Home Cerpen Seram/Misteri Suri Cempaka
Suri Cempaka
30/7/2016 21:04:37
3,542
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri
Kerlipan indah bintang malam ini memukau sukma. Cahaya rembulan yang bersinar menjadikan malam sedikit terang. Bunyi bising di sebalik kamarku sedikitpun tidak kuhiraukan. Pasti ibu dan pakcik bertengkar lagi.

"Aku mahu dia berambus dari sini." Suara pakcik kedengaran garang.
Aku menapak perlahan dan menekapkan telingaku rapat ke dinding. Siapa yang pakcik maksudkan itu? Siapa yang mahu diusir?

"Tapi dia anak saya, bang." Suara ibu kudengar sedih.

Kini aku tahu siapa yang pakcik maksudkan. Ya, memang sudah lama pakcik bencikan aku. Apa pakcik ingat aku suka padanya? Huh, sejak ibu berkahwin dengan pakcik tidak pernah sekali pun dia cuba untuk rapat dengan ku. Aku juga begitu. Pakcik sudah merampas ibu dan kasih sayangnya.

Memang ibu tidak pernah menunjukkan benci kepadaku tetapi ibu sering kali tidak menghiraukan aku. Aku bagaikan terbuang dalam keluargaku sendiri. Asing sekali aku dalam rumah ini. Lagi-lagi jika Intan ada di rumah.

Intan - adik tiriku. Baru berusia 13 tahun. Dia juga tidak menyukaiku. Dia lebih rapat dengan ibu. Maklumlah, anak bongsu. Segala yang diinginkan akan dipenuhi. Pakcik terlalu manjakan Intan. Cuba saja jika aku yang meminta? Ya, pasti dapat. Bukan dapat apa mahuku tetapi dapat maki.

Pernah sekali aku meminta ibu belikan aku selipar baru kerana selipar aku yang lama sudah putus talinya. Bila pakcik dengar terus saja dia memarahi aku. Katanya aku sengaja memutuskan selipar itu.

'Huh, sakit hatiku.'

***

Pagi itu pakcik memanggilku. Bicaranya baik sekali. Buat pertama kalinya aku merasa bahagia. Pakcik tidak memanggilku dengan panggilan 'tempang' tetapi dia memanggilku dengan namaku sendiri.

Tempang - panggilan pakcik dan panggilan orang kampung terhadap diriku. Ia kerana aku tidak dilahirkan normal seperti orang lain. Aku dilahirkan dengan sedikit kecacatan fizikal. Bukan aku meminta untuk dilahirkan begini. Kakiku yang tempang sebelah kanan dan jari tanganku yang bercantum membuatkan aku lain dari mereka yang normal.

"Suri ikut pakcik ya hari ini?" Suara pakcik kedengaran tidak kasar dan garang seperti selalu.

Aku hanya mengangguk. Aku tidak mahu membantah. Mungkin ini peluangnya untuk aku berbaik dengan pakcik? Bolehlah aku merasa kasih sayang seorang ayah. Sudah lama aku tidak merasakannya. Ayah kandungku pergi saat usiaku baru mencecah 7 tahun. Ayah sangat sayangkan aku walaupun aku tidak sempurna seperti anak-anak lain.

"Hendak dibawa kemana si Suri tu, bang?" Soal Ibu. Pandangan aku dan ibu bersatu.

"Ke laut. Boleh dia belajar. Terperuk saja di rumah, dapat apa?" Jawab pakcik.

Aku hanya menjadi pendengar. Nasi lemak buatan ibu sudah separuh aku habiskan. Sambal tumis ikan bilis memang membangkitkan seleraku. Suapanku terhenti apabila pakcik sudah bangun dan mengajakku segera ke lautan. Aku tidak membantah secara lisan tetapi hatiku sedikit merungut. Sudahlah nasi lemak belum habis dijamah, air milo panas pun tidak sempat kuhirup.

***

Cuaca pagi itu tenang sekali. Setenang hatiku. Dayungan sampan pakcik akhirnya sampai di tempat yang dituju. Jala yang terbiar dari tadi kucapai dan aku betulkan simpulannya lalu kulempar ke dalam laut. Aku menanti dengan sabar. Jala itu semakin lama semakin tenggelam.

'Harap-harap dapat banyak tangkapan hari ni.' Doaku dalam hati.

