Home Cerpen Cinta Saksi Cinta Terlarang
Saksi Cinta Terlarang
18/7/2016 16:42:06
6,021
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Dania berlari laju mengejar bas yang baru saja bergerak pergi itu. Bas cuma berhenti sekejap untuk menurunkan penumpang. Dania yang berkejaran di belakang langsung tidak dihiraukan oleh si pemandu. Dania mengah. Nafasnya turun naik. Dengan langkah hampa dia menapak dan duduk di kerusi tempat menunggu bas.

Huh… Dania mengeluh. Hari ini dia terlepas bas lagi. Maknanya hari ini lambatlah dia pulang ke rumah. Sama seperti semalam. Hampir jam sepuluh malam baru Dania terpacak depan pagar rumah. Mak dan ayah pasti akan risau.

Tangannya menyeluk ke dalam poket baju kurung kuning cair yang menjadi pilihannya hari ini. Dania meraba-raba poket untuk mencari telefon bimbitnya. Dia hendak menghubungi mak dan ayahnya mahu memberitahu bahawa dia akan pulang lewat seperti malam semalam kerana terlepas bas.

Sekali lagi Dania mengeluh apabila telefon bimbitnya kehabisan bateri. Apalah malang sungguh nasibnya hari ini. Sudahlah terlepas bas, ini bateri telefon pula habis. Jadi bagaimana dia mahu memberitahu mak dan ayah?

Dummm!

Bunyi guruh berserta kilat yang terang memancar tepat di hadapannya membuatkan Dania terperanjat. Hampir saja telefon dalam genggamannya terlepas. Angin kuat mula bertiup kencang. Hari mahu hujan ke? Hati Dania sudah tidak senang. Sekejap-sekejap dia menjenguk ke arah kanan. Mahu melihat bas yang dinanti. Tetapi tidak juga tiba.

Dania duduk berpeluk tubuh di atas bangku itu. Beg galasnya dirapatkan ke dada. Dia menanti dengan sabar. Langit sudah mula suram. Dania mengerling jam di pergelangan tangannya. Hembusan nafasnya kedengaran lagi, kali ini lebih deras.

“Mana bas ni? Kalau bas tak datang juga, aku naik teksi!” gumamnya perlahan.

Dania nekad jika bas tidak muncul dia akan naik teksi. Biarlah wang belanjanya habis pun. Janji dia dapat pulang awal hari ini. Sudahlah kembarnya, Dani mahu pulang hari ini. Dania tidak mahu lewat menyambut kepulangan Dani.

Dani dan Dania adalah kembar tidak seiras dan berlainan jantina. Kata emak, Dania yang bongsu sebabnya Dani keluar awal lima minit dari Dania. Bila terkenangkan Dani, Dania akan tersenyum sendiri. Betapa dia merindukan Dani. Dani kini sedang melanjutkan pelajarannya di Kelantan. Tahun ini adalah tahun akhir Dani. Dania berharap sangat yang Dani akan pulang dan kerja di sini, tinggal dengan mereka sekeluarga lagi seperti waktu dulu.

Pin! Pin!! Pin!!!

Segala angan Dania berkecai begitu saja bila sebuah kereta Iriz putih yang berhenti betul-betul di hadapannya dan menekan hon tanpa henti. Naik bingit telinga Dania. Mencerlung mata Dania memerhati ke arah pemandu Iriz putih itu. Cerminnya yang agak gelap menyukarkan pandangan matanya untuk menembusi di sebalik cermin. Tidaklah terlihat siapa gerangan ‘orang gila’ yang menekan hon tanpa henti itu.

Cermin tingkap sebelah kiri turun perlahan-lahan. Maka jelaslah wajah seorang pemuda yang berkulit hitam manis dan berkaca mata petak itu sedang tersenyum menggoda. Dania terkesima.

“Dani!” jerit Dania.

Teruja sungguh Dania bila di dalam kereta itu adalah kembarnya, Dani. Laju kakinya melangkah mendapatkan Dani. Pintu kereta dibuka dan dengan pantas Dania masuk lalu tubuh Dani dipeluk erat.

“Rindunya!” Bisik Dania.

Dani cuma tersenyum dan membalas pelukan Dania sambil tangan kanannya menarik hidung Dania hingga rona merah mula terbit. Suka hatinya bila melihat Dania mula memuncungkan mulut. Kononnya merajuk.

“Jom balik!” kata Dani

Pelukan tadi terlerai. Dania tersenyum-senyum memandang Dani. Lepas ni adalah dia kawan bergaduh dan kawan berjalan.

***

“Penatlah!” keluh Dania

Dania melangkah masuk ke dalam rumah. Dani yang memerhati dari jauh mula merapati Dania. Tangan kanan Dani letakkan di atas bahu Dania.

“Kenapa ni?” Soal Dani bila melihat wajah kembarnya yang keruh itu.

“Tak dapat kerja lagi.” Jawab Dania hampa.

Jenuh Dania pusing bandar Klang itu. Merata ceruk dia sudah pergi. Tetapi nasib tidak menyebelahinya kala ini. Sampai bilalah dia mahu jadi penganggur terhormat ni. Naik muak Dania bila asyik terperuk dalam rumah saja.

“Kerja dengan kawan Dani je la. Nak?”

Setelah Dani memperkenalkan kawannya, Dania diterima berkerja di sebuah syarikat firma guaman milik kawan Dani, Naim yang terletak di Shah Alam. Hari pertama kerja memang mencabar. Banyak benda yang perlu Dania belajar. Nasiblah ada Naim yang sudi membantu. Tidaklah dia terkontang-kanting seorang diri.

Hampir seminggu Dania bertugas di situ dia semakin rapat dengan Naim. Pada pandangan Dania, Naim baik dan kacak juga. Kulitnya yang sawo matang dan berbadan tegap itu lambang lelaki sejati. Keningnya yang tebal itu sangat menggoda Dania. Lamunan Dania terhenti bila dia terdengar bunyi tapak kasut yang semakin menghampiri ke mejanya.

Dania kalut. Dari jauh dia nampak Naim dan seorang lelaki sedang berjalan beriringan menuju ke arahnya. Lelaki itu walaupun tidak sekacak Naim, tetapi dia masih lagi kacak dari sudut lainnya. Badannya juga kecil sedikit dari Naim yang berbadan tegap itu.

“Nia, perkenalkan ini Hakim. Owner. Hari tu tak sempat nak kenalkan, sebab Hakim outstation. Hari ni baru masuk pejabat.” Terang Naim tanpa diminta.

Dania terkebil-kebil dan mengangguk tanda mengerti. Patutlah dia tak pernah nampak Hakim, baru masuk rupanya. Bila huluran tangannya bersambut mata Hakim tidak lepas memandang wajah Dania yang ayu itu. Naim yang perasan hal itu cepat-cepat menepuk bahu Hakim. Tersentak Hakim, dia rasa bersalah pula merenung anak dara orang sampai macam itu.

“Hai.” Kelam-kabut Hakim menyapa.

Dania tersenyum dan mengangguk. Rambutnya yang ikal paras pinggang diikat rapi. Senyuman Dania yang manis membuatkan Hakim tak senang duduk. Asyik terkenang saja.

‘Oh, Dania yang manis.’ Desis hatinya. Bibirnya mengulum senyuman bahagia.

***

Tiga bulan berlalu. Hubungan Hakim dan Dania bukan lagi sekadar majikan dan pekerja. Tetapi lebih istimewa. Setiap hari Hakim akan ambil dan hantar Dania ke tempat kerja. Mak Siti dan Pak Daud juga tidak menghalang. Anak mereka sudah dewasa. Sudah sampai masanya untuk menempuh satu lagi jalan dalam hidupnya.

Tok… tok…

Pintu bilik diketuk dari luar. Bila terdengar suara jeritan dari dalam yang meminta dia masuk cepat saja Dania memulas tombol pintu lalu melangkah masuk. Dia memerhatikan wajah kesayangannya yang masih lagi menghadap kerja.

“Jom lunch.” Ajak Dania.

“Kim, aku… opss, salah time ni.” Tiba-tiba Naim masuk.

Bila terperasankan kehadiran Dania dalam bilik itu terus saja Naim memusingkan badannya mahu keluar. Tidak mahu menganggu pasangan itu. Tetapi cepat-cepat dihalang oleh Hakim. Lalu fail yang dalam dakapan Naim bertukar tangan.

“Nia lunch dengan Naim dulu boleh? Nanti saya turun.” Pinta Hakim. Katanya mahu menyiapkan satu lagi kes sebelum dia keluar. Dania hanya mengangguk.

“Nia betul ke nak serius dengan Hakim?” soal Naim secara tiba-tiba.

Dahi Dania berkerut mendengarkan soalan itu. Suapannya juga turut terhenti. Matanya laju terarah memandang Naim yang bersahaja menantikan jawapan dari dia.

“Saya cemburu.” Sambil tersengih Naim berkata bila Dania diam membisu seribu bahasa.

Terperanjat Dania dengan pengakuan itu. Selama ini Naim tidak pernah pun menyuarakan apa-apa perasaan pun terhadapnya. Kenapa sekarang, bila dia sudah ada Hakim baru Naim mahu memulakan langkah? Dania keliru.

Suara ketawa Naim yang tiba-tiba itu membantutkan lamunan Dania. Dania memerhatikan wajah Naim dalam-dalam. Apa yang tersembunyi disebalik tawanya tadi?

“Saya gurau je.” Ujar Naim selamba seraya nasi ayam berempah itu disuap semula ke dalam mulutnya.

Dari jauh Hakim semakin merapati mereka berdua. Hakim mengambil tempat di sebelah Dania dan dia telah memesan nasi ayam berempah, sama seleranya seperti Naim. Naim melirikkan matanya kepada Hakim yang sedang asyik merenung Dania tanpa menghiraukan kehadirannya di situ.

Suapannya semakin dilajukan. Air jus tembikainya juga disedut rakus. Habis saja keduanya Naim terus bangun.

“Nak gerak dah ke?” soal Hakim pelik bila dia melihat Naim tiba-tiba bangun.

“Aku ada kerja sikit. Tadi lupa nak buat.” Jawab Naim. Mukanya sedikit tegang.

“Tak apa, aku belanja.” Kata Hakim bila melihat Naim meraba poket belakang seluarnya.

Thanks!” terus saja Naim berlalu.

Dania perasan perubahan itu. Apakah makna semua ni?

***

Telefon Hakim di dalam poket kanan seluarnya mula menjerit minta dijawab panggilannya. Dia meraba-raba poket seluarnya. Pelik bila melihat nama si pemanggil.

‘Nak apa?’ laju saja tangannya menjawab panggilan itu.

Dari jauh kelihatan Hakim mengangguk dan bercakap secara ringkas saja dengan si pemanggil. Siapa agaknya? Bila Hakim kembali melangkah mendapatkannya dia mula mengangkat kening isyarat tanya tanpa suara.

“Naim.” Jawab Hakim ringkas.

“Dia nak apa?” soal Dania ingin tahu.

Hari cuti begini adalah waktu mereka menghabiskan masa bersama. Jarang sekali Naim mahu berjumpa dengan Hakim waktu-waktu cuti begini.

“Dia minta tolong hantar ke klinik, demam katanya.” Kata Hakim lagi, Naim tu sebatang kara. Tak ada sesiapa. Hakimlah yang selalu membantu si Naim. Mereka sangat rapat. Macam abang dan adik.

“Pergilah.”

Dania yang mengerti, terpaksa melepaskan Hakim pergi. Dia masih lagi belum siap memilih barang. Jadi Dania minta Hakim pergi kepada Naim. Dania juga menyakinkan Hakim yang dia akan pulang sendiri nanti.

Beep beep

Sedang leka memilih barang, telefon Dania pula berbunyi. Pantas dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari tas tangan. Icon Whats app dibuka. Ada satu mesej dari nombor yang tidak dikenali. Berkerut dahinya. Pantas jarinya menyentuh gambar yang dihantar oleh nombor yang tidak dikenali itu.

Mukanya beruba bila melihat gambar itu. Gambar Hakim sedang berpeganggan tangan dengan perempuan lain! Dania tidak mahu percaya bulat-bulat dengan apa yang dilihatnya. Dia akan bertanyakan sendiri dengan Hakim nanti.

Beep beep

Satu lagi mesej masuk. Kali ini gambar Hakim sedang memegang pipi wanita yang sama. Siapa ni? Dania tertanya-tanya sendiri. Mood mahu membeli belah sudah hilang. Dania pantas menolak troli ke kaunter pembayaran. Bayar saja isi yang ada dalam trolinya itu. Dania tidak mahu lagi berlama-lama. Dia mahu pulang!

***

Pintu di buka perlahan. Hakim menekan suis lampu di dinding. Ruang yang gelap itu kini cerah disimbahi cahaya lampu. Hakim menapak laju menuju ke bilik Naim. Pintu bilik Naim ditolak. Kelihatan Naim sedang berselubung dalam selimut. Pantas Hakim merapatinya lalu selimut ditarik.

Naim yang baru sedar kehadiran Hakim bergerak sedikit, memberikan ruang pada Hakim untuk melabuhkan punggungnya. Tangan Hakim turun ke dahi Naim. Panas!

“Kau demam ni. Jom pergi klinik.” Kata Hakim.

Naim mengangguk. Badannya lemah. Dia tidak boleh berjalan dengan betul. Tangan Naim diletakkan di atas bahunya. Manakala tangan kanan Hakim merangkul pinggang Naim, membantu Naim berjalan.

Dania pulang dengan perasaan sebal. Meluap-luap hatinya bila melihat gambar yang dikirim oleh pengirim misteri itu. Dania bukan marah pada Hakim, tetapi dia marah pada si pengirim gambar. Apa agaknya tujuan pengirim itu?

Sedikit sebanyak gambar-gambar itu menganggu emosinya. Dania tidak sabar mahu ke pejabat esok. Dia mahu Hakim berterus terang. Baginya, dia tidak perlu percaya dengan si pengirim. Si pengirim itu pasti mahu melihat hubungannya dengan Hakim putus.

Lagi beberapa bulan saja Dania dan Hakim akan disatukan. Mereka sudah merancang tidak mahu berkasih terlalu lama. Cukuplah mereka mengenali antasa satu sama lain dalam masa setengah tahun ini. itu pun sudah memadai. Selebihnya biarlah takdir yang menentukan.

***

Hari yang dinanti kini tiba. Dania dan Hakim bakal disatukan. Dania yang angun dan cantik berbusana songket berwarna hijau itu tersenyum manis kepada pada tetamu. Dia menjeling Hakim di sebelahnya yang segak berbaju melayu hijau. Bagaikan pinang dibelah dua. Memang sepadan.

Habis upacara bersanding, mereka dibawa menuju ke ruang makan. Foto bahagia saling bersuapan itu diambil sebagai kenangan. Dania perasan, sejak dari atas pelamin tadi mata Hakim asyik melilau saja. Entah siapa yang dia cari?

“Awak cari siapa?” Dania berbisik.

Walaupun mereka sudah sah bergelar suami-isteri tetapi masih lagi menggunakan panggilan awak-saya. Dania malu.

“Cari Naim. Dari tadi tak nampak.” Jawab Hakim berbisik juga.

Dania mengangguk. Betullah. Dari tadi tidak kelihatan kelibat Naim di mana-mana. Tak mungkin Naim tidak hadir. Inikan majlis sahabat baiknya. Atau mungkin Naim sedang kecewa? Ah, cepat-cepat Dania usir segala prasangkanya itu.

Naim terkocoh-kocoh menghampiri Dania dan Hakim. Dia tahu dia sudah lambat. Tersengih-sengih di hadapan pengantin.

Sorry bro! aku ada hal tadi.” Kata Naim tanpa menunggu lama. Dia tidak mahu mendengar leteran Hakim. Sakit telinga dibuatnya!

“Nasib baik kau sampai. Kalau tidak memang nak kena la!.” Ujar Hakim sedikir geram.

“Aku janji outdoor kau orang aku teman. Aku ada satu tempat ni memang ‘cun’!. Okey?” pujuk Naim. Senyuman terukir di bibirnya.

Mereka bergerak pada jam lima petang. Hakim dan Dania teruja mendengarkan itu. Memang meraka sudah ada kawasan outdoorpilihan sendiri. Tetapi apa salahnya jika tukar dan pergi ke tempat yang Naim katakan itu. Jurugambar juga tidak kisah jika mereka mahu menukar tempat. Jadi Dania dan Hakim pun bersetuju.

***

Tangan mereka diikat kejap. Dania meronta-ronta cuba untuk melepakan diri dari ikatan itu. Di hadapannya Hakim yang pengsan terikat di atas kerusi. Kepala Hakim juga diselubungi dengan kain guni. Dania memerhati sekeliling kawasan itu. Dia cuba mengingati apa yang telah berlaku.

Mereka dalam perjalanan ke kawasan yang diberitahu oleh Naim. Perjalanan yang terasa sangat jauh. Bila Hakim bertanya, Naim hanya menjawab sudah dekat. Jam sudah berganjak ke angka enam. Maknanya sudah sejam perjalanan mereka.

Keman Naim hendak bawa mereka?

Naim yang mula perasan kegusaran Dania telah meminta jurukamera mereka untuk memberikan Dania dan Hakim sekotak air mangga. Selepas habis air mangga itu Dania sudah tidak sedar apa-apa.

Sedar-sedar saja dia sudah berada di sini. Di dalam sebuah pondok usang.

“Hemm… hemmmm,” Dania cuba menjerit memanggil Hakim. Tetapi suara Dania tersekat kerana mulutnya diikat dengan kain.

Bunyi tapak kaki yang semakin lama kian menghampirinya membuatkan Dania cuak. Siapa? Dania cuba memalingkan kepalanya ke belakang. Tetapi tidak terlihat sesiapa. Dania risau. Dania takut. Apa sudah jadi?

“Ha… ha… ha…” suara ketawa itu kedengaran di belakang Dania. Suara lelaki.

Dania mencuba lagi untuk melepaskan ikatan tangannya. Sedikit pun dia tidak berputus asa. Bunyi derapan tapak kaki kini melangkah. Kini Dania dapat melihat jelas wajah si pelaku. Terbeliak mata Dania bila melihat. Naim!

“Terkejut?” soal Naim seraya tangannya mengenggam rambut Dania. Terdongak kepala Dania. Sakitnya usah di cerita. Pedih!

“Kau tahu, kau tu perempuan degil. Hakim tu bukan baik. Dia tak sayangkan kau pun. Yang kau pergi kahwin dengan dia tu kenapa?” kata Naim.

Pen di dalam tangan Naim dilalukan di atas muka Dania. Pen berdakwat hitam itu diconteng dan ditekan kuat hingga menembusi kulit muka Dania yang halus itu. Dania menjerit kesakita. Tetapi suaranya tersangkut. Kain yang mengikat mulutnya terlalu kuat. Air mata Dania sudah menitik. Apa akan jadi pada mereka?

“Aku nak laki kau tengok!” ujar Naim seraya berlalu menghampiri Hakim.

Kain guni yang menutupi kepala Hakim direntap kasar lalu kain guni itu dilemparkan ke bawah. Muka Hakim ditampar beberapa kali sebelum dia akhirnya tersedar. Mulut Hakim tidak berikat. Hakim masih mamai. Dia berusaha menghadam situasinya sekarang.

“Naim?” soalnya pelik. Tangannya yang berikat itu direntap-rentap supaya terbuka. Tetapi ikatannya sungguh kuat.

“Apa kau buat ni? lepaskan Dania!” tengking Hakim.

Otaknya sudah dapat memproses keadaan yang terjadi. Hakim nampak Dania di hadapannya sudah comot mukanya. Darah merah pekat juga sudah mula meleleh di sekitar pipi mulus Dania.

“Kenapa kau pilih perempuan tu?” soal Naim.

Naim kehulur kehilir di hadapan Hakim. Rambutnya diramas-ramas kasar. Matanya tidak lepas memandang Hakim.

“Kau tahu aku sayangkan kau!” bicara Naim kali ini membuatkan Dania terpempan.

Tidak mungkin!

“Aku sayang kau.” Ujar Naim lagi.

Kali ini Naim sudah menyembamkan mukanya di atas riba Hakim. Hakim terkesima. Selama ini dia hanya menganggap Naim seperti adiknya sendiri. Tidak lebih dari itu. Hakim tidak sangka yang Naim tidak normal. Naim sukakan lelaki!

“Sebab kau pilih perempuan ni jadi kau pilih mati!” jerit Naim.

Wajahnya bengis memandang Hakim. Naim bingkas bangun lalu dia merapati Dania. Tanpa teragak-agak pen dalam genggaman tangannya dibenamkan dalam bola mata Dania. Dania meraung menahan rasa sakit.

“Jangaannnnnnnnn!” Hakim menjerit kuat. Tidak sanggup dia melihat kesayangannya dilakukan sebegitu.

“Tolong, Naim. Kau bunuh aku. Tapi jangan kau sakiti Dania.” Hakim memohon belas dari Naim yang kala ini seperti dirasuk!

“Tak sayang, perempuan ni yang harus mati! Dia yang menghalang hubungan kita.” Kata Naim. Pen yang terbenam dalam mata Dania dibiarkan terbenam. Tiada tanda dia mahu mencabutnya semula.

“Tolonglah Naim. Jangan buat isteri aku macam tu.” Rayu Hakim lagi. Dilihat Dania sudah lemah. Air mata lelakinya mengalir juga.

“Isteri? Huh, isteri kau patut tengok suami dia mati.” Kata Naim seraya meluru ke arah Hakim dan membelai wajahnya, lalu kucupan singgah di pipi Hakim. Meremang bulu tengkuk Hakim. Naim sudah gila!

“Ap… apa kau nak buat ni?” soal Hakim cemas.

Hakim nampak Naim mula mencurahkan air ke badan Dania. Lalu botol air itu dibawa pula kepadanya. Air dalam botol itu turut dicurahkan pada badan Hakim dan akhirnya Naim memandikan dirinya dengan air itu.

Hakim cemas. Bau air itu makin kuat. Itu bau Petrol! Naim sudah ketawa terbahak-bahak.

“Kalau aku tak boleh dapat cinta kau, sesiapa pun tak boleh!” pandangannya tajam terarah ke wajah Hakim.

“Mengucap Naim! Kalau pun aku pilih kau, kita tetap tak boleh bersama. Itu melanggar hukum!” dalam cemas bicara Hakim tegas.

“Ah! Sudah. Aku tak mahu tahu semua tu.” Naim tidak peduli. Dia sayangkan Hakim!

“Daniaaaaa.” Jeritan Hakim kedengaran lagi.

Naim sudah melepaskan batang mancis yang bernyala itu ke bawah. Batang mancis jatuh tepat di atas curahan minyak petrol. Api terus menyambar tubuh Dania. Dania mengelupur dan terus kaku di situ. Hakim meraung kuat. Naim berjalan merapati Hakim dan bersimpuh di hadapan Hakim kepalanya pula di letakkan di riba Hakim.

Api semakin rakus membaham segala di sekeliling mereka. Bahang panas juga semakin terasa. Api semakin menghampiri untuk menyambar tubuh Hakim dan Naim. Air mata Hakim mengalir. Dia memejamkan mata, menanti ajal yang semakin menghampiri.

“Allah!” jeritan terakhir Hakim.

Api semakin marak membakar pondok usang itu. Asap hitam berkepul-kepul naik ke angkasa menjadi saksi cinta terlarang.

~ TAMAT~

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.