Home Novel Komedi/Romantik Komedi RIVALS
RIVALS
Miko Yan
16/3/2019 00:09:58
67,299
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 21

PAGI menjelma di Blue Inn tidak seperti selalunya. Putra sejak kejadian malam tadi, tidak pulang-pulang. Amran ada cuba mencarinya sepanjang malam, namun dia gagal dikesan. Entah ke mana dia menghilang. Sungguh semua tidak menyangka seteruk itu akan terjadi. Putra belum sesekali pernah bersikap seperti itu. Selama ini dialah paling tenang dalam menangani sesuatu masalah yang timbul di Blue Inn, dan dialah juga yang selalu mencipta keriangan di situ.  

               Ketiadaan Putra membuatkan suasana di dapur sedikit kelam-kabut. Mujur Az yang selama ini menjadi pembantunya  dapat mengambil alih tugas di ruang dapur itu. Ima dan Ika terpaksa juga menghulurkan bantuan menyediakan hidangan sarapan pagi untuk semua pengunjung.  

              Walaupun begitu,  sudah mula ada sinar harapan di Blue Inn pagi  itu. Indra muncul di ruang makan itu untuk bersarapan. Ida juga.seperti tiada apa-apa yang berlaku antara mereka berdua. Mereka tenang bersarapan dengan berkongsi satu meja. Barangkali Indra telah sedar akan kebiadaban dan keterlanjuran katanya selepas dilempang oleh Putra malam tadi. Ika juga telah memainkan peranan sebagai kakak sulung memujuknya.

               “Selepas ini ikut abang.” Indra akhirnya bersuara. Ida sedikit terkejut bila mendengar Indra menyapa dan membahasakan dirinya sebagai abang. Begitu juga yang lain. Masing-masing kemudian mengukir senyum. Lempangan padu Putra malam tadi telah menunjukkan hikmahnya.

               “Nak pergi ke mana?” Soal Ida.

                “Kita pergi cari Abang Putra,” jawab Indra.

                “Okey,” respons Ida pantas. Satu senyuman diukirnya kepada Indra. Indra masih berlagak bersahaja. Situasi itu cukup mengembirakan semua yang ada di situ, termasuk  Kamarul Idham. Makin banyak senyum yang diukir. Mereka bersyukur. Nyata Putra sekali lagi bertindak selaku penyelamat, seperti selalunya.

                Selesai sarapan, Ida membuntuti Indra ke arah tempat V diparkir. Indra menghidupkan enjin Volkswagen itu.

                “Abang tahu ke nak cari Abang Putra di mana? Sebab Abang Amran cakap tadi dah puas dia mencari Abang Putra serata tempat malam tadi, tapi tak jumpa,” soal Ida ketika dia melabuh punggung di sebelah Indra.

                “Pasti abang Putra ada di jeti kampung nelayan,” jawab Indra dengan yakin. Dia tahu Putra tak pergi ke mana selain ke situ kerana abang angkatnya itu banyak menghabiskan masa terluang membaiki bot layar yang baru dibelinya bagi menggantikan bot layarnya yang karam lebih setahun yang lalu. Sanggup dia menjual apartmennya dia Shah Alam demi memenuhi impian mahu menggembara di lautan satu ketika nanti. Walaupun dia hampir mati lemas kerana impiannya itu, semangatnya tetap tidak patah. Dhea sendiri gagal memujuknya supaya melupakan hasratnya itu. Akhir-akhirnya Dhea sendiri yang akur dan memberi semangat kepadanya untuk merealisasikan pengembaraan itu.

                 “Indra sekejap! Ini ada makanan untuk abang Putra. Abang Putra tentu tak bersarapan lagi.” Dhea dating menghampiri mereka sebelum Indra memulakan perjalanannya. Indra menyambut huluran mangkuk bertingkat daripada Dhea dan memberinya kepada Ida.

                 “Kak Dhea, Indra mohon maaf kerana membuatkan akak bimbang,” ucap Putra sebelum memulakan perjalanan.

                  “Akak maafkan. Indra bawa Abang Putra pulang ya,” balas Dhea dengan senyuman.

                  Van kombi tua panduan Indra itu kemudian memasuki jalan raya dan menuju ke arah jeti di perkampungan nelayan. Di Pulau Pangkor terdapat banyak jeti. Ada jeti nelayan dan ada juga jeti untuk feri berlabuh. Selain itu, ada juga jeti untukmenyimpan bot-bot layar persendirian yang mahal kos yuran pelabuhannya. Demi membalas budi arwah bapa Kamarul Idham yang banyak menyumbang dana untuk membina jeti di perkampungan nelayan itu, pihak pengurusan jeti mengizinkan Putra melabuhkan bot layarnya di situ.

                 Di pertengahan jalan itu, Indra berselisih dengan gadis Cina yang sedang membonceng sebuah motosikal RG Sport yang ditunggang oleh seorang pemuda Cina. Mereka berlawanan arus. Buat pertama kalinya sejak Indra pulang ke pulau itu, mereka bertembung. Masing-masing jadi terkejut. Berpandukan cermin pandang belakang V, Indra dapat melihat gadis itu memusing kepala untuk memerhatinya. Sememangnya dia mahu sangat bertemu dengan gadis Cina itu, namun ada misi yang lebih penting perlu diselesaikannya terlebih dahulu.

                 Ketika mereka tiba di jeti, dari jauh mereka sudah dapat melihat Norton yang dicat biru gelap dan krom di tempat parkir. Indra melirik senyum. Nyata firasatnya tepat. Selepas memarkir V, Indra dan Ida meniti titi kecil untuk ke jeti. Ida berjalan terlebih dahulu di bahagian hadapan.

                “Hati-hati!” Kata Indra ketika dia merangkul tangan Ida yang tiba-tiba hilang imbangan.Sedikit sahaja lagi Ida nak terjatuh.

                “Terima kasih,” ucap Ida sambil mengurut dadanya. Mereka menyambung perjalanan dan mula menghampiri sebuah bot layar. Mereka kemudian naik ke atas bot itu dan melemparkan pandangan ke sekitar luar bot itu. Namun, batang tubuh Putra tidak kelihatan. Indra segera menjenguk ke bahagian kabin bot itu. Anak matanya dapat menangkap sekujur tubuh yang sedang berselimut di atas satu buaian hammock di dalam kabin itu.

               “Abang.” Perlahan-lahan Indra menggoncang sedikit tubuh Putra untuk mengejutkannya. Putra terjaga dari lenanya. Dia sedikit terkejut bila melihat Indra di depannya. Lebih terkejut bila melihat Ida tersenyum kepadanya.

               “Kamu berdua buat apa di sini?” Soal Putra sambil menguap.

                “Cari abang lah. Abang tak balik malam tadi. Semua orang bimbangkan abang,” jawab Indra.

                “Oh,” keluh Putra pendek. Dia menggeliat seperti tiada apa-apa yang berlaku.

               “Maafkan Indra pasal malam tadi,” ucap Indra sambil melabuh punggung pada sebuah bangku. Ida juga melabuh punggung di sisinya. Putra sekadar mengangguk kepalanya. Matanya kemudian mengarah kepada Ida. Ida sekali lagi mengukir senyum ceria kepadanya.

               “Kamu berdua dah berbaik ke?” Soal Putra. Kedua-duanya mengangguk kepala. Indra sedikit kelihatan malu.

                “Bagus! Abang pun nak minta maaf pada Indra, terpaksa abang naik tangan malam tadi.” Putra menambah. Bersarang juga rasa kesal akan sikap kasarnya malam tadi. Entah mengapa dia tiba-tiba jadi hilang sabar. Tak seperti kebiasaannya.

                Indra mengganguk kepalanya sebagai tanda menerima permohonan maaf itu. Dia sendiri telah mengakui kesilapannya dan berterima kasih kepada Putra kerana telah menyedarkannya. Putra kembali mengukir senyum seperti selalu diukirnya. Senyum itu kemudian berjangkit ke bibir Indra dan Ida.

               “Indra dan Ida sepatutnya rasa bertuah kerana di kelilingi ramai adik-beradik. Ada orang sebatang kara sahaja dalam dunia ini. Hubungan adik-beradik ini bak kata orang, air dicincang takkan putus. Jadi tak perlulah kita nak bermusuh dengan adik-beradik sendiri. Waktu kita susah atau sakit, adik-beradiklah yang akan tolong kita.” Sempat Putra memberi buah-buah nasihat kepada dua beradik itu. Indra dan Ida perlahan-lahan mengangguk, bersetuju dengan kata-kata nasihat Putra itu. Lebih-lebih Ida yang sememangnya sebelum ini sebatang kara.

              “Itu makanan untuk abang ke?” Soal Putra kemudian sambil menjeling ke arah mangkuk tingkat yang diriba oleh Ida.

              “Ya, Kak Dhea suruh kami bawa tadi. Abang tentu tak sarapan lagi kan?” Indra membalas.

             “Alamak, abang lupa pada bini abang. Bini abang okey?” Putra tiba-tiba jadi gelabah kerana baru tersedar akan hal itu. Indra dan Ida ketawa melihat telatahnya itu.

             “Kak Dhea okey. Dia suruh kami bawa abang balik,” balas Indra.

            “Humaira?”

            “Humaira pun okey. Dia pun suruh kami bawa balik papanya.” Ida menambah.

            “Eh, Humaira dah boleh berkata-kata? Setahu abang, sepatah dua kata Bahasa Jerman aje dia boleh sebut?” Indra cuba mencipta lebih keriangan sambil menjongketkan keningnya, ala-ala gaya trademark The Rock. Ketiga-ketiganya kemudian menderai tawa.

            “Apa-apapun sebelum kita balik, kita sarapan dulu. Bak kata orang-orang tua, musuh jangan dicari, rezeki jangan…”

             “Ditolak!” Indra dan Ida menyambung kata bidalan yang diungkap Putra itu secara serentak. Membangkit kembali tawa kepada mereka bertiga.

             “Moh kita keluar. Kat luar luas sikit, baru best nak bersarapan sambil menghirup udara pagi yang segar,” ajak Putra yang seraya bangun dari buaian dan mengatur langkah keluar dari kabin sempit itu. Indra dan Ida membuntutinya. Mereka bertiga kemudian duduk bersila di atas bot layar itu. Putra mula membuka bekas makanan bertingkat  yang dipanggil orang Perak mangkuk sior itu. Seleranya pantas terbangkit dengan bau sambal dan aroma nasi lemak.

             “Wait!” Tahan Ida sebelum Putra menyenduk nasi dengan tangannya.

              Tercenggang Putra dibuatnya. Indra pula mengerut sedikit dahinya, tidak mengerti mengapa adiknya itu menahan Putra daripada menjamah nasi lemak yang dibawanya?

              “Kenapa?”Soal Putra.

             “Abang belum basuh muka dan tangan lagi,” jawab Ida dengan sengihan.

            “Yalah, lupa pulak Abang abang nak basuh muka dan tangan dulu, adat kita orang Melayu jangan sesekali dilupakan,” sambung Putra seraya bangun semula dari labuhan punggungnya dan kemudian secara bersahaja berbaring di tepi bot dan menyimbahkan air laut ke mukanya. Perlakuannya itu makin mencuit hati Ida dan Indra.

            “Okey, muka dan tangan dah basuh. Abang nak santap sekarang!” ujar Putra sambal tangannya mula menjamah nasi lemak yang dibawa oleh Indra dan Ida itu. Indra dan Ida sekadar memerhati gelagatnya menikmati hidangan dengan rasa senang hati.

            “Sedap?”Soal Ida dengan senyuman. Cukup terhibur melihat gelagat Putra yang berselera.

           “Sedap, siapa yang masak ni?” Soal Putra dengan nasi masih penuh di dalam mulutnya.

           “Siapa lagi kalau bukan Kak Az,” jawab Indra.

           “Tak sia-sia abang turunkan segala ilmu dapur abang kepada si tomboy tu!” ujar Putra buat-buat mengangkat bakul sendiri. Sikap gila-gilanya kini kembali. Dua beradik disisinya makin terhibur.

           “Kalau macam ini, hari-hari abang nak merajuklah.Tak payah susah-susah abang kat dapur lagi,” ujar Putra lagi.

           “Tapi Indra dah tak mahu kena lempangan padu abang lagi, sakit siot!” Ungkapan Indra itu membuatkan mereka semua mendekah tawa. Lebih banyak lagi tawa keriangan selepas itu.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan