pak Meon untuk mengecam orang di dalamnya. Seri kalut. Dia risau jika Pak Meon akan menghalaunya.

Perlahan-lahan Seri membuka pintu kereta. Pak Meon terundur sedikit beberapa langkah bagi membolehkan Seri keluar.

“Ayah…” tegur Seri takut-takut melihat muka Pak Meon yang bengis itu.

Pak Meon terkejut. Dia tidak sangka Seri akan pulang. Pak Meon menapak perlahan ke arah Seri. Jantung Seri bagaikan mahu keluar dari dadanya kala Pak Moen berhenti betul-betul di hadapannya. Seri dapat merasakan, dia akan dihalau dan Pak Meon tidak akan menerima dia sebagai anak lagi.

Tanpa bicara Pak Meon mendakap erat anaknya. Rindu. Ya, terlalu rindu! Air matanya tumpah. Seri juga sudah teresak-esak di dada Pak Meon.

“Mari masuk, nak. Ibu dan Melati ada di dalam. Mereka mesti terkejut melihat kau sudah pulang.” Laju Pak Meon mengesat air matanya yang tumpah tadi dan terus menuntun Seri memasuki rumah.

Seri gembira! Ayah sudah tidak marah pada dirinya lagi. Betul cakap Syazwani.

“Leha, Melati, lihat siapa yang balik ni.” teruja sekali suara Pak Meon memanggil isteri dan anak bongsunya.

Mak Leha dan Melati bingkas bangun. Terpaku di tempat mereka berdiri. Bagaikan tidak percaya. Insan yang selama ini mereka rindui kini kembali. Seri terus berlari mendakap Mak Leha dan menarik Melati sekali dalam pelukannya. Pak Meon yang menyaksikan itu turut mendakap mereka. Kini keluarganya lengkap kembali.

“Ampunkan Seri ayah. Seri banyak dosa dengan ayah dan ibu.” Lantas tangan tua Pak Meon dicapai dan dikucup syahdu. Kepala Seri diusap perlahan.

“Ayah pun minta maaf pada kau, nak. Sudahlah. Benda yang sudah lepas kita lupakan saja. Ayah dan ibu rindukan kau, nak.” Terpancar cahaya kegembiraan disebalik kesedihan itu. Seri bersyukur, kini dia diterima semula dan diberi peluang untuk terus merasa masih punya keluarga.

“Mari duduk, Seri mesti belum makan lagi, kan? Mak ada masakkan mi goreng ni.” Mak Leha menarik tangan Seri. Seri hanya tersenyum dan mengangguk. Memang dia lapar.

Melati mengambil pinggan dan menyendukkan mi goreng untuk Seri. Mak Leha pula duduk di sebelah Seri sambil menyambung kerjanya mengayam ketupat yang tergendala tadi.

Pelik juga Seri bila melihat kelakuan Melati. Melati hanya diam tidak bersuara dari masa Seri sampai tadi.Tetapi perut yang lapar itu perlu diisi dulu. Nanti saja Seri bertanyakan pada Melati. Botol air di hadapannya dicapai, tetapi ditarik oleh Melati. Melati tersenyum seraya menuangkan air ke dalam cawan untuk Seri. Seri tersenyum tetapi senyumannya memudar bila terlihat tangan Melati.

“Kenapa dengan tangan Melati?” soal Seri pelik. Lirikan matanya beralih ke arah Mak Leha.

“Tangan ibu pun sama!” terperanjat Seri bila melihat tangan Mak Leha dan Melati hitam dan rentung. Seakan terbakar saja.

“Hemm… memang mereka terbakar.” Jawapan Pak Meon menyentak hati Seri.

Anak apa dia ini? Saat keluargannya ditimpa musibah, dia tiada di samping mereka.

“Sudahlah. Kami semua tak apa-apa. Makan lagi, nak.” Ujar Pak Meon. Mak Leha dan Melati tersenyum kasih pada Seri.

Part 4

Seri terjaga dari lena bila telinganya menangkap suara takbir raya. Sayu hatinya mendengarkan. Matanya terpisat-pisat memerhati ke atas. Tangannya cuba menghalang cahaya mentari yang menyilaukan pandangannya kala ini.

‘Aku kat mana ni?’ Desis hatinya.

Seri bingkas bangun. Seri melihat tempat dia berbaring. Terkejut bukan kepalang Seri dibuatnya. Dia hanya tidur beralaskan kayu! Mana pergi katil dan mana Melati? Melati menemaninya tidur malam tadi.

Laju Seri melangkah. Dia kaget bila melihat keadaan rumah! Bukan rumah ini yang dia lihat semalam! Semalam rumah itu indah dan dihias cantik, tapi hari ni… macam rumah yang tidak berpenghuni. Barang-barang dan kayu rumah yang hangus dan rumah itu juga tidak berbumbung!

Seri berlari laju keluar dari rumah. Tangga batu yang semalam cantik berwarna hijau muda itu kini hitam dan buruk!

‘Apa semua ni? Mana ibu? Mana ayah?’ Seri keliru.

Pap!!!

Tiba-tiba bahu Seri disentuh sesorang. Seri berkalih melihat dengan wajah yang kusut.

“Seri!” Terkejut orang itu bila melihat. Seri, anak yang membawa diri kerana rajuk itu akhirnya pulang.

“Mak Som.” Walaupun sudah lama tidak menjejakkan kaki di situ. Seri masih lagi mengenali wajah Mak Som, jiran sebelah rumahnya.

“Bila Seri sampai?” soal Mak Som. Pelik juga dia bila melihat anak gadis itu tercengang-cengang memerhatikan kawasan rumahnya.

“Mak Som, apa semua ni?” Sekilas Seri memandang Mak Som.

Seri terjelepok jatuh bila Mak Som menceritakan semuanya. Rupanya rumah yang diduduki oleh Pak Meon sekeluarga itu sudah dua tahun terbakar dan kebakaran itu telah mengorbankan ayah, ibu dan Melati. Dan Seri tidak tahu akan hal itu! Meraung-raung Seri di lantai tanah itu. Mak Som memeluk Seri bagi menenangkannya.

“Habis, semalam siapa yang Seri jumpa?” soal Seri teresak-esak.

“Mak Som tak tahu. Kami semua cuba cari Seri untuk menyampaikan berita duka ni, tapi kami gagal mengesan ke mana Seri bawa diri.” Terang Mak Som. Tangannya membelai-belai rambut lurus Seri.

“Seri, Pak Meon menyesal sangat dengan tindakannya. Mak Leha selalu datang rumah Mak Som, mengadu.” Kata Mak Som lagi. Seri yang dalam dakapannya terenjut-enjut bahu menahan tangis.

“Marilah ke rumah Mak Som.” Mak Som menarik Seri membantunya bangun. Seri hanya menurut.

Selesai bacaan surah yassin untuk kedua orang tuanya dan Melati, Seri yang ditemani Mak Som membersikan rumput-rumput yang liar menjalar di atas kuburan keluargannya itu. Lalu bunga-bunga segar ditaburkan.

“Maafkan Seri.” Ujar Seri. Batu nisan dipeluk erat dan dikucup sayu.

“Seri pulang dulu. Seri janji, Seri akan datang jenguk ayah, mak dan Melati selalu.” Kata Seri lagi lalu nisan itu dikucup lagi. Kali ini lebih lama. Air matanya meleleh perlahan. Membasahi pipinya.

Mak Som yang setia menemaninya dari tadi menyentuh bahu Seri. Seri faham isyarat itu, lalu dia bangun dan mengangguk. Mak Som dan Seri berjalan seiring meninggalkan tahan perkuburakn islam itu.

Di kejauhan, Pak Meon dan Mak Leha serta Melati tersenyum melambai ke arah mereka.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.