Sedang aku leka memerhati jala yang barusan aku lemparkan, dengan tiba-tiba tubuh ku terasa ditolak. Aku tercebur dalam air laut. Tercungap-cungap aku mencari nafas. Aku cuba melonjakkan diriku ke arah sampan pakcik yang teroleng-oleng itu tetapi hampa. Sisi perahu kayu itu hanya sempat kutepuk dari luar dan aku semakin ditelan ke dalam gelora lautan ini.

Kulihat pakcik tertawa terbahak-bahak pabila melihat aku terkapai-kapai kelemasan. Fizikalku yang lemah membuatkan aku tidak dapat bertahan lama. Aku semakin tenggelam dan perahu pakcik kulihat semakin menjauh. Sampainya hati pakcik buat begini kepadaku.

Aku memejamkan mata saat diri ini kian tenggelam. Diriku juga sudah tidak mampu bertahan. Apakah ajal bakal menjemputku?


***

Aku terasa mukaku disimbah air dingin. Lekas aku bangun. Kepalaku tertoleh-toleh melihat keliling. Aku tidak menjumpai seorang manusia pun. Habis itu, siapa yang menyimbah air kepadaku?

Dari tebing kulihat muncung seekor ikan tertonjol di permukaan air. Dari mulutnya keluar pancutan-pancutan air yang terarah tepat kepada ku. Jadi si ikan ini yang menyedarkan aku. Aku mula meraba tubuhku sendiri. Aku masih hidup. Aku masih bernafas! Siapa agaknya yang membantuku tadi?

Ikan yang tadi kulihat di dalam air kini melompat ke atas darat. Ikan itu menggelepar dan ia mula berubah bentuk!

Aku kaget melihatnya. Sisik ikan itu mula merekah dan ekornya mula berubah bentuk menjadi sepasang kaki manusia. Kepalanya pula berubah perlahan-lahan membulat menjadi kepala manusia yang botak. Kulitnya bersisik itu digosok perlahan. Habis berjatuhan sisik-sisiknya.

Ia berubah menjadi seorang manusia yang sangat sempurna di mataku. 'Dia' kini mula berjalan mendekatiku. Aku yang masih terduduk mengesot ke belakang. Aku tidak mahu haiwan jadi-jadian ini menyentuh kulitku!

"Kau takut padaku, wahai manusia?" Soalnya apabila berhenti tepat di hadapanku.

"Hemm, nampaknya kau takutkan aku. Akulah yang sudah menyelamatkan kau tadi." Bicaranya diteruskan pabila dia melihat aku diam tidak berkutik.

Aku masih lagi keliru. Apakah aku harus mempercayainya?

***

Sudah sepurnama aku terkurung di tebing ini. Di tebing dasar laut ini punyai hidupan tersendiri dan aku salah satunya!

"Sepurnama sudah aku menjagamu. Tetapi aku masih belum bisa mendengarkan suaramu, nak."
Suara dari belakang mengejutkan aku yang sedang leka bermain air dengan beberapa ekor ikan yang berwarna biru kehijauan itu. Ikan apa? Aku juga tidak tahu. Tetapi merekalah 'sahabatku' selama aku di sini.

"Siapa namamu, nak?" Soalnya lagi. Kali ini pandangan matanya tepat menatap anak mataku.

"Suri. Suri Cempaka."

Aku bangun dan mula menapak perlahan ke arahnya. Sepurnama berlalu, aku sudah biasa dengannya. Dia yang menjaga dan mengubati diriku hingga aku bisa jadi seperti ini.

"Kamu mahu pulang, anakku?"

Soalannya itu memeranjatkan aku. Aku mengangguk. Ya, sesungguhnya aku merindui ibu dan juga kampung. Walaupun aku tidak diterima baik di situ.

"Aku izinkan kau pulang. Tetapi kau harus menerima tawaranku dahulu." Tangannya yang bersisik itu mengusap kepalaku.

Wajahku yang tadi sugul kini ceria bila mendapat keizinannya. Tapi tawaran apa yang dimaksudkan?

***

Pintu kayu yang berwarna coklat cair itu ku renung. Di dalam sana ada bonda yang ku kasihi. Pintu usang itu ku ketuk kuat. Sedetik dua aku menunggu, masih tiada suara menyahut dari dalam. Kemana pergi semua orang?

Aku bergerak ke arah belakang rumah. Niatku mahu menjenguk di pintu belakang pula. Jendela di tepi pintu dapur terbuka. Aku menjenguk ke dalam. Mencari-cari kelibat ibu. Hampa, tidak juga kelihatan.

