Home Cerpen Fantasi Cahaya Dari Langit
Cahaya Dari Langit
5/8/2016 19:04:26
3,950
Kategori: Cerpen
Genre: Fantasi
Prolog

Di dada langit terlihat lohong cahaya. Fenomena yang jarang ataupun tidak pernah berlaku di Malaysia. Lohong-lohong cahaya yang ada empat kesemuanya mula memancarkan cahaya kehijauan.

Dalam samar cahaya kehijauan itu kelihatan satu objek yang meluncur dari situ. Objek itu terus meluncur laju ke bawah dan hilang. Setiap satu lohong cahaya kehijauan itu mempunyai objeknya yang tersendiri. Bila objek-objek itu meluncur, terus saja lohong cahaya tertutup dan langit menjadi seperti sedia kala.

Megat terpinga-pinga menyaksikan kejadian itu. Cahaya dari langit itu menganggu benaknya. Megat memainkan semula rakaman video yang sempat dia rakam. Rakaman yang menunjukkan dada langit yang berlubang-lubang dan cahaya hijau memancar menjatuhkan objek-objek pelik itu.

Pada saat kamera videonya merakam objek yang berjatuhan itu Megat lekas menekan butang pause, sisi kamera ditekan laju supaya imej yang pelik itu dapat dilihat dari jarak yang dekat. Saat imej itu di zoom dahi Megat berkerut. Ianya hanya bayang hitam yang tidak mempunyai bentuk!

Apa sebenarnya yang dimuntahkan sang langit saat itu?

Bahagian 1

Nek Timah - seorang tua yang hidup sendiri setelah dibuang oleh anak gadisnya. Dia tinggal di pondok usang ini sendirian bertemankan si Comot, kucing yang dipelihara dan menjadi peneman untuk dia dalam meniti hari-hari yang sunyi.

Nek Timah terbongkok-bongkok menyapu di laman rumah. Habis semua daun-daun kering ditarik dan dihimpun di pinggir laman. Sebentar lagi dia akan membakar semua dedaun kering itu supaya lamannya kelihatan bersih.

Setelah berpuas hati dengan hasil di laman hadapan pondoknya, Nek Timah berjalan perlahan menuju ke belakang rumah. Dia mahu membersikan bahagian belakang pula. Kawasan belakang pondok Nek Timah penuh dengan sayur-sayuran. Semuanya Nek Timah tanam sendiri, dari muda lagi dia memang suka bercucuk tanam.

Sebelum Nek Timah memulakan sesi pembersihan kawasan, adalah menjadi kewajipan bila dia akan menilik dan membelai tanamannya itu. Nek Timah juga kadang kala berbicara dengan pokok bunga dan sayuran di belakang pondok usang itu. Sehingga orang kampung menganggap Nek Timah gila.
Nek Timah tidak menghiraukan semua cakap-cakap orang kampung. Bagi dirinya selagi dia tidak menyusahkan dan mengacau orang itu sudah memadai. Dia juga berdoa supaya tidak ada orang akan menganggu hidupnya kelak.

"Hish, kau ni. Habis daun cili aku." Marah Nek Timah pada seekor ulat yang berwarna hijau itu. Tangannya laju memetik daun dan mencampakkan ke bawah lalu dipijak. Habis penyek ulat itu.

Nek!!!

Kepala Nek Timah terteleng-teleng mencari arah suara halus itu. Siapa pula yang memanggilnya sedangkan dia hanya tinggal berseorangan saja. Wajah tua itu terlihat pelik. Pokok ubi yang tingginya paras pinggang orang dewasa itu terlihat bergoyang-goyang seakan ada sesuatu yang cuba melepasinya.

Mata Nek Timah membulat. Riak risau jelas terpancar di wajahnya. Manalah tahu jika di sebalik itu ada binatang buas? Sudah pasti dia tidak dapat melarikan diri.

Tapi, tadi itu suara siapa?

***

Megat terkocoh-kocoh memboloskan diri ke dalam rumah sewanya. Sufian yang sedang enak tidur di atas sofa di ruang tamu tidak dihiraukan. Megat lekas menapak masuk ke dalam bilik. Di situ dia mula menayangkan semula rakaman video kejadian langit berlubang yang sempat dirakam tadi.

Dia meneliti satu persatu. Dalam video itu dia hanya sempat merakam pancaran cahaya hijau dan objek hitam yang tiada bentuk itu saja. Sedangkan semasa di kawasan kejadian tadi, dia sudahpun mempastikan rakaman video yang di ambil yang berdurasi 35 saat itu lengkap. Puas diulang-ulang, tetapi rakaman awal semasa langit terbuka dan berlubang-lubang itu sudah hilang!
Megat cuak. Apa sudah jadi?

Megat menekan butang stop dan dia cuba memainkan semula rakaman video itu. Kali ini rakaman yang sama cuma pancaran cahaya kehijauan itu sudah semakin suram. Megat mula gelisah, video rakamannya yang berdurasi 35 saat tadi kini sudah menjadi 20 saat.

Megat lekas keluar dari biliknya. Dia menerpa mendapatkan Sufian. Sufian yang sedang lena terkejut. Dia ingin marah, tetapi bila melihat wajah Megat yang seperti ayam berak kapur itu terus rasa marahnya surut.

"Kau ni apahal?" soal Sufian pelik.

"Tengok ni." Video kamera dihulurkan.

Sufian yang masih lagi mamai menyambut malas. Butang play ditekan. Dahinya berkerut. Sekejap-sekejap dia memandang rakaman itu, sekejap-sekejap wajah Megat pula yang ditatap. Megat yang tidak sabar menanti terus menjenguk, sama-sama melihat rakaman pelik itu.
Wajah Megat berubah bila rakaman itu sudah tiada! Kesemuanya hilang!

Mana pergi rakaman itu? Siapa pula yang memadamnya?

Bahagian 2

Nek Timah menjenguk di bahagian belakang pokok ubinya. Tidak juga kelihatan siapa-siapa. Lama dia berdiri di situ.

"Nek Timah!!!"

Jerit satu suara dari arah hadapan pula. Terkocoh-kocoh Nek Timah melangkah mendapatkan si empunya suara. Kelihatan seorang pemuda sedang menjinjit beberapa bungkusan plastik. Bila dia nampak Nek Timah semakin menghampiri senyum diwajahnya terus terukir.

"Ha! Kamu Adam. Kamu buat apa kat belakang tadi?"Nek Timah menyoal sambil mengajak Adam menujuk ke arah pangking yang terletak hampir dengan pohon rambutan. Dahi Adam berkerut pelik tetapi dia tetap membuntuti Nek Timah.

"Ma... ma... mana ada saya kat be... be... belakang. Sa... saya baru sampai ni." Adam gagap menjawab.

Adam anak jati kampung ini selalu datang menjenguk Nek Timah. Adam seorang yang agak lurus dan dia juga gagap sejak kecil. Maka, Adam tidak mempunyai teman. Mereka malu bertemankan Adam yang gagap. Walaupun Adam begitu, dia baik dan mengambil berat tentang Nek Timah.

"Habis tu yang kamu terjerit-jerit kat belakang tadi tu, kenapa?" Soal Nek Timah.

"Sa... sa... saya tak per... pergi belakang." Jawap Adam dengan susah payah.

"Kalau bukan kamu siapa pula kat belakang tu?" pelik.

"Ni mak a... ada ba... ba.... bagi lauk." Adam menjogketkan bahu tanda tidak tahu. Bungkusan lauk pun bertukar tangan.

***

Megat dan Sufian saling berpandangan. Sufian menghulurkan semula kamera itu seraya berbaring semula di atas sofa. Kedua tangan diletakkan di belakang bagi menampung kepalanya. Megat pula masih merenung kemera di dalam genggamannya.

"Apa kau nak tunjuk sebenarnya?" soal Sufian sambil menguap.

"Tadi aku ada rakam satu fenomena aneh. Langit berlubang dan memancarkan cahaya. Tapi pelik macam mana boleh hilang?" Megat memulakan cerita.

"Hemm, kau ni biar betul. Mimpi tak?" Sufian bingkas bangun dan telapak tangannya ditekap di dahi Megat.

"Hish! Betullah. Aku yakin dengan apa yang aku nampak tadi." Kata Megat, tangan Sufian yang masih melekat di dahinya ditepis kasar.

"Tengok berita nanti mesti ada, itupun kalau betul apa yang kau nampak tu." Cadang Sufian.

Megat yang tadi hampa kini bersemangat semula. Laju tangannya menekan alat kawalan jauh. Siaran berita di tv3 sedang berlangsung. Mereka menunggu tidak lama. Terus berita tentang fenomena itu tersiar.

Fenomena Halo adalah sejenis fenomena optik. Lingkaran cahaya seakan pelangi yang mengelilingi matahari atau bulan dan ia terjadi kerana refleksi pantulan cahaya matahari atau bulan oleh kristal-kristal ais yang terdapat di awan cirrus, awan yang terletak di tingkat atmosfera yang disebut troposfer.

Fenomena Halo dengan empat lubang cahaya terjadi siang tadi sekitar jam 1.40 petang di utara semenanjung adalah satu fenomena pelik yang pertama kali berlaku di Malaysia. Kejadian ini disifatkan misteri kerana rakaman semasa fenomena ini terjadi telah hilang tanpa dapat dikesan. Walau bagaimanapun, beberapa gambar yang sempat diambil masih kekal ada.

"Kau tengok! Mereka punya rakaman pun hilang secara misteri." Jerit Megat.
"Aku nak pergi cari kat mana objek tu jatuh!" Megat berazam.

Bahagian 3

"Nek!!!"

Nek Timah yang sedang asyik menjamah lauk yang baru dihantar oleh Adam tersedak bila dia terdengar suara halus itu menjerit-jerit memanggilnya dari luar pintu belakang. Nek Timah pegun seketika, itu bukan suara Adam. Habis tu siapa pula?

Nek Timah bingkas menerpa pintu belakang. Selak pintu ditarik laju. Berkeriuk bunyi pintu dibuka. Nek Timah menjengah, tetapi tiada sesiapa pun.

Miauu

Si Comot yang duduk mendongak memandang Nek Timah minta didukung. Nek Timah membongkok dan mencempung tubuh kecil si Comot dan membawanya masuk ke dalam rumah.

"Nek, nak ikan." Suara halus itu kedengaran lagi. Nek Timah terpusing-pusing mencari.

"Bawah ni nek!" Nek Timah terus menunduk. Kelihatan mulut si Comot terbuka.

"Tak mungkin suara Comot!" gumamnya.

"Comot la yang bercakap ni, nek." Seraya si Comot mula menggagau dan memanjat Nek Timah.

"Kau..." bicara Nek Timah terhenti.

***

Megat dan Sufian memulakan perjalanan ke utara tanah air bagi mendapatkan jawapan kepada pencarian mereka. Perjalanan memakan masa hampir lima jam.

"Kau tahu kat mana pancaran cahaya tu berhenti?" Soal Sufian memecah sunyi.

"Tahu, aku dah google sebelum buat keputusan ni." Jawap Megat.

"Mak kau tahu tak ni?" soal Sufian lagi.

"Sebab tu aku ajak kau buat teman. Sekurang-kurangnya mak aku tak risau." Megat menjeling sekilas ke arah Sufian.

"Aku tidur dulu. Nanti kau dah letih gerak aku." Megat hanya mengangguk.

Suasana sepi beberapa jam. Sufian sudah lama lena. Hanya Megat yang masih segar dan meneruskan pemanduan.

"Pian, aku rasa kita dah sampai la." Megat mengejut Sufian yang lena tidur.

Sufian terpisat-pisat. Mata Megat meliar meninjau kawasan. Tercari-cari petunjuk.

"Mana rumahnya?" Soal Sufian. Dia mula meninjau sekeliling.

Megat hanya mengangkat bahu. Dia buntu mahu mencari arah. Petunjuk yang diperolehi cukup tetapi entah bagaimana dia boleh sesat.

Bahagian 4

Nek Timah masih terpinga-pinga. Tak mungkin seekor kucing boleh bercakap. Si Comot melompat naik ke atas ribanya, secara spontan tangan Nek Timah Membelai-belai kasih kelapa si Comot.

"Macam mana kau boleh bercakap?" soal Nek Timah tanpa berkedip. Matanya terus memandang tepat ke arah Comot.

"Nek tunggu sebentar, biar Comot panggil kawan-kawan Comot dulu." Comot terus melompat turun dan berlari ke ruang tamu. Nek Timah terpaku memerhati.

Selang beberapa saat, Comot dan kawannya sampai. Terbeliak mata Nek Timah melihatnya. Tangan Nek Timah menggigil menunjuk tepat ke arah mereka. Terus suasana menjadi gelap. Nek Timah rebah akibat terlalu terkejut.

***

Nek Timah tersedar bila mukanya direnjis dengan air. Nek Timah memerhatikan si Comot yang setia di sebelahnya. Di sebelah si Comot duduk sebuah kerusi. Di atas kerusi pula ada penyapu dan periuk nasi. Si penyapu itu yang merenjiskan air kepada Nek Timah.

"Siapa mereka semua ni Comot?" Soal Nek Timah merujuk kepada kawan yang comot maksudkan tadi.

"Saya Muriella." Si periuk nasi berkata.

"Saya Zeph." Si Penyapu pula bersuara.

"Saya Norick." Suara si kerusi pula kedengaran.

Nek Timah terkebil-kebil melihat barangnya bercakap. Dia cuba untuk menghadam segala yang berlaku di hadapannya kini. Pipi tuanya ditampar sekali dua bagi memastikan bahawa kala ini dia tidak bermimpi.

Rasa perit dari tamparan itu membuktikan yang dia tidak bermimpi. Satu persatu dipandang dan ditenung.

"Kau orang bukan hantu, kan?" soal Nek Timah teragak-agak.

"Bukan Nek. Kami berempat dihantar oleh kapten Dhutchess untuk menjadi peneman Nenek." Norick menjawab.

***

Megat memberhentikan keretanya betul-betul di laman rumah Nek Timah. Kala itu Nek Timah sedang duduk di kerusi dan Comot di dalam ribaannya.

"Assalamualaikum." Megat melaung kuat.

Nek Timah bangun dan menapak perlahan. Nek Timah sudah berpesan pada Muriella, Zeph, Norick dan Comot supaya tidak bersuara bila berhadapan dengan orang lain. Dia risau jika mereka menganggapnya membela hantu raya pula.

"Waalaikummusalam."

"Kami sebernarnya sesat ni. Boleh tak kami nak menumpang tidur malam ni di rumah nenek?" Sopan saja Megat meminta.

Dia sebenarnya bukanlah sesat. Tetapi dia mahu menyiasat.

"Boleh. Masuklah." Dengan senang hati Nek Timah menerima tetamunya itu.

Bahagian 5

Megat dan Sufian terjaga dari lena bila mereka terdengar suara Nek Timah sedang berborak dengan seseorang. Bila diamati betul-betul, memang mereka mendengar suara lain. Suara itu lebih halus dari suara Nek Timah.

Mereka berjalan terhendap-hendap dan mengintai Nek Timah yang nampak pelik dari petang tadi. Sufian hampir menjerit bila melihat penyapu dan periuk nasi Nek Timah bergerak dan bercakap, tetapi pantas mulutnya ditutup oleh Megat.

Mereka tidak perasan di belakang mereka kini ada Norick yang turut mengintai telatah mereka berdua. Megat menarik Sufian supaya mengikuti langkahnya. Dia mahu masuk ke dalam bilik dan esok pagi baru dia akan fikirkan apa yang harus dilakukan.

Baru saja Megat dan Sufian berpaling terus Norick menyodok mereka. Mereka berdua terduduk di atas kerusi dengan posisi saling bertindih. Norick terus bergerak menghampiri Nek Timah.

"Mereka mengintai kita Nek!" ujar Norick yang masih menahan Megat dan Sufian.

Megat dan Sufian terperanjat. Mereka berdua terus berdiri tegak menanti kata dari Nek Timah. Muriella, Zeph dan Norick sudah menunjukkan diri mereka semua.

"Jika kau orang rasa nenek ni jahat, kau orang boleh pergi sekarang." Itu saja yang dapat Nek Timah suarakan.

"Nek, macam mana..."

"Sebenarnya kami datang dari sebuah planet yang jauh dari bumi. Kami diarahkan oleh Kapten Dutchess untuk menemani Nek Timah. Kami sudah lama memerhatikan Nek Timah. Dia selalu kesunyian dan anaknya telah membuang dia tanpa belas kasihan." Pantas Norick mencantas bicara Megat.

Sedikit kisah Nek Timah diceritakan oleh Norick selaku ketua dalam pengembaraan mereka kali ini. Megat dan Sufian masih terpinga-pinga mendengarkan hujah itu.

"Kau orang yang datang dari cahaya langit semalam?" soal Megat mahukan kepastian.

"Betul. Kami datang dari lohong cahaya yang terbuka di langit. Kami mendarat di belakang rumah ini." Muriella pula menjawab.

Muriella terlompat-lompat menghampiri Sufian yang sudah menggigil ketakutan. Zeph juga semakin menghampiri mereka. Zeph berdiri hampir dengan Norick. Nek Timah pula hanya diam, saja dia membiarkan mereka berborak.

"Aku Norick, itu Muriella dan ini Zeph. Kau tak perlu takut. Kami tidak akan mengapa-apakan kau orang berdua." Norick memperkenalkan sahabatnya.

"Oh ya, ada satu lagi. Itu yang ada di atas riba Nek Timah namanya Catherine atau Comot. Dia akan kami tinggalkan di sini sebagai peneman dan akan pulang semula ke tempat asal kami apabila sampai masanya." Norick tanpa henti menerangkan segala yang bermain di benak Megat. Macam tahu saja apa yang sedang Megat fikirkan.

"Pasal rakaman kau dan semua orang yang sempat merakam kedatangan kami itu memang akan hilang. Kapten Dutchess sudah memprogramkan dari planet kami. Jadi mana-mana rakaman akan hilang dengan sendiri." Megat terkesima dengan penerangan panjang dari Norick. Segala persoalannya terjawab sudah.

Epilog

Norick, Zeph dan Muriella sudah bersedia untuk pulang. Megat dan Nek Timah menjadi saksi mereka pulang semula ke planet asal. Kedatangan mereka hanya sebentar. Itupun kerana mahu menghantar Catherine atau Comot.

"Aku harap kau tidak akan hebohkan kedatangan kami ke sini." Kata- kata akhir Norick kepada Megat.

"Jangan risau. Aku janji tidak akan memberitahu sesiapa pun." Janji Megat digenggam rapi.

Norick, Zeph dan Muriella tersenyum dan terus terbang. Lohong cahaya dari langit kembali terbuka. Kali ini hanya tiga kerana Catherine masih kekal di sini. Nek Timah mencampung tubuh si Comot dan masuk ke dalam rumah.

Megat masih berdiri di belakang hanya memerhati kepulangan mereka hingga lohong langit tertutup dan berubah seperti sedia kala.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.