Home Cerpen Cinta Kerana suaranya, aku jatuh cinta
Kerana suaranya, aku jatuh cinta
Norhashimah Awang
30/3/2013 11:39:17
7,105
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

"Hello... Sinar Terang Holding, boleh saya bantu? " tenang Khairunissa menjawab panggilan telefon.

" hello... boleh saya bercakap dengan Encik Helmi?" Pinta si pemanggil.

'Machonya suara'gumam.

"Apa dia cik?" Soal si pemanggil lagi. Khairunissa terkelu seketika. Tak sangka pula dia boleh dengar. Wajah mula memerah. Memalukan!

"Sekejap ya encik, saya sambungkan," cepat-cepat di-pass-kan panggilan tersebut. Sehinggakan dia terlupa hendak bertanyakan siapa pemanggil tadi dan dari mana. Diketuk kepala sendiri apabila menyedari panggilan tersebut telah disambungkan kepada encik helmi.

'Gerenti lepas ni kena marah lagi'rungutnya di dalam hati. Hampir setiap hari dia melakukan kesalahan yang sama walaupun dia sentiasa beringat. Hadoilah kerja senang pun boleh salah. Macam mana agaknya jika diberi tugas yang susah nanti. Boleh tak dia uruskan. Khairunissa bersoaljawab sendiri.

“Terkumat kumit mulut tu kenapa? Akak tinggal kejap je muka dah macam asam kecut" tegur Suhaila.

Khairunissa mengherotkan bibirnya ke kanan ke kiri. Matanya sengaja diredupkan.

"Kak sue... Nissa rasa lepas ni mesti kena marah lagi ni" adu Khairunissa.

"Buat salah lagi?" Suhaila geleng kepala.

"Apa pulak kali ni?"

"Lupa nak tanya pemanggil tadi dari mana, dia nak cakap dengan Encik Helmi, Nissa terus pass line macam tu je.. tapi..."

"Tapi apa? Dah tahu dah Encik Helmi tu garang dan tak suka diganggu dengan panggilan yang tak berapa penting, kenapa boleh salah lagi?" Soal Suhaila dalam nada tertahan -tahan. Geram pun ada dengan sikap Nissa yang selalu menjawab telefon sambil lewa padahal itulah tugas utama mereka sebagai penyambut tetamu juga merangkap penjawab panggilsn masuk.

"Salah orang yang memanggillah, kenapa suaranya macho dan romantis. Terbuai jap perasaan. Pulak tu dia terdengar Nissa terpuji suara dia tu. Apa lagi, gelabahlah Nissa dan terus pass line kepada Encik Helmi."

Suhaila geleng kepala sambil tersenyum geli hati melihat telatah Nissa sedang bercerita. Siap dengan gaya lagi. Ish budak ni... orang nak marah pun tak sampai hati apabila melihat gaya comelnya.

"Tapi kak.... macam mana ni kalau Encik Helmi marah Nissa nanti. Takutlah..." dipegangnya lengan Suhaila sambil digoyang - goyang.

"Nasiblah siapa suh buat salah.! " mendengar jawapan itu, Nissa mencebik.

####

Suhaila senyum-senyum setelah meletakkan gagang telefon. Dijeling Nissa di sebelah.

‘Nissa.. Nissa...’ senyuman masih lagi menghiasi bibirnya.

“Apa kak Sue ni.. senyum sorang-sorang. Tadi Pak we telefon ajak dating ek?” Soal Khairunissa bernada usikan.

Suhaila mencebik.

“Tak ada maknanya berdating jika kat rumah tu berderet tiga orang budak kecik sedang menanti….”

‘Orang tu tanyakan awak…’ kata-kata itu hanya bergema di dalam hatinya sahaja. Teringat bagaimana si pemanggil tadi merisik tentang diri Nissa. Rasanya tak lama sangatlah si Nissa ni kerja di sini. Siapa yang tidak tertarik dan terpikat dengan wajah comel yang murah dengan senyuman ini. Sudahlah peramah, budi bahasa pun tinggi. Walaupun mereka baru bekerja bersama dalam beberapa minggu sahaja, Suhaila amat menyenangi dan menyukai keperibadian Nissa. Orangnya sentiasa merendah diri dan pergaulannya terjaga.

“Nissa orang susah kak. Mak sakit, ayah pun dah tak ada. Jika Nissa tak kerja siapa yang nak bagi makan minum kat mak dan adik.” Pernah Nissa bercerita serba sedikit mengenai dirinya ketika hari pertamanya dulu.

“Nissa kan boleh minta bantuan Zakat? Bantuan biasiswa pun banyak boleh minta. Cubalah. Takkanlah Nissa tak teringin nak sambung belajar lagi. Nissa muda lagi.”

