MARLIA
MALAM kian larut. Marlia masih
tidak dapat melelapkan matanya. Fikirannya bercelaru.
Perasaan bercampur baur. Dia ingin
berubah, tetapi tidak tahu bagaimana hendak berubah, kerana tanpa disedari yang
terjadi adalah dari kesilapannya sendiri. Dia sendiri tidak mengerti dengan
dirinya sendiri yang mudah benar jatuh cinta.
Lantas
Marlia mengambil sebatang pen dan sebuah buku A4. Dia meluahkan apa yang
terpendam dihatinya. Dia memang minat menulis sejak dibangku sekolah lagi.
Apa
salah aku sebenarnya? Kenapa aku sahaja yang bersalah? Kenapa? Di mana
kesilapanku? Benarkah aku yang membuat silap? Kau, Zamri! Hanya menuding jari
padaku seorang! Seolah-olah kau saja yang benar! Yang baik belaka! Lelaki
contoh konon, persetankan! Kenapa tidak tunjukkan saja sikapmu yang sebenar? Mengapa
nak berselindung?
Mengapa?
Mengapa harus hipokrit? Kau memang tak sedar diri. Adakah kerana kau takut? Ah!
Kau memang lelaki yang tak pernah kenal erti kepuasan. Lelaki ego, lidah
bercabang. Selagi aku ada di depanmu, selagi aku masih disisimu. Kau buat apa
yang kau suka. Yang pasti hebat lakonanmu. Hero di pentas sandiwara.
Kenapa
mata ini tidak mampu menitiskan air mata? Adakah kerana sejarah hitam itu telah
sebati dengan hidupku? Marlia bertanya lagi pada diri.
Masih
adakah ruang untukku menebus kesalahan lalu? Masih adakah peluang untukku hidup
bahagia seperti orang lain? Masih adakah waktu untukku mengubah kehidupan yang
sudah lama aku abaikan ini? Masih adakah……? Ah terlalu banyak persoalan yang
tidak mampu aku jawab. Oh Tuhan, hina sungguh diri ini. Berilah peluang untukku
berubah? Berilah ruang untukku mengubah keadaan! Berilah waktu seadanya
untukku. Jeritan batin Marlia tiada siapa yang tahu. Jika ada yang tahu mungkin
menuduhnya insan yang tak bermaruah. Sedih! Sedihnya hati. Hatinya menangis
lagi…..
Entah jam berapa dia dapat
melelapkan matanya, dia tidak pasti.
Ring…….! Ring……!
Ring……! Alunan lagu romantis Britney Spears dari telefon bimbit menyedarkan
Marlia dari tidur yang enak.
“Hello….Lia!”
“Hello!”
“Tak kerja ke hari
nie?” Kedengaran suara yang amat dikenali selama ini.
“Dah pukul berapa ya!
Kejap lagi Lia sampai office.” Jawab Marlia sambil menguap lagi. Dia masih
mengantuk.
“Eh Lia, berapa
kali aku nak cakap, 11.30 pagi jumpa aku di cafeteria. Kau cuma ada masa
setengah jam lagi.” Kata suara itu lagi. Kasar. Talian terputus.
Marlia menggeliat.
Lemah longlai dia menuju ke bilik air.
Hati Marlia
membengkak. Lelaki nie tak sudah-sudah nak menyusahkan hidup aku.
Cepat-cepat Marlia
bersolek. Berhias ala kadar. Dia sudah lambat ke tempat kerja. Biasanya Zamri
yang menjemputnya ke tempat kerja. Akhir-akhir ini Zamri sering membiarkan dia
pergi kerja sendiri. Dia resah menunggu teksi. Kelihatan beberapa orang anak
muda yang tiada arah tujuan cuba
mengusik Marlia. Tiada responddari
Marlia mereka beredar.
Setengah jam
menunggu teksi Marlia bosan dan berasa ingin pulang saja ke rumah. Sebaik saja ingin
berpatah balik sebuah teksi berhenti. Dia tersenyum panjang melihat kelibat teksi
itu berhenti sedangkan dia tidak menahan teksi itu. Sampai di pejabatnya iaitu
Flora Entertainment Marlia disergah seseorang. Dia terkejut. Mata mereka bersatu.
“What do you want? Please don’t disturb me,
okey. Cukuplah dengan apa yang telah kau lakukan terhadapku selama ini.” Tinggi
nada suara Marlia.
Phang! Satu tamparan
hinggap di pipi Marlia. Tidak cukup dengan itu dia ditolak hampir jatuh ke
dalam longkang. Dia mahu melawan tetapi tidak berdaya. Air mata pun tidak lagi
mampu menitis.
“Ewah…… sejak bila
kau pandai melawan nie ha…! Lupa diri ya. Hei perempuan! Kau sedar tak kau tu
siapa. Kau tu tunang aku tahu tak. Bakal isteri aku. Faham.” Kasar gertakan
Zamri itu.
“Zamri, sampai
hati kau…..”
“Aku tak dapat apa
yang aku nak. Aku bosan……” Marlia tunduk memandang lantai. Dia faham apa yang
dimaksudkan Zamri. Disebabkan dia tengah period,
pertengkaran terjadi. Tidak pernah hendak mesra. Apabila sudah okey, barulah
hubungan jadi baik. Kalau tidak sepak terajang mengena tubuhnya. Oh Tuhan!
Sampai bila nasibku akan berubah, hati Marlia merintih kesal.
“Ingat aku tak
suka cara kau layan aku macam ini.” Zamri beredar tanpa menghiraukan Marlia.
Marlia rasa seperti mahu menjerit, biar semua orang dengar siapa Zamri
sebenarnya.
Hari itu Marlia
tidak bersemangat meneruskan kerja yang terbengkalai. Pen biru yang selalu
digunakannya dipusing-pusing sambil tangan kirinya menongkat dagu. Dia
memandang kertas putih yang bersih itu.
Lantas diterokai
fikiran tajamnya yang ligat berfikir. Tercetuslah madah-madah berseni hasil
nukilannya.
Ku sangka panas
hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Kebahagiaanku tak kekal lama.
Rintik-rintik hujan mulai turun dari tengah hari hingga dinihari. Sehinga aku
pasrah pada takdir.
Kenapa? Kenapa kau
berubah? Dahulu kau seorang yang penyayang. Pandai menjaga hati ini. Tidak
pernah mahu berkasar. Sehinggalah kita bertunang. Kau mulai berubah sikap.
Hina sangatkah aku
di matamu? Tetapi kenapa baru sekarang? Kenapa tidak sewaktu belum bertunang?
Semasa kita di tahap untuk mengenali hati budi masing-masing? Di mana aku masih
mentah untuk mengenali sejauh mana kejujuran dan keikhlasan hati seorang lelaki….
Fikiranku masih
lagi dibuai pertanyaan, kenapa ya, kau berubah? Teman-teman sepejabat pun
hairan bin pelik. Dahulu kau manusia yang bertimbang rasa, pemurah, selalu
belanja makan kawan-kawan rapat dan bukan kaki disko. Semenjak kau membawaku ke
diskolah aku semakin berjinak-jinak untuk terus setia mengunjunginya. Pada hal
aku nekad untuk tidak bersuka ria di tempat seperti itu lagi.
Agaknya kerana
kemanisanku kau cintai. Sudah hilang manis, kau berubah hati. Aku dijadikan
pemuas nafsumu. Mangsa kejahilanmu. Semua ini tercipta tanpa kerelaanku, Zamri.
Kau tak layak
digelar suami. Apatah lagi lelaki yang bakal menjadi pemimpin keluarga.
Tanyalah mana-mana wanita disisimu, apa yang dicari dalam sebuah ikatan
perkahwinan. Selain kebahagiaan, kasih sayang dan perhatian suami.
Ke mana perginya kasih
sayangmu terhadapku dahulu? Aku dilayan bagaikan puteri raja. Aku kesal. Sedih
pilu beraja di hati. Kini….. apa lagi yang tinggal…….
Tiba-tiba.
Tut..tut. tut tut …. Siapa pula yang hantar mesej nie. Getus Marlia di dalam
hati. Terbang ilham seninya untuk dilakarkan di atas kertas serba putih itu.
“Lia, apa
rancangan kau malam ini?” Rosnah rupanya.
“Nantilah aku
beritahu kau. Sekarang nie aku busy.”
Marlia berbalas mesej dengan sahabatnya Rosnah.
“Okeylah, nak aku
jemput kau ke petang nanti?” Tanya Rosnah lagi.
“Boleh juga.
Lagipun malam nanti aku kena balik jalan kaki, biasalah macam selalu. Bergaduh
lagi. Lepas nie aku tak nak fikir tentang Zamri lagi. Aku dah nekad. Nak
putuskan…..”
Marlia tidak dapat
membalas mesej Rosnah. Tiba-tiba saja, pintu pejabat dibuka. Dua orang
kakitangan pejabat iaitu kerani pentadbiran dan kewangan datang marah-marahkan
dia kononnya dia telah mengadu hal-hal yang tak sepatutnya tentang masalah
kewangan kepada Encik Razlan majikan mereka.
“Siapa lagi kalau
bukan kerja Zamri yang mereka-reka cerita ini.” Marlia meluahkan masalahnya
kepada Puan Radziah, esekutif pemasaran syarikat Floral Entertainment, sebelum
pulang ke rumah.
“Sabarlah Lia.
Pasti ada hikmahnya di atas apa yang berlaku. Pesan saya carilah jalan yang
sebaik-baiknya dalam menyelesaikan masalah. Ini soal masa depan Lia. Zamri
belum jadi suami Lia. Apa cerita pulak kalau dah jadi suami Lia nanti.” Puan
Radziah menasihati Marlia.
Lelaki yang pentingkan
diri sendiri itu tidak layak menjadi suami aku. Malam ini akan menjadi malam
perhitungan aku dengan dia. Lihatlah nanti Zamri. Hati Marlia berbisik lagi.
“Kalau diikutkan
hati, Lia menyesal bertunang dengan Zamri, kak,” ujar Marlia lagi.
“Semuanya kerja
Tuhan, Lia. Apa yang berlaku ni semuanya ujian. Terpulang pada kita cara
penerimaannya,” Puan Radziah menasihatinya
lagi.
“Suami akak dah
datang, bolehlah kamu tumpang sekali,” pelawa Puan Radziah.
“Tak apalah akak,
saya balik dengan Rosnah, saya dah janji dengan dia.” Tutur Marlia ikhlas.
Malam itu Marlia
mengambil keputusan untuk mengunjungi pusat hiburan. Dia merokok dan mengambil
pil mengkhayalkan. Dia lebih senang hati begitu daripada menghambakan diri
kepada Zamri tanpa sebarang ikatan. Bergaul bebas sekadar untuk enjoy, menari dan happy. Dia jadi lupa caranya itu membawanya ke lembah kehancuran.
Marlia
tidak ingat lagi siapa dirinya. Seingatnya ibu dan arwah ayah tidak pernah
ambil tahu kegiatannya pada malam hari. Dia kebingungan. Pelik pun ada. Mungkin
kerana aku nie anak pungut, kepentingan aku tidak dihiraukan. Fikirnya lagi.
Kenapalah
aku tidak pernah merasa kebahagiaan hidup. Semenjak dari kecil lagi. Semenjak
arwah ayah ada, kelahiranku seperti tidak dapat diterimanya. Aku tidak di
senangi oleh ahli keluarga ayah. Panas baran ayah juga tak bertempat.
Bukan
ayah tidak sayang aku langsung, tapi caranya mendidik tak kena pada tempat.
Tuhan sajalah yang tahu aku berkecil hati dengannya. Tapi, sampai bila aku
harus memendam perasaan. Dia orang tua aku. Sudah jadi arwah pun. Eh melamun
lagi, kalau di rumah sudah lama siap sebuah karangan. Ujar Marlia di dalam
hati.
Setelah lama
termenung di sudut tepi dalam pusat hiburan itu, Marlia mengambil keputusan
nekad untuk memutuskan tali pertunangan dengan Zamri. Biar pengisytiharaan perpisahan
dengan Zamri menyelesaikan segala masalah.
“Hai
temenung panjang nampak.” Marlia terkejut.
“Eh
kau Ros, ingat siapa tadi. Terkejut aku.” Kata Marlia sambil menyeka sisa-sisa
air mata di pipinya.
“Kau
menangis lagi Lia. Janganlah sedih, kita datang ke sini nak enjoy. Apalah kau nie.” Rosnah cuba
memujuk. Teman baiknya sejak dibangku sekolah.
“Aku bukan apa
Ros. Fikiran aku berserabut sekarang nie. Biar apa pun aku lakukan takkan ada
jalan penyelesaiannya.” Marlia bagai berputus asa dengan apa yang dilaluinya. Terngiang-ngiang di telinga pertengkarannya
dengan Zamri sebelum keluar pergi ke pusat hiburan tersebut.
“Marlia, kau nak
berpaling tadah denganku?” Pertanyaan itu tak dijawabnya. Zamri tiba-tiba berang.
Dia menyentap tangan Marlia. Kasar.
“Tolonglah, Zam.
Boleh tak kau bagi aku ruang untuk bersendirian.” Ujar Marlia cuba untuk beredar dari tempat
gelap itu.
“Eh, apa
tolong-tolong. Aku ada hak ke atas kau tau…..”
“Hak? Awak
bercakap tentang hak? Hak apa kalau jadi hamba seks awak!” Marlia tetap dengan
keputusannya. Melepaskan diri dari Zamri menjadi salah satu agendanya.
Kata-kata Marlia
itu membuatkan Zamri ketawa. Entah ketawa mengejek, marah atau sengaja
dibuat-buat Marlia tidak pasti.
“Aku nak putuskan
pertunangan kita. Aku dah tak sanggup lagi, hidup bergelumang dosa. Aku nak
bersihkan diri aku yang kotor nie. Lagipun kau tak layak langsung jadi seorang
suami.” Suara Marlia bergetar diselang seli dengan esak tangisnya. Zamri
bertambah berang.
“Marlia jangan
ingat senang-senang kau nak putuskan hubungan kita. Awak tu perempuan murahan.
Kalau bukan aku yang berani ambil siapa lagi nakkan awak.” Zamri mengejek lagi.
Ada kebenaran disebalik kata-kata Zamri. Marlia sedar siapa dirinya. Dia juga sedar
bukan senang nak merubah segalanya. Namun dia masih punya hati dan perasaan
untuk kembali ke jalan yang benar cuma dia tidak pasti apakah masih ada harapan
untuknya bertaubat.
“This is my life. Awak tak ada hak ke
atas aku.” Marlia bergegas menuju ke kereta Rosnah yang sedang menunggu sejak
dari tadi.
“Tapi, awak dah
lupa siapa diri awak, asal usul awak.” Zamri mengugut lagi. Marlia tak
mengendahkan ugutan Zamri itu. Bertekak pun tiada gunanya lagi. Nasi sudah
menjadi bubur.
“Kau tengoklah
tadi, langsung tak bertimbang rasa. Sesuka hati nak kata apa. Dia ingat aku takut dengan ugutan dia tu.”Marlia
melepaskan apa yang terbuku di hatinya kepada Rosnah.
“Aku tahu. Ini
melibatkan dua insan. Cuma ada satu cara. Kau tinggalkan kampung, kau pergi bandar,
kau cari kerja di sana.
Zamri pun tak dapat cari kau. Ya, aku pasti. Dia tu harapan bapak dia. Syarikat
bapak dia bakal dia warisi. Dia ada komitmen di sini.” Rosnah memberi cadangan.
Marlia terkebil-kebil merenung masa depan yang tidak pasti.
Marlia pasti ada
kebenaran di sebalik kata-kata teman baiknya itu, cuma dia lagi bingung untuk
bertindak sejauh itu.