Aku bergegas ke warung Wok yang terletak tidak jauh dari rumah. Aku mahu mencari ibu. Dalam waktu begini, sudah pasti ibu tiada di kebun. Hari juga sudah petang benar. Biasanya jika ibu tiada di rumah atau di kebun, dia pasti ada di sana.

"Wok, ada nampak ibu saya tak?"

"Maaf jika bertanya. Cik ni siapa?"

Dahiku berkerut. Soalan apa ini? Mana mungkin Wok tidak mengenaliku?

"Saya Suri."

"Su... Suri?"

Aku bertambah pelik. Mengapa Wok terperanjat seperti jumpa hantu?

"Kau masih hidup!" Tiba-tiba Wok memeluk tubuhku. Aku yang masih terpinga-pinga hanya menghadiahkannya senyuman saja.

"Sudah empat purnama engkau menghilang. Ke mana saja kau ni, Suri? Macam mana kau boleh jadi begini cantik?"

Soal Wok bertalu-talu sambil tangannya membelek-belek wajah dan tanganku.

Ya, dulu aku cacat. Tempang dan jari tangan juga bercantum. Pasti mereka yang melihat akan pelik. Kerana sekarang aku sudah menjadi manusia biasa. Sempurna seperti mereka yang lain.

***

Empat purnama yang lalu, di dasar lautan ini aku diselamatkan oleh seekor ikan jadi-jadian. Namanya Noh. Dia menjagai dan mengubati aku. Dia juga telah mengubati aku hingga aku jadi seperti manusia lain.

Pelbagai ramuan dasar laut yang dia beri padaku.Selama empat purnama ini juga dia telah mengajarkan aku satu ilmu yang tidak sepatutnya ada pada seorang manusia. Ianya sebagai syarat jika aku mahu pulang ke tempat asalku.

"Kau bersetuju dan pulang ke tempatmu atau jika tidak bersetuju kau akan kekal menemani aku di sini." Itu kata Noh, bila aku sedikit berat untuk menerima tawarannya.

Jadi terpaksa aku menuntut ilmu darinya. Selepas empat purnama aku tamat belajar ilmu itu, aku diberi izin untuk pulang ke darat.

"Kau boleh pergi Suri. 'Sahabatmu' akan menemani kau hingga ke atas. Tetapi ingat! Perjanjian ini bersyarat. Kau harus kembali selepas sepurnama."

Noh sedang duduk bersila di atas batuan sambil berpeluk tubuh semasa menyuarakan peringatan itu. Aku tahu akibatnya. Tapi apa pilihan yang aku ada?

Selepas menyatakan persetujuanku itu, aku terus berundur dan berlalu ke tebing. Terlihat beberapa ekor 'sahabatku' sudah menanti. Aku terjun menceburkan diri bersama mereka dan berenang naik ke permukaan. Mereka hanya menemaniku separuh jalan.

***

Aku terus berlalu setelah Wok memberitahu bahawa ibuku mengambil upah membantu menjahit pakaian di kedai Siti. Patutlah bila aku ke rumah tadi tiada sesiapa.Dari jauh kedai Siti sudah dapat kulihat. Langkah kaki semakin aku lajukan. Tidak sabar rasanya mahu berjumpa dengan ibu.

"Nak tempah baju ya?" Soal Kak Siti setelah aku memasuki ruangan hadapan kedainya.

Aku hanya menggeleng. Mataku turut meliar mencari kelibat ibu. Terus aku berlari mendakap erat tubuh ibu bila aku ternampak dia sedang menggantung baju.

"Suri rindukan ibu." Ujarku. Ibu masih dalam dakapanku.Ibu ternyata terkejut dengan kemunculanku. Bila ibu berpaling terus wajahku dikucup dan kami berpelukan bagi melepaskan rindu yang kian sarat.

"Kemana kau pergi selama ini, nak?"

Soal ibuku apabila pelukan dilepaskan. Dia juga membelek wajah dan jemariku. Aku tersenyum melihat reaksinya.

"Tidak kemana. Suri cuma pergi berubat." Jawabku.

Aku sengaja tidak mahu memberitahu ibu yang pakciklah punca segalanya. Aku tidak mahu ibuku kecewa. Ibu membelek tanganku. Wajahnya jelas terpancar riak terkejut dengan perubahanku.

***

Masuk hari ini sudah genap tiga minggu aku berada di rumah. Maknanya lagi seminggu genap sepurnama dan aku perlu kembali semula kepada Noh.

Tok tok

Bunyi ketukan di luar mengejutkan aku. Aku bingkas bangun dari pembaringanku dan terus membuka pintu kamar. Pakcik sedang tersengih memandangku.

"Ada apa?"

Aku sedikit kaget bila pakcik merempuh masuk ke dalam kamarku. Aku masih lagi berdiri kaku di tepi pintu. Pakcik terus menghampirku dan menarik tanganku lalu pintu bilik ditutup.

"Apa ni!"

Pakcik bagaikan dirasuk. Dia cuba melakukan perkara yang tidak baik kepadaku. Mulutku sudah terkumat-kamit membaca mantera yang Noh pernah ajarkan padaku dahulu. Tubuh pakcik yang tadi dekat denganku kini terapung dan terhempas ke dinding kamar. Belum sempat tubuhnya mencecah lantai sekali lagi dia terhumban jauh lalu jatuh tepat di kakiku.

Mulutku yang tadi terkumat-kamit terus terhenti bila pintu kamar ditolak seseorang dari luar. Kelihatan ibu dan Intan di hadapan sana. Mereka terpaku seketika dan terus berlari mendapatkan pakcik yang masih tersembam di kakiku.

"Apa kau cuba lakukan ini, Suri?" Melengking suara ibu.

"Kau nak bunuh ayah aku, ya!" Intan pula menjerit kepadaku.

Aku mahu menjelaskan tetapi mulutku seakan terkunci. Suara tersekat di kerongkong. Ibu dan Intan kulihat memapah pakcik keluar dari kamarku. Aku terpana bila melihat wajah pakcik yang sudah berdarah kesan cakaran satu kuasa ghaib yang aku pelajari dari Noh.

***

"Selamat pulang anakku. Belum sepurnama kau sudah pulang. Apakah kau merindui aku?" Noh yang sedang duduk di atas batuan itu menyambut baik kepulanganku.

Aku terus berlari dan memeluk tubuhnya yang bersisik itu. Aku menangis semahunya. Aku terasa tangan Noh mengusap lembut rambutku.

"Mereka sudah menghalauku!"

"Tidak mengapa. Kau bisa saja tinggal di sini bersamaku." Noh mengusap air mata yang mengalir deras di pipiku.

Bila Noh melepaskan pelukannya terasa beberapa tangan kecil sedang ligat membersihkan luka di tangan dan kakiku. Mereka adalah sahabatku yang dulu. Noh sudah menukar mereka menjadi haiwan jadi-jadian sama seperti dirinya.

"Ceritakan padaku apa yang terjadi kepadamu." Pinta Noh. Matanya galak memerhatikanku.

***

Bunyi suara riuh di luar rumah menarik perhatianku. Jendela kamar kutolak. Kelihataan beberapa orang kampung yang membawa parang dan jamung api berteriakan di bawah.

"Suri membela!"

"Suri ada hantu!"

"Halau Suri dari kampung ini!"

Itu antara suara orang kampung yang aku dengar. Intanlah kepala dalam perhimpunan itu.

"Ibu, tolong Suri!"

Jeritanku tidak diendahkan. Ibu hanya memandangku dengan pandangan benci. Intan semakin galak, dia mula menarik rambutku dan diheret hingga ke laman rumah.

Di situ, aku mula dipukul. Puas aku menjerit minta dilepaskan tetapi mereka semakin galak menyerangku. Aku mencuba mantera yang diajar Noh, tetapi entah mengapa tidak berhasil. Mungkin kerana aku sudah tidak punya tenaga.

Kudrat mereka yang ramai itu tidak mampu terlawan. Kaki dan tanganku berbirat kerana dipukul dengan kayu. Ada juga libasan dari parang yang mereka bawa hingga mengalirkan darah di kakiku. Saat ini dalam fikiranku cuma ada Noh.

Dengan kudrat yang masih tersisa, aku berlari terhencut-hencut menuju ke laut. Nasiblah laut dan rumahku tidak begitu jauh. Mereka masih mengejarku dari belakang. Parang kontot yang entah bila terbang melayang dan tercacak tepat di belakangku. Saat itu kakiku sudah mencecah pantai.

Aku menoleh dan rebah di dalam air. Ombak seakan menarik aku pergi bersamanya. Saat ini aku melihat mereka sudah berhenti dan hanya memerhatikan aku yang semakin jauh dibawa ombak.

Aku akan kembali...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.