“Dapat tu dapat bantuan Zakat, tapi berapalah sangat dapat. Setakat lepas beli ubat mak je. Keinginan belajar lagi tu ada.. memang ada tapi bagi Nissa, pelajaran adik-adik lebih penting. Mak juga perlukan perhatian dan jagaan Nissa juga. Jika Nissa sambung belajar siapa yang akan jaga dia nanti.”

Dalam diam Suhaila memerhati Nissa yang sedang mengemaskini data di dalam computer di hadapannya. Tekun dia membuat kerja. Jika dia ada adik lelaki yang solo lagi, nak juga dipasang-pasangkan dengan Nissa ni. Mesti berseri rumah orang tuanya dengan kehadiran Nissa yang ceria. Walaupun susah Nissa tidak pernah mengeluh.

“Sedap Nissa masak… rasa nak lagi,” Pujinya ketika merasa bekal yang di bawa oleh Nissa.

“Sedap apanya kak. Gulai ikan kering dengan nenas dan telur dadar je. Tak ada istimewanya sangat,” jawab Nissa.

“Walaupun tak istimewa, tapi rasanya sangat sedap. Akak yang tak biasa makan gulai ikan kering ni pun boleh suka. Apa lagi yang dah suka,”

“Akak ni kan.. ada-ada je.” Cebik Nissa apabila tak tahu hendak membalas kata lagi. Dia segan apabila orang asyik memujinya sedangkan dia bukan sesiapa pun. Malah skill memasaknya pun tak sehandal mana.

####

“Selamat tengahari Encik Haiqal,” sapa Suhaila apabila seorang lelaki mendekati meja penyambut tetamu.

Khairunissa tersenyum manis. Turut sama menyambut kedatangan lelaki itu walaupun dia tidak mengenalinya. Mungkin salah seorang pelanggan yang berurusan dengan syarikat mereka.

“Selamat tengah hari.” Dipandang wajah Khairunissa yang menundukkan pandangan matanya apabila terkena panahan matanya.

Suhaila senyum-senyum sambil menjulingkan matanya ke sebelah. Encik Haiqal ketawa kecil manakala Khairunissa serba tak kena. Dia teringatkan suara pemanggil yang macho itu. Wajahnya memerah.

‘Habislah kali ni….”

“Malunya….” Dia mengigit bibir.

‘Macam mana nak buat ni..’ Dia masih lagi bertenggek di meja penyambut tetamu sambil berbual – bual dengan kak Suhaila. Namun matanya asyik menjeling ke arahnya.

Tak boleh jadi ni!

“Kak.. saya pergi tandas jap..” itulah alasan yang paling logik ketika ini.

“Sudah-sudahlah kau tenung dia Haiqal wei.. tak senang duduk budak tu,” tegur Suhaila apabila Nissa hilang di sebalik dinding. Nampak sangat gatalnya si Haiqal ni. Dulu bukan main lagi serius wajahnya apabila bertembung atau berurusan dengan mana-mana wanita. Tapi kini Suhaila dapat melihat sisi lain yang tidak pernah dilihatnya. Renungan matanya bagaikan ingin menelan Nissa hidup-hidup. Perlahan dia geleng kepala. Rupanya inilah tingkah laku orang yang terkena panahan asmara. Cukup hanya mendengar suara sahaja sudah angau. Apabila berdepan lagilah angau.

“Dia cute sangatlah, kak. Malu-malu pulak tu. Tak puas mata memandang. Melekat je kat wajahnya,” balas Encik Haiqal. Terus terang tanpa menyembunyikan sedikit pun apa yang dirasakan saat ini. Pertama kali dia merasakan tarikan kuat seorang wanita walhal inilah kali pertama mereka bertemu. Kerana suaranya, dia jatuh hati. Melihat sendiri rupanya lagilah perasaan ini semakin kuat dirasakan.

“Jika macam tu.. terus masuk melamar, kahwin. Umur pun dah lebih dari layak. Harta pun dah tak habis nak makan,” usul Suhaila. Baginya lebih baik begitu. Dia tidak begitu gemar konsep bercinta sebelum kahwin ini. Lagipun Nissa gadis yang baik. Hatinya bersih, belum tercemar daki-daki cinta seorang lelaki.

“Tapi dia muda sangatlah kak. Baru lepas sekolah kan? Susah jugak. Mana dia nak!”

“Belum cuba belum tahu… Jika kau kahwin dengan dia.. bertambah pahala kau bantu orang susah,” perlahan sahaja suara Suhaila menyatakannya.

Encik Haiqal berkerut kening. Rasa ingin tahu meruap-ruap di dalam hatinya. Suhaila bagaikan menyimpan rahsia besar Nissa.

“Kenapa kak?”

Suhaila menarik nafas dan mula bercerita serba sedikit tentang latar belakang Nissa.