Memang tidak
dinafikan, Rosnah selalu berada bersama Marlia ketika susah mahu pun senang.
Malah ketika arwah ayahnya ada, selalu juga dia menumpang berteduh di rumah
sahabatnya itu kalau dimarahi oleh ayahnya.
“Sekarang nie
Tuhan nak tolong aku, sebab tu aku tak mengandung. Kalau aku mengandung,
entahlah aku pun tak tahu apa nak buat. Mungkin Zamri lebih bertindak kasar
terhadap aku,” luah Marlia sambil menarik anak rambut yang berjuraian di
telinganya.
“Aku, faham, Lia.
Tabahkanlah hati kau hadapi semua ini,” kata Rosnah memujuk.
“Kaulah sahabat
aku dunia akhirat.” Marlia memeluk erat Rosnah. Tangisannya mengiringi irama pop dance yang dimainkan ketika itu.
Lama mereka berpelukan. Buat seketika mereka jadi hairan, beberapa anak muda
bertempiaran lari.
“Lari, lari!
Lariiii……… Liaaa, Rosss, polis kat luar sana.
Lari cepat lari semua…..” Abang Bob yang sangat mereka kenali bertempik
menyuruh mereka lari.
“Lia,
polis Lia. Aku takut.” Rosnah menarik tangan Marlia. “Cepat Lia, lutut aku dah menggeletar
nie.” Keadaan menjadi bertambah kecoh, sekelip mata sahaja beberapa orang anak
muda sempat ditangkap pihak berkuasa. Termasuklah juga Marlia dan teman baiknya
Rosnah. Mereka membuntuti polis. Diam.
Esoknya ibu Marlia datang hendak menjamin. Bukan sekadar datang hendak menjamin,
Marlia dimarahinya. Malangnya, ibunya diberitahu polis, ujian air kencingnya
positif, dia bakal di tempatkan di pusat pemulihan.
Ibu diberitahu polis lagi, pusat
hiburan tersebut telah disahkan menjadi pusat pengedaran dadah dan juga sarang
pelacuran. Sudah lama pusat hiburan itu diintip pihak berkuasa. Setelah bukti mencukupi
barulah polis bertindak menangkap pihak yang terlibat.
Marlia sendiri kehairanan bagaimana
dia boleh terlibat dengan dadah. Sedangkan dia ke pusat hiburan itu untuk
melepaskan tension di dada. Dia juga dituduh
sebagai GRO kelab malam tersebut. Dia mengiakan tuduhan polis tersebut. Itulah
saja jalan yang ada untuknya melepaskan diri dari cengkaman Zamri.
“Kau
saja cari nahas, pergi berhibur di pusat hiburan tu. Ibu bukan ada duit nak
jamin kau.” Marah ibunya lagi.
“Ibu,
tak ada gunanya ibu marah Lia sekarang. Lia tidak kisah sama ada ibu nak jamin
Lia atau tidak.” Marlia bertekak dengan ibunya.
“Kau
nie Lia, memang anak yang degil. Sejak dari dulu lagi perangai kau tak pernah
berubah.”
“Ibu
asyik cari kesalahan Lia aje. Kenapa ibu tak ambil peduli apa yang anak ibu
buat selama ini? Bila dah jadi macam nie baru ibu datang jumpa Lia. Berterus
terang sajalah ibu, Lia nie bukan anak ibu kan.” Ibu Marlia terdiam.
“Kenapa
ibu diam, cakaplah ibu. Sekurang-kurangnya Lia puas bila dapat tahu kedudukan
sebenar.” Air mata Marlia berguguran jua akhirnya. Ibunya tersentak dan untuk
ke sekian kalinya terpaksalah dia membuka cerita lama yang hampir dilupakannya.
“Memang
betul kau bukan anak ibu. Ibu bela kau masa kau baru lahir lagi. Ibu sebenarnya
kasihankan ibu kandung kau yang hidup dalam kedaifan masa melahirkan kau.” Marlia
sedikit pun tidak terkejut mendengar luahan hati ibunya.
“Memang
betullah telahan Lia selama ini. Ibu tak sepatutnya merahsiakan dari Lia.
Sekarang Lia nak tahu siapa ibu kandung Lia!” Marlia mendesak.
“Maafkan
ibu Lia. Ibu tak berniat nak menyinggung perasaanmu, nak. Tapi ayah kau
mendesak ibu. Kalau ibu lebihkan kau, ibu akan kehilangan dia,” secara tak
semena-mena, ibunya menangis sambil mengeluarkan gambar ibu kandung Marlia yang
sebenar.
“Marlia
nak tahu di mana tempat tinggal ibu Lia. Lia nak tengok dia.” Marlia memegang
kedua-dua tangan ibu angkatnya.
“Maafkan
ibu sekali lagi, Lia. Ibu kau sebenarnya dah tak ada lagi.” Mereka dua beranak
bertentangan mata.
“Maksud
ibu.”
“Dia
dah meninggal dunia setahun sudah selepas disahkan mengidap kanser payudara.”
“Sampai
hati ibu merahsiakan semuanya ini dari Lia. Tidakkah ibu dan ayah sedar ibu dan
ayah dah mengabaikan Lia selama ini. Biarpun Lia anak angkat. Lia sedih bu.
Patutlah apa yang Lia buat semua tak kena di mata ayah.” Sebak menguasai
suasana.
“Maafkan
ibu, sayang. Berilah peluang untuk ibu tebus segala kegagalan ibu mendidik kau selama ini. Ibu akan melantik
peguam untuk bebaskan kau.” Ibu angkatnya menangis kekesalan.
“Sudah
terlambat ibu. Lia tak menyesal masuk ke sini. Lia tak minta ibu jamin Lia, “
ujar Marlia seakan berputus asa.
“Umurmu
masih muda. Banyak lagi masa untuk kau perbetulkan kesilapan lampau.”
“Biarlah
Lia menghabiskan masa di pusat pemulihan saja. Lagipun Lia tak yakin boleh
berubah menjadi baik bila berada di luar sana
sekarang nie. Lia dah muak tengok muka Zamri. Lelaki yang tak bertanggungjawab tu.”
Marlia berterus terang.
“Lia….”
Marlia tidak menghiraukan panggilan ibunya. Sudah kering air matanya untuk
menangisi apa yang telah dilalui.
Barulah
Marlia percaya kepada ketentuan hidup. Sampai masanya dia bertemu apa yang
dicari-cari selama ini. Dia yakin di pusat pemulihan nanti dia menemui sinar
kebahagiaan yang dicari-cari selama ini. Memandangkan saban hari penghuninya mendalami
pengajian agama dan melakukan ibadat.
Ketika
pihak penjara sedang sibuk hendak memindahkan yang berkenaan ke pusat-pusat
pemulihan di negara ini, Marlia dikejutkan oleh polis wanita yang menjaganya,
ada orang hendak berjumpa dengannya.
Sekali
lagi Marlia terkejut dengan kehadiran orang tersebut yang sudi datang menjenguk.
Namun dia sendiri yang tidak sudi untuk berbual dengan orang tersebut. Malah
dia percaya lelaki itu sedang mentertawakannya. Dia menarik nafas panjang dan
tanpa menoleh ke arah Zamri, dia beredar menuju ke penjara di mana dia
ditempatkan.
“Oh
Tuhanku, yang terdetik dihatiku ketika ini cuma satu, seandainya Engkau telah
menetapkan di pusat inilah berakhirnya kekecewaanku, kehidupan silamku dan
mengembalikan kegembiraan dalam hidupku, maka aku pasrah dan akur dengan
ketentuanmu. Maka dengan itu berikanlah aku kekuatan untuk terus tabah
menjalani kehidupan baru nanti. Terima kasih Ya Allah, Amin.” Bisik hati kecil
Marlia di tikar sejadah.
‘Sinarilah
hatiku ini dengan cahaya taufik dan hidayahmu Ya Allah, kasihanilah hambamu
ini.’ Marlia mengakhiri doanya.
TAMAT