‘Kasihan…’ keluh Encik Haiqal. Kasihnya semakin bersemarak. Terbit perasaan ingin melindungi, menyayangi dan membantu meringankan beban Nissa dengan kasih sayangnya. Ya... mengambil Nissa sebagai isterinyalah cara yang terbaik untuk menolong gadis itu. Lagipun kasihnya semakin ranum di hati. Tak pelik pun sebab dalam sedetik hati boleh jatuh kasih. Bukankah perasaan ini kurnia-Nya untuk hamba-hambanya merasai betapa banyaknya kasih sayang-NYA kepada umat manusia ini?

####

Wajahnya masam. Telefon berdering di pandang tanpa niat mengangkatnya. Eeeii.. lelaki ni miang keladi, miang buluh. Menyesal puji suara dia macho! Bibirnya diherot kiri kanan. Tangannya terus ligat menekan kekunci tanpa mahu mengangkat telefon yang berdering tanpa henti itu.

“Nissa.. angkatlah telefon tu”

“Malas!”

“Jika pelanggan telefon macam mana?”

“Tak dapat talian ni pasti dia akan telefon talian akak tu!” Jawabnya sambil lewa. Dia tahu sangat siapa yang telefon ni. Mula-mula memanglah seronok dengar suara machonya. Tapi.. bila dah terlalu kerap sangat telefon dan tanya benda remeh temeh, dia jadi menyampah. Tak ada kerja lain ke mamat ni, asyik telefon je. Selang sepuluh minit telefon sampaikan tak ada orang lain dapat menembusi taliannya melainkan mamat bersuara macho ni (suara macam katak pulak bila selang beberapa minit kedengaran di cuping telinganya)

“Nissa.. tak baik biarkan telefon tu tak berjawab,”

“BIarlah kak… Orang tu suka main-main, biar padan muka dia,”

“Siapa kata saya suka main-main?” tegas suara macho itu yang tiba-tiba muncul di hadapannya. Khairunissa ketip bibir. Bila masa pula mamat ni berada di sini. Tak kerja kah. Asyik main-main je kerjanya.

“Saya tahu awak tengah mengutuk saya. Tapi sebelum mengutuk adalah lebih baik siasat perkara yang sebenarnya. Jangan main tuduh sebarangan!”

“Allah s.wt. ada berfirman dalam surah al-hujarat ayat 12 bermaksud“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

“ Saya tak mengintip encik! Encik yang suka main-main mengganggu kerja saya!” wajahnya telah memerah menahan perasaan geram. Sangkanya jika dia berbuat baik dan tidak mengganggu orang lain, sudah tentu orang lain tidak akan mengganggunya. Rupa-rupanya sangkaan itu salah. Dia akan tetap diganggu biarpun dia tidak mahu diganggu.

“Kak Sue…” Encik Haiqal cuba meminta pertolongan Suhaila apabila tidak dapat membalas kata-kata Nissa. Bukan tidak boleh dibalas tetapi melihat wajah Nissa merah sangat dan matanya berkaca, dia tak sampai hati. Niatnya ikhlas dia mahu membela dan menjaga gadis ini.

“Kau balik dululah. Nanti aku slow talk dengan Nissa. Lagipun bagi aku cara kau pun salah jugak,”

“Baiklah.. tapi pastikan dia tahu niat aku ni ikhlas. Bukan sebab simpati ke apa,” sekali lagi Encik Haiqal berpesan.

“Aku tahulah.. Kau jangan risau.. Dah.. pergi kau!”

######

“Nissa tak layaklah kak. Nissa banyak tanggungan dan jika boleh Nissa tak nak beban yang Nissa tanggung ni menyusahkan orang lain. Lagipun kami tak sekufu.” Berulang kali Khairunissa memberikan alasan tersebut. Ya, dia tidak layak untuk lelaki hebat seperti Encik Haiqal setelah mengetahui status sebenar lelaki itu. Dia bukan sesiapa. Dia cumalah pipit yang sentiasa terbang rendah kerana tidak mampu terbang sama tinggi dengan helang. Dia sedar diri. Walaupun dirinya masih remaja belia, namun pengalaman hidup membuatkan dia matang berfikir. Sentiasa menjaga tutur bicara dan tahu kedudukan diri di dalam masyarakat. Jadi tidak sesekali dia berangan dan bermimpi untuk duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan lelaki itu mahupun mana-mana lelaki lain.

“ Nissa… sekufu atau tidak semua tu adalah tanda aras yang masyarakat kita letakkan bukannya Allah s.w.t. Nissa tahu apa kriteria Allah s.w.t tetapkan apabila memilih jodoh ni?” Soal Suhaila.

Khairunissa terdiam. Kelu untuk membalas kerana dia tahu apa yang difikirkan sama sekali salah. Tapi hidup bermasyarakat ini jika tidak mahu dipandang serong, wajarlah sedar diri. Ukur baju dibadan sendiri biar padan dan muat-muat dipakai, itu kata orang. Biarpun dirinya selalu membantah apa yang orang kata. Siapalah dia untuk bersuara.

“Rasulullah s.a.w telah bersabda dalam satu hadisnya yang masyhur bermaksud: "Perempuan itu dikahwini kerana empat perkara. Kerana hartanya, kerana keturunannya, kecantikannya dan kerana keagamaannya. Maka utamakanlah yang beragama nescaya kamu mendapat kebahagiaan. Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w menjelaskan tentang ciri-ciri yang biasanya menjadi asas pertimbangan dalam memilih isteri. Walau bagaimana pun Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa ciri keagamaanlah yang perlu diutamakan dalam melakukan pemilihan. Penegasan terhadap keutamaan ini dapat dilihat dengan jelas dalam ayat al-Quran yang bermaksud: "Maka wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri di belakang suaminya oleh kerana Allah telah memelihara mereka".

“Perkara ini perlu ditekankan kerana isteri yang mempunyai pegangan agama yang kuat akan sentiasa taat kepada suaminya dan akan sentiasa memelihara kehormatan dirinya.” Suhaila membentangkan hujahnya.

“Nissa suka dengar suara diakan? Pertama kali Nissa dengar, Nissa terbuai seketika dan Nissa puji dia kan. Dia pula dengar suara manja dia pun terbuai juga. Haiqal ni kak Sue dah kenal lama dah. Dia adik encik Helmi. Dia baik.. solat tak tinggal, hormat orang tua, suka bantu orang susah. Tapi soal jodoh dia liat sikit. Ramai dah Encik Helmi cuba perkenalkan tapi satu pun tak berkenan. Macam-macam komennya. Tapi apabila terdengar suara Nissa buat pertama kali dia jatuh suka. Dia niat dalam hati, pemilik suara inilah yang akan menjadi suri hidupnya tak kisahlah dia tu tak cantik atau tak lawa asalkan akhlaknya lawa, budi bahasanya elok dan agamanya indah.”

“Jadi bila terpandang wajah Nissa buat pertama kali dia yakin. Memang Nissa untuknya,”

Khairunissa terdiam.

“Tapi kak.. Nissa muda lagi. Tanggung banyak…” balik-balik alasan itulah yang diberikannya. Dia tidak suka menyusahkan orang.

“Itu tak jadi hal. Nissa muda tapi dah lepas usia minimum yang ditetapkan oleh undang-undang untuk berkahwinkan? Lagipun Encik Haiqal tu lebih dari mampu menganggung keluarga Nissa.” Tegas Suhaila penuh keyakinan.

Khairunissa terdiam. Tidak ada alasan lagi untuk menolak.

Lama Khairunissa terdiam. Dia tiada alasan untuk menolak lagi. Hujah yang dibentangkan oleh Suhaila tidak dapat disangkalnya. Sebenarnya di dalam hati, ada rasa suka dan senang dengan kehadiran lelaki itu tapi dia bersikap realistik kerana sedar diri. Sebab itulah dia tidak mudah kelabu mata, tidak mudah menerima huluran kasih ini. Memandang wajah Suhaila yang bersungguh memujuknya dan juga kesungguhan yang ditunjukkan oleh Haiqal. Dia akhirnya akhir tapi....

“Jika dia serius kak.. minta dia jumpa mak Nissa. Mak setuju, Nissa setuju,” putus Khairunissa.

Mendengar kata-kata Nissa itu, Suhaila tersengih lebar. Itu tidak menjadi masalah. Encik Helmi pun telah tahu perkara ini dan turut menyukai pilihan adiknya. Hanya kata pemutus dari Nissa sahaja yang ditunggu, dan semuanya akan diuruskan oleh Haiqal nanti.

Alhamdulillah.

######

5 tahun berlalu.....

Khairunissa tersenyum bahagia. Dia melangkah pantas menghampiri suami dan anak-anaknya serta ahli keluarganya yang datang meraikan hari bersejarahnya. Ijazah kelas pertama dalam jurusan Pengurusan perniagaan kini di dalam genggamannya. Penat jerih dan pengorbanan suaminya, Haiqal kini berbalas.

Dalam usia dua puluh empat tahun, hidup cukup lengkah. Punyai suami yang penyayang, anak kembar sepasang yang comel, mak yang semakin sihat dan cergas serta adik-adik yang turut berjaya di dalam pelajaran masing-masing. Syukur dipanjatkan kepada-NYA di atas limpahan kurnia-NYA ini.

Dipandang wajah kacak suaminya, teringat bagaimana mana mereka saling jatuh cinta. Hanya kerana suaranya, aku jatuh cinta